Isnin, 13 Februari 2017

Sedikit Coretan Tentang Prof Won Sang Chung

Lama sudah tak menulis blog, jika dilihat tarikh akhir pos pada 11 Mac 2014. Tak pa lah.

Tapi coretan kali ini adalah tentang kehadiran pembentang dari Universiti Gyeongsang, Korea Selatan. Namanya Won Sang Chung (Profesor Dr.), beliau adalah fizikawan yang berkecimpung dalam teori canggaan (deformation theory) ke atas mekanik kuantum yang menjadikannya tak lagi kalis tertib (noncommutative). Kajian beliau boleh rujuk di sini: https://www.researchgate.net/profile/Won_Chung4

Baiklah, kita langsung ke objektif utama pos ini. Tujuan sebenar saya ialah saya nak menulis tentang pengalaman saya bersama dengan Prof Won, bagaimana saya berjumpa baliau dan pengalaman sepanjang beliau berada di INSPEM. Saya jadikan pos ini sebagai motivasi jika saya membaca kembali pos ini, jadi harap maaf jika pos ini tidak menarik atau kurang saintifik. Mungkin selepas ini sekali lagi, pos seterusnya dua tahun lagi baru saya tulis. Hehehe....

Saya berjumpa dengan Prof Won dalam Researchgate (RG) di mana beliau bekerja dalam mekanik kuantum tak kalis tertib (Non-Commutative Quantum Mechanics). Oleh itu saya melihat satu demi satu artikel beliau, artikelnya agak mengujakan. Malah beliau sangat produktif dalam penyelidikan, penyelidikan fizik teori,

Di mana ia tak semudah seperti penyelidikan yang lain boleh menukar bahan atau komposisi bahan. Ia adalah perkara asas yang lebih tabii, tak mudah untuk kita ubah parameternya, jika seandainya sesuatu teori cuba diusulkan atau cuba diubah/diitlak, soalan utama yang harus kita ajukan,

"Atas motivasi apakah teori ini diusulkan?" kemudian barulah soalan,
"Adakah ia bertentangan dengan fizik yang sedia ada, jika ya, kenapa?".

Ia tidaklah bermudah-mudah seperti melakukan penerbitan bermatematik ke atas, "Happy New Year" yang diviralkan.

Apapun, falsafah saya dalam penyelidikan ialah menyelidiklah untuk kelestarian manusiawi, tak kisahlah dalam bidang apapun.  Kerana saya ada melihat kelompok bidang berbeza mengeji antara satu sama lain, contoh, sebahagian penyelidik bidang sains tulen mengeji penyelidikan sains sosial, begitu juga orang sains tulen pula kritik orang sains sosial.

Researchgate dan Prof Won

Perkenalan saya dengan Prof Won bermula apabila saya bertanyakan salah satu artikel beliau, kemudian gambaran awal saya, beliau sangat baik orangnya. Kemudian setiap minggu saya menerima notifikasi (emel ) dari RG tentang kajian beliau, "Biar betik?". Artikel beliau bukan calang-calang artikel, rata-ratanya jurnal IF tinggi. Malah banyak pula artikelnya ditulis bersendirian. Arghh... ini menambahkan stres saya, dahsyat betul, sampai terdetik suara hati saya, "Prof Won ni pakai 'barang' nih, itu yang dia boleh hasil artikel yang banyak", hehehe....
Hah, pendek kata, penyelidikannya bukan setakat Kuantiti malah Kualiti pun dipenuhi.

Oleh itu, saya ajukan satu soalan yang mencetus kehadiran beliau ke INSPEM apabila saya bertanya ada tak persidangan di Korea Selatan sebab saya datang nak jumpa beliau yang mampu menghasilkan artikel dengan banyak dan berkualiti. Kemudian beliau membalas, jika mahu saya boleh datang ke Malaysia, maklum kepada penyelia penyelidikan kamu, hanya hantar satu surat jemputan. Oleh itu sayapun memaklumkan hal ini kepada penyelia saya. Maka bermulalah segala persiapan daripada kertas kerja sehinggalah ketibaan beliau di Malaysia pada 2 Feb dan beliau akan pulang pada 14 Feb 2017 .

Kita cerita langsung tentang beliau lah, ya. Ok, saya jumpa beliau pada 6 Feb (Isnin), saya perkenalkan diri, beliau langsung bertanya kamu buat apa sekarang saya, saya pun tak tahu nak kata apa, kemudian saya pun tunjuklah deraf makalah yang saya sediakan. Kemudian soalan pertama beliau apabila melihat rajah komutatif (yang banyak digunakan dalam matematik),

"Are you physicist or mathematician?" katanya sambil menarik nafas panjang.
Kemudian saya pun berkata, "I think both, I'm studying mathematical physics"

Setelah itu, beliau bingkas bangun menuju ke papan putih dengan pen, lalu melakar komutator Lie bagi operator posisi dan momentum. Katanya beliau sedang mengkaji Prinsip Ketakpastian Teritlak (Generalized Uncertainty Principle, GUT).

Menarik, sebab GUT tersebut boleh diturunkan kepada Aljabar Snyder malah Aljabar anti-Snyder, bukan itu sahaja, komutatornya bukan dihubungkan kepada pemalar tapi fungsi operator. Wow, dahsyat! Ok, baik, sedikit bingkisan tentang aljabar Snyder. Teori kuantum bermasalah ke atas teori medan kuantum, apabila pencapahan UV wujud. Heisenberg (saya tak pasti sama ada Peierls atau Heisenberg) megutus surat kepada Oppenheimer tentang masalah ini, kemudian Oppenheimer meminta pelajarnya Hartland Snyder untuk selesaikan masalah ini. Pendekatan Snyder ialah  mengitlak aljabar Heisenberg di mana komutator kedudukan tidak lagi kalis tukar tertib, disamping ia boleh diselesaikan dengan penormalan semula (renormalization).

Prof Won, orangnya sangat sibuk dengan kajian, jika saya melintasi biliknya, pasti pen dan kertas ditangannya sambil melihat komputer riba. Beliau berkata, saya memikirkan empat kajian penyelidikan berbeza dalam satu hari. Wow!

Saya pernah menunjukkan representasi saya yang memuasi komutator beliau, tahu tak, esoknya beliau tunjuk kembali kepada saya representasi itu salah. Hahaha.... Benar, saya tertinggal nak selesai komutator terakhir. Cepatnya.

Ketika pembentangan beliau pada hari Jumaat (10 Feb), dia kata persamaan ini baru diterbit pada pukul 10malam tadi. Beliau juga ada berkata, bahawa beliau baru terbitkan beberapa persamaan dalam Prinsip Ketakpastian Teritlak ini pada pukul 10.45pagi (ketika hari Isnin, 6 Feb). Beliau merekod setiap kali penerbitan. Hmmmm.....

Saya tanya bagaimana Prof boleh hasilkan artikel sebanyak ini. Kata beliau, saya banyak masa, sebab saya tak ada pelajar PhD, hanya pelajar Master sahaja. Katanya lagi, ada artikelnya ditulis pelajar Ijazah (Undergraduate), rasa ketinggalan kita apabila mendengar tentang hal ini. Pendekatan Prof Won, saya lihat lebih kepada mengitlak fizik dengan teori deformasi, ini boleh dilihat dalam deskripsi Researchgate. Matematik pun kalkulusnya pun dicangga. Dalam pembentangan, beliau ada menyebut hasil darab yang tercangga, hasil tambah yang tercangga dan yang terbaru ketika membincang hasil kerja "tanda sendal" (wedge)  pun nak dicangga.

Komutor dalam GUP adalah seperti berikut:

[X, P_x]=i(\alpha P_xY-\beta P_yX)
[X, P_x]=i(1+\alpha P^2_x +\beta P^2_y)
[X, P_y]=[Y, P_x]=0
[P_x, P_y]=0.

Persamaan ini boleh diturun kepada aljabar Snyder jika \alpha=\beta. Menarik bukan!

Penutup

Itu sajalah kot coretan saya bersama Prof Won. Hehehe...


Rajah 1: Bengkel Mekanik Kuantum Tak Kalis Tertib dan Kekompleksan Berdinamik bersama Prof Won Sang Chung (baris hadapan, 3 dari kiri). Kredit: laman facebook Inspem Upm.

Bengkel tersebut boleh dilihat di sini: http://einspem.upm.edu.my/nqm2017/speakers.html

Wallahua'lam
&&&&&&&

Selasa, 11 Mac 2014

Peggantian Yang Terindah dan Teragung Lagi Tersusun


Mungkin tertanya-tanya, kemanakah menghilangnya coretan sang pembloga UPSI (Utuh Perjuangan Satu Ilham) ini. Saya ditimpa kesedihan, kemudian tika bersilih pula kesedihan yang tidak berganti. Yakni, bapa mertua (Jaafar) saya menemui Rabbul 'Alamin, selang 12 jam kemudian ibu saya terchenta (Halimah) pula diikuti.

Bapa mertua disemadikan selepas Zohor, manakala ibu pula disemadikan selepas Asar pada hari Ahad. Agak sedikit kedapatan setitis air mata pada kaca mata saya tatkala menatap ibu saya disemadikan.

Selang 40 minggu kemudian, anak perempuan (putri sulung bagi kedua-dua keluarga) saya dilahirkan. Kelahirannya menguntumkan senyuman kepada kedua-dua keluarga, melupakan kehibaan yang nyenyak dengan bergenangan air mata.

Apapun bak kata prinsip fizik tak komutan, operator X beroperasi ke atas operator Y tidakkan sama dengan operasi operator Y ke atas X, X≠Y, meskipun kedua-duanya sama pada pandangan mekanik kuantum lazim - tidak mampu berbalik kepada masa lalu untuk membetul keadaan, meskipun masa lampau dan sekarang adalah simetri. HIDUP TETAP DITERUSKAN.

Menatap wajah anak dan berkata hati kecil, "Inilah penggantian yang terindah dan teragung lagi tersusun yang pernah kumiliki, Allahu ma'a shobiriin (Allah bersama orang-orang yang bersabar)"


Rabu, 15 Januari 2014

Tentang Fizik Tak Komutan

Ya, sekali lagi tentang tak komutan. Saya mulai tertarik dengan fenomena fizik tak komutan ini, apabila idea tak komutan ini juga berada sebaris dengan idea-idea yang lain, seperti adisimetri (supersimetri), matra lebihan (extra dimension) dan teori tetali, iaitu zarah tidak lag titik (0-dimensi) tetapi teori tangsi/string (1-dimensi, malah lanjut kepada bran, p-dimensi). Kemudian, idea adisimetri mulai ditinggalkan apabila PHG (Pelanggar Hadron Gergasi, LHC) tidak menemui sebarang isyarat tidak langsung (indirect signal) mengenai kesahan idea tersebut (kewujudan adizarah), malahan ahli fizik juga berkira-kira untuk meninggalkan idea tersebut. Begitu juga halnya dengan idea matra lebihan, ini kerana PHG mengesahkan tiada kewujudan mikro lohong hitam (micro-blackhole) berlaku dalam pelanggar TeV (daripada pelanggaran proton-anti proton dalam PHG) seperti yang dicadangkan oleh ahli fizik terutamanya, Nima-Arkani Hamed. Manakala teori tetali/tangsi, lagilah jauh ketinggalan untuk kita mengesahkannya, kerana ia fenomena skala Planck 10^-33m.

Hmmm.... Yang tinggal kepada kita ialah fizik tak-komutan. Tapi bagi saya idea tersebut hanya bermain dengan dua matra sahaja iaitu x dan y. Kita sedia maklum komutator [x,y] = xy - yx =0, TETAPI tidak pula berlaku apabila kita mempertimbangkan pada fizik tak komutan.

Untuk makluman pembaca, teori medan kuantum mengalami masalah, iaitu berlaku pengembangan (matematik) yang agak luar biasa. Oleh itu beberapa idea telah dicadangkan antaranya adisimetri dan berjaya menyelesaikan masalah tersebut. Disamping itu juga, idea  kordinat ruang masa tak komutan yang dilakukan oleh Synder pada tahung 1920 telah berjaya, malah memuaskan keinvarian Lorentz meskipun kordinatnya tidak lagi komut. Tetapi idea ini tidak berapa terkenal seperti idea yang lain.

Idea fizik tak komutan merupakan salah satu kaedah penguantuman disamping penguantuman geometrik atau kanonikal, idea ini kita panggil sebagai "Penguantuman Deformasi" (deformation quantization). Wallahu a'lam

---Tak sabar nak pi UPM, bertemu Prof Ali Twareque, PM Dr Hishamuddin, Puan Nurisya dan Hazazi.

Selasa, 31 Disember 2013

Penemuan Fizik Unggul 2013

Tahun 2013 merupakan hari gembira Peter Higgs dan Francois Englert kerana dianugerahkan Hadiah Nobel (Fizik) dengan penemuan secara teoritika bagi mekanisma yang menyumbang kepada kefahaman tentang asalan sesuatu jisim zarah subatomik dan telah disahkan melalui secara ujikaji oleh kumpulan penyelidik ATLAS dan CMS di Pelanggar Hadron Gergasi CERN. Penemuan tersebut menjawab persoalan asas fizik, iaitu Apa itu Jisim dan merupakan antara penemuan terunggul didalam fizik . Oleh itu makalah ini akan membincangkan penemuan unggul dalam fundamental fizik dan disahkan secara eksperimen. Dengan kata lain, bukan sahaja usaha LHC untuk menjawab beberapa persoalan fizik tentang tabii alam. Makalah ini bermula dengan perbincangan keluarga kuark (4 kuark), jirim gelap, zarah Majorana dan perbincangan kewujudan zarah neutrino kosmik.

Keluarga Baru Kuark

Kumpulan fizik tenaga tinggi antarabangsa terdiri daripada pakatan Beijing Spectrometer (BESIII) telah zarah subatomik yang dikenali sebagai Zc(4020) adalah merupakan isyarat kepada kewujudan keluarga baru kuark selepas penemuan zarah Zc(3900). Seperti yang kita sedia maklum, zarah kuark tidak boleh beraksi secara bebas, tetapi terikat bersama dalam kumpulan berdua (meson) atau bertiga (hadron).




                                                        Rajah 1: Pengesan BESIII

Pakatan BESIII menggunakan kaedah yang dipakai oleh Pelanggar Positron Elektron Beijing (BEPCII) di China, mereka telah melaraskan tenaga di mana elektron dan positron termusnah pada 4260MeV iaitu sepadan dengan zarah Y(4260), begitu juga dalam hal ini untuk menghasil secara langsung dan mengumpul sampel yang banyak bagi zarah yang terhasil atau mereput itu.


Rajah 2: Dari kiri: Zarah Pion terdiri daripada dua kuark (meson), zarah proton terdiri daripada tiga kuark (baryon) dan zarah Zc(3900) terdiri daripada empar kuark.

Rujukan: Guo et al 2013. Production of charged heavy quarkonium-like states at the LHC and the Tevatron http://arxiv.org/pdf/1308.0193.pdf


Jirim Gelap
Jirim gelap ialah sejenis jirim yang diramalkan dalam kosmologi bagi memerihalkan tentang sebahagian jisim yang hilang dalam alam semesta ini. Jirim gelap tidak boleh dikesan secara langsung, ia tidak memancarkan cahaya malahan ia sejenis jisim lemah berinteraksi (Weakly Interacting Massive Particle - WIMP). Tetapi kewujudannya dikesan melalui kesan pembelokan cahaya oleh graviti jirim gelap itu.
 Oleh kerana jirim gelap sukar dikesan maka Large Underground Xenon (LUX) beroperasi dengan mengandungi 370kg cecair xenon di mana zarah berinteraksi yang akan menjana 175nm foton UV dan elektron, di mana foton tersebut dikesan langsung oleh 61 pengganda foto (photomultiplier)  yang diletakkan pada atas dan bawah pengesan.

Rajah 3: Ujikaji LUX

Teori dan keputusan eksperimen mencadangkan zarah tersebut mestilah sama ada dalam bentuk jisim tinggi atau jisim rendah. Oleh itu pencarian zarah yang jisim tinggi  yang beratnya 40kali ganda daripada proton, LUX perlulah mempunyai dua kali sensitiviti. Meskipun demikian, LUX juga menaik tarafkan sensitivitinya untuk pencarian zarah yang rendah.  Keputusan pada April 2013 menunjukkan jirim gelap mempunyai hayat 85.3 hari dengan membenarkan kebolehpercayaan mencapai 90% pada jisim zarah 33 GeV/c2.

Rajah 4: Gambar keseluruhan pengesan LUX dipasang dalam Davis Cavern.

Pakatan saintifik LUX terdiri daripada 17 penyelidik universiti dan makmal kebangsaan dari Amerika Syarikat, UK, Portugis dan Rusia. Ujikaji ini bertempat di bawah tanah di South Dakota. Ini kerana ujikaji perlu beroperasi di bawah tanah bagi mengurangkan hingar daripada sinaran kosmik bertenaga ting pada permukaan bumi.

Rujukan: LUX Colloboration. 2013. First results from the LUX dark matter experiment at the Sanford Underground Research Facility.  http://arxiv.org/abs/1310.8214


Zarah Majorana

Rajah 5: Ujikaji GERDA diusulkan pada 2004 menggunakan pengesan Germanium-76.

Ahli fizik daripada Pakatan GERDA (Germanium Detector Array) di Makmal Kebangsaan Gran Sasso INFN Itali mengatakan bahawa mereka telah menemui bukti akan kewujudan "Zarah fermion Majorana"  iaitu zarah yang anti zarah-zarah mereka sendiri. Seperti yang kita sedia maklum, tiada zarah fermion yang diketahui mempunyai antizarahnya sendiri, meskipun secara semulajadi neutrino tidak diselesaikan dan berkemungkina ia adalah fermion Majorana.

Isyarat yang dicari oleh Pakatan GERDA iaitu pereputan dalam 0vββ dalam pengesan Germanium-76 (pengesan HPGe). Di dalam menggunakan tetingkap 4eV sekitar 0vββ  dengan nilai Q sekitar 2039keV. Pencarian 0vββ  akan menstabilkan kefahama tentang neutrino zarah Majorana yang mana ia menunjukkan pencabulan keabadian nombor lepton disamping itu juga memberikan penjelasan mengenai kenapa zarah neutrino tersangat kecil.




Rajah 6: (a) Rajah Feynman, menunjukkan pereputan zarah elektron (beta) daripada jisim neutrino Majorana berkesan (mv)ee.
(b) Mekanisme operasi dalam pengesan Germanium
(c) Isyaraat ββ0v yang dicari dalam pengesanan Gerda.

Penemuan itu juga bersetuju dengan lebih banyak kerja baru-baru ini teori bahawa zarah itu boleh berada dalam peranti keadaan pepejal . Kelak ia boleh menjadi perkara penting bagi pembangunan komputer kuantum kerana Majorana fermions - tidak seperti zarah fermion " Dirac " yang biasa, seperti elektron - mematuhi statistik yang tidak Abelian dan sewajarnya harus rintang hingar persekitaran.   

Rujukan: Pakatan GERDA. Results on neutrinoless double beta decay of 76Ge from GERDA Phase I http://arxiv.org/abs/1307.4720


Kehadiran Neutrino Kosmik

Pada November 2013 Pakatan IceCube mengumumkan bahawa Balai Cerap Neutrino IceCube telah mengesan 28 neutrino yang merupakan asalan daripada luar Sistem Suria. Pakatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada projek Universiti Wisconsin-Madison dengan beberapa pakatan membina balai cerap tersebut pada Disember 2010, terletak di Pusat Penyelidikan Amundsen-Scott di Kutub Selatan, terdiri daripada 86 kabel, setiap satu daripadanya mempunyai 2.5km panjang. Setiap kabel tersebut diletakkan bersama berdozen-dozen tiub foto pengganda (photomultiplier tube) untuk mengesan kehadiran sinaran Cherenkov terhasil daripada kesan tidak langsung apabila neutrion berlanggar dengan hidrogen dan oksigen dalam ais.


Rajah 7: Pengesan IceCube setiap satu daripada kabel tersebut mempunyai hampir 2.5km panjang

Neutrino merupakan lepton yang bercas neutral dan agak sukar berinteraksi dengan jirim. Apabila neutrino berinteraksi dengan molekul dalam air ia akan menghasilkan lepton bercas yang terdiri daripada elektron, muon dan tau. Zarah-zarah tersebut (elektron, muon dan tau) sangat tinggi tenaganya akan memancarkan sinaran Cherenkov (fenomen ini berlaku jika zarah tersebut lebih laju daripada cahaya dalam medium tersebut).  Sinaran tersebut akan dikesan oleh tiub pengganda foto tersebut. IceCube sangat sensitif terhadap neutrino bertenaga tinggi dalam julat 1011 sehingga 1021eV.

Dianggarkan bahawa neutrino berlaku setiap 20minit dalam pengesan IceCube. Teteapi pakatan tersebut mengira 26 peristiwa (events) dengan tenaga sekurang-kurangnya 3x1013 eV. Tambahan lagi, mereka mengira terdapat 11 daripada 28 peristiwa yang serupa adalah disebabkan oleh neutrino atau muon dari atmosfera. Keputusan ini memberikan kebolehpercayaan 4-sigma  (4σ) untuk pengesanan neutrino kosmik, ini bermaksud bahawa hanya satu daripada 15000 peluang peristiwa itu boleh dijelaskan melalui fenomena atmosfera tulen. Ini merupakan bukti yang pertama bahawa bukan daripada atmosfera tapi daripada kosmik.


Rajah 8: Proses pembinaan pengesan IceCube

Rujukan: Pakatan IceCube. Evidence for High-Energy Extraterrestrial Neutrinos at the IceCube Detector. http://arxiv.org/pdf/1311.5238v2.pdf

Kesimpulan

Beberapa penemuan fizik unggul telah dibincangkan dalam makalah ini. Bermula daripada perbincangan berskala mikroskopik  (famili kuark) sehinggalah kepada berskala kosmik (penemuan zarah neutrino luar angkasa). Inilah yang mampu penulis rungkai, memandangkan terdapat beberapa penemuan fizik yang penulis rasakan untuk ditatapi bersama seperti penemuan isyarat kuno daripada Teleskop Planck dan pewapcairan Bose-Einstein dengan menggunakan penyejukan laser. Apapun penulisan ini diharapkan dapat menimbulkan pembaca untuk terarah kepada usaha-usaha tersebut.

Wallahu a'lam

1 Januari 2014 (Rabu)
28 Safar 1435

Isnin, 23 Disember 2013

FizikTak-Komutan Mu Tunggu Aku Datang

Di samping adisimetri dan matra lebihan, fizik tak komutan juga menjanjikan penjelasan yang baik bagi fizik sekala Planck. Fizik tak komutan adalah idea yang lama kerana ia telahpun dibincangkan oleh Landau pada 1930. Tahukah anda, buku Landau dan Lifshiftz adalah buku yang terbaik tentang mekanik.

Fizik Tak-komutan mula menarik perhatian saya apabila, pencerapan ke atas ruang paksi tertentu (sebagai contoh paksi-x) akan mempengaruhi paksi lain (iaitu paksi-y). Nah, bukankah ini salah satu "penguantuman ruang", yang pada pandangan pra-moden fizik, paksi-x tidak akan mempengaruhi paksi-y sama sekali. Dengan kata lain, paksi-x juga tidak bebas pencerap dan Hermitian, ditambah dengan sifat tak-komutan atau boleh ditulis seperti berikut;

[x, y] = i h_Bar

Jika penguantuman ruang ini berlaku, ini bermaksud fenomena kebergeliutan (entanglement) juga akan berlaku ke atas ruang! Baik saya menarik perhatian pembaca, fenomena kuantum yang kita sedia maklum ialah pengukuran ke atas spin-x (spin pada paksi-x, ditulis pencerapnya S_x), idea yang dikemukan oleh Eintein, Podolsky dan Rosen yang cuba menilmbulkan keraguan ke atas mazhab kuantum Copenhagen iaitu paradoks sifat boleh cerap dengan mengambil contoh pengukuran spin-x mempengaruhi spin-y, iaitu;

[S_x , S_y] =/= 0 atau secara amnya, [S_i , S_j] = i h_bar ; i,j= x, y, z.

Jadi bahasa mudahnya, pengukuran ke atas spin-x dan spin-y tidak boleh dilaku secara serentak, seperti pengukuran ke atas kedudukan x dan  momentum paksi-x (p_x). Situasi ini mengilhamkan eksperimen gedanken Bob dan Alice (sila gelintar Bob Alice entanglement).


Rajah 1: Momentum dan kedudukan adalah fenomena tak-komutan

Idea tak-komutan, secara matematiknya diusulkan oleh Alain Connes yang membawa kepada Anugerah Hadiah Dirac. Dilanjutkan kepada kefahaman tentang fizik, Edward Witten juga menggunakan idea tak-komutan dalam memahami teori tetalinya. Oleh itu jambatan untuk memfizikkan matematik tersebut, maka produk Moyal pun memainkan peranan, meskipun pada asalnya Jose Enrique Moyal cuba memahami statistik kuantum. Moyal memperkenalkan, produk bintang iaitu,

* = Exp[i theta/2( d_kekiri . d_kekanan)] ; d_kekiri adalah pembezaan ke kiri, theta adalah simbol theta.

Masalah fizik tak-komutan, ialah hanya memperihalkan dua dimensi sahaja, oleh itu berbagai usaha dilakukan untuk melanjut kepada tiga dimensi mahupun matra lebih (D>3), antaranya memperihalkan fizik tak-komutan ini  seperti operator 'annihilation' dan 'creation', kefahaman dalam 'angular momentum' L_x, L_y dan L_z.

Berbalik kepada minat saya, pada skala Planck (10^-36m), fizik agak pelik dijelaskan dengan fizik semasa, kerana ruang dan masanya mengalami kekalutan (chaos), dengan kata lain, ruang tidak lagi boleh cerap keatas masing-masing, begitu juga ke atas masa. Masa tidak lagi tertakrif dengan baik!

Apakah masa juga boleh kita jadikan boleh cerap kuantum (dengan maksud meng'operator'kan masa) seperti mana operator-x, y dan z? Apakah juga, operator masa tidak boleh diukur secara serentak dengan ruang? (yang mana hal ini boleh dilihat dalam video dokumentari Brian Greene)

Zimbra buggy
Rajah 2: Masa mengalami tak-komutan dengan runag? Hehehehe.....

Insyaallah, saya akan menyambung pelajaran dalam bidang fizik tak-komutan. Oleh itu, saya berhasrat untuk menyambung dengan duit sendiri, tambahan pula saya bakal menimang cahaya mata akhir bulan Febuari. Mohon pembaca sekalian doakan saya.
Wallahu a'lam

Mengambil petikan filem arahan Pierre Andre;

Fizik Tak-Komutan Mu Tunggu Aku Datang...!!!


Rabu, 28 Ogos 2013

Menyelusuri Teori Kesatuan Gedang SU(5), Protonnya Tidak Mereput, Apakah?

Baru-baru ini saya baru berjaya menerbitkan kewujudan B-L dalam Teori Kesatuan Gedang bersimetri SU(5). Tapi yang menariknya adalah B-L hanya berlaku pada kuark jenis-bawah (down-like), tetapi tidak bagi jenis-atas (up-like). Kemudian terdapat beberapa ungkapan dalam persamaan yang telah saya perolehi tidak saya dapat analisis lagi. Huhuhuh....


Nombor quantum B-L, Jenis-Bawah dan Jenis-Atas

Saya cuba mencari rajah Feynman bagi pereputan proton, ternyata rajah Feynman untuk kuark jenis-bawah tidak berlaku dan hanya ada rajah bagi jenis-atas seperti berikut
Rajah 1: Pereputan proton 

Proton adalah hadron yang terdiri daripada tiga zarah keunsuran u-u-d (atas-atas-bawah, kuark tidak boleh hidup secara bebas kerana kekangan fenomena kebebasan asimptotik). Kemudian muon tersebut mereput kepada dua-gamma (oleh itu kita dapat mencerap kesahan pereputan proton melalui pengesanan sinar gamma). Pereputan tersebut diramalkan mempunyai masa pereputan sekitar 10^33 tahun, tapi malangnya pereputan tersebut tidak dapat dicerap oleh Pengesanan Cherenkov oleh Super Kamio-kane (idea dalam ujikaji ini adalah mereka mencerap kewujudan sinar gamma dari kolam air yang mana kita tahu bahawa air (H2O) mempunyai atom hidrogen (yang mengandungi zarah proton), makna kata daripada 33atom H akan mereputan satu proton sahaja). Dengan kata lain, pereputan zarah proton tidak wujud.

Tapi tak tahu pula. Apakah pereputan proton boleh berlaku pada zarah jenis-atas sahaja, tetapi tidak bagi jenis-bawah? -Wallahu a'lam


Penggunaan  Teorem Noether

Saya menggunakan teorem Noether untuk mendapatkan kuantiti yang terabadi, iaitu nombor quantum B-L!
Ternyata teorem dari Emmy Noether tidak sia-sia, hehehehe...

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tatanda
Jenis-atas (up=like) adalah; up, charm dan top.
Jenis-bawah (down-like) pula, down, strange dan bottom.

Khamis, 18 April 2013

Menaiki Komuter, Pelajari Tak-Komutan

Kelmarin saya ke UPM, menaiki komuter. Saya pergi dengan hasrat untuke bertemu PM Dr Hishamuddin dan berbincang. Saya meminta Ahmad Hazazi (Mad) untuk memandu arah saya ke bilik Dr Hisham. Kali kedua bertemu Mad, kelihatan beliau sangat 'cool' tampak ciri-ciri orang berkahwin, hehehe... (kali pertama, bertemu di UM). Kami akrab di mukabuku.

Kami berbual ringkas lagi tangkas memerihal setiap kalam tentang fizik dan matematik, wah, asyik sekali. Kami makan tengahari, setelah itu kami ke surau. Seusai solat, Mad membawa saya ke pejabat Dr Hisham. Saya memasuki ditemani Mad dan beliau meninggalkan saya dengan Dr Hisham.

Dr Hisham menyambut baik saya. Saya berjabat tangan dengan beliau dan kami berbincang tentang Teori Kesatuan Gedang sebagai mukadimah. Kami berdua mengakui bahawa tiada masalah terbuka tentangnya dan kami berdua tersenyum saling mengiyakan masing-masing.

Setelah itu saya dibawa ke perjumpaan yang padanya kedapatan rakan satu kolej matrikulasi dahulu iaitu Che Azurahanim, kami satu kuliah, malah satu kelas tutorial. Seterusnya saya berbual dengan Kak Nurisya, beliau rupanya seorang yang bersantai dan peramah orangnya, saya menyangkakan beliau seorang yang pendiam dan tegas, tapi seronok berbual dengan beliau. Saya juga ada bertanya khabar tentang Mohd Faizal (suami beliau dan admin MajalanSains), kedua-dua mereka sibuk dengan urusan masing-masing.

Oh, ya. Bercakap tentang Tak-Komutan, Dr. Hisham mencadangkan supaya saya menjalankan kajian tentang Persamaan Kebezaan Tak-Komutan, katanya, ia adalah salah satu peralatan untuk mengetahui fizik zarah, saya berfikir ada benar juga, kerana di samping Teori Kumpulan, perkakas yang terbaik untuk mengetahui fizik zarah adalah aljabar Tak-Komutan. Kemudian, dilanjutkan lagi dengan permulaan ringkas dengan Kak Nurisya tentang Tak-Komutan, rupanya tentang Aljabar Heisenberg.

Tapi,

yang lebih mengkekok saya ialah operator kedudukan paksi-x dan -y adalah tidak komut, erk.., biar betik, [x_i, x_j]=/0; i/=j.

Kemudian saya balik dengan komuter berserta getusan tertanya-tanya lagi tersenyum tentang tabii Tak-Komutan.

..............

Sabtu, 13 April 2013

Teori Kesatuan Gedang, SU(5)

Teori Kesatuan Gedang (atau diInggeriskan, Grand Unified Theories (GUTs), seterusnya kita akan gunakan singkatan TKG) adalah merupakan model dalam fizik zarah pada skala tenaga tinggi, yang menggabungkan ketiga-tiga model interaksi iaitu Kuat (teori yang menjelaskan interaksi ini, dinamai Kuantum Kromodinamik, kumpula Lie ringkas yang memuasi kelakuan interaksi kuat ialah, SU(3)_c, c adalah nombor kuantum color/warna), interaksi lemah (Teori Lemah, SU(2)_L, L ialah nombor kuantum lepton) dan Elektromagnet (EM, U(1)_Y, Y adalah nombor kuantum hypercaj)

Bersatu

TKG mempunyai beberapa model yang dicadangkan antaranya; SU(5), SO(10), SU(5)xU(1), SO(10)xU(1) dan Model Pati-Salam, tapi penulis hanya berminat dengan SU(5) dan idea ini diusulkan oleh Georgi-Howard yang mana SU(5) adalah kumpulan tolok mudah bagi SU(3)xSU(2)xU(1), iaitu kumpulan tolok Model Lazim. Di dalam SU(5), multipletnya terangkum kesemuanya daripada irreducible zarah dari SU(3), SU(2) dan U(1). Manakala Teori Segala-gala (Theory of Everything, TOE) adalah gabungang Teori Kesatuan Gedang dengan teori graviti, tapi kelakuan graviti agak sukar untuk dinormal semulakan (renormalization).

Implikasi daripada pembinaan SU(5) tercetusnya natijah fizik yang agak kekok untuk kita iyakan (bermaksud tak ditemui secara ujikaji sehingga kini, meskipun pembinaan teori ini diterokai secara besar-besar daripada tahun 1970an lagi), iaitu: 1) Wujudnya kejadian pereputan proton, 2)Zarah baru (tolok pengantara) yang menukar kuark kepada lepton dan sebaliknya) 3)Magnetik Ekakutub.

Bingkisan Ringkas Pereputan Proton
Model Lazim meramalkan bahawa perasa lepton boleh bertukar ( e --> v (neutrino), manakala e pula adalah simbol bagi kumpulan zarah elektron, muon, tau), begitu juga kuark (u --> d atau sebaliknya, d adalah kumpulan jenis-down, u adalah kuark jenis-up). Tetapi tidak bagi fenomena kuark kepada lepton dan sebaliknya, namun bedanya ialah SU(5) meramalkan kewujudan fenomena tersebut dengan cara menukar kuark kepada lepton dan lepton kepada kuark. Hal ini memberikan implikasi bahawa proton boleh mengalami proses pereputan, iaitu baryon uud (baryon kuark up-up-down, iaitu proton) mereput kepada kumpulan neutrino dan  elektron. Nah, ini mencabul tabii kestabilan proton!

Siapakah yang bersalah?

Matriks penjana yang terkandung didala kumpulan tolok Model Lazim ada 12 melalui rumusan bilangan penjana dilihat, bilangan penjana, n=N^2-1,N pula adalah pangkat di dalam jenis teori kumpulan Unitari Khas (special unitary, SU(N)). Oleh SU(3), mempunyai 8 penjana, SU(2) pula mempunyai 3 dan U(1) pula mempunyai 1 penjana, jumlah 12 penjana. Manakala dalam SU(5), mempunyai 24 matriks penjana, iaitu 5^2-1=24. Jika dilihat dalam penjana SU(5) ia terkandung penjana-penjana dari Model lazim iaitu 12, selebihnya 12 adalah penjana yang baru terubahsuai dan penjana-penjana tersebutlah yang berperanan untuk menukar lepton kepada kuark dan sebaliknya, iaitu zarah X dan Y.

Zarah X dan Y adalah zarah usulan pengantara dan berjisim sangat berat. [Rintihan penulis: Untuk mendapati zarah Higgs, kita terpaksa menghabiskan  trilion dollar, inikan pula untuk mendapati zarah X dan Y]

Kegagalan untuk Menegur Zarah X dan Y

Sehingga kini, isyarat belum lagi ditemui (secara ujikaji) dan 'enggak' mungkin proton boleh mereput (secara teori), kita juga sukar untuk mencerap jisim fermion (SU(5)) dan percampuran sudut (lihat sudut Weinberg). Berbanding Model Lazim, TKG perlu memperkenalkan banyak ungkapan interaksi tambahan dan pertambahan matra.

-Wallahu a'lam-

Selasa, 1 Januari 2013

Panduan Menulis Tesis

Pengenalan

Tesis adalah dokumen yang menjadi prasyarat bagi pelajar untuk memenuhi syarat bergraduan disamping menghadiri dan lulus kursus-kursus yang dikehendaki. Tesis adalah keaslian tulisan pelajar yang mempamerkan keputusan dan olahan hasil kajian tersebut. Nama lain bagi tesis adalah disertasi, laporan kajian ilmiah atau esei/dokumen ilmiah. Di kebanyakan mereka berbeza menggunakan nama tesis dan disertasi, ada negara menggunakan tesis sebagai laporan ilmiah bagi Ijazah Sarjanamuda dan Ijazah Sarjana, dan disertasi pula digunakan untuk Ijazah Doktorat, manakala laporan/dokumen pula untuk memenuhi syarat geran penyelidikan yang telah dipohoni.

Perlu diketahui bahawa tesis adalah hasil kerja yang asli, penulis tesis harulah bertanggungjawab di atas perkataan/ayat/gambarajah yang diberikan dalam tesis, jika terdapat perkataan/ayat/gambarajah bukan hak milik penulis tesis, maka menjadi tanggungjawab penulis tesis untuk menyatakan dari mana ia diambil atau daripada siapa ia dirujuk dan ini merupakan integriti seorang ahli akademik. Seorang profesor di Jepun pernah dipecat kerana menipu hasil keputusan yang diperolehinya, seorang profesor di US pernah didakwa mahkamah oleh pelajarnya kerana beliau telah meniru hasil kerja pelajarnya dan seorang yang sudah doktorat lebih 10tahun dilucutkan gelaran doktoratnya kerana didapati dalam tesisnya terdapat plagiat.

Tulisan kali ini adalah bertujuan membincangkan panduan bagaiman untuk menulis tesis. Jadi penulisan kali ini adalah berdasarkan pengalaman penulis yang menyelia pelajar ijazah fizik untuk menyiapkan tesis mereka masing-masing dan penulisan ini hanya tertumpu kepada pelajar ijazah sahaja, memandangkan penulis hanya menyelia pelajar ijazah sahaja. Tulisan ini terbahagi kepada 3 topik iaitu dimulai dengan Susunan Bab Di Dalam Tesis, yang mana ia membincangkan bab-bab utama yang perlu ada dan bagaimana untuk mengendalinya, seterusnya kita akan membincangkan Panduan Penulisan terkandung di dalamnya panduan untuk memulai tesis, dikuti dengan pengurusan masa yang lebih baik dan disiplin dan diakhiri dengan aspek gaya/corak penulisan. Penhujung kepada penulisan ini adalah Kesimpulan dan Refleksi Diri. Bagi memudahkan pembaca untuk memahaminya, penulis akan mengariskan kata kunci yang penting (Underline).


Susunan Bab Di Dalam Tesis

Rata-ratanya tesis mengandungi perkara-perkara seperti berikut:

1) Abstrak
2) Pendahuluan
3) Kajian Literatur
4) Keputusan
5) Perbincangan
6) Kesimpulan
7) Rujukan

[Isi kandungan, singkatan perkataan dan senarai gambarajah adalah termasuk sebahagian. Penghargaan itu juga bergantung kepada pelajar itu sendiri]

Abstrak adalah singkatan daripada keseluruhan tesis itu tanpa meletakkan kajian yang dirujuk. Dengan kata lain, ia adalah singkatan mudah difahami bagi setiap topik yang terkandung dalam tesis. Abstrak itu mestilah mengandungi beberapa ayat tetapi syumul (menyeluruh). Bagi peringkat Ijazah Sarjanamuda adalah disyorkan lebih kurang 10 ayat sahaja; 2 ayat untuk tulisan Pendahuluan, Kajian Literatur (2-3 ayat), Keputusan dan Perbincangan boleh disekalikan memandangkang setiap hasil dapatan yang diperolehi itu haruslah disusuli dengan perbincangan ke atas data tersebut dan  yang utama dalam kajian sahaja dilampirkan, sewajarnya 4 ayat sudah memadai dan akhir sekali bahagian Kesimpulan adalah 1 ayat sahaja, untuk menjawab setiapa objektif kajian yang terkandung di dalam  bahagian Pendahuluan dengan ringkas mungkin

Pendahuluan pula merupakan gambaran kasar yang ringan untuk pembaca sebelum membaca keseluruhan tesis. Di dalam Pendahuluan, ia mestilah mengandungi pengenalan kepada kajian yang ingin dikaji yang boleh dibaca bagi pembaca yang tidak mempunyai kefahaman tentang apa yang dikaji juga ia mesti mengandungi kajian-kajian lepas yang relevan dengan apa yang dikaji. Pendahuluan juga mengandungi hipotesis kajian, ini penting bagi memahamkan pembaca ketika memasuki bahagian "Perbincangan" disamping itu juga ia menjadi penanda aras bagi penilai atau penyelia mengesahkan bahawa kajian tersebut memenuhi hipotesis awal yang dicadangkan dan hipotesis penting bagi pelajar itu sendiri untuk menulis bahagian "Kesimpulan". Selain itu pendahuluan mestilah mengandungi Objektif Kajian, supaya ia dapat dicapai oleh kajian tersebut dan merupakan jawaban dalam penulisan bahagian "Kesimpulan". Akhir sekali dalam bahagian Pendahuluan ialah penyusunan topik dalam tesis, yang mana pelajar memaklumkan kepada pembaca akan susunan topik yang dibuat dalam tesis tersebut.

Kajian Literatur merupakan bahagian yang mengumpulkan kesemua kajian-kajian yang relevan dibuat sebelum itu. Bezanya dengan bahagian Pendahuluan ialah Kajian Literatur mestilah mengandungi lebih banyak petikan kajian-kajian lepas dan mengolahnya dalam bentuk teks yang tersusun jika rujukan lepas-lepas dalam bentuk gambarajah atau graf, perlu di ketahui apa yang berkaitan dengan kajian pelajar itu mesti dibincangkan dan dahulukan topik tersebut dengan perkara yang umum dalam kajian sehinggalah perkara yang khusus dalam kajian pelajar itu sendiri.

Keputusan adalah hasil dapatan kajian yang diperolehi oleh pelajar. Di dalam penulisan bahagian Keputusan ini, pelajar mestilah bertanggungjawab ke atas hasil yang diperolehi yakni tidak menyembunyikan hasil dapatan kajian tersebut dan mengubahsuai data supaya sesuai dengan apa yang dikehendaki pelajar dan  ini merupakan salah satu integriti akademik. Jika pelajar mendapati bahawa keputusan itu tidak memenuhi kehendak pelajar itu sendiri, maka dengan profesionalnya pelajar itu haruslah bijak melaporkan dan mengolah keputusan yang diperolehi itu di dalam bahagian Perbincangan nanti. Keputusan itu mestilah dimulai dengan hasil dapatan yang umum sehinggalah kepada khusus atau daripada yang mudah kepada yang lebih sukar, pelajar juga boleh melampirkan keputusan tambahan pada akhiran bahagian Keputusan ini. Penggunaan perkataan dalam ayatnya untuk bagian ini haruslah digunakan Past (Perfect) Tense seperti, ...has been used..., ....measured by.... , ...derived..... Jika dalam Bahasa Melayu, kita mesti menggunakan ayat-ayat yang pasif dengan imbuhan "di......kan" atau imbuhan "di" contoh; ...sampel ini diukur dengan..., ....digunakan Kaedah Runge-Kutta untuk menyelesaikan..., pendek kata dahulukan predikat Subjek kemudian barulah Objek.

Bahagian Perbincangan pula membincangkan dapatan kajian yang diperolehi daripada bahagian Keputusan.  Perlu diingat bahawa pelajar haruslah menggunakan pengetahuan yang terkandung di dalam bahagian Kajian Literatur untuk mengolah dan menguatkan hujah ke atas hasil dapatan kajian yang diperolehi dengan memetik senarai rujukan yang berkaitan untuk menyokong keputusan kajian pelajar itu. Dengan kata lain, bahagian Kajian Literatur adalah pembantu kepada olahan didalam bahagian Perbincangan. Penggunaan ayat di dalam bahagian bertatabahasa Present dan Past Tense, kerana keputusan itu 'sedang' diperolehi dan terkadang pelajar akan menggunakan perkataan Past Tense untuk kajian lepas yang dirujuk atau perlakuan yang telah dilakukan.

Kesimpulan, secara ringkasnya kita boleh katakan bahawa bahagian Kesimpulan adalah jawaban kepada objektif dan hipotesis kajian yang kita lampirkan di dalam bahagian Pendahuluan. Penulisannya adalah secara bersantai dan pelajar tidak perlulah tergesa-gesa untuk menulisnya, kerana ia adalah penghujung kepada kesuluruhan. Selalunya, di dalam bahagian Kesimpulan ini mengandungi kesimpulan kajian, perkara-perkara yang diabaikan di dalam kajian dan cadangan kajian akan datang.

Rujukan, secara asasnya, pelajar hendaklah melampirkan kesemua rujukan yang pelajar bincangkan dari bab  Pendahuluan sehinggalah Kesimpulan. Susunannya bergantung kepada kehendak universiti yang pelajar duduki, sama ada secara urutan nama (Surname atau First name) atau urutan nombor yang diletakkan pada setiap bab di dalam tesis (yang mana setiap pernyataan yang pelajar rujuki). Manakala format penulisan rujukan juga bergantung kepada universiti, setiap universiti mempunyai formatnya tersendiri, rata-ratanya format yang digunakan adalah format APA (American Psycological Association). Jika di dalam teks untuk format nama kita akan gunakan seperti beriku sebagai contoh; (Ali, 2006), (Cheng & Anuar, 2008) atau (Randall et.al., 1999), manakalan bagi urutan nombor pula; [3] atau [5-10].

 Di sini dilampirkan contoh format APA:

Buku
Treviño, L. K., & Nelson, K. A. (2007). Managing business ethics: Straight talk about how to do it right. Hoboken, NJ: Wiley.[Jika lebih daripada seorang, Krause, Bochner, and Duchesne (2006)  atau lebih daripada tiga orang, Mezey et al., 2002  yang selebihnya adalah hampir sama]

Makalah
Sainaghi, R. (2008). Strategic position and performance of winter destinations.Tourism Review, 63(4), 40-57.

Tesis
Rose, S. L. (2006). Essays on almost common value auctions (Doctoral dissertation, Ohio State University). Retrieved from http://www.ohiolink.edu/etd

Surat khabar/Majalah
Cumming, G. (2003, April 5). Cough that shook the world. The New Zealand Herald, p. B4.

Laman sesawang
Hobbit Team. (2011, November 5). 3D concept sketch [Web log message]. Retrieved from http://www.thehobbitblog.com/

Untuk rujukan pembaca mengenai penulisan format APA boleh klik di sini. Untuk makluman pembaca bahawa yang asasnya dalam penulisan tesis adalah seperti yang dibincangkan, tetapi bergantung kepada pelajar untuk memecahkan bahagian Kajian Literatur kepada dua atau tiga, dengan menamakan setiap satunya bab dengan tajuk yang berlainan atau mencantumkan dua bahagian itu menjadi satu bab, seperti bahagian Keputusan dan Perbincangan. Jadi yang asasnya ia mengandungi bahagian Pendahuluan, Kajian Literatur, Keputusan, Perbincangan dan Kesimpulan hendaklah dipatuhi. Mengenai muka surat (atau bilangan perkataan) bergantung kepada kehendak universiti, haruslah dirujuk kepada bahagian Syarat Bergraduan setiap jabatan ataupun koordinator Penyeliaan Kajian Ilmiah


Panduan Penulisan

Dalam bahagian ini ia akan di bahagikan kepada 3 bahagian utama dan disusuli dengan sub-bahagian yang akan memperihalkannya.

Permulaan
Pelajar diingatkan supaya memulakan penulisan di hari pertama pandaftaran kursus Kajian Ilmiah dan perbincangan dengan penyelia. Ini bertujuan agar pelajar banyak menulis supaya nanti pelajar boleh memadam atau mengolah ayat yang beliau telah tulis itu dan pada masa yang sama juga, pelajar akan terilham banyak idea ketika menulis nanti, selain itu juga ia akan menjadi motivasi awal atau rutin untuk pelajar itu memulakan penulisan. Perlu diketahui bahawa syarat bergraduan bukanlah berapa banyak pelajar baca dan mentelaah, tetapi ia adalah mengenai bukti iaitu dalam bentuk tulisan yakni tesis.

Perbincangan tajuk kajian dengan penyelia kajian perlulah jelas, kemudian penyusunan topik secara gambaran kasar hendaklah diperakui oleh penyelia kajian. Oleh itu peranan berjumpa dengan penyelia kajian/tesis sangatlah penting dan perlu diingat bahawa kedudukan penyelia sangatlah penting kerana merekalah akan mempertahankan dan membantu anda ketika sesi viva/soal-jawab itu berlangsung, hubungan pelajar-penyelia haruslah baik secara akademik dan profesional. Sebelum itu pelajar hendaklah menetapkan Objektif kajian dan Hipitesis kajian, supaya ia menjadi kiblat pelajar ketika menulis tesis nanti.


Pengurusan Masa
Aspek ini sangatlah penting supaya pelajar tidak tercicir  atau tergesa-gesa di dalam penulisan akhir nanti. Pelajar hendaklah merancang masa kajian dengan baik sekali dahulukan yang mana lebih utama dan yang mana perlukan masa lebih untuk siapkannya, dan lagi pelajar perlu sangat disiplin dengan apa yang pelajar itu telah rancangkan. Di sini penulis lampirkan saranan untuk pengurusan masa bagi 14 minggu yang diperuntukan untuk menyiapkan tesis kajian ilmiah pelajar.

Untuk 4 minggu pertama, pelajar hendaklah menyiapkan pentelaahan ke atas kajian yang ingin dilakukan dan pada masa yang sama juga pelajar hendaklah menulis untuk bab Kajian Literatur. Pelajar hendaklah memahami pengetahuan yang terkandung di dalam bahagian Kajian Literatur ia pentiang kerana akan membantu pelajar untuk memahami dalam fasa mendapatkan data dan keputusan, secara tidak langsung memudahkan pelajar untuk menulis dalam bahagian Perbincangan dengan mengaitkan rujukan dan pengetahuan dari bahagian Kajian Literatur. Jika ada kesempatan, pelajar hendaklah mencuba-cuba (try and error) untuk meraih data dan keputusan kerana pada masa itu otak pelajar masih dalam segar (fresh) akan pengetahuan tentang kajian melalui pembacaan daripada Kajian Literatur itu.

4 minggu seterusnya, iaitu bahagian Keputusan. Dalam tempoh ini, pelajar hendaklah mendapatkan data kajian dan rentetan daripada itu, pelajar hendaklah melaporkan terus (langsung atau serta-merta, supaya  tidak terlupa akan ayat-ayat yang pelajar teringat ketika mendapat data) keputusan yang diperolehi. Sememangnya pada tempoh ini, pelajar akan sedikit tertekan/stres untuk mendapatkan keputusan kajian. Nasihat penulis adalah dapatkan keputusan sahaja, tidak kisah sama ada betul atau tidak, kerana untuk fasa seterusnya barulah kita melihat kerelevanan data yang diperolehi itu.

Untuk bahagian Perbincangan, pelajar disyorkan memperuntukan 2 minggu sahaja untuk menulis bahagian tersebut. Memandangkan pelajar mempunyai pengetahuan yang utuh daripada tempoh penulisan bahagian Pendahuluan dan kemudiannya, ketika penulisan bahagian Keputusan pelajar sudah merangka corak penulisan dan mendapatkan gambaran kasar akan ayat-ayat yang  sesuai untuk ditulis. Ini sudah cukup membantu pelajar untuk menulis bahagian ini.

1 minggu, adalah untuk bahagian Pendahuluan. Untuk bahagian ini, pelajar perlulah menambahkan lagi pembacaan dan pentelaahan ke atas kajiannya, tetapi pembacaannya lebih terarah kepada maklumat am kerana dalam bahagian Pendahuluan ini ianya lebih bersifat umum. Sebagai contoh pelajar mengkaji superkonduktor dan yang menemuinya adalah Heike Kamerlingh Onnes jadi pelajar perlulah membaca dan mencari maklumat umum tentang kajian Prof Onnes itu atau perbincangan umum mengenainya daripada majalah atau laman sesawang yang diyakini kesahan kandungannya. Manakala Objektif dan Hipotesis kajian pelajar sudah maklum dan boleh menulis dengan baik sekali. Bahagian Pendahuluan ditulis agak lewat, kerana ia memerlukan gambaran keseluruhan utama tesis daripada apa yang pelajar telah tulis itu.

1 minggu lagi ialah penulisan bahagian Kesimpulan dan Abstrak. Bahagian Kesimpulan boleh ditulis kerana bahagian Pendahuluan sudah ditulis dan difahami, tambahan pula bahagian Kesimpulan ialah menjawab kembali apa yang tertulis di dalam bahagian Pendahuluan, jadi mudahlah pelajar untuk menulis dalam bahagian ini. Manakala Abstrak pula adalah bahagian yang terakhir dalam teks tulisan tesis, kesukarannya ialah memendekan dan meringkaskan apa yang ditulis di dalam tesis itu yang panjang berjela.

1 minggu lagi digunakan untuk penyusunan dan mencari kembali rujukan yang dipetik dalam petikan teks tesis pelajar. Ini memerlukan kerja lapangan seperti pergi ke perpustakaan untuk mencari rujukan itu atau mencari dalam internet. Jika pelajar tidak menjumpai rujukan, adalah dinasihati supaya pelajar membuang pernyataan yang terujuk itu daripada teks tesis pelajar.

1 minggu terakhir, gunakanlah tempoh tersebut untuk kemaskinikan tesis, kemudian fikirkan tajuk akan tesis tersebut yang bersesuaian dan catchy supaya mampu menambat orang awam untuk membacanya. Tempoh ini adalah merupakan tempoh paling kritikal untuk menamatkan pengajian, jadilah gunakanlah sebaiknya.


Corak Penulisan
Setiap kali pelajar menulis akan pernyataan yang mempunyai rujukan dalam tesis adalah disarankan supaya pelajar langsung menulis rujukan, ini kerana ia memudahkan pelajar mencari kembali akan rujukan tersebut dan ini memudahkan pelajar untuk mengingatinya (baik untuk hujah balik ketika sesi viva/soal-jawab nanti). Mungkin cara ini agak comot, tetapi ia sangat baik sekali, tambahan pula ia akan dikemaskini kembali ketika tempoh minggu terakhir penulisan tesis nanti.

Seterusnya bagi mengkoreksi bahasa adalah menjadi tugas penyelia atau pembetul tatabahasa (bagi peringkat Sarjanamuda, mungkin ia tiada) untuk membetulkan penulisan pelajar itu. Atau lebih baik diberikan kepada kawan-kawan sendiri untuk membacanya sama ada sesuai atau tak ayat yang digunakan dalam tesis tersebut.

Jika ada kesempatan, baca kembali tesis itu dan lihat ayat-ayatnya adakah ia betul-betul menggambarkan apa yang ingin dikaji, jika tak, fikirkan ayat yang sesuai untuknya. Ini mungkin mengambil masa.


Kesimpulan

Setiap topik yang dikehendaki telahpun diulas dan sekali lagi penulisan ini hanyalah merujuk kepada pelajar ijazah sarjanamuda fizik ujikaji dan fizik pendidikan sahaja.


Refleksi Diri

Jika berlaku kesalahan ejaan atau maklumat silalah maklumkan denga segera. Sebarang pertambahan maklumat adalah sangat dialu-alukan.


Sekian, wallahua ta'ala a'lam

Isnin, 17 Disember 2012

Warna Violet

Warna-warni betul blok binaan alam sarwajagat ni. Lepton juga berwarna, warna Violet, kuark berwarna violet dalam Kuantum Kromodinamik. 'Warna' yang dimaksudkan bukanlah ia tampak berwarna secara lahiriyah, tetapi 'warna' adalah nama lain bagi cas zarah. [Kuark mempunyai warna hijau, biru dan merah]

Membuatkan saya tersenyum apabila Jogesh Pati dan Abdus Salam memerihalkan Lepton juga berwarna seperti kuark-kuark yang lain. Kita tidak lagi memerihalkan SU(3)xSU(2)xU(1) sebagai kumpulan simetri Model Lazim, tetapi SU(4). [Kuark mempunyai warna hijau, biru dan merah]

Saingan kepada teori SU(4) adalah SU(5) dari Howard Georgi dan Sheldon Glashow. Tapi yang lebih mendominasi dalam teori fizik zarah adalah SU(5) kerana banyak ramalan yang dibuat seperti kewujudan boson X dan Y, penguantuman cas yang memberikan implikasi kewujudan magnet ekakutub (magnetic monopole; secara tabiinya magnet sememangnya dipole-dua kutub), pereputan proton dan pencabulan nombor kuantum B (baryon) - digantikan dengan nombor kuantum B-L (baryon tolak nombor lepton).

Artikel asal Model Pati-Salam boleh diperolehi daripada pautan ini. Klik di sini

[Senyum]

:-)

Wallahu'alam

Rabu, 12 Disember 2012

Terima kasih Mak Long Emmy

:-)

Dimaksudkan dalam tajuk pos di atas ialah ucapan penghargaan kepada fizikawan perempuan, Emmy Noether. Beliau merupakan anak pertama daripada empat adik-beradik (Mak Long) dan juga ahli matematik Jerman, tetapi hasil kerja beliau mendapat tempat dalam fizik.

Secara ringkas beliau menghubungkan di antara "fizik simetri" (atau khususnya mengenai invarians) dengan "keabadian kuantiti". Beliau menerbitkan melalui ketumpatan Lagrangian dengan penjelmaan sesuatu simetri. Sebagai contoh, simetri translasi ruang (spatial translation symmetry) yang terkandung dalam penjelmaan Poincare (gabungan penjelmaan Lorentz dan translasi) telah menerbitkan prinsip keabadian momentum. Begitu juga translasi ke atas masa, telah menerbitkan prinsip keabadian tenaga.

[Translasi ruang; f(x,t) --> f(x+a,t), translasi masa; f(x,t)--> f(x,t+a)]

Hasil kerja beliau juga mendapat pujian daripada kebanyakan ahli fizik seperti Herman Weyl dan Albert Einstein dan pernah Einstein menukilkan, kalau kerana hasil kerja Noether fizik kita menjadi lebih baik. Beliau juga diakui genius dikalangan wanita.

Bukan apa saya sedang membaca tentang simetri terutamanya yang melibatkan tolok-tolok interaksi (EM, lemah dan kuat) untuk memahami Teori Kesatuan Gedang. Jika membaca tentang Teori Tolok, meskipun teori ini agak moden, kita mesti juga membaca kerja beliau. Saya teringat nasihat Gerard 't Hooft (pemenang hadiah Nobel dalam penormalan semula kuantum), beliau menyarankan kita supaya jangan lupa membaca bahan-bahan akademik atau artikel-artikel klasik jika nak mempelajari fizik teori.

Saya ada makalahnya yang diterjemahkan, malangnya saya menulis pos ini dalam komputer riba adik saya. Jika tak saya akan turut melampirkan makalahnya.

Usahanya terkesan dalam fizik era moden

Seterusnya saya melampirkan prinsip keabadian kuantiti (dalam fizik moden) yang diterbitkan daripada usaha/idea beliau.

Translasi ruang --> keabadian momentum, p
Translasi masa --> keabadian tenaga, E
Putara ruang --> keabadian momentum sudut, J
[3 di atas terkandung di dalam Penjelmaan Poincare dan Lorentz]

Penjelmaan tolok simetri U(1) --> kewujudan cas elektrik
Penjelmaan tolok simetri SU(2) --> Isospin (analogi kepada spin, dan digunakan ke atas untuk memahami proton dan neutron)
Penjelmaan tolok elektrolemah SU(2)xU(1) --> terbitan daya elektrolemah
Penjelmaan tolok elektrolemah SU(3) --> kuark 'perasa' (up, down, charm) dan kuark 'warna' (merah, biru dan hijau), dalam Kuantum Kromodinamik (QCD) kita menggunakan 'warna' berbanding 'perasa'. Tambahan pula QCD sememangnya memaksudkna 'warna'.

-----------------------------
Berkenalan dengan Emmy

RAJAH 1: Emmy Noether
Sekali imbas melihat gambarnya terasa macam amah/pembantu rumah pun ada. Seterusnya saya lampirkan gambar-gambarnya yang lain. Klik di sini 

Sabtu, 8 Disember 2012

Ketidakapa-apaan

Ketidakapa-apaan atau diInggeriskan "Nothingness"

Ya, dalam medan kuantum memang wujud akan sesuatu yang tidak wujud itu dikenali sebagai "vakum". Saya sangat ralit dengan pengetahuan tentang "vakum" tersebut setelah membaca risalah kecil Syarahan Perdana Keprofesoran Lim Swee Cheng tentang kekalutan dan fraktal, pada masa yang sama juga beliau menjelaskan tentang vakum kuantum.

Perbincangan ringkas kali ini, kita akan cuba berbicara tentang "ketidakapa-apaan" atau vakum dari aspek kuantum.Terlebih dahulu kita takrifkan ruang vakum terkuantum dengan menggunakan ruang Hilbert seperti berikut, |0> ; kita menggunakan notasi vektor-Ket untuk ruang vakum. Takrifan tersebut dikembangkan dengan pencirian berikut;

A|0>=0 ; A adalah pencerap (boleh cerap/observable) dan |0> adalah ruang vakum

Pencerapan dan pengukuran ke atas ruang vakum |0>, adalah sifar, yang mana tafsiran fiziknya bermaksud, pengukuran secara kuantum bagi sesuatu parameter fizik yang termuas ciri Hermitiannya ke atas ruang vakum memberikan implikasi tiada apa-apa (Berserabut bukan penjelasan ayatnya, hehehe.... Begitulah saya belajar fizik dahulu)

Hasilnya tidak tertakrif, bermaksud, (secara matematiknya) pengoperasian sesuatu operator ke atas fungsi gelombang (keadaan/ruang) tidak memberikan nilai yang tunggal atau singular dengan kata lain, setiap kali pengukuran parameter fizik yang kita lakukan akan memberikan nilai berbeza-beza. Hal ini,  boleh kita tafsirkan dengan persamaan berikutnya

< 0 | A | 0 >≠0 , iaitu purata pengukuran yang dilakukan ke atas ruang vakum adalah tidak sama dengan sifar, ruang vakum atau ruang ketidakapa-apaan memberikan nilai atau keputusan, ironik bukan. Kita juga mengenali dengan nama VEV (vacuum expectaion value) atau Nilai Ketakpastian Vakum.

Tafsiran Fizik

Baik, beginilah maksudnya, kita ambil contoh; kita nak mengukur tenaga (operator bagi tenaga ditulis E)bagi sesuatu keadaan vakum (yang ditulis |0> ), secara kuantumnya pencerapan atau pengukuran tenaga tersebut adalah sifar (tiada apa-apa pencerap didapati), E|0>=0, tetapi purata pengukuran keatas ruang vakum tersebut adalah tidak sama dengan sifar < 0 | A | 0 >≠0 , dan kita tahu secara relativistiknya E=mc2, bermaksud E memberikan implikasikan kewujudan jisim iaitu m.

Begitu jugalah pengukuran keatas p (momentum).

Sebelum letupan besar berlaku, alam semesta ini adalah vakum (tiada apa-apa yang tercerap, meskipun ruang dan masa menurut beberapa pendapat ahli fizik yang lain).

Sebelum teori pengembangan alam semesta di perkenalkan, Einstein telah memperkenalkan Pemalar Kosmologi di dalam persamaan Teori Kenisbian nya, kerana beliau menganuti fahaman Keadaan Statik (alam semesta terjadi dengan sedia adanya, dulu, kini dan selamanya), oleh itu beliau membakul sampahkan pemalar tersebut, selepas penemuan anjakan merah melalui teleskop Hubble. Namun, kosmologis akhir-akhir ini terpaksa mengutip semula Pemalar Kosmologi tersebut kerana pengembang alam semesta kini tidak tekal dengan teori yang sedia ada, kerana kewujudan TENAGA VAKUM pada awal kejadian alam semesta menyebabkan alam semesta ini mengembang.

Tahu tak, dalam fizik zarah, keadaan paling bawah dengan tenaga kuantum yang paling stabil adalah sesuatu yang tidak stabilnya. Pelik bukan! Tak hairanla mekanisme Higgs diusulkan untuk memerihalkan hal ini dan keadaan vakum itu juga memberikan tenaga dengan kata lain wujudnya zarah berjisim dalam ruang tersebut

Wallahu a'lam

Isnin, 1 Oktober 2012

Tindakan Berhantu Keatas Jarak


Kuantum Mekanik berhantu?
Ya benar. Inilah yang digelar oleh saintis ke atas makalah Einstein, Podolsky dan Rosen (tentang konsep EPR) - iaitu Spooky Action at Distance atau terjemahannya, Tindakan Berhantu Ke atas Jarak.

Saya ringkaskan disini.
Terdapat dua zarah berspin separa 1/2 (fermion) yang terhasil daripada pereputan zarah induk berspin-0 (skalar). Tanpa mengenepikan Hukum Keabadian, yang turut juga berlaku ke atas "spin", maka persamaan tersebut boleh ditulis seperti berikut. Zarah Induk--> 2Zarah Reputan (0-->1/2 + -1/2). Petunjuk: 1/2=Up, -1/2=Down, 0=Zarah skalar.

2 Zarah reputan, salah satu perlu jadi "Up" atau "Down".

Nah, di sinilah "Konsep Pengukuran" menjadi peranan. Jika dua zarah reputan itu di pisah jauh (satu di bumi dan satu lagi di bulan). Oleh itu kita perlu mengukur atau mencerapnya, kerana kedua-dua zarah mikro tersebut memenuhi Prinsip Ketakpastian Heisenberg (kebarangkalian yang unik). Katakan jika zarah di bumi itu kita cerap atau ukur adalah "Up", maka sudah tentu di bulan itu "Down" dan begitulah sebaliknya.

Ujikaji Gendaken (Imajinasi) ini mengilhamkan dua postulat: 1)Hidden variable (Pemboleh ubah tersembunyi) dan 2)Spooky Action ata Distance (Tindakan Berhantu Keatas Jarak). Tetapi John Bell mencadangkan idea untuk berujikaji Konsep EPR tersebut, beliau mendapati bahawa Pemboehubah Tersembunyi di tolak. Dan ini diperkukuhkan dengan hasil ujikaji sebenar oleh Anton Zeilinger. Yang tinggal adalah Spooky Action at Distance

Namun Ahli Relativiti (Relativis) tidak menyukai idea tersebut, kerana idea tersebut telah mencabuli prinsip asas relativiti mereka, iaitu kemalaran laju cahaya. Iaitu, jika dua zarah yang belum dicerap itu (entanglement atau berada dalam keadaan kebegeliutan), kemudian dipisah jauh sekali, lalu kita mencerap salah satu zarah tersebut (katakan "Up") lalu zarah satu lagi akan menerima maklumat terus dan memberikan hasil cerapan yang berbeza, iaitu "Down". Ini menunjukkan terdapat satu medium yang melampaui laju cahaya yang memaklumi zarah satu lagi perlu menjadi "Down"

Nanti kita akan cuba membincang tentang idea teleportasi yang mana di aplikasikan dalam filem-filem sains fiksyen seperti Star Wars iaitu menghantar seseorang ke tempat lain. Insyaallah. :-)


KM 177.5

Semalam saya pergi ke Balai Polis Bandar Baharu Serdang (Kedah) untuk membuat laporan polis akan kemalangan saya bersama adik lelaki saya dan isteri beliau. Saya tiba dengan bertongkat dan beranduh. Kami dilayan dengan baik sekali oleh Sarjan Sabri dan Koperal Andura. 

Untuk makluman pembaca, ingatan saya sangat terhad, saya tidak dapat mengingati apa yang berlaku sehinggakan memori saya dua hari sebelum Aidilfitri sehingga dimasukkan ke KMC (Kedah Medical Centre) seminggu selepas di Hospital Taiping, saya tidak ingat langsung - seolah-olah memori saya dipadam. Manakala ketika di KMC pula saya hanya mengingat sedikit sahaja, meskipun rakan, sanak-saudara dan jiran datang melawat dan berbual dengan saya tetapi selepas itu saya tidak ingat langsung bahawa saya berbual dengan mereka, teruk betul ingatan ketika itu. Jadi saya memohon kepada rakan-rakan, sanak-saudara dan jiran sekirannya saya tidan dapat ingat hal tersebut.

Berbalik kepada tentang saya membuat aduan, polis tersebut bertanya kepada saya sama ada saya masih mengingati kejadian tersebut?

"Saya tak ingat langsung tuan" balas saya

Lalu sarjan menceritakan kepada saya kejadian tersebut daripada laporan dan bukti-bukti yang sedia ada.
Terdapat dua pembuat aduan; 1)Pemandu kereta 2)Penunggan motorsikal. Kejadian itu berlaku di KM177.5 arah utara (susur keluar tol di Bandar Baharu, Serdang). Penunggang motorsikal membuat aduan bahawa saya yang melanggar beliau, tetapi daripada bukti-bukti yang sedia ada agak bertentangan dengan aduan beliau iaitu 1)Berlaku kerosakan pada motor saya dibahagian belakang 2)Manakala motorsikal beliau pula rosak bahagian depan 3)Beliau hanya sakit bahagian lutut dan beliau langsung berpatah balik pulang ke rumah selepas saya yang tidak sedar diri itu di angkat  dan di bawa pergi ke hospital. Apapun saya bersyukur akan keselamatan saya, kerana ketika itu banyak kereta pulang berhari raya dan saya jatuh di lorong memotong (lorong kereta memecut pulang)

Manakala pembuat aduan kereta pula, beliau mengelak daripada melanggar saya yang jatuh itu - alhamdulillah.

Manakala di KMC pula saya mengalami sesak nafas yang kritikal sehinggakan sekali lagi saya dimasukkan ke bilik ICU dan dibantu dengan Mesin hayat (seperti bantuan pernafasan sepenuhnya) dan juga ubat pelali (bius). Hal ini terjadi kerana paru-paru saya dipenuhi darah ynag mengekang pernafasan saya. Sekali lagi, alhamdulillah, Allah mahukan saya lagi untuk hidup di dunia-Nya yang mana pada hari kedua, darah saya dikeluarkan melalui hidung dan mulut, diceritakan isipadunya banyak sekali. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Di KMC, saya dikenali kerana saya adalah yang paling muda sekali dimasukkan di bilik ICU dan kes itu jarang berlaku di KMC. Saya juga rapat dengan jururawat di ICU yang mengurus saya, saya bergurau dengan mereka, berbual dan bertanya khabar, antara yang saya ingat; Faizah, Natasha, Nad, Foo, Chin(fisioterapis) dan Nazirah (fisioterapis). Dr Manisekar dan Dr Low adalah doktor yang mengurusi saya, berdedikasi dan baik sekali melayan saya. 

Sekarang saya berada di Kuala Perlis. Alhamdulillah. :-)

Khamis, 28 Jun 2012

Arakian, dahulukalanya di Menara Gading Kebangsaan Tanah Melayu

Hari ini saya baru selesai menyemak, memeriksa, mengred dan memasukkan markah bagi pelajar-pelajar PJJ. Oleh itu, saya cuba untuk mengemaskini data-data dan isi kandungan dalam komputer saya, memandangkan urusan pengajaran & pembelajaran bercuti seketika, saya mengambil kesempatan ini untuk memformat kembali komputer riba saya, memandangkan virus-virus kelihatan mula berkeliaran di dalam komputer saya. Lalu saya menyelamatkan beberapa data-data penting dan memadam beberapa kandungan yang lain (yang tidak penting dan mudah dicari di internet)

Ketika mengenal pasti yang mana harus dipadam (delete) dan yang mana harus disimpan, lalu saya terjumpa beberapa imej ketika saya belajar di UKM suatu ketika dahulu. Ketika itu saya  menjalani kajian ke atas kimia koloid, yang mana saya mengkaji kesan fizikal (sifat reologi, mikrostruktur dan sifat optik). Hmmm... Terasa sentimental pula melihat gambar-gambar lama.

Oh, lupa projek tahun akhir saya diselia oleh Profesor Dr Shahidan Radiman, beliaulah yang menguja kami untuk meminati sains dan SUFI (Sufi?). Hasil projek tahun akhir saya telah diabadikan dalam Jurnal Sudan Medical Monitor untuk keluaran Januari-Mac 2012. Saudara seperguruan saya Mohd Hairie Rabir juga mengkaji kimia koloid, tetapi bezanya ialah beliau menghasilkan zarah bersaiz nano dengan menggunakan acuan mikroemulsi (surfaktan+air+minyak dalam Rajah Gibbs). Beliau melakukan pencirian melalui Mikroskop Elektron dan "hasil"nya hanya saya, Prof Shahidan dan beliau sahaja tahu. Hehehehe....


Sedikit Bingkisan Mengenai Kajian Tersebut

Saya cuba mencerap sifat fizikal ke atas hablur cecair (liquid crystal) jenis lyotropik berfasa lamellar jika ditambahkan dengan silika bersaiz nano. Kemudian saya melakukan pencirian melalui SAXS (Small Angle Xray Scattering - Serakan Sinar-X Bersudut Kecil), Mikroskop Polar dan Rheometer; sebagai tambahan juga saya menciri dengan menggunakan DSC (Differential Scanning Calorimeter - Kalorimeter Pengimbas Berbeza), namun hasil data ini agak kurang relevan dan tak konsisten, jadi saya abaikan.
Rajah 1: Radas penyediaan

Rajah 2: Bahan penyediaan
Dari kiri: Nanosilika (dari Degussa), surfaktan Aerosil-OT, Isooktana & air
Rajah 3: Penyediaan sampel
Dari kiri: 0, 0.5, 1.0, 1.5, 2.0, 3.5 & 5.0%
Sampel-sampel ini masih saya simpan sebagai kenangan menjalani Projek Tahun Akhir. Rajah di bawah pula adalah peralatan SAXS untuk mencerap mikrostruktur bahan mengaplikasi konsep serakan Bragg untuk menghitung pemalar kekisi dan pengecaman struktur. Harganya sekitar 1.8juta hengget, kalau tak silap saya dan kami menggunakan mesin ini sepenuhnya dan Encik Tazidi (Pembantu Makmal, mesin ini di bawah seliaan beliau) memberi kepercayaan kepada kami sepenuhnya meskipun kami masih pelajar Pra-siswazah.

Rajah 4: SAXS
Mikroskop Polar pula membenar hanya cahaya satah sahaja yang boleh dilihat, nanti saya akan lampirkan kecantikan imej-imej yang saya perolehi daripada kajian saya. Memang sangat cantik alam-alam seni yang Allah cipta.

Rajah 5: Mikroskop Polar
 Manakala ini pula adalah TGA, saya tidak menggunakan instrumen ini, memandangkan mesin ini berada dalam bilik sama dengan mesin SAXS, jadi saya ambil gambarnya. Sekadar kenangan.

Rajah 5: TGA (Thermal Gravimetric Analysis - Analisi Gravimetri Haba)

Kerja-kerja Mencerap Pun Bermula

Kami melakukan kajian di Blok C (kalau tak silap saya) yang dilengkapi peralatan canggih-manggih. Rajah dibawah menunjukkan rakan-rakan seperguruan, sebenarnya Mohd Hairie tidak menggunakan Mikroskop Polar, sekadar melawat rakan seperguruannya yang lain di bilik sebelah, hehehe... tetapi beliau menggunakan peralatan lebih canggih daripada kami, iaitu Mikroskop Elektron yang berada di belakang universiti jauh nun disana. Manakala Norhidayah pula melakukan perkara yang sama juga tetapi bahan yang berlainan dan metod pencirian juga berbeza.

Rajah 6: Rakan-rakan seperguruan (di bawah penyeliaan Prof Dr Shahidan Radiman)
Dari kiri: Mohd Hairie, Norhidayah & Individu tak dikenali (saya lupa namanya)

Rajah 7: Bergilir-gilir melihat fenomena alam seni

Hasil Dapatan Kajian (Sekadar Imej)
Hablur cecair mempuanyai dua fasa iaitu: 1) Termotropik (yang mana digunakan pada skrin komputer riba) dan 2)Lytropik (banyak digunakan dalam bahan-bahan kosmetik, dan antara tujuan saya adakah sesuai penambaha nanosilika ke atas bahan kosmetik boleh meningkatkan kecairan lyotropik tersebut, hehehe...)

Saya ambil fasa lyotropik  dan ia pula terdiri daripada tiga jenis iaitu: 1)Kubik 2)Heksagonal 3)Lamellar (kajian saya). Jenis-jenis ini bergantung kepada keperatusan jisim surfaktan, minyak dan air dalamSegitiga Rajah Gibbs. Saya rasa tak perlu diterangkan Segitiga Rajah Gibbs.

Mari kita lihat rajah-rajahnya.

Kubik
Kita tidak dapat melihat fasa kubik dibawah Mikroskop Polar kerana ia adalah jenis Birefringent bermaksud ia tidak membenarkan cahaya satah melaluinya, jika dilihat ia akan kelihatan legapa dibawah mikroskop tersebut

Lamelar
Lamelar pula ada beberapa jenis antaranya yang saya perolehi: 1)Jalur minyak 2)Palang Maltase

Rajah 8: Palang Malatese

Rajah 9: Jalur minyak
Heksagonal
Sebenarnya gambar heksagonal saya dapat secara tidak sengaja, seperti mana Niels Bohr menjumpai spektrum garis yang diskret dari gas hidrogen (chewaahhh..). Ketika menghasilkan sampel fasa lamelar, saya terlupa menutup kembali sampel saya tersebut dalam 30-40minit, kemudian saya kembali dan melihatnya melalui Mikroskop Polar maka rajah-rajah ini yang saya perolehi. Sampel saya meruap sedikit dan turun kepada jenis heksagonal. Kemudian saya semak daripada Segitiga Rajah Gibbs memang betul, peratusan air bagi jenis heksagonal kurang berbanding jenis lamelar.
 
Rajah 9: Heksagonal (1)

Rajah 10: Heksaginal (2)

Rajah 11: Heksagonal (3)
 Perbandingan dilakukan keatas peratusan nanosilika yang ditambah, hasilnya seperti dibawah.

Rajah 12: Lamelar selepas ditambah nanosilika (1)

Rajah 13: Lamelar selepas ditambah nanosilika
Kesimpulan
Hasik dapatan yang diperolehi:

Sifat Reologi
Penambahang nanosilika mngubah sifat reologinya tetapi tidak mengubah kepada bendalir tak-Newtoniannya.

Mikrostruktur
Penambahan nanosilika tidak mengubah mikrostruktur lamelar tersebut.


Sifat Optik
Perubahan kepada birefringent. Korelasi daripada data Mikrosktruktur dan optiknya, kami berpendapat bahawa penambahan nanosilika tidak mengubah kekisi hablur lamelar, tetapi menghasilkan keadaan yang dikenali sebagai multi hablur.


Epilog


Barisan Bakal Saintis Nuklear
Rajah 00: Program Sains Nuklear 2003-2006
Seingat saya

Berdiri Di atas Kerusi (dari kiri): Rafizi, Farid, Hafiz (1), Gia Rong, Farid, Prautama Ostavico, Lee, Ah Kenn, (Tuan Empunya Blog), Fauzan, Zaki.

Berdiri (dari kiri): Mohd Hairie, Ganessan, Ag Sufiyan, Patricia, Heah Whye Shuan, Mei Mei, Terlupa nama (1), Zarul Azwana, Terlupa nama (2), Terlupa nama (3), Faiezin, Hayati, Hafiz (2), Zaimie, Fakhrul Nizam.

Duduk (dari kiri): Yoh, Gunnasendran, Yogannessan, Habibie, Arvindran, Terlupa nama (4), Loo, Zamzuri, Hanis, Nik Bukhari

Ketika kami semester pertama kami pernah dibawa ke Pahang untuk melihat kecantikan alam. Dengan tujuan supaya kami menghargai alam sekitar mencintai ciptaan Allah, supaya lepas bergraduan kelak, kami akan menjaga alam sekitar daripada pencemaran sinaran beradioaktif, mengawal selia tahap keselamatan radiasi dan memberi maklumat kepada orang awam akan kesedaran keselamatan radiasi, kata pensyarah kami.

"Kenangan Terindah Buat Teman-Teman Seperguruan Di Program Sains Nuklear"