Isnin, 1 Oktober 2012

Tindakan Berhantu Keatas Jarak


Kuantum Mekanik berhantu?
Ya benar. Inilah yang digelar oleh saintis ke atas makalah Einstein, Podolsky dan Rosen (tentang konsep EPR) - iaitu Spooky Action at Distance atau terjemahannya, Tindakan Berhantu Ke atas Jarak.

Saya ringkaskan disini.
Terdapat dua zarah berspin separa 1/2 (fermion) yang terhasil daripada pereputan zarah induk berspin-0 (skalar). Tanpa mengenepikan Hukum Keabadian, yang turut juga berlaku ke atas "spin", maka persamaan tersebut boleh ditulis seperti berikut. Zarah Induk--> 2Zarah Reputan (0-->1/2 + -1/2). Petunjuk: 1/2=Up, -1/2=Down, 0=Zarah skalar.

2 Zarah reputan, salah satu perlu jadi "Up" atau "Down".

Nah, di sinilah "Konsep Pengukuran" menjadi peranan. Jika dua zarah reputan itu di pisah jauh (satu di bumi dan satu lagi di bulan). Oleh itu kita perlu mengukur atau mencerapnya, kerana kedua-dua zarah mikro tersebut memenuhi Prinsip Ketakpastian Heisenberg (kebarangkalian yang unik). Katakan jika zarah di bumi itu kita cerap atau ukur adalah "Up", maka sudah tentu di bulan itu "Down" dan begitulah sebaliknya.

Ujikaji Gendaken (Imajinasi) ini mengilhamkan dua postulat: 1)Hidden variable (Pemboleh ubah tersembunyi) dan 2)Spooky Action ata Distance (Tindakan Berhantu Keatas Jarak). Tetapi John Bell mencadangkan idea untuk berujikaji Konsep EPR tersebut, beliau mendapati bahawa Pemboehubah Tersembunyi di tolak. Dan ini diperkukuhkan dengan hasil ujikaji sebenar oleh Anton Zeilinger. Yang tinggal adalah Spooky Action at Distance

Namun Ahli Relativiti (Relativis) tidak menyukai idea tersebut, kerana idea tersebut telah mencabuli prinsip asas relativiti mereka, iaitu kemalaran laju cahaya. Iaitu, jika dua zarah yang belum dicerap itu (entanglement atau berada dalam keadaan kebegeliutan), kemudian dipisah jauh sekali, lalu kita mencerap salah satu zarah tersebut (katakan "Up") lalu zarah satu lagi akan menerima maklumat terus dan memberikan hasil cerapan yang berbeza, iaitu "Down". Ini menunjukkan terdapat satu medium yang melampaui laju cahaya yang memaklumi zarah satu lagi perlu menjadi "Down"

Nanti kita akan cuba membincang tentang idea teleportasi yang mana di aplikasikan dalam filem-filem sains fiksyen seperti Star Wars iaitu menghantar seseorang ke tempat lain. Insyaallah. :-)


KM 177.5

Semalam saya pergi ke Balai Polis Bandar Baharu Serdang (Kedah) untuk membuat laporan polis akan kemalangan saya bersama adik lelaki saya dan isteri beliau. Saya tiba dengan bertongkat dan beranduh. Kami dilayan dengan baik sekali oleh Sarjan Sabri dan Koperal Andura. 

Untuk makluman pembaca, ingatan saya sangat terhad, saya tidak dapat mengingati apa yang berlaku sehinggakan memori saya dua hari sebelum Aidilfitri sehingga dimasukkan ke KMC (Kedah Medical Centre) seminggu selepas di Hospital Taiping, saya tidak ingat langsung - seolah-olah memori saya dipadam. Manakala ketika di KMC pula saya hanya mengingat sedikit sahaja, meskipun rakan, sanak-saudara dan jiran datang melawat dan berbual dengan saya tetapi selepas itu saya tidak ingat langsung bahawa saya berbual dengan mereka, teruk betul ingatan ketika itu. Jadi saya memohon kepada rakan-rakan, sanak-saudara dan jiran sekirannya saya tidan dapat ingat hal tersebut.

Berbalik kepada tentang saya membuat aduan, polis tersebut bertanya kepada saya sama ada saya masih mengingati kejadian tersebut?

"Saya tak ingat langsung tuan" balas saya

Lalu sarjan menceritakan kepada saya kejadian tersebut daripada laporan dan bukti-bukti yang sedia ada.
Terdapat dua pembuat aduan; 1)Pemandu kereta 2)Penunggan motorsikal. Kejadian itu berlaku di KM177.5 arah utara (susur keluar tol di Bandar Baharu, Serdang). Penunggang motorsikal membuat aduan bahawa saya yang melanggar beliau, tetapi daripada bukti-bukti yang sedia ada agak bertentangan dengan aduan beliau iaitu 1)Berlaku kerosakan pada motor saya dibahagian belakang 2)Manakala motorsikal beliau pula rosak bahagian depan 3)Beliau hanya sakit bahagian lutut dan beliau langsung berpatah balik pulang ke rumah selepas saya yang tidak sedar diri itu di angkat  dan di bawa pergi ke hospital. Apapun saya bersyukur akan keselamatan saya, kerana ketika itu banyak kereta pulang berhari raya dan saya jatuh di lorong memotong (lorong kereta memecut pulang)

Manakala pembuat aduan kereta pula, beliau mengelak daripada melanggar saya yang jatuh itu - alhamdulillah.

Manakala di KMC pula saya mengalami sesak nafas yang kritikal sehinggakan sekali lagi saya dimasukkan ke bilik ICU dan dibantu dengan Mesin hayat (seperti bantuan pernafasan sepenuhnya) dan juga ubat pelali (bius). Hal ini terjadi kerana paru-paru saya dipenuhi darah ynag mengekang pernafasan saya. Sekali lagi, alhamdulillah, Allah mahukan saya lagi untuk hidup di dunia-Nya yang mana pada hari kedua, darah saya dikeluarkan melalui hidung dan mulut, diceritakan isipadunya banyak sekali. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Di KMC, saya dikenali kerana saya adalah yang paling muda sekali dimasukkan di bilik ICU dan kes itu jarang berlaku di KMC. Saya juga rapat dengan jururawat di ICU yang mengurus saya, saya bergurau dengan mereka, berbual dan bertanya khabar, antara yang saya ingat; Faizah, Natasha, Nad, Foo, Chin(fisioterapis) dan Nazirah (fisioterapis). Dr Manisekar dan Dr Low adalah doktor yang mengurusi saya, berdedikasi dan baik sekali melayan saya. 

Sekarang saya berada di Kuala Perlis. Alhamdulillah. :-)

Khamis, 28 Jun 2012

Arakian, dahulukalanya di Menara Gading Kebangsaan Tanah Melayu

Hari ini saya baru selesai menyemak, memeriksa, mengred dan memasukkan markah bagi pelajar-pelajar PJJ. Oleh itu, saya cuba untuk mengemaskini data-data dan isi kandungan dalam komputer saya, memandangkan urusan pengajaran & pembelajaran bercuti seketika, saya mengambil kesempatan ini untuk memformat kembali komputer riba saya, memandangkan virus-virus kelihatan mula berkeliaran di dalam komputer saya. Lalu saya menyelamatkan beberapa data-data penting dan memadam beberapa kandungan yang lain (yang tidak penting dan mudah dicari di internet)

Ketika mengenal pasti yang mana harus dipadam (delete) dan yang mana harus disimpan, lalu saya terjumpa beberapa imej ketika saya belajar di UKM suatