Sabtu, 23 Oktober 2010

Geometri dan Simetri Mendominasi Aturan Alam Semesta

Dalam fizik, perkara pokok yang mesti tercitra bersamanya adalah matematik, disamping konsep fizikal. Bagi fizik tenaga tinggi dan fizik zarah, sememangnya matematik menjadi rutin pembinaan bagi disiplin tersebut, kerana sukar bagi fizikawan untuk menelaahnya melainkan dengan matematik dan teorinya. Namun jika ditenung-tenung dan dibelek-belek lagi, kita dapati bahawa Geometri dan Simetri lah yang menjadi perkara asas bagi disiplin fizik kosmologi dan fizik zarah. Kita semua sedia maklum bahawa disiplin fizik zarah dan fizik kosmologi tersebut merupakan disiplin asas bagi memahami aturan alam semesta ini bagaimana alam tabii ini bekerja dan bagaimana alam tabii ini terbina. Malahan ia juga mampu merungkai beberapa persoalan asas kosmologi dan metafizik.

Penulisan ini sekadar memberikan sedikit gambaran kasar mengenai tajuk utama yang akan dibincangkan itu. Mempamerkan contoh penggunaan geometri dan simetri dalam beberapa subdisplin fizik daripada fizik klasik kepada fizik moden, malahan membawa kepada perbincangan fizik pasca moden.

Sejak akhir-akhir ini, geometri, terutamanya dimensi lebihan telah mulai mendominasi topik perbincangan fizik aras tinggi dan fizik lanjutan antaranya ialah, Ramai fizikawan berkecimpung dalam fizik lanjutan telah mula beralih arah kepada Model Randall-Sundrum dan Model ADD (Arkani-Dimopoulos-Dvali) dalam pencarian pengetahuan baru daripada LHC (Large Hadron Collider) disamping Adisimetri.


Dalam fizik klasik, ruang Euclidean dan ruang Cartesian atau ruang teritlak menjadi asas kepada pembinaan mekanik Lagrangian, Hamiltonian dan Newtonian, dan juga ia membina Teori Keelektromagnetan Klasik (tidak melibatkan penguantuman toloknya). Begitu juga dalam Mekanik Statistik, yang masih memmerihalkan ruang Cartesian sebagai asas tidak langsung dalam pembinaanya.

Geometri juga digunakan dalam Mekanik Kuantum, terutamanya dalam Tafsiran Conpenhagen, dengan penggunaan ruang Hilbert, supaya sifat fizik "pencerap" dan "ketaktentuan fizik" boleh dikekalkan. Manakala dalam Teori Kenisbian Khas pula, ruang dan masa adalah satu perkara yang saling berkait dan telah dihubungkan dengan pekali halaju cahaya, namun dalam unit tabii, "c" tidak disertakan bersama tetapi dirujukannya bernilai 1. Maka istilah "ruangmasa" pun diperkenalkan. Susulan daripada itu, Teori Kenisbian Am juga terhasil daripada "kelengkungan ruangmasa", yang merupakan lanjutan kepada Teori Kenisbian Khas dalam rangka rujukan yang dinamik melalui Prinsip Kesetaraan (Menghubungkan graviti dan dinamik zarah).

Teori Kenisbian Am lagi mengkekokkan malahan melanggari citra falsafah fizik klasik yang umum, bermaksud Teori Kenisbian Am secara teorinya telah menghubungkan kelengkungan ruangmasa (ciri-ciri geometri) dengan parameter zarah, iaitu tenaga, jisim dan momentum. Geometri ruangmasa melengkung bertanggungjawab ke atas kewujudannya graviti bagi sesuatu objek berjisim, dengan kata lain "graviti adalah hasilan daripada kelengkungan ruangmasa" yang disebabkan oleh jisim atau tenaga (keabadian jisim-tenaga).

Usaha untuk menggabungkan tolok elektromagnetan dengan Teori Kenisbian Am telah dilakukan oleh Theodore Kaluza, yang menambahbaikkan geometri tersebut dengan menambahkan empat dimensi ruangmasa tersebut kepada lima dimensi ruangmasa (dengan empat dimensi ruang dan satu dimensi masa). Namunpun begitu, persoalan "kemanakah hilangnya dimensinya yang kelima?" tidak dapat dijawab. Akan tetapi persoalan tersebut telah dijawab dengan idea bahawa dimensi lebihan tersebut telah digelungkan dengan radiusnya yang sangat kecil sehingga tidak disedari oleh sebarang pemecut zarah bertenaga tinggi apatah lagi panca indera manusiawi, tambahan idea tersebut telah dicadangkan oleh Olskar Klein. Hasil daripada dua makalah yang berbeza itu telah menisbahkan idea tersebut kepada nama mereka dengan panggilan Teori Kaluza-Klein.


RAJAH 1: Theodore Kaluza


RAJAH 2: Olskar Klein

Menggunakan idea yang sama (Teori Kaluza-Klein), kumpulan Lisa Randall berserta Raman Sundrum (Model Randall-Sundrum) dan kumpulan Nima Arkani-Hamed, Savas Dimapoulos dan Gia Dvali (Model ADD) cuba menyelesaikan masalah Hieraki yang berlaku dalam fizik zarah, ianya masalah yang sangat serius. Nisbah skala Elektrolemah dan Skala Planck sangat tinggi nisbahannya, sekitar 10 berkuasa -16. Hal ini agak sukar untuk diterima. Maka kedua kumpulan tersebut dengan idea Kaluza-Klein yang sama namun dari aspek penyelesaian yang berbeza, iaitu Model ADD memerihalkan bilangan dimensi dengan jarak yang luas, manakala Model Randall-Sundrum pula memerihalkan dari aspek geometri yang termelengkung dalam menyelesaikan masalah Hieraki.

RAJAH 3: Lisa Randall

Begitu juga dalam Teori Aditetali (Superstring theory), kita juga memerihalkan dalam aspek dimensi dengan 10 dan 11 dimensi ruangmasa telah dicadangkan supaya aditetali tersebut berkelakuan baik pada sifat fiziknya. Namun lebihan dimensi tersebut (enam atau lima dimensi) telah mengalami kemampatan atau kerenyukan dalam manifold Calabi-Yau.


RAJAH 4: Dimapoulos, Arkani-Hamed dan Divali

Selain geometri yang mendominasi pembinaan aturan alam semesta, simetri juga banyak memainkan peranan dalam bidang fizik umumnya. Takrifan dalam fizik, simetri boleh dianalogikan bahawa sistem fizik yang dikenakan prinsip transformasi fizik atau perubahan, tetapi ia tidak megubahkan sebarang sistem fizik, ianya terabadi terhadap transformasi tersebut atau perubahan yang dikenakan.


RAJAH 5: Teori-teori Aditetali yang tidak tekal

Simetri yang boleh kita kenal pasti dalam bidang fizik yang telah kita pelajari sebelum ini, iaitu simetri selanjar, simetri diskrit, simetri setempat, sejagat, dan adisimetri (mungkin belum belajar lagi). Manakala dalam kelas simetri selanjar, beberapa jenis dibawah kelas tersebut; translasi masa, translasi ruang, putaran ruang, transfomasi Lorentz dan Poincare. Begitu juga dengan kelas simetri diskrit, iaitu simetri Konjugasi, Pariti dan Masa atau lebih dikenali dengan nama Simetri-CPT. Tapi simetri diskrit selalunya mendominasi displin subdisplin fizik zarah, terutamanya elektrolemah dan kromodinamik kuantum.


RAJAH 6: Antara babak dalam animasi Futurama, mengenai Teori-M dan Rajah Feynmann

Dalam teori Keelektromagnetan klasik, simetri juga berlaku yang mana transformasi tolok memeliharakan sifat fizik keelektromagnetan tersebut. Mekanik klasik pula, senantiasa mengaitkan simetri Noether dalam fungsi mekanik Lagrangian yang mana ia adalah terabadi, begitu juga dalam hal simetri masa dan ruang dalam mekanik Newtonian juga berlaku. Dalam Mekanik Statistik, simetri selanjar yang mendominasi pembinaanya.

Dalam topik Teori Kenisbian Khas, simetri yang mendominasi adalah transformasi Lorentz, yang menghubungkan ruangmasa dalam rangka rujukan yang berbeza. Begitu juga transformasi Poincare, merupakan lanjutan kepada Transformasi Lorentz dengan memerihalkan juga translasi ruang dalam transformasi tersebut. Manakala dalam Teori Kenisbian Am, masih lagi mematuhi simetri-simetri dalam Teori Kenisbian Khas dan juga beberapa simetri ruang-ruang yang diperkenalkan seperti ruang sfera, Scwarzchild dan Kerr.

Simetri juga merupakan perwakilan kepada interaksi yang berlaku dalam fizik tenaga tinggi dan fizik zarah, seperti interaksi-interaksi dalam teori kesatuan gedang, iaitu interaksi keelektromagnetan, lemah dan kuat. Ianya diwakili dengan kumpulan simeteri masing-masing, yang mana ianya adalah kumpulan dan aljabar Lie, iaitu simetri berselanjaran. Kesatuan interaksi-interaksi tersebut diwakili oleh kumpulan simetri SU(3)xSU(2)xU(1). Sebagai tambahan, kumpulan simetri tersebut adalah mewakili tolok yang menjadi medium kepada interaksi tersebut dan ia dikenali sebagai Teori Kesatuan Gedang(atau Grand Unified Theory, GUT).

RAJAH 7: Imej lima dimensi?

Namun dalam Teori Kuantum Medan pada skala tenaga rendah (bawah 1TeV), simetri-CPT (simetri diskret) pula yang mendominasi subdisplin fizik tersebut, terutamanya elektrolemah dan kuantum kromodinamik. Ianya dapat dibuktikan dan dicerap secara eksperimen memandangkan aras tenaga tersebut dapat dicapai dengan pelanggar zarah yang kita sedia ada, seperti Fermilab di Dekalb, AS. Beberapa pencabulan simetri-CPT telah melayakkan Chen Ning Yang dan Tsung-Dao Lee dianugerahi Hadiah Nobel pada tahun 1957 (tahun Kemerdekaan Tanah Melayu) dengan usaha mereka mengenai pencabulan pariti pada interaksi lemah.

RAJAH 8: Manifold Calabi-Yau? Wallahu'alam

Manakala pencabulan berspontan simetri sejagat pula telah meramalkan kewujudan zarah Goldstone (mekanisme Nambu-Goldstone)yang tidak melibatkan sebarang interaksi tolok. Tapi pencabulan berspontan simetri setempat pula dengan melibatkan interaksi tolok (mekanisme Higgs) telah meramal akan kewujudan zarah Higgs yang telah bertanggungjawab ke atas konsep "jisim" zarah-zarah dalam Model Piawai dan inilah antara perkara yang cuba disiasat di Pelanggar Hadron Gergasi atau diInggeriskan sebagai Large Hadron Collider (LHC). Jika penemuan zarah Higgs itu berperolehi kegagalan, ini memberikan implikasi yang buruk kepada ilmu fizik yang telah kita bina sekian lamanya.

Hasil olahan konsep zarah Higgs dalam rajah gelung Feynman (rajah bergelung), telah memberikan satu masalah yang sangat serius iaitu capahan Higgs dalam gelung interaksi. Pada masa yang sama juga, fizikawan menghadapi masalah penyatuan pekali-pekali interaksi (keelektromagnetan, lemah dan kuat) pada skala Planck. Sehubungan dengan itu fizikawan telah mencadangkan satu konsep fizik yang baru yang dikenali sebagai Prinsip Adisimetri, prinsip yang menghubungkan zarah Fermion dengan zarah Boson, begitu juga menghubungkan zarah Boson dengan zarah Fermion. Apa yang penulis sedia maklum, bahawa pembinaan awal Adisimetri itu telah dijalankan oleh dua kumpulan fizikawan yang terpisah. Salah satunya kumpulan daripada Rusia, yang mana mereka cuba menaik tarafkan transformasi Poincare (simetri Lorentz, translasi ruang) dengan simetri internal (spin, momentum sudut dan putaran). Manakala kumpulan fizikawan Amerika Syarikat pula, mereka melihat dari aspek pembaikan teori tetali yang pada awalnya teori tetali tersebut hanya berkisar pada zarah Boson sahaja.

Banyak juga fahaman fizik yang beraliran falsafah sering mengaitkan aturan alam tabii ini dengan matematik, sehinggakan ada yang meyakini dengan matematik dan nombor, malahan mereka juga melibatkan akidah dan agama. Apapun penulisan ini hanya melihat kepada geometri dan simetri dalam pembinaan teori-teori dan hukum-hukum fizik, meskipun banyak subdisplin matematik lain yang turut menyumbang kepada fizik, namun geometri dan simetri yang agak ketara mendominasi pembinaan aturan alam semesta.

Dalam hal akidah persoalan "kita mengetahui bagaimana Allah mencipta alam semesta ini" tidak akan timbul kerana beberapa lopong-lopong dalam konsep asas telah sengaja ditutupka mata. Malahan terdapat juga beberapa keraguan yang sangat jelas dalam fizik yang kekadang kita sengaja ubahsuai, yang mana dalam fizik kita kenali sebagai "fine-tune" dan kadang kala kita menggunakan pendekatan kaedah penghampiran, iaitu kaedah usikan (pertubation method) berbanding penggunaan kaedah analitik. Daripada itu, kita sedia maklum bahawa banyak perkara dalam fizik yang sememangnya kita tidak dapat menjawab dengan baik, jadi bagaimana mungkin untuk kita berkeupayaan mengetahui af'al Allah ke atas penciptaan alam semesta ini.

Maha Suci Allah yang setinggi-tinggi kedudukan-Nya dan terpelihara daripada cacat-cela dan keraguan.

Wallahu'alam


RAJAH 00: Tidak ada kena-mengena dengan akademik, sekadar nak memaklumkan bahawa gambar ini adalah anak sepupu saya yang sangat comel, hehehee.... (Nurul Kaisarah)

Jumaat, 22 Oktober 2010

Titik, Tali dan Bran

Dalam Teori Medan Kuantum, zarah fizik telah diwakilkan dengan perwakilan "titik" yang mana pergerakannya di atas ruangmasa cahaya kon (light-cone spacetime) di kenali sebagai Garisdunia (Worldline). Titik adalah satu objek matematik yang sifar dimensi objeknya, telah memberikan masalah kepada penyelesaian masalah dalam Kuantum Kromodinamik yang mana hasil kamirannya memberikan nilai yang tidak relevan dalam fizik iaitu, infiniti. Itu berlaku jika kita menerima konsep zarah sebagai titik!


RAJAH 1: Ruangmasa cahaya kon

Namun penyelesaian tersebut tercapai apabila kita mengandaikan konsep zarah itu sebagai "tali". Sememangnya teori tetali bermula daripada penyelesaian masalah dalam Kuantum Kromodinamik, iaitu zarah boson yang menjadi zarah interaksi mediumnya agak berspinar, berlingkar dan bergelung seperti kelakuan "tali". Tali adalah objek berdimensi satu yang bergerak dalam Worldsheet (saya tak dapat nak menterjemahnya), yang pergerakannya seakan-akan seperti lembaran kertas yang panjang.


RAJAH 2: Cadangan teori-teori tidak tekal dalam Teori Tetali

Setelah teori tetali telah diperhalusi dengan drastik, terutamanya daripada Schwarz dan Green, dan lain-lain lagi. Maka timbul lah pula lima teori tetali tidak tekal. Biasalah sikap ingin tahu fizikawan mengenai apa pula kandungan dalam tetali tersebut juga ingin dikaji. Tapi ingin tahu itu telah dijawab menerusi ketidaktekalan teori-teori itu yang diselesaikan oleh Edward Witten dengan mencadangkan satu entiti baru, iaitu dikenali sebagai objek terlanjut (extended object) yang mempunyai dimensi objek yang lebih tinggi, iaitu ditulis sebagai p-brane. Maka timbul lah istilah "bran" ataupun "membran". Bran pula membentuk laluannya dalam Isipadunia (Worldvolume)


RAJAH 3: Latarbelakang entiti bran di cadangkan berada dalam manifold Calabi-Yau yang berdimensi 11, namun 6 dimensi lebihannya telah direnyukkan.

Daripada perbincangan objek terlanjut itu, maka kita akan menyatakan bahawa 0-bran adalah "titik" (perwakilan zarah dalam Teori Medan Kuantum yang klasik), 1-bran adalah "tali" dan 2-bran pula adalah "bran" atau "membran". Aplikasi bran ini telah menjawab beberapa persoalan kosmologi, antaranya ia meramal kewujudan dua satah bran gergasi yang masing-masingnya berlanggar diantara satu sama lain yang menghasilkan "Deguman Besar" (Big Bang), dan ramalan deguman besar itu masih lagi serasi dengan ramalan Teori Kenibian Am tanpa menafikan fenomena "inflasi"


RAJAH 4: Wordline, Worldsheet dan Worldvolume

Daripada "titik" kepada "tali", membawa kepada "bran". Secara tidak langsungnya, wujudnya entiti yang dikenali sebagai "Objek Terlanjut"

Wallahu ta'ala a'lam


RAJAH 5: Bangunan bercat salah satu pengesan di LHC

Degenerasi

Degenerasi adalah satu fenomena yang memberikan nilai tenaga yang sama pada dua fungsi yang berbeza daripada hasil operasi operator Hamiltonian.

Analogi

"Katakan saya adalah pencerap (ditakrifkan sebagai operator Hamiltonian), kemudian saya datang ke bilik TU4A (Tadahan Utara-4A). Saya dapati kamu semua berada di dalam bilik tersebut. Kemudian saya pergi ke bilik sebelah iaitu TU5, yang peliknya saya dapati kamu semua dengan orang yang sama, muka yang sama dan jasad yang sama juga berada di dalam bilik tersebut tanpa ada kekurangan daripada pencerapan dalam bilik TU4A tadi. Saya pun berasa hairan. Kenapa mesti ada orang yang sama dalam dua bilik yang berbeza, tanpa berkurang dan berubah pun orang-orang tersebut"

Mungkin itu pelik! Hanya pelik dalam falsafah Klasik sahaja.
Tapi dalam Mekanik Kuantum itu tidak pelik, malahan ia dibenarkan dan sememangnya ia sedang berlaku dan ia dikenali sebagai fenomena Degenerasi

Satu Pencerap, Dua Keadaan Namun Satu Hasil - Pada Masa Yang Sama???

Wallahu ta'ala a'lam

Saya dan Pelajar

Alhamdulillah

Sudah lebih dua tahun saya mengajar, lebih 400 pelajar telah saya didik dan bergraduan. Sesi 2008/2009, seramai lebih daripada 200 orang pelajar. Manakala sesi 2009/2010 pula seramai 196 orang pelajar dan mereka baru sahaja bergraduan pada minggu lepas. Itu belum mengambil kira, pelajar-pelajar amali Sains. Sedar tak sedar, lebih dua tahun sudah. :-)

Kekadang pelik juga saya memikirkan, Adakah layak saya memiliki pelajar? atau layakkah saya menjadi pengajar atau pendidik? Soalan ini pun turut diajukan oleh sahabat lama saya kepada saya. Namun saya berkeyakinan ini semua adalah ketentuan yang datang daripada Allah 'Azawajalla

Saya juga pernah mengajar pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Slim River. Demi Allah, saya tidak mengharapkan penghargaan, pemberian atau hadiah daripada mereka. Tapi penghargaan dan hadiah yang mereka berikan sangat meninggalkan kesan dalam hidup saya. Pada lima minggu sebelum saya berakhir dari sekolah tersebut, mereka asyik bertanyakan mengenai bila saya akan tamat latihan mengajar saya. Kemudian ada seorang pelajar lelaki bertanyakan kepada saya, "Sir, suka warna apa?". Saya menjawab, "Suka warna gelap, macam hitam atau biru hitam". Rupa-rupanya kelas tersebut berpakat nak belikan tali leher berwarna biru hitam kepada saya sewaktu hari tamatnya Latihan Mengajar saya, kemudian disertakan bersama kad ucapan.

Perghh...... Tergugat JIWA ROCKAPAK saya.

Begitu juga dengan pelajar-pelajar universiti yang saya didik. Baru-baru ini, pelbagai ucapan-ucapan yang menyentuh perasaan diberikan, sekali lagi JIWA ROCKAPAK saya tergugat dulunya ganas dengan muzik-muzi bawah tanah. Menerima hadiah, menerima kad dan menerima jemputan untuk majlis perpisahan memang.... (tak terkata-kata, dan tak ada perkataan yang sesuai untuk dinukilkan)


Maka.


Terima kasih kepada yang sudi untuk menjadi pelajar-pelajar didikan saya, meskipun saya sendiri pun meragui krebiliti saya untuk memandaikan anak bangsa, kerana ia sesuatu tugas yang berat.

JAZAKUMULLAH KHAIRAN KATSIRAH

Jumaat, 8 Oktober 2010

Sindiran Kuantum

Arakian

Beberapa minggu lalu (ketika bulan Ramadhan), saya ada kuliah pada pukul 8.30pagi di Bilik E-Learning 8. Saya hadir dalam keadaan tergesa-gesa kerana saya agak sedikit, tambahan pula saya agak bersemangat, kerana pada malamnya saya sudah mengulangkaji sedikit bahan untuk diberikan kuliah pada pagi tersebut.

Tibanya saya ke dewan kuliah tersebut, saya dapati hanya 14 orang yang hadir daripada 35 orang pelajar saya. Kemudian saya bertanya, "Ehh... Mana yang lain?". Kemudian mereka menjawab bahawa pelajar lain sedang buat persediaan untuk Ujian Pertengahan Semester untuk kursus lain pada pukul 10.00am. Tak apalah saya meneruskan juga kelas tersebut, selepas 30minit kelas bermula saya dapati ada dua pelajar baru datang dengan tergesa-gesa, kerana kebimbangan akan dimarahi oleh saya, padahal tidak. Meskipun saya agak sedih dan sedikit sakit hati.


Al-Kisahnya

Pada hari lainnya, saya sedang mengajar mengenai Boleh Cerap (Observable) iaitu Operator berHermitian, juga Fungsi Gelombang dan Fungsi Eigen dan Nilai Eigen.

iaitu,


X.Psi(x,t) = x.Psi(x,t)

Saya menjelaskan bahawa,
"Jika Pencerap dan Fungsi Gelombang tersebut mematuhi Fungsi Eigen dan Nilai Eigen, maka Pencerap tersebut memberikan nilai yang tunggal hasil daripada ukuran pencerap tersebut ke atas Fungsi Gelombang."

Tambah saya lagi,
"Bahawa Pencerap tersebut yang memberikan nilai tersebut dan Fungsi boleh kita andaikan sebagai semacam sistem lah. Ujar saya untuk memahamkan mereka lagi, "Jadi tanpa pencerap tiadalah sebarang ukuran yang terjadi ke atas Fungsi Gelombang atau sistem tersebut"

Pelajar masih termanggu dan terdiam sejenak


Melihat keadaan pelajar saya seperti itu, maka saya membuat analogi

"Baiklah, begini cuba kamu bayangkan operator tersebut adalah Diri Saya bermakna saya adalah Pencerap, kemudian Fungsi Gelombang adalah Bilik E-Learning 8. Kemudian saya datang ke bilik tersebut untuk mengajar saya dapati ada 14 orang pelajar sahaja, maka 14orang pelajar tersebut adalah Nilai Eigen atau nilai hasil pencerapan saya ke atas bilangan pelajar dalam bilik E-Learning 8 tersebut, meskipun fakulti menetapkan 35orang mesti berada dalam bilik tersebut (secara lasik)"

Kata saya dengan muka rasa tak bersalah


KEMUDIAN PELAJAR KELIHATAN BERASA TERSINDIR DAN SAYA KELIHATAN BERASA PUAS.

Gred B

Ketika membaca Kosmo-Online mengenai Pemenang Hadiah Nobel Fizik dari Universiti Manchester berusian 36 tahun. Saya terpikat dengan tajuk berita tersebut, "Pakar fizik pemenang Nobel selalu dapat gred B". Ringkasan mengenai pemenang hadiah tersebut, sila klik di sini

"for groundbreaking experiments regarding the two-dimensional material graphene"

Mereka terlibat dalam kajian grafin yang mana susunan atom-atom karbon dalam kekisi berbentuk aromatik atau heksagon pada layer sekitar tebal beberapa nanometer (0.142nm) dan juga aplikasinya di dalam perubatan. Grafin datang daripada perkataan Grafit+ene.

Ini adalah takrifan grafin yang lebih sesuai.

Graphene is a flat monolayer of carbon atoms tightly packed into a two-dimensional (2D) honeycomb lattice, and is a basic building block for graphitic materials of all other dimensionalities. It can be wrapped up into 0D fullerenes, rolled into 1D nanotubes or stacked into 3D graphite. (Rujukan Nature)



Imej Grafin

Wallahu'alam

Khamis, 7 Oktober 2010

Ingin Memuji Kepada Yang Layak Dipuji

PROF DR ZAKARIA KASA

Ketika saya mengiring pelajar-pelajar saya ke Agensi Nuklear Malaysia (ANM) saya ada berbual dengan salah seorang pemandu yang membawa kami ke ANM. Kami berbual mengenai sikap mulia pegawai tertinggi di UPSI. Beliau menceritakan pengalaman beliau berkhidmat dengan pegawai tersebut, pegawai yang di maksudkan adalah Profesor Dr. Zakaria Kasa iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, atau lebih dikenali daripada rakan-rakan beliau dengan nama Pak Ya, manakala kami memanggil beliau dengan panggilan Prof Zek.

Saya tertarik dengan sikap rendah diri beliau.

Pemandu itu menceritakan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai pemandu peribadi Prof Zek selama sebulan untuk menghantar beliau ke mesyuarat dan seminar penting. Prof Zek jika menaiki kereta bersama beliau tidak akan duduk di belakang, sepertimana orang-orang besar akan lakukan, tetapi beliau akan duduk di sebelah pemandu.

Ada satu pengalaman pemandu itu ceritakan dan saya tertarik dan mengaguminya.

Pemandu itu berkata bahawa, beliau ada menghantar Prof Zek ke satu mesyuarat di KL. Kemudian mereka singgah di satu perhentian untuk makan, kemudian Prof Zek suruh beliau tunggu di satu meja makan dan Prof Zek pergi ambil makanan. Selepas beberapa ketika, Prof Zek kembali dan membawa makanan. Apa yang lebih mengejut, makanan tersebut adalah untuk pemandu tersebut, kerana Prof Zek sudah pun makan dirumah. "Tepuk dahi saya waktu tu" kata beliau bersungguh-sungguh untuk bercerita mengenai Prof Zek.

Kemudian beliau bercerita lagi, bahawa beliau perlu menghantar Prof Zek ke hotel untuk menghadiri mesyuarat bersama Menteri. Kemudian Prof Zek bertanyakan mengenai tempat tidur pemandu tersebut untuk bermalam. Kemudian jawab beliau, "Saya ada nak bermalam di rumah kawan saya". Balas Prof Zek, "Hang tidoq dengan saya lah malam ni". Sekali lagi pemandu tersebut tepuk dahi, cerita beliau dengan penuh bersemangat mengenai Prof Zek.


PROF EMERITUS DR MOHD YUSOF HASAN

Beliau seorang Profesor Emeritus dan juga Felo Penyelidikan di Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki. Berasal dari Kedah dan berkebolehan berbahasa Siam (Thailand)

Ini cerita beliau pula.
Ada seorang pemandu bercerita bahawa beliau pernah menghantar Prof Yusof ke jamuan bersama Tun Salim Abbas, mantan Hakim Negara. Ketika beliau dan Prof Yusof menghadiri jamuan bersama, Prof memperkenalkan beliau kepada Tun Salim Abbas dengan mengatakan, "Ini adalah kawan saya"

Kemudian pemandu tersebut berkata, "Saya sangat tersentuh ketika itu"


SANGAT MENGAGUMI

Khamis, 30 September 2010

Selepas Bersara

Saya senantiasa memikirkan masa depan, malahan saya juga sering memikirkan kehidupan selepas kematian. Apa persiapan kita nanti? Dan menjadi pengajar di UPSI juga persiapan untuk kehidupan selepas kematian saya dan ia juga salah satu daripadanya. Kerana anak Adam akan tinggal semuanya, kecuali 1)Do'a anak yang soleh, 2)Sedekah jariah dan 3)Ilmu yang bermanfaat, lebih menariknya di UPSI, kami mengajar pelajar-pelajar yang bakal mengajar di seolah nanti, maka manfaat ilmu yang diberikan akan dimanfaatkan ke sekolah dan ia akan berterusan. Itu yang menggembirakan saya apabila memikirkan hal tersebut.

Tulisan kali ini adalah mengenai sedutan Jamuan Hari Raya yang dipengerusikan oleh saya, juga dianjurkan oleh jawatankuasa saya bersama Tuan Haji Shaharudin Ali, iaitu Jawatankuasa Kelab Fizik dan Hal Ehwal Pelajar.

Jamuan ini juga bertujuan untuk meraikan:
1) Kebersaraan Dr Abdul Rahman Omar daripada Jabatan Fizik
2) Perpindahan Dr Nurulhuda Abdul Rahman dan Dr Razak Abdul Samad Yahya (mantan Ketua Jabatan Fizik) ke Fakulti Pendidikan dan Pembangunan, selepas UPSI mengalami penstrukturan semula, dengan kata lain bidang pendidikan bukan lagi perkhidmatan utama kami.
3) Meraikan kepulangan Encik Ahmad Kamal Ariffin dan Puan Mahizah dari pengajiannya PhD di Jerman, dan Cik Faridah Lisa Supian dari UK.
4) Selain itu, meraikan perkahwinan Siti Noor Syuhada Mat Hussein dan juga kedatangan ahli baru Jabatan Fizik, pembantu makmal untuk Makmal Penyelidikan, Encik Nor Mazlan.

Tertarik

Antara aktivitinya adalah ucapan daripada Dr Abdul Rahman Omar. Saya tertarik dalam ucapan beliau iaitu antaranya ialah, mengenai selepas kebersaraanya nanti.


Beliau berkata,

"Dulu saya selesa dengan gaji saya RM9,000. Selepas kebersaraan selama dua bulan gaji yang saya terima adalah sekitar RM3,000. Selepas tolak pinjaman rumah tinggalah RM2,000. Jadilah nasihat kepada rakan-rakan sekalian, buatlah persediaan sebelum bersara"

Komen saya: Beliau merupakan seorang genius dalam bidang Fizik suatu ketika dahulu, ini turut diakui oleh Profesor Dr Roslan Abdul Shukor, Profesor Superkonduktor (Profesor Kelas A) dari UKM dan Prof Madya Dr Ahmad Puaad Othman dari UKM juga.

Saya tertarik dengan kenyataan tersebut, apakah kehidupan kita selepas bersara nanti? Dengan kos hidup yang tidak menentu! Apakah perancangan kita nanti? Saya lihat banyak cendekiawan yang ikhlas kepada bidang masing-masing adalah terbengkalai. Saya juga takut dengan keperluan hidup sekarang, 1)Kereta 2)Rumah, 3)Keluarga 4)Insurang 5)Sara hidup. Mesti bersedia daripada sekarang. Itu penting. Tapi keluarga dan jiran tetangga melihat golongan penjawat sangat tinggi, saya tidak selesa dengan keadaan yang sebegitu. Pada tanggapan mereka, penjawat awam mestilah berpakaian berjenama, berkereta Toyota Vios atau Honda Accord dan berumah Semi-D barulah bersesuaian dengan kedudukan itu. Ini sering terjadi kepada saya secara peribadinya. Saya agak tidak selesa dengan persepsi yang sedemikian rupa.

Perkara kedua, adalah kesihatan beliau juga agak tidak baik. Beliau pernah menasihati saya, "Pada usia muda, kamu kena menjaga kesihatan kena selalu SENAM, jaga permakanan. Makan tu kena jaga-jaga mulai sekarang"

Saya berfikir banyak profesor, kesihatan mereka sangat teruk terutamanya mendapat Diabetes dan Masalah Jantung.

Sebelum ini, beliau ada juga berbicara mengenai seorang profesor yang mempunyai masalah kesihatan yang serius tapi mempunyai keinginan beristeri lebih dari seorang, yang membuat saya ketawa lagi, profesor yang kami bicara itu sekarang sudah mempunyai tiga isteri. Ketika itu, kami berbicara di dalam Surau. Tak tahan saya melihat gaya bercerita Dr Abdul Rahman mengenai perkara tersebut, dengan telatah yang melucukan.

Jadi kesimpulan ringkas saya "Fikir-fikirkanlah kehidupan kita selepas bersara, sama ada ekonomi kita stabil, atau kesihatan yang baik atau adakah anak-anak didikan kita itu menjadi atau tidak?"

Jadi itulah komen saya mengenai ucapan beliau.


Seterusnya
Tambah beliau lagi,

"Saya mempunyai impian, antaranya ialah untuk memenangi Hadiah Nobel. Saya ada memikirkan mengenai masalah Tindakbalas Perlakuran untuk menjanakan tenaga nuklear yang bersih"

Komen saya: Sebelum ini saya pernah menghadiri 2nd International Summer School UKM-KAIST di UKM, Bangi. Antara soalan yang kami tanyakan kepada saintis dari Korea itu, mengenai Reaktor Perlakuran. Beliau menjawab untuk aplikasi tindakbalas perlakuran untuk kegunaan awam adalah sangat mustahil, mungkin teknologi tersebut merupakan teknologi 1000 tahun akan datang.

Semoga bermanfaat, wallahu'alam

Sabtu, 18 September 2010

Mari Mengenal Istilah-istilah Hadist

Penulisan kali ini adalah mengenai istilah-istilah hadist yang senantiasa digunapakai dalam bidang Ilmu Hadist. Semoga bermanfaat, insyaallah.

1) Hadist: Ucapan, perbuatan, keadaan atau lain-lainnya yang daripada Rasulullah salallahu'alaihi wassalam.

2)Riwayat: Istilah dalam hadist, Riwayat kita kenali sebagai "Pengkhabaran", "Penceritaan", apa yang diceritakan. Jika pengkhabaran itu sah daripada Rasulullah salallahu'alhiwassalam, kita katakan "Riwayat Shahih".

3) Sanad: Ertinya sandaran.

4) Musnad: Ertinya yang disandarkan

5) Isnad: Ertinya Menyandarkan.

6) Rawie: Ertinya yang mengkhabarkan, yang menceritakan.

7) Musnid: Ertinya Yang menyandarkan

8) Mukharrij: YAng mengeluarkan, iaitu setiap orang yang mengeluarkan hadist atau mencatat hadist.

9) Matan: Secara bahasa ia bermaksud, kekerasan, kekuatan. Tetapi dalam ilmu hadist ia bermaksud Lafaz-lafaz yang disandarkan pada akhirannya.


Contoh dari Shahih Bukhari, dalam Bab Pertama.

Telah menceritakan kepada kami al-Humaidi 'Abdullah Bin Uzair, ia berkata: Telah meceritakan kepada kami, Sufyan, ia berkata telah menceritakan kepada kami, Yahya Bin Sa'id al-Anshari, ia berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku, Muhammad bin Ibrahim at-Tamimi, bahawa ia mendengar Alqamah Bin Waqqash al-Latsi berkata: Aku telah mendengar Umar Ibnu al-Khattab radhiallahu'anhu berkata atas mimbar. Aku telah mendengar Rasulullah salallahu'alaihi wassalam bersabda:
"Sesungguhnya amal-amal itu, tidak lain melainkan (bergantung) kepada niat-niat"


PENERANGAN:

Tulisan yang BOLD adalah sanadnya.

Tulian yang ITALIC pula adalah matannya, iaitu
"Sesungguhnya amal-amal itu, tidak lain melainkan (bergantung) kepada niat-niat"


Manakala Musnad pula, orang yang disandarkan, contoh seperti al-Humaidi disebut "Musnad" bagi Bukhari, kerana Bukhari menyandarkan kepadanya, (Bukhari menjadikan dia sebagai tempat sandaran cerita)

Telah menceritakan kepada kami(Bukhari) al-Humaidi 'Abdullah Bin Uzair, ia berkata
Ini dikatakan Bukhari "Isnad" kepada Humaidi

Tiap-tiap orang dalam sanad tersebut, dikenali sebagai "Rawi",atau orang Melayu panggil sebagai "Perawi". Namun Bukhari juga boleh dikenali sebagai Rawi juga.

Ketika ia menyandarkan khabaran itu kepada seseorang, ini dinamakan sebagai "Musnid"

Maka boleh kita katakan setiap pengeluar hadist dalam sanad tersebut adalah Mukharrij.

__________________________________________________________

Darjat-darjat Hadist

1) Shahih: Sah dan Asli
Memenuhi syarat-syarat Hadist (1. Sanad bersambung, 2. Rawinya 'adil, 3. Rawinya Dhabit, 4. Matannya tiada Syaz dan 5. Matannya tiada 'illat)

2) Hasan: Baik
Memenuhi syarat-syarat, kecuali syarat ke-3. iaitu Rawinya kurang Dhabit, bermaksud perawi tersebut agak sedikit pelupa, kurang kuat hafalannya.

3) Dha'if: Lemah
Hadist yang tidak memenuhi syarat 1., iaitu sanadnya terputus atau rawi-rawinya ada yang cacat (bermaksud ada masalah pada perawinya, dari segi kuat hafalan dan pembuat bidaah, atau fasik)

4) Maudhu': Palsu
Hadist yang sanadnya terdapat perawinya dikenali sebagai "Pembuat Hadist" atau dikenali sebagai "Pembohong"


Pembincangan ilmu hadist ini boleh dirujuk kebanyakan kitab-kitab Mustalahul Hadist.
Saya menggunakan rujukan "Ilmu Mushtalah Hadist" karangan A. Qadir Hassan, Penerbit: Diponegoro, Bandung tahun 2002, cetakan VIII.


Wallahu ta'ala a'lam

Jumaat, 17 September 2010

Seputar Mengenai Cincin

Ringkasan:

1) Memakai cincin adalah sunnah jibliyah, seperti mana memakai qamis atau jubah.
2) Haram memakai cincin daripada emas
3) Dimakruhkan logam cincin terbuat daripada besi dan tembaga, kerana besi dan tembaga adalah logam seksaan dalam neraka.
(Jika pembaca mendesak saya untuk mendapatkan hadistnya, insyaallah saya akan carikannya)
4) Sunnah dipakaikan pada jari manis dan jari anak.
5) Haram dipakaikan pada jari telunjuk dan jari ibu
6) Makruh memakai berlebih-lebihan, bermaksud memakai lebih banyak cincin dijari-jari dalam erti kata menunjuk-nunjuk.
7) Sebaik-baiknya sekadar satu cincin sahaja di jari, sekadar pemanis jari dan pada satu tangan sahaja.
8) Diperbolehkan meletak batu dicincin atau kosong
9) Sunnah memakai cincin adalah sunnah tidak dituntut. Jika berminat untuk memakai, silakan. Jika tak mahu pakai, silakan.
10) Sebaik-baik logam cincin dan menepati Sunnah adalah Perak.
11) Syarat-syarat dan makluman-makluman di atas adalah umum kepada lelaki dan perempuan,
manakala syarat 2), iaitu larangan cincin emas, gugur syaratnya hanya bagi perempuan sahaja.

Wallahu'alam

Rabu, 1 September 2010

Tersedar dan baru tersedar

Rupanya templat blog lama saya adalah sangat menyakitkan, mata dan hati, mungkin juga menyakitkan akal yang waras.

Templat kali ini, mungkin memenuhi citarasa pembaca untuk membaca, insyaallah. Hehehe...

Pertama, saya dapati templat kali ini, entri-entrinya diasingkan dalam rangka yang jelas dan menarik.

Kedua, penulisannya kali ini insyaallah jelas dan mudah dibaca.

Ketiga, terdapat burung-burung berlegaran di atas-kanan blog. Mungkin sebagai nilai tambah kepada tarikan pembacaan. Insyaallah

Keempat, pautan laman sesawang jelas dan terpamer dengan baik.

Kelima, perkataannya "Arial" dan saiznya besar, jelas dan terpamer

Keenam, rekaletaknya sangat baik.


Insyaallah, inilah yang terbaik daripada saya, Marhain Tersungkur Sujud kepada Pencipta Alam Sarwajagat.

Tanya

-Tanya-
Nama yang mengingatkan saya kepada rakan sekelas 3 Nilam berjantina perempuan di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis pada tahun 1993 dan beliau juga merupakan Penolong Ketua Kelas. Manakala Ketua Kelas juga adalah perempuan, bernama "Maznah". Pengurusan dan pentadbiran kelas kami didominasi oleh kaum Hawa. Siapa kata, kaum Adam tidak tertindas?

Sebenarnya itu bukanlah hal yang sebenarnya dalam penulisan kali ini, tetapi ia adalah mengenai sebuah pertanyaan dan bukannya mengenai rakan sekelas yang bernama "Tanya"

Per"Tanya"an saya adalah:

Bagaimana nak menulis persamaan?

Jika dalam perisian MSWord, ianya ada fungsi "Equator"

Adakah blog mempunyai seperti fungsi tersebut?


Barakallahu fiikum

K

Hanya semata-mata "K"

Obses dan Ghuluw

Obses dan Ghuluw

Obses pada kebenaran, adakah itu ghuluw?
Obses dalam bentuk pengabdian, adakah itu ekstrim?

Yakni kepada agama,
kepada falsafah tabii.
Seni.
Juga kemanusiaan sejagat

Obses pada agama, hendaklah muttabi'
Bukannya muqallid
Obses pada falsafah tabii, hendaklah berilmu
Bukannya berpendapat
Obses pada kesenian, hendaklah berestetika
Bukannya tenggelam
Obses pada kemanusiaan, hendaklah menasihat
Bukannya membantah

Dimulakan dengan al-Quran dan Sunnah, diikuti dengan iman
Barulah diikuti dengan akal.
Dimulakan dengan hukum tertakrif, barulah fakta mulai terdetik dan keinginan mula menjelang.
Dimulakan dengan menghayati, lazat dan tatap
Dimulakan dengan toleran, keakraban tertimbul dan ketamakan tersisih.

Maka lenyaplah obses
Maka lenyaplah ghuluw

Yang tinggal adalah,
Muttabi', Ilmuwan, Penilai estetika dan Pewasi.

Ahad, 29 Ogos 2010

Tanda-Tanda Besar Hari Kiamat

Insyaallah, dilampirkan bersama ringkasan-ringkasan mengenai Tanda-Tanda Besar Hari Kiamat, berserta dali-dalinya. Wallahu'alam semoga bermanfaat hendaknya.

1. Perang Akhir Zaman
“Kalian akan mengadakan perdamaian dengan bangsa Rum dalam keadaan aman. Lalu kalian akan berperang bersama mereka melawan satu musuh dari belakang mereka”.(Hadits shahih yang diriwayatkan Imam Ahmad)

2. Munculnya Imam Mahdi
Nama: Muhammad bin Abdullah Al Mahdi Al Fathimi Al Quraisy
Keturunan: Rasulullah sallahi’alaihi wassalam
Bangsa: Quraisy

Penjelasan ciri-ciri beliau:
i) Beliau menetap di bumi antara 7 sampai 9 tahun, memerangi musuh Islam dan fitnah Dajjal

ii) Munculnya Imam Mahdi di masa perjanjian damai antara kaum muslimin dengan Bani Ashfar (Rom), hingga akhirnya mereka mengkhianati kaum muslimin, selanjutnya beliau menjadi pemimpin tertinggi dalam seluruh pertempuran berikutnya

iii) Beliau keluar menuju Makkah dan dikejar-kejar oleh satu pasukan dari umat Muhammad hingga apabila sampai di sebuah tempat yang bernama Al Baida, pasukan itu ditelan oleh bumi.

iv) Beliau muncul saat wafatnya seorang khalifah, kemudian Kemudian Imam Mahdi dibai’at oleh kaum muslimin antara sudut ka’bah dan maqom Ibrahim.

Nasihat Rasulullah salallahu’alaihi wassalam:
“Jika kamu melihatnya, maka berbai’atlah walaupun harus merangkak di atas salju, karena dia adalah khalifah Allah Al Mahdi”. (HR. Ibnu Majah, shahih)


3. Perang Melawan Semenanjung Arabia dan Melawan Persi (Iran)

Kamu akan memerangi semenanjung Arabia lalu Allah akan menaklukkannya untukmu. Setelah itu Persia (Iran), dimana Allah akan menaklukkannya untukmu. Kemudian Rum, dimana Allah akan menaklukkannya untukmu. Kemudian kamu akan memerangi dajjal, dan Allah akan menaklukkannya untukmu”.(HR. Muslim)


4. Pengkhianatan Rum dan Penaklukan Rom

Rasulullah SAW bersabda, “Kemudian akan terjadi perdamaian antara kamu dan Bani Ashfar (Rum), tetapi kemudian mereka mengkhianati perjanjian itu dan datang kepadamu dengan membawa 80 bendera, dan tiap-tiap bendera diikuti sebayak 12.000 orang. (HR. Bukhari)
Bangsa Roma ditaklukkan setelah penaklukkan Konstantinopel (HR. Ahmad : 2/176).



5. Al-Malhamah Al-Kubra

Ini merupakan pertempuran terdahsyat yang terjadi antara kaum muslimin dengan Romawi. Dalam pertempuran ini kedua belah pihak bertempur tidak lagi menggunakan senjata modern, namaun hanya menggunakan kuda dan pedang. Karena seluruh senjata modern telah musnah dalam peristiwa perang besar akhir zaman (Armageddon). Pertempuran besar (Al-Malhamah Al-Kubra) terjadi di sebuah daerah yang bernama Ghutah dekat Damayskus, dimana tempat itu menjadi pusat kaum muslimin saat itu. Perang ini dipimpin langsung oleh Imam Mahdi. Kaum Rum bergerak menuju Syiria dan turun dikota A’maq atau Dabiq, dalam sebuah kumpulan tentara dengan 80 bendera, setiap bendera terdapat 12.000 tentara. Perang Al-Malhamah Al-Kubra ini terjadi selama 4 hari berturut-turut. 1/3 dari kaum muslimin melariakn diri dari pertempuran, yang mana dosa mereka tidak akan diampuni oleh Allah SWT. Dan 1/3 lagi kan mendapatkan syahid, dan sisanya yang 1/3 akan mendapatkan kemenangan yang mana mereka tidak akan tersesat untuk selama-lamanya.


6. Penaklukan Konstantin tanpa pedang dan panah
Rasulullah salallahu’alaihi wassalam bersabda, “Apakah kalian pernah mendengarkan suatu kota yang sebagiannya terletak di darat dan sebagiannya di laut? Para sahabat menjawab, “Pernah wahai Rasulullah. Beliau SAW berkata,”Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga ia diserang oleh 770.000 oramg Bani Ishaq. Ketika mereka telah disana maka mereka-pun memasukinya. Mereka tidak berperang dengan senjata dan tidak melepaska 1 anak panah-pun. Mereka hanya berkata Laa Ilaaha Illallah wallahu Akbar, maka jatuhlah salah satu bagian dari kota itu. Kemudian mereka berkata kedua kalinya Laa Ilaaha Illallah wallahu Akbar, maka jatuhlah bagian yang lain. Kemudian mereka berkata lagi Laa Ilaaha Illallah wallahu Akbar, maka terbukalah semua bagian kota itu.(HR. Muslim)


7. Munculnya Dajjal

Penjelasan ciri-ciri Dajjal:
i) Tubuh gemuk

ii) Kulit merah

iii) Rambut kerinting dan lebat

iv) Buta sebelah dan tersembur keluar seperti anggur

v) Dekat dahi ada tertulis ka fa ra.

vi) Hidup Dajjal untuk menyebar fitnah adalah 40 hari; Satu hari pertama seperti 1 tahun, satu hari kedua seperti 1 bulan, satu hari ketiga seperti sepekan, dan hari berikutnya seperti hari-hari biasanya.

8. Turunnya Nabi Isa ’alaihi wassalam dan Berperang Melawan Yahudi dan Dajjal
Nabi Isa akan turun ke dunia di menara timur Damsyiq, disaat kaum muslimin hendak mengerjakan shalat berjama’ah. Turunnya Isa dengan diapit oleh dua malaikat yang mengenakan dua pakaian yang dicelupkan dengan minyak waras dan za’faran. Setelah mengerjakan shalat, beliau memimpin perang melawan dajjal yang diikuti oleh 70.000 Yahudi.

Rasulullah salallahu’alaihi wassalam bersabda, “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kaum muslimin memerangi kaum Yahudi dan membunuh mereka, sehingga bersembunyilah kaum Yahudi dibelakang batu dan kayu, lantas batu dan kayu itu berkata, “Wahai orang muslim, wahai hamba Allah, ini ada orang Yahudi dibelakang saya, kemarilah dan bunuh ia, kecuali pohon gharqad, karena ia termasuk yahudi”.(HR. Bukhari dan Muslim)


9. Peperangan dengan Turki
Ada yang berpendapat bahwa bangsa Turki saat ini adalah orang-orang China, Rusia, Jepang, Mongol, dan sejenis dengan mereka.

10. Munculnya Ya’juj dan Ma’juj
Mereka adalah keturunan Yafidz, ayah Tark dari nabi Nuh AS. Firman Allah SWT dalam Al-Qur’an:

96. Hingga apabila dibukakan (tembok) Ya'juj dan Ma'juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.
97. Dan telah dekatlah kedatangan janji yang benar (hari berbangkit), Maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang-orang yang kafir. (mereka berkata): "Aduhai, celakalah Kami, Sesungguhnya Kami adalah dalam kelalaian tentang ini, bahkan Kami adalah orang-orang yang zalim". (QS Al Anbiya’ : 96-97)

11. Wafatnya Nabi Isa dan Imam Mahdi

12. Masa-Masa Aman

13. Terbitnya matahari dari Sebelah Barat

Rasulullah salallahu’alaihi wassalam bersabda, “Tidak akan terjadi Kiamat hingga matahari terbit dari arah barat. Apabila matahari terbit dari barat maka berimanlah semua manusia. Maka saat itulah ketika iman seseorang tidak bermanfaat lagi bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu, atau dia sebelum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya”.(HR. Bukhari 13 : 81-82).

14. Keluarnya Binatang Melata yang dapat Berbicara

82. Dan apabila Perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahwa Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami[1108].

Yang dimaksud dengan Perkataan di sini ialah ketentuan datangnya masa kehancuran alam. salah satu dari tanda-tanda kehancuran alam ialah keluarnya sejenis binatang melata yang disebut dalam ayat ini.

15. Tiupan Sangkakala dan Alam Semesta hancur

Sabtu, 28 Ogos 2010

GALAK (Sebelum berfikiran Negatif, bacalah dahulu)

Dalam teori medan kuantum, terdapatnya istilah "galak" atau diInggeriskan sebagai "Transformation". Pada mulanya saya menggunakan perkataan Penjelmaan, tapi setelah saya terbaca nota kuliah Prof Wan Ahmad Tajuddin, beliau menggunakan perkataan "galakan", kemudian difikirkan bahawa "transformation" untuk kes Teori Medan Kuantum yang akan kita bincangkan nanti, bukanlah mengenai penjelmaan sesuatu kepada sesuatu yang lain, tetapi ianya merupakan "galakan sesuatu dalam konsep fizik".


Kuantum Elektrodinamik
Bagi mengekalkan galakan setempat (local transformation) maka dicadangkan gandingan foton (atau tolok elektromagnetan) dengan elektron. Medannya mematuhi kumpulan simetri U(1) dan pemalar "fine strukture" adalah Abelian (bermaksud komutatif)

Kuantum Warnadinamik
Manakala bagi kes Tak Abelian (tidak komutatif), untuk fenomena medan yang mematuhi kumpulan simetri SU(3). Dalam hal yang sama, bagi mengekalkan galakan setempat, maka kuark dicadangkan ianya bergandingan dengan satu entiti yang mematuhi kebebasan asimptotik, dan entiti tersebut dianalogi seperti berpintal dan semakin jauh jaraknya (dua zarah kuark) semakin kuat keupayaannya, analogi tersebut seperti "gam" atau diInggeriskan sebagai "glue", namun penamaan zarah sememangnya di tambahkan dengan -on, maka terhasilah nama Gluon. Ianya mempunyai cas, tetapi yang lucunya adalah ianya dianalogikan dengan "warna" (merah, hijau, biru).

Waallahu'alam

Tak tahu nak letak tajuk apa, sebab terlampau "Risau"

Kerisauan saya ketika saya tua nanti, melihat akan generasi yang mendatang:

1) Kedapatan pelajar sekolah menengah beraliran Sains Tulen kurang, dan minat mereka terhadap subjek Sains pun merudum, adakah ini mungkin implikasi daripada pelaksanaan PPSMI? Cuba bayangkan pembangunan negara Malaysia tanpa atau kurangnya Sains & Teknologi!

Apa yang difahamkan oleh saya, anak-anak zaman sekarang sudah terdedah dengan kesan globalisasi berinternet yang mengubah minat mereka kepada "keseronokan internet" dan "kekayaan", maka aliran Ikhtisas seperti "Sains Sosial" dan "Perakaunan/Ekonomi" menjadi pilihan mereka di sekolah. Tambahan lagi, minda-minda mereka sekarang memikirkan aliran tersebut (Sains sosial dan Ekonomi) mempunyai peluang yang cerah untuk memasuki Universiti (IPTA atau IPTS) dan IPTS tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Minda mereka telah diset "aku mahu berstatus graduan universiti", mereka tidak tahu bahawa kebanyakan kursus-kursus di IPTS, kebanyakannya tidak memiliki akreditasi MQA. Bukan setakat minda-minda anak-anak muda, malahan minda ibubapa di kampung pun juga terpengaruh dengan itu. "Yang penting, anak aku masuk U"

Minta maaf saya katakan di sini, bahawa hal ini terjadi disebabkan oleh perlaksanaan PPSMI, yang menyebabkan pelajar yang ada potensi dalam bidang Sains malas nak memahami subjek tersebut melalui medium bahasa Inggeris.


2) Subjek Sejarah disekolah, bukan lagi subjek wajib untuk SPM. Manakala, masa pengajarannya pun dikurangkan. Adakah kita ingin melahirkan generasi masa depan kita, "Lupa daratan", "Tak kenang budi", "Tak kenal asal-usul", "Bangsat" (bangsat, bermaksud musafir yang tidak tahu asal-usul atau sejarah diri). Anak bangsa kurang penerapan mengenai Sejarah Awal Negara, mulai tak tahu peranan Perlembagaan Negara, sudah leka hak-hak bangsa sendiri dan bangsa lain dan mungkin alpa akan sejarah Kenabian dan awal Islam.

Saya risau, generasi akan datang tidak segan silu untuk menjual maruah agama, bangsa dan negara untuk kepentingan diri dan kemodenan semasa (kononnya terpengaruh dengan doktrin moden semasa). Graduan doktor lari berkhidmat di negeri jiran, enjin jet pejuang tiba-tiba berada diluar negara. Aduh...


3) Pelaksanaan Pendidikan Jasmani di sekolah kurang berkesan, malahan ambil endah tak endah. Sekadar beri bola dan terus sepak. Kenapa saya risau mengenai ini: 1) Budak-budak sekarang lebih cenderung bermain daripada membebel di dalam kelas, tambahan pula subjek PJK adalah subjek yang tidak tersenarai dalam peperiksaan SPM. Maka berlakulah budaya "exam-based". 2) Saya ada bertemu dengan seorang kenalan yang melakukan penyelidikan mengenai Diet, kecergasan dengan pencapaian pembelajaran di sekolah, beliau memaklumkan bahawa pelajar yang kurang cergas dan obesiti adalah antara pelajar kurang menyerlah dalam Pembelajaran dan Kepimpinan, dan juga beliau mengaitkan dengan peranan subjek PJK dalam memberikan kesedaran diet dan kecergasan terhadap pembelajaran. Kecergasan sememangnya ada hubungkait dengan kecerdasan. Tak hairanlah Rasulullah salallahu 'alahiwassalam menyarankan kita supaya mengajar anak kita "memanah", "berenang" dan "bermain kuda" dalam hadist shahihnya. Sememangnya Rasullullah salallahu'alaihi wassalam benar, lagi dibenarkan.


4) Seterusnya, subjek Pendidikan Islam. Ini subjek yang agak sedih untuk saya jelaskan di sini.

Tiada penerapan nilai-nilai Islam yang berlaku ke dalam diri pelajar-pelajar. Tak hairanlah berlaku kehamilan merata-rata, di sekolah seluruh Malaysia. Kita tidak pun membincangkan mengenai peranan subjek "Pendidikan Islam" untuk membentuk anak-anak muda.Kebimbangan saya adalah, akan tersemat di hati anak-anak muda adalah "Bahawa Islam tidak mampu berperanan apa pun, sekadar anutan dan rutin kerohanian seharian semata-mata", itulah yang lebih menakutkan bagi saya, dan itu adalah masalah Akidah. Jika rosak akidah, tak tahulah saya bagaimana generasi akan datang nanti? Wallahu'alam. Itu belum mengambil kira, penerapan "akhlak" lagi.

Adakah pembaca pernah terfikir akan Hasil Pembelajaran (atau Learnig Outcomes, ringkasannya LO) daripada subjek Pendidikan Islam. Persoalannya adakah ia berkesan? atau sekadar memperolehi gred A bagi subjek tersebut untuk PMR atau SPM? Pernah tak kita bertanya mengenai fekah semasa kepada mereka? Pernah kita bertanyakan mengenai akhlak Rasulullah salallahu'alaihi wassalam kepada mereka?

Secara peribadinya, realiti LO nya ialah lulus dalam peperiksaan. Hehehe... Pelaksanaannya di sekolah bagaimana?


RISAUNYA SAYA KETIKA BERSARA NANTI



Wallahu'alam...

Insyaallah, anak-anak kita nanti



Anak kecil ini memperlihatkan kebolehan beliau menghafal beberapa surah daripada al-Quran. Saya tertarik dengan sifat anak kecil ini yang agak pemalu, masih kecil sudah ada sifat mulia iaitu "malu"






Manakala anak kecil ini pula menghafal beberapa surah daripada al-Quran. Lebih menarik lagi, anak kecil ini berbangsa Melayu. Saya tertarik juga, ketika anak kecil ini menegur Ustaz Kazim mengenai beberapa masalah Tajwid, jadi silalah menonton






Antara tiga video yang dilampirkan, video inilah yang paling saya suka dan membuat saya tersenyum melihat kecomelan anak kecil ini. Demi Allah, saya kagum dengan anak kecil ini menjawab beberapa soalan-soalan mengenai Akidah, Syariat, Fekah dan Sirah. Anak kecil ini menjawab setiap soalan yang diajukan dengan lancar dan sangat comel sekali, anak kecil hafizahullah (Dalam peliharaan Allah)

Antara soalan yang membuat saya kagum ialah:

Di manakah Allah?, Siapakah "madhu bi'alaihim"? Siapakah "dhalliin"? Siapakah firqah (cabangan atau pecahan kumpulan) yang mengatakan Al-Quran adalah ciptaan? Siapakah alim yang menafikan masalah tersebut?

Anak kecil ini mengutamakan Tauhid dan membenci Syirik. Mengikut Sunnah dan membenci Bida'ah.

Semoga kita dalam rahmat Allah, sangat tersentuh akan video-video di atas.

Barakallahu fiikum

Khamis, 26 Ogos 2010

Agenda Mesyuarat di Akademi Sains Malaysia

Pukul 12.40am, saya bertolak ke Akademi Sains Malaysia (ASM) untuk menghadiri mesyuarat mengenai tindakan lanjutan daripada hasil lawatan, seminar dan perbincangan tertutup dengan Prof Robert (lupa nama akhirnya) daripada Pakatan CMS (Compact Muon Solenoid) salah satu pengesan di Large Hadron Collider (LHC). Mesyuarat tersebut diadakan pada pukul 2.30pm.


Dipengerusikan oleh Prof Dato' Dr. Muhamad Rasat Muhamad FASc. Turut hadir adalah Prof Abdul Halim Shaarie (UPM), Prof Wan Ahmad Tajuddin (WAT) dari UM, Prof Madya Hasan Abu Kassim (UM) dan ahli mesyuarat adalah lebih kurang 20 orang.


AGENDA-AGENDA MESYUARAT

1) Agenda mesyuarat dimulakan dengan pengesahan MOU diantara ASM-CERN oleh ahli mesyuarat. Secara ringkasnya daripada MOU tersebut, universiti-universiti dan institut penyelidIkan di Malaysia akan berkerjasama dengan CERN melalui pendekatan:

i) Menghantar pelajar-pelajar Malaysia ke Summer School di CERN
ii) Menghantar pelajar Phd atau Pasca doktorat ke CERN untuk melakukan penyelidikan di bawah seliaan pakar daripada CERN.
iii) Menghantar saintis ke CERN untuk tujuan penyelidikan dan kerjasama.

Saluran tersebut mestilah melalui Akademi Sains Malaysia, dengan kata lain, ASM akan menjadi pengkoordinat kerjasama tersebut dalam hal-hal pengurusan sahaja. Hasil daripada penambahbaikkan oleh ahli mesyuarat, maka mesyuarat mempersetujui perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut, dengan sedikit penambahbaikkan dan cadangan.


2) Perbincangan mengenai cadangan projek penyelidikan telah diputuskan supaya diadakan satu "bengkel" untuk membina satu cadangan untuk projek penyelidikan tersebut. Maka Agensi Nuklear Malaysia (ANM) telah dicadangkan oleh ahli mesyuarat untuk menjadi pengkoordinat bagi penyelidikan tersebut. Maka inisiatif telah diperbincangkan dan diambil iaitu:

i) 4hb Oktober, akan diadakan bengkel dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan nanti. Bengkel ini akan dianjur oleh ANM, dengan kerjasama ASM. Bengkel tersebut akan membentuk satu Kumpulan Fizik Zarah Kebangsaan (nama tersebut akan diperbincangkan nanti). Dicadangkan juga, penyelidik-penyelidik akan dibahagikan kepada: 1) Pakatan CMS (experimen) 2) Kumpulan Fizik Teori Zarah 3) Elektronik dan Pengkomputeran.

(Seingat sayalah, sebab buku catitan saya tertinggal di pejabat sekarang, hehehe...)


ii) 5hb Oktober akan diadakan seminar berkenaan Penyelidikan Fizik Tenaga Tinggi dari KEK, Jepun. Wakilnya akan ke Malaysia untuk tujuan perbincangan dan kerjasama. Seminar tersebut akan berlangsung di UM. (Tindakan UM, kerjasama ANM)


iii) 6hb Oktober, akan diadakan seminar berkenaan kesedaran Teknologi Nuklear di Agensi Nuklear Malaysia. (Tindakan ANM sahaja)


3) Agenda yang paling ditegaskan dalam mesyuarat tersebut adalah, siapkan perancangan dan kertas cadangan untuk tujuan permohonan peruntukan daripada perbelanjaan RMK nanti. Permohonan peruntukan tersebut masih ada dua bulan lagi.


4) Dibincangkan juga, kemungkinan yang boleh diperketengahkan lagi untuk menghantar pelajar ke Summer School di CERN. Dimaklumkan bahawa pembiyaan bagi seorang pelajar untuk ke program tersebut untuk dua bulan, adalah sekitar 12,000-15,000 Euro. (Nanti saya periksa buku catitan saya)

5) Dimaklumkan juga bahawa Kumpulan Pemceut Zarah dari Universiti Osaka juga ingin berkerjasama dengan penyelidik-penyelidik daripada Malaysia. (Tiba-tiba saya berasa kagum dengan Malaysia, sehinggakan dapat perhatian daripada masyarakat penyelidik Dunia)


6) Selain itu, mesyuarat sekadar membincangkan mengenai "Apa itu CMS" dan mengenai teknikal dan keadaan di CERN


Mesyuarat selesai dan bersurai pada pukul 4.00pm

Isnin, 23 Ogos 2010

The Lost City of Kota Gelanggi

Sejak akhir-akhir ini, penemuan Arkeologi di Kota Gelanggi telah mulai mekar dan merebak menjadi isu kepada masyarakat madani dan secara tak langsung ia menyemat secara halus akan ancaman kepada keselamatan dalam negeri.


Kota Gelanggi, apakah itu? Sila klik di sini


Maka, ini lah jawapan daripada Pejabat Penyandang Kursi Tun Ghaffar Baba, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling juga seorang Profesor dalam bidang Antropologi dan Sosiologi masyarakat Alam Melayu.


Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan telah membaca kiriman emal dari Dato Prof (dipadamkan namanya, untuk tujuan baik) yang dihantar oleh (di padam namanya, untuk tujuan tidak menghasut), mantan Ketua Pengarah (di padam nama institutnya, untuk tujuan baik) dan wakil Malaysia ke Vienna.



Bagi pihak Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-budaya, Majlis Profesor Malaysia (MPN) saya ingin menyatakan kita sedang memberi perhatian kepada paparan lalpran "The Lost City of Kota Gelanggi Archeological Find" yang kini digunakan oleh pihak luar dan asing serta parti politik anti-Bumiputera untuk menyanggah kebumiputeraan Melayu di Malaysia. Kita tidak mempunyai laporan lengkap tentang tulisan ini. Namun kita akan membahas serta menyanggah tulisan itu secara ilmiah dan akademik untuk memaparkan kebenaran sejarah yang berasaskan kajian sains arkeologi serta perdebatan ilmiah.



Untuk permulaan, antara maklumat yang disebutkan ialah:

1. Kerajaan Johor dan Malaysia menutup kebenaran kajian Kota Gelanggi itu kerana penemuan kajian itu memaparkan fakta bahawa kerajaan Melayu adalah sebenarnya keturunan Hindu dari kerajaan Chola India pada abad 12M yang datang menakluk Tanah Melayu.(Sebenarnya, penaklukan itu diingati oleh bangsa Melayu sebagai Raja Suran dalam Sulatussalatin (Sejarah Melayu). Raja Suran dalah berkait pula dengan kerajaan Buddha Sriwijaya di Sumatera pada abad 7-13M yang menurunkan kerajaan Melayu. Balasan kita ialah: masyarakat dan sejarawan Melayu tidak pernah menafikan kehadiran keturunan Hindu-Buddha sebagai punca kerajaan Melayu. Malah kita menjadikannya sejarah bangsa Melayu. Tetapi raja-raja Melayu menerima sejarah global yang jauh lebih awal dari sekadar Chola India pada abad ke-12 itu. Dari sudut kerajaan di India, fahaman Melayu ialah mereka adalah keturunan dari Iskandar Zulkarnain dari Yunani (Mekadonia), yang menakluk Parsi, India dan Mesir pada 326 SM(BC). Justeru itu, semua raja Melayu baik di Malaysia, Brunei dan Indionesia adalah keturunan dari Iskandar Zulkarnain, raja yang lebih agung dari sekadar Raja Chola yang menjadi sebahagian dari turunan itu.

2. Raja Suran yang menakluk beberapa kerajaan di Tanah Melayu itu melahirkan kerajaan Sriwijaya di Palembang, Sumatera yang menjadi punca keturunan Raja-raja Melayu di seluruh Alam Melayu melalui perkahwinan dengan puteri Raja Melayu, Demang Lebar Daun dengan 'perjanjian' atau 'waad' antara mereka untuk mengahwini puteri Demang Lebar Daun dan memberi pemerintahan kepada keturunan Raja Suran. Legenda waad antara Demang Lebar Daun, Raja Melayu dengan keturunan Raja Suran itu adalah suatu bahan gagasan perundangan dan perlembagaan kerajaan yang amat penting. Untuk pertama kali dalam sejarah wujud gagasan 'social contract' antara raja dan rakyat Melayau yang mengangkatnya sebagai 'Yang Dipertuan' - 'yang dijadikan Tuan'. Sebab itu semua raja Melayu dipanggil "Yang Dipertuan" oleh bangsa Melayu keraja mereka mempunyai waad dengan rakyatnya untuk sentiasa memelihara dan tidak memfadhihat rakyat Melayu. Social contract itu berlaku lama sebelum King John yang zalim, di England menerima Magna Carta (great charter) yang menjadikannya raja berperlembagaan di England pada tahun 1215 M.

3. Meskipun raja Melayu dari turunan raja suran berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun, maka pastilah keturunan itu telah 'masuk Melayu' atau 'jadi Melayu' melalui perkawinan dan tidak pernah keturunan raja Suran itu dikatakan berkahwin dengan puteri dari India. maka jadilah raja itu raja Melayu. Walau bagaimanapun, meskipun Raja itu berasal dari India sebagai turunan Iskandar Zulkarnain, keadaan itu tidak menjadikan negera Melayu sebagai negara India. Seperti mana juga kerajaan India adalah dari keturanan Mogol (Genghis Khan) menurunkan Akbar the Great yang Muslim maka itu tidak menjadikan negara India sebagai negara Mogol atau Tartar. Begitu juga China yang mempunyai emperor dari keturunan Mogol Kublai Khan yang juga Muslim dan menubuhkan Yuan Dynasty tidak menjadikan China sebagai negara Mogol atau dapat dikatakan orang Mogol mendahului orang Cina di China. Jadi tuduhan bahawa turunan raja Chola adalah orang India adalah serong dan salah. Inilah yang dikatakan sebagai 'false conclusion' dalam kajian. Bangsa Melayu tetap berkuasa walaupun keturunan raja asalnya asing. Sepertimana juga Prince Philip, Duke of edinburg, England sebagai suami Queen Elizabeth, sekarang adalah keturunan Greek-Danmark tidak menjadikan England atau Britain itu Greek ataupun Danemark. Britain tetap British.

4. Makalah ringkas itu mengutip beberapa patah perkataan Melayu yang berasal dari bahasa sanskrit sebagai bukti bahawa bangsa India telah dahulu datang ke Alam melayu. Inipun adalah pandangan yang amat dangkal dan serong serta salah dari sudut ilmu bahasa dan dinamika perubahan bahasa. Tidak ada bahasa dalam dunia kini yang tulin, jitu atau bersih dari pengaruh kosa kata asing termasuk bahasa China apa lagi bahasa Inggeris dan semua bahasa dunia. Ambil sahaja satu halaman kamus bahasa Inggeris, kita akan temui banyak kata asing di dalamnya. Bahasa Melayu juga telah memperkaya bahasa Inggeris dengan memberikan kata-kata 'amuk' dan 'latah' dan agar-agar. Bahasa China sudah pasti penuh dengan kata-kata asing terutama tentang konsep 'buddhism' yang datang dari India ataupun istilah teknologi moden yang datang dari Amerika. Jadi untuk menjadikan kosa kata sebagai bukti kahadiran bangsa asing di Alam Melayu adalah pandangan yang amat cetek serta dangkal dan salah.

5. Dengan mengaitkan sebuah legenda yang amat kabur tentang Kota Gelanggi yang berasal dari buku sejarah tulisan bangsa Melayu, tentang asal usul bangsa Melayu dan menuduh pula kerajaan Melayu/ Malaysia ingin menutup kebenaran sejarah, pada sejarah itu selamanya sejarah itu dijunjung oleh bangsa Melayu, adalah suatu penemuan yanag jahil, tidak ilmiah serta serong. Sekaligus tulisan itu mempunyai niat jahat, evil dan satanic. Ia mendedahkan suatu konspirasi bahawa terdapat golonganorang asing yang menggunakan institusi pengajian asing dan mungkin disokong oleh kerajaan asing dengan subahat ilmuan dalam negara yang berniat menghapuskan kedaulatan Malayu di negeri Melayu. Malaysia adalah Malay State (Malay + sia). Sia- adalah kata-kata yang bermakna state (negera) seperti dalam Indonesia, Micronesia, Polynesia, Konsep malaysia sebagai neghara Melayu telah lama digunakan sejak Hose Rizal, di Filipinan ingin menamakan negara Filipinan sebagai 'Malaysia' pada hujung abad 19. Kemudian konsep itu digunakan oleh para pengkaji Alam Melayu di Eriopah dan sejarawan R. Emerson yang menulis buku sejarah 'Malaysia: study in Indirect Rule' di Tanah Melayu.

6. Dari sudut kajian ilmiah, makalah tentang Kota Gelanggi itu adalah 'exercise in futility' yang penuh dengan 'spurious and tendentious conclusions' serta 'completely unscientific' dan mengandungi motif 'devilish and demonic politics'. Data-datanya adalah 'a collection of desparate statements without any logical validity and sound reasoning with defensible conclusion'.

7. Rakan-rakan yang mempunyai laporan ini selengkapnya, harap dapat emelkan kepada saya. Salam hormat. Profesor Datuk Dr Zainal Kling zainalkling@fsk.upsi.edu.my

Sabtu, 21 Ogos 2010

Itu adalah, itu adalah bintang

Menghadiri satu bengkel mengenai astronomi, seorang penceramah memaklumkan bahawa terdapat seorang ustaz yang mempelajari agama beraliran pondok (tradisional) dan ilmu falak, menyatakan bahawa kejadian "gerhana matahari" di angkasa memberi kesan yang tidak menyenangkan kepada aturan tabii bumi, dengan kata lain berkemungkinan akan berlakunya bencana alam yang buruk kepada kehidupan manusiawi di muka bumi. Beliau mengambil contoh dari tsunami di Acheh, gempa bumi Si Chuan dan banjir besar di China dengan fenomena-fenomena angkasa.

Setelah saya mendengar ceramah, berkata hati kecil saya "Itu adalah ilmu Nujum", tapi penceramah tersebut juga memaklumkan bahawa itu bukanlah ilmu nujum.

|Baik|

Nujum datang daripada perkataan An-Najm, bermaksud bintang. Adakah ilmu bintang ada di zaman Rasulullah salallahu'alaihi wassalam? Jawapannya "Ada" dan ia adalah amalan orang Arab jahiliyyah.

Terdapat satu hadist shahih ternukil dalam kitab Tauhid karangan Syeikhul Islam Muhammad Abdul Wahab, mengenai beberapa orang sahabat melihat bintang dilangit, kemudian sahabat menyatakan bahawa bintang tersebut yang memberikan petanda akan hujan di hari itu. Rasulullah salallahu'alaihi wassalam melarang akan sahabat tersebut beritikad dengan keyakinan tersebut, melarang keyakinan mengatakan bahawa bintang itu dan ini dikaitkan dengan sesuatu kejadian di bumi apatah lagi mengenai nasib seseorang atau horoskop (Wal-iyya'dzubillah).


Ilmu Nujum termaksud dalam larangan dalam hal-ehwal Tauhid, bermaksud sekiranya kita melaggari larangan tersebut, kita telah melakukan Syirik, sama ada secara Rububiyah (meyakini Rabb akan Allah, sebagai Tuhan) atau secara Uluhiyyah (meyakini Allah sebagai Ilah, atau sembahan sebenar-benar penyembahan).

Ketahuilah wahai pembaca diRahmati Allah, dosa Syirik adalah dosa yang paling besar disisi Allah, sehinggakan dinyatakan bahawa dosa Syirik adalah dosa yang tidak terampun. Nasihat saya kepada pembaca, cuba pembaca mencari dan mengumpulkan semua jenis-jenis bentuk Syirik, kemudian kita elakan daripada melakukannya, maka dengan kata lain kita telah melakukan keTauhidan kepada Allah 'azawajalla.

Tidak ada daya manusia untuk meramalkan kejadian masa depan, kerana ia adalah perkara ghaib, juga hal ini turut diakui dalam prinsip Simetri-CPT (C, Conjugate, P, parity dan T, time reverse). Apa yang kita sedia maklum, bahawa semua kejadian masa depan dalam pengetahuan Allah 'Azawajalla atau lebih sesuai digantikan kenyataan ayat tersebut dengan "Wallahu'alam"

Aljabar Adisimetri dalam Mekanik Kuantum

Sekiranya disebut Adisimetri, kita akan terbayang akan Teori Medan Kuantum Lanjutan, yang memberikan ramalan kewujudan zarah adirakan yang mengaitkan dengan spin integer dengan spin separa integer.

Tapi berbeza dengan aplikasi adisimetri dalam mekanik kuantum, atau nama manjanya iaitu Mekanik Kuantum Beradisimetri. Ia mempertimbangkan hubungan ruang Hilbert dan nilai eigen dalam penyelesaiannya.

Cubaan untuk melihat fenomena kes keupayaan kotak 3-matra. Apa yang ingin dilihat dalam kes tersebut ialah, menerbitkan ungkapan keupayaan adisimetrinya dan juga mencerap fenomena "degenerasi", adakah ia juga berlaku menerusi aplikasi prinsip Adisimetri tersebut.

Kita sekadar mempertimbangkan N=1 operator adisimetri (atau penjana adisimetri atau adicas) Q_a, Q_a^Digger. Kerana memperihalkan N=1 adalah lebih mudah sedikit daripada N=2 atau lebih (untuk makluman pembaca, bilangan operator adisimetri yang terbenar adalah hanya terhad kepada lapan sahaja, N=8, terkekang bagi kes ruangmasa 4-matra sahaja)


"N=1 Supersymmetric Quantum Mechanics: A Simple Box Potential Solution"


Wallahu'alam

Rabu, 18 Ogos 2010

Peperangan Ramadhan

1) Badar al-Kubra: 17 Ramadan 2 Hijrah
Pemimpin Peperangan: Rasulullah s.a.w.



2) Fathu Makkah: Tahun 8 Hijrah (Nabi s.a.w bergerak ke Mekah pada 14 Ramadan)
Pemimpin: Rasulullah s.a.w



3) Peperangan al-Buwaib: 13 Hijrah. Muslimin vs Farsi (Iran)
Khalifah: Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a
Panglima Perang: al-Mutsanna bin al-Harisah r.a



4) Pembukaan Andalus (Sepanyol): 92 Hijrah
Khalifah: Amirul Mukminin al-Walid bin Abdul Malik al-Umawi r.h
Panglima: Tariq bin Ziyad



5) Peperangan Bilatus Syuhada' (Lantai Para Syahid): 114 Hijrah. Muslimin vs Nasrani
Khalifah: Amirul Mukminin Hisyam bin Abdul Malik al-Umawi r.h
Panglima: Gabenor Abdul Rahman al-Ghafiqi r.h (terkorban dalam pertempuran)



6) Pembukaan 'Amuriah: 6 Ramadan 223 Hijrah. Muslimin vs Nasrani
Khalifah: Amirul Mukminin al-Muktasim billah al-Abbasi r.h
Panglima: Khalifah sendiri.



7) Peperangan Zallaqah: 10 awal Ramadan tahun 479 Hijrah. Muslimin vs Nasrani
Khalifah: Amirul Muslimin Yusuf bin Tasyifin, Khalifah kerajaan al-Murabitun, pemerintah Maghribi.
Panglima: Amirul Muslimin sendiri



8) Pembukaan Harim: Tahun 559 Hijrah (Ekspedisi Peperangan Salib)
Panglima: Nuruddin al-Zanki, Sultan Kerajaan Zankiah



9) Pembukaan Karak dan Sufad: Tahun 584 Hijrah.
Panglima: Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Kerajaan Ayyubiah Solihiah



10) 'Ain Jalut: Tahun 658 Hijrah (Muslimin vs Mongol)
Panglima: Sultan al-Muzaffar Qutuz al-Mamluki, Sultan kerajaan Mamalik al-Bahriah
Penggerak Eskpedisi: Ruknuddin Baibars al-Bandaqdari (yg kemudiannya menjadi Sultan al-Malik Qasim Amirul Mukminin Al-Zahir Baibars al-Mamluki)



11) Pembukaan Antokiah: 14 Ramadan Tahun 666 Hijrah
Panglima: Sultan al-Malik al-Zahir Baibars al-Mamluki, Qasim Amirul Mukmini wa Sultan al-Syam wa Misr.



12) Peperangan Syaqhab: 702 Hijrah (Muslimin vs Mongol)
Khalifah: al-Mustakfi Billah al-'Abbasi r.h
Panglima: Sultan Muhammad bin Qalawun al-Salihi al-Mamluki r.h
Penggerak Ekspedisi: Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h.


Dipetik daripada karangan Ustaz Muhammad Asrie Sobri
Wallahu'alam

Ulama yang disayangi

Tulisan kali ini ingin memperkenalkan ulama Malaysia yang saya hormati dan sayangi. Prinsip yang saya letak kepada ulama ialah beliau mesti:

1) Berakidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, sepertimana orang terdahulu yang soleh berakidah (orang terdahulu yang soleh bermaksud Rasulullah 'alaihi wassalam, ahli keluarga beliau, para sahabat ridhwanullah ajma'in, tabi'in dan tabi'ut tabi'in)
2) 'Alim dalam bidang Tafsir, Shahih dalam bidang Hadist dan Atsar dan Faqih dalam bidang Fekah. Kefahaman tersebut seperti mana orang terdahulu yang soleh faham.
3) Meletakkan al-Quran dan Hadist lebih dari segalanya, mahupun kepentingan peribadi atau mengampu seseorang apatah lagi mengampu pemerintah.
4) Mengikuti arus zaman, mengetahui isu-isu semasa dalam atau luar negara.


Ulama yang saya maksudkan adalah Muhammad Asrie Sobri. Beliau al-fadhilatul Syeikh dilahirkan di Pulau Pinang, bersekolah di SMKA Al-Manshoor, Georgetown, Pulau Pinang, kemudiannya menyambung pembelajaran beliau di Institut Pengajian Tinggi Perlis (IPTIPS). Al-Fadhilatul Syeikh pernah bekerja di Jabatan Mufti Negeri Perlis sebagai Pembantu Penyelidik. Kemudian menyambung pengajian beliau ke Universiti Islam Madinah al-Munawwarah dalam bidang Dakwah dan Usuluddin dan masih mengaji di sana lagi.


Melihat kepetahan beliau memberikan kuliah, ceramah dan pandangan mengenai masalah-masalah tertentu dalam hal-hal akidah dan fekah, saya menyangka beliau berusia sekitar 35tahun dan ke atas, rupa-rupanya beliau masih berumur 23 tahun (19hb Julai 1987), ini yang menambahkan lagi kagum saya kepada beliau. Beliau memang Syeikhuna, Muhadditsin untuk rakyat Malaysia yang dahagakan kebenaran dalam hal-hal akidah dan fekah yang shahih. Mungkin ini anugerah Allah kepada rakyat Malaysia yang inginkan penyembahan kepada-Nya dengan sebenar-benar penyembahan. Ini dapat saya lihat dari rakan-rakan yang kurang berpengetahuan dalam agama tapi ikhlas kepada Allah untuk beribadat kepada-Nya dengan Shahih.

Setiap soalan yang diajukan, beliau menjawab dengan secara spontan, seperti komputer. Malahan soalan yang dijawab dikaitkan dengan dalil-dalil atau nash-nash al-Quran dan Hadist, juga dikaitkan dengan pendapat ulamaa-ulama mukatabar dan ulama-ulama mazhab, juga beliau mampu kaitkan dengan fakta-fakta dan isu-isu semasa dan sirah-sirah nabi dan ulama dan sejarh perkembangan Islam dan firqah-firqah yang lain. Allahuakbar, bersyukur kepada Allah akan hal ini, dengan pembersihan agama dari noda-noda fasik dan syirik. Tidak seperti ulama kontemporari atau ulama dari kumpulan-kumpulan atau parti-parti tertentu, kebanyakan daripada mereka memberi pendapat hanya semata-mata ra'yu (akal) atau pendapat sendiri, malahan kekadang tersasar daripada ajarang agama sebenar (Wal-iyya'dzubillah). Kemudian mereka berkeras dengan pendapat mereka (menegak benang yang basah), yang lebih menarik lagi mereka mendapat liputan daripada program-program agama di stesen-stesen televisyen.

Tapi tidak semua ulama tersebut yang begitu, ada yang tidak seperti demikian

Saya lampirkan bersama pautan kuliah-kuliah beliau dan juga tulisan-tulisan beliau Al-Fadhilatul Syeikh Muhammad Asrie Sobri hafizuhullah.


Kuliah

Blog 1

Blog 2

Facebook

Tulisan 1

Tulisan 2


Semoga bermanfaat

Waallahu'alam

Rabu, 4 Ogos 2010

Postulat 2

Pengenalan

Seterusnya kita akan diperhidangkan dengan Postulat ke-2 dalam Mekanik Kuantum, iaitu dalam pengukuran

Kebanyakan buku teks mekanik kuantum agak berterabur dalam menyusun bilangan postulat, jika dalam sebahagian buku teks Postulat ke-2 ini adalah postulat ke-5 dalam buku teks tersebut.

Jad saya menyusun sendiri postulat-postulat mekanik kuantum sendiri supaya pembaca lebih mudah untuk menghadamnya, tidak menjadi kesalahan dalam mengubah bilangan postulatnya.

Postulat 2

" Setiap boleh cerap akan diwakili dengan operator "


Contoh - contoh operator:

Kedudukan = X

Momentum = -ih_Bar d/dx

Hamiltonan = -(h_Bar)^2 / 2m d^2/dx^2 + V(x)

Energy = ih_Bar d/dt


Penjelasan

Seperti yang kita sedia maklum daripada Postulat 1 bahawa sistem zarah yang mengandungi maklumat "masa" dan "ruang" akan diwakili dengan fungsi gelombang selengkap yang mungkin.

Tapi, persoalan. Bagaimanakah kita ingin mencerap parameter fizikal sistem zarah tersebut?

Maka "boleh cerap" atau "observable" tersebut diwakili dalam bentuk operator yang dibina.

Pengetahuan "operator" adalah merupakan daripada matematik, yang operator tersebut mesti mematuhi axiom dibawah:

Jika D dan Eadalah operator, dan f(x) dan g(x) adalah fungsi atau ruang vektor dan k adalah pemalar maka,

1) D[kf(x)] = k [Df(x)]
2) D [f(x) + g(x)] = D[f(x)] + D[g(x)]

3) [D + E]f(x) = D[f(x)] + E[g(x)]
4) [DE]f(X) = D[Ef(x)]


Namun, untuk pengetahuan pembaca semua operator-operator yang digunakan dalam mekanik kuantum adalah mematuhi axiom-axiom di atas, jadi tak perlu bimbang sekadar gunapakai sahaja. Penulisan ini bertujuan memberikan pendedahan bagaimana operator dibina dan dipatuhi secara matematik.

Contoh penggunaan:

Jika fungsi gelombang zarah bebas adalah seperti berikut,

Psi(x) = A exp[-i/h_Bar(p.x)]

Jika kita mahu untuk mencerap "momentum", kita menggunakan Operator sebagai pemboleh cerap kita sekarang.

Secara matematiknya,

P . Psi(x) = -ih_Bar d/dx[A exp[-i/h_Bar(p.x)]]

= p . A exp[-i/h_Bar(p.x)] = p . Psi(x)

Maka pengukuran yang diperolehi dalam mecerap momentum adalah bernilai "p"

Sebelum diakhiri, semua nilai daripada pengukuran sistem mekanik adalah bernilai nyata dan hal ini akan kita bincangkan dalam postulat seterusnya, semoga Allah mempermudahkan kita nanti.


"SELAMAT MENGUSAP MINYAK CAP KAPAK"

(^_^)

Jazakallah khairan katsirah

Isnin, 2 Ogos 2010

Fizik Teori di Malaysia

...........


Fizik Teori ialah salah satu cabang bidang fizik yang menggunakan matematik model dan keabstrakan konsep fizik dalam memerihalkan fenomena tabii. Ini bermaksud ia menggunakan matematik fizik seperti aljabar dan kalkulus sebagai peralatan untuk mengkaji fenomena asas alam tabii tanpa mencabul sebarang konsep dan hukum fizik yang telah dipatuhi. Penyelidikan fizik teori hanya menjurus kepada konsep asas pembinaan fizik tersebut melalui pen dan kertas, mungkin juga papan putih untuk melihat dari gambaran besar, ianya tidaklah seperti kajian fizik eksperimen yang memerlukan peralatan dan instrumentasi yang sangat tinggi kosnya untuk membelinya. Antara bidang penyelidikan dalam fizik teori secara amnya adalah seperti fizik kuantum, kuantum informatif, fizik zarah, fizik tenaga tinggi, teori medan kuantum, mekanik kuantum, masalah jasad banyak (kimia kuantum), kekalutan dan pencacai, teori kenisbian am, kosmologi dan fizik kondensasi.

Instrumen atau metod kajian yang diperlukan oleh fizik teori, adalah imaginasi atau kalau di Jerman ia biasa dikenali sebagai “Gendaken thought”, yang mana ia boleh dilakukan melalui gaya berminaginasi sesuatu fenomena fizik dan memperihalkannya tanpa mengetepikan konsep fizik asas yang lain. Sebagai contoh, Albert Einstein telah cuba merealisasikan Teori Kenisbian Khasnya pada rangka gerakan pecutan, dengan membayangkan pencerap didalam sebuah lif yang tertutup berada dibumi secara statik dengan pencerap yang bergerak dengan pecutan 9.81m/s2 secara menegak dan fenomena ini adalah setara meskipun berbeza rangka dinamiknya, ini dikenali sebagai Prinsip Kesetaraan dan juga telah merintis kepada pembinaan Teori Kenisbian Am melalui Prinsip Kesetaraan tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum pada perenggan sebelum ini, iaitu penyelidikan fizik teori adalah sekadar memerlukan buku rujukan asas, pen, kertas dan kemahiran berfikir yang baik iaitu kemahiran berimaginasi salah satunya dan cukup murah pembiayaan akan penyelidikannya. Makalah ini adalah bertujuan untuk member sedikit gambaran mengenai halatuju penyelidikan fizik teori di Malaysia, berserta isu dan cabarannya berdasarkan pengalaman, pencerapan dan pembacaan penulis mengenainya. Sebelum kita membincangkan dengan lebih terperinci, adalah wajar untuk penulis memetik sedikit kandungan daripada ucaptama Prof Chia Swee Ping (Presiden Institut Fizik Malaysia) ketika Expoxitory Quantum Lecture Series 4 di UPM, beliau berucap bahawa di negara barat, bidang fizik teorilah yang mendahului dan menjadi peneraju kepada penyelidikan fizik kemudian disusuli dengan pengesahan melalui ujikaji, tetapi fenomena itu adalah sebaliknya di Malaysia, iaitu fizik eksperimen terkehadapan mendahului berbanding kajian fizik teori, kata beliau dengan penuh sinis. Nah, itulah fenomena penyelidikan fizik di Malaysia hari ini.

Jika dilihat budaya penyelidikan di universiti, iaitu peringkat Projek Tahun Akhir Sarjanamuda, pelajar-pelajar didedahkan dengan penyelidikan-penyelidikan bidang fizik gunaan, yang hanya sekadar memenuhi syarat-syarat untuk bergraduan. Tambahan pula, penyelidikan-penyelidikannya adalah seperti kajian yang sekadar naiktaraf daripada silibus amali dalam kursus, tiada budaya menyelesaikan masalah, hanya memperolehi produk dan tiada sikap ingin tahu diterapkan dalam penyelidikan, apa yang perlu adalah “dapatkan data” dan “bentang”. Jika ditanya; Kenapa digunakan kaedah tersebut? atau Apakah yang menyebabkan keputusan kamu jadi begitu?, pelajar tersebut tidak dapat menjawabnya. Ini kerana berkemungkinan pelajar tersebut lemah dalam pengetahuan asas fizik, atau pelajar tersebut tidak dapat menghubungkaitkan hasil dapatan kajiannya dengan konsep asas fizik atau pelajar tersebut melakukan apa yang disuruh oleh pensyarahnya sahaja (ini pernah berlaku).


Manakala di peringkat sarjana dan doktorat pula, jarang kedengaran pentelaahan dalam bidang fizik teori dilakukan, malahan jika diperhatikan dalam Jurnal Fizik Malaysia pun agak sedikit bilangannya makalah-makalah dalam bidang fizik teori diutarakan, jika adapun penyelidik yang sama juga. Agak kasar penulis untuk katakan bahawa kebanyakan pelajar PhD adalah dipergunakan untuk merebut peluang kenaikan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi dan inilah situasi atau realiti yang sebenarnya berlaku di kalangan ahli akademik di Malaysia, kerana memiliki pelajar PhD adalah syarat-syarat untuk kenaikan pangkat (terutamanya jawatan Profesor Madya dan Profesor) dan juga menjadi salah satu perkara yang memenuhi keperluan KPI akademik. Situasi seterusnya sering juga berlaku, iaitu pensyarah memohon geran penyelidikan dan kemudiannya menawarkan gaji GRA kepada pelajar-pelajar PhD atau Sarjana di bawah seliaan beliau, kemudian membiarkan pelajar tersebut menjalankan kajian dan eksperimen tanpa penyeliaan yang professional bermaksud member layanan seperti “buruh” kerana pada pandangan penyelia, pelajar tersebut telah pun digajikan. Maka tak berlakulah hubungan pelajar-penyelia, tetapi “buruh-majikan”, apa yang dikejar adalah “paper”.

Jika disemak semula kursus-kursus fizik di IPT, ia kelihatan agak kurang memberi penekanan kepada kursus-kursus fizik tulen dalam silibus ijazah sarjanamuda fizik, seperti mekanik kuantum lanjutan, fizik matematik, mekanik klasik, mekanik statistik, teori medan kuantum dan teori kerelatifan dan dari perspektif pelajar, kursus tersebut adalah boleh diklasifikasikan sebagai kursus menjatuh gred akademik mereka atau dengan nama popularnya “killer subject”. Ditambahkan lagi dengan pensyarah yang mengajar kursus tersebut bukanlah pakar dalam bidang tersebut, tapi sekadar “bidan terjun” inilah yang dialami oleh penulis ketika belajar dahulu. Kenyataan tersebut, tidaklah menjadi kesimpulan secara keseluruhan kepada university-universiti di Malaysia, Cuma sekadar pencerapan terhad dan pengalaman cetek penulis sahaja.

Bidang penyelidikan di Malaysia juga dipengaruhi oleh udara politik negara. Ia bergantung kepada hasrat kerajaan untuk meneraju negara, sudah tentulah hasrat Menteri. Jika sebelum ini hasrat kerajaan adalah untuk memenuhi permintaan makanan penduduk Malaysia yang terpaksa diimpot makanan daripada luar negara dengan jumlah yang mencecah billion ringgit, maka dasar kerajaan telah memperuntukan dana-dana untuk penyelidikan mengenai agrikultur dan bioteknologi bagi mengurangkan jumlah kewangan impot makanan tersebut, oleh itu bagi penyelidik yang menyediakan proposal atau kertas cadangan untuk memperuntukkan jumlah dana penyelidikan dalam bidang tersebut, akan diluluskan. Hal ini juga berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir, yang mana kerajaan mensasarkan industri perkilangan sebagai sektor utama kepada pertumbuhan dana ekonomi negara, maka nanoteknologi yang menjadi subjek utama dalam penyelidikan, oleh itu banyak dana IRPA diluluskan atas nama penyelidikan nanoteknologi dengan jumlah dana yang sangat banyak, malahan melebihi 10juta ringgit Malaysia.

Jika dilihat kepada aspek dana penyelidikan di universiti, ia mensasarkan setiap penyelidikan harus menghasilkan produk apa akhiran kajian, lebih baik produk tersebut adalah produk yang boleh dipegang dan boleh digunapakai, kerana universiti akan mendapat nama jika produk tersebut memenangi pingat-pingat di pameran inovasi nanti. Pada pandangan penulis tidak mengapalah, sekurang-kurangnya berlaku jugalah proses-proses penyelidikan di university, tetapi penulis ingin membawa pembaca kepada pengalaman pertama penulis untuk memohon geran penyelidikan. Ketika penulis memohon geran, penulis mensasarkan jumlah RM100 untuk pembiayaan penyelidikan dalam bidang fizik teori penulis. Apabila dimajukan permohonan tersebut, borang tersebut ditertawakan oleh pembantu tadbir di pejabat tersebut, kerana pada pandangan penulis cukuplah bahawa peralatan penulis sememangnya dibekal oleh pihak fakulti, manakala makalah-makalah fizik pula boleh didapatkan daripada Sciencedirect dan Arxiv dan pembelanjaan ke persidangan diperuntukkan oleh pihak universiti sebanyak RM10,000 setiap seorang per tahun. Itulah pengalaman penulis dan itu jugalah yang berlaku iaitu penyelidikan bidang fizik teori dipandang sipi sama ada di peringkat universiti ataupun kebangsaan. Penulis pernah melihat maklumat pernyelidik-penyelidik Malaysia melalui laman portal Science Fund (MOSTI), kebanyakan daripada mereka adalah daripada kalangan penyelidik eksperimen dan geran-geran penyelidikan yang telah diluluskan adalah penyelidikan eksperimen dan berinstrumen.

Realiti tempat kerja di IPTA juga menjadi salah satu dilema kepada penyelidik atau pensyarah yang memerlukan masa terluang untuk berfikir dan menyemak makalah-makalah fizik, itu telah pun dicuri oleh rutin-rutin yang tiada nilai-nilai akademik, antaranya ialah menghadiri mesyuarat fakulti, melakukan urusan-urusan pentadbiran dan membuat fail meja atau fail pengajaran dan pembelajaran kualiti ISO. Kerja-kerja tersebutlah yang menodai kemahiran berfikir penyelidik dan juga masa terluang mereka. Kajian fizik teori adalah salah satu kajian sepanjang masa tidak terhad kepada masa atau ruang, kerana proses berfikirnya adalah berterusan, iaitu masa untuk mengenalpasti masalah yang difikirkan dan cuba untuk menyelesaikannya. Kekadang penyelesaian masalahnya tidak berlaku ketika masa pejabat atau masa bekerja formal, tetapi ia juga sering berlaku pada masa tidak formal seperti ketika menunggang basikal untuk bersiar-siar, ketika mengenaikan tali leher di baju atau ketika sebelum masuk tidur dan keadaan ini juga telah terjadi kepada Einstein. Berbeza dengan fizik ujikaji, mereka memiliki sedikit idea dan menggajikan pembantu penyelidiknya untuk menjalankan ujikajinya sama ada menyediakan sampelnya atau mengukur sifat fizik sampel tersebut, maka tak hairanlah mereka mempunyai banyak masa untuk menghadiri mesyuarat eksekutif dan kebanyakan daripada mereka mendominasi jawatan profesor dan jawatan tertinggi universiti.

Sebelum ini, penulis pernah menghadiri satu lawatan rasmi ke sebuah universiti, penulis bertemu dengan seorang professor dan beliau bertanyakan mengenai sama ada university penulis mempunyai ketuhar suhu tinggi atau tidak, kerana beliau memaklumkan bahawa fizik eksperimen umpama seperti “Chef”, kita masukkan perencah dan kandungannya dan kemudian kita rasai makanan tersebut, seterusnya kita tukarkan pula perencah dan kandungannya. Begitulah analoginya yang diberikan, kita sekadar mengubah parameter atau mengubah peratusan kandungan dalam sampel tersebut dan kemudiannya sampel itu kita cerap atau ukur sifat fiziknya, makalah dapatlah satu makalah akademik. Sebagai contoh, kita menyediakan sampel semikonduktor aloi InGaAs (indium-galium-arsenida) melalui Metalorganic vapour phase epitaxy (MOVPE) dengan nisbah seperti berikut In0.25Ga0.75As, kemudian kita cerap sifat elektroniknya dengan X-ray photoelektrik spectroscopy (XPS), maka daripada prosedur itu dapatlah ditulis satu makalah untuk nilai nisbah atom-atom tersebut. Setelah selesai itu, kita tukarkan pula nisbah atom tersebut kepada In0.75Ga0.25As dan kita lakukan rutin yang sama dan urusan tersebut dijalankan oleh GRA (graduted research assistant) atau RA (research assistant) ketua penyelidikan atau pemilik geran penyelidikan tersebut.


Jika dibandingkan dengan kajian fizik teori, ianya adalah sebaliknya, yang mana ia lebih memberikan penekanan kepada konsep asas fizik tersebut dan selidiki melalui pengiraan bermatematik dengan pemahaman konsep yang mendalam, malahan menilai konsep asas fizik tersebut (aras tertinggi taksonomi bloom, iaitu “Penilaian”). Model demi model matematik diperketengahkan untuk menyelesaikan masalah fizik yang difikirkan tanpa menafikan konsep fizik lain yang diterima (kekadang konsep fizik tersebut boleh juga ditambahbaik atau diperbaiki). Lembaran demi lembaran kertas dicontengnya, papan putih dilakari dengan symbol-simbol Yunani yang tidak difahami. Jika dilihat secara amnya, penyelidikannya adalah sangat sukar, tak hairanlah jika dihimbau sejarah peribadi ahli fizik teori, mereka memiliki perwatakan yang sangat pelik dan yang paling ketaranya, ialah mereka adalah seorang yang tidak formal dan sukar bergaul atau bersosial mesra dengan orang awam. Tetapi yang perlu dikagumi pada mereka adalah mereka bersungguh-sungguh dan ikhlas pada ilmu dan kebenaran, kedudukan, pangkat dan harta tidaklah menjadi sandaran bagi mereka untuk terus menyelidik.

Aspek penghasilan makalah tidaklah semudah kajian fizik eksperimen, kebanyakan makalah fizik teori banyak yang ditolak dalam jurnal-jurnal fizik berimpak tinggi, jika dilihat dalam laman sesawang arxiv.org (menghimpun makalah sains), didapati terdapat sebilangan besar makalah-makalah fizik teorinya tiada nama rujukan jurnalnya, ini menunjukkan bahawa makalah tersebut telah ditolak daripada jurnal fizik teori, oleh hal yang demikian penyelidik tersebut mengambil inisiatif untuk menerbitkannya juga dalam laman web tersebut. Makalah fizik Peter Higgs juga pernah ditolak, makalah tersebut adalah mengenai penemuan secara teori iaitu zarah yang bertanggungjawab ke atas konsep jisim bagi zarah asas melalui pencabulan simetri U(1) setempat berspontan dengan gandingan tolok electromagnet, makalah mengenai zarah tersebut ditolak daripada jurnal fizik, walhal penemuan zarah tersebut yang telah menjadi inspirasi kepada masyarakat fizik sekarang dalam menyertai program Large Hadron Collider (LHC), terutamanya dikalangan ahli fizik eksperimen.

Perkembangan semasa fizik teori tidaklah dibincangkan atau disiarkan secara umum di Malaysia melalui persidangan-persidangan atau seminar-seminar atau makalah arus perdana, apatah lagi perbincanga secara teknikal. Jika dilihat daripada penyelidikan di negara Barat terutamanya, mereka telah lama membincangkan masalah zarah Higgs, manakala di Malaysia baru sedang menghantar pelajar-pelajarnya ke Summer School CERN. Jika dinegara Barat, ahli fizik teori yang disegani, manakala di Malaysia adalah sangat berbeza, bukan setakat ahli fizik teori, malahan ahli fizik eksperimen pun dipandang sipi oleh golongan profesional. Komuniti yang disegani pada mereka adalah ahli politik, tidak kiralah apa pun partinya atau apapun latarbelakangnya.

Melalui pengalaman penulis, kesusutan bilangan dan kekangan ahli fizik teori turut dipengaruhi dengan system pendidikan negara, ini dapat dilihat dengan penilaiannya berdasarkan kepada peperiksaan, yang menyekatkan kebebasan pelajar untuk berfikir diluar kotak fikiran dan menimbulkan minat atau kesungguhan kepada sesuatu ilmu, kerana semua pelajarannya yang disuapkan kepada pelajar-pelajar mestilah merangkumi silibus-silibus Kementerian Pelajaran Malaysia. Budaya galakan dirumah juga mempengaruhi tumbesaran pemikiran kanak-kanak, yang mana anak-anak kecil tidak didedahkan dengan sikap ingin tahu, atau kemahiran berimaginasi, atau menjalankan penyelidikan sains yang ringkas, atau mendedahkan mereka tentang objek-objek samawi di angkasa, atau diceritakan kepada mereka cerita-cerita yang boleh menarik minat mereka mengenai dunia sains dan penyelidikan. Albert Einstein pernah dihadiahkan Kompas ketika umur tiga tahun dan mencetuskan sikap ingin tahu “kenapa jarum kompas selalu menunjuk arah ke utara?”, Richard Feynmann pula dihadihkan radio dan daripada itu, beliau berupaya memperbaiki radioya sendiri dan kedua-duanya adalah berbangsa Yahudi, penulis tinggalkan pembaca dengan latarbelakang kedua-dua orang personaliti tersebut. Apa yang jelas dalam masyarakat kita, ialah setiap kali anak-anak balik sekolah perkara pertama yang ditanya adalah “Cikgu ada beri kerja sekolah tak? Kalau ada, buat sekarang!”, kemahiran anak-anak berada di dalam ruang lingkup kerja sekolah tersebut, tidak pernah didedahkan kepada anak-anak dengan pertanyaan “Kenapa dan Mengapa”. Cita-cita pertama yang diterapkan juga oleh ibu-bapa dan guru di sekolah adalah doktor, jurutera, guru atau akauntan, tak pernah kedengaran cita-cita mereka adalah ahli fizik atau ahli matematik atau ahli pemikir. Mungkin budaya kita berbeza dengan budaya ketika zaman kanak-kanak Gerard ‘t Hooft, iaitu seorang ahli fizik yang memenangi Hadiah Nobel dalam Fizik pada tahun 1999 yang mana ketika itu beliau telah ditanyakan mengenai cita-cita beliau apabila dewasa kelak, beliau menjawab, beliau mahu menjadi seorang yang “Tahu segala perkara”.

Ahli fizik teori di Malaysia semakin hari semakin menyusut, hal ini turut diakui oleh Prof Shaharir Md Zain, melalui perbualan ringkas dengan beliau di UMT. Beliau mengeluh dengan kesusutan ahli fizik teori jika dibanding pada awal 70an, itupun ketika itu bilangan ahli fizik teori boleh dikira dengan jari, sekarang ini tak pastilah pula bilangannya, katanya sambil ketawa terbahak-bahak. Menjadi ahli fizik teori tidaklah mendamba kekayaan, cukuplah sekadar memenuhi kepuasan untuk mengetahui sesuatu yang sedikit tentang aturan alam. Bak kata Prof Freddy Permana Zen, (seorang ahli fizik teori Institut Teknologi Bandung, Indonesia dalam bidang Adisimetri dan Graviti Newtonian Terubahsuai) iaitu “Menjadikan bidang ini, bukanlah untuk kaya”. Penulis agak tertarik dengan kenyataan Prof Madya Ithnin dari UM iaitu “Orang yang mengkaji Teori Aditetali (merujuk kepada beliau dan saudara Anuar Alias) telah memenuhi fardhu kifayah untuk negara Islam, kerana teori tersebut telah didominasi oleh orang bukan Islam”

Wahai generasi baru, mulakanlah langkah kita semua untuk mendominasi bidang fizik teori meskipun kita telah ketinggalan daripada negara sedang membangun, malulah kita kepada negara Thailand dan Indonesia, apatah lagi jika dibandingkan dengan negara Singapura, negara yang sudah membangun dalam bidang tersebut. Sebagai permulaan untuk mengorak langkahnya, maka adalah perlu kita semaikan kehidupan harian kita dengan perbincangan-perbincangan ilmiah di setiap masa meskipun dikala waktu makan tengahari. Kedua, jadilah seorang yang relevan, setiap perkara yang dibawakan atau yang didengar adalah fakta dan bukti begitu juga dalam berhujah. Ketiga, pupuklah sikap ingin tahu dan keghairahan untuk meneroka pengetahuan tentang alam tabii. Keempat, perkemaskanlah kemahiran dan pengetahuan matematik. Kelima, mendominasi setiap sektor professional dan penyelidikan. Keenam, ciptakan suasana ilmiah dirumah bersama keluarga, mungkin anak-anak itu berkemungkinan menjadi generasi penggerak kepada dunia penyelidikan, terutamanya bidang fizik teori.

Kesimpulannya disini bahawa halatuju fizik teori di Malaysia adalah negatif, memandangkan data dan pencerapan tak rasmi penulis adalah kabur untuk menyatakan bilangannya, ini menunjukkan bidang fizik teori adalah tenat. Manakala cabaran bagi perkembangan bidang fizik teori sudahpun bermula daripada pendidikan awal dirumah, seterusnya ke persekolahan, membawa kepada pendidikan di peringkat universiti dan kebangsaan, malahan ke peringkat dasar kerajaan dan menbantutkan usaha-usaha dan kesungguhan pentelahaan bidang fizik teori dilakukan, begitu jugalah isu-isunya yang telah dibincangkan.

Wallahu'alam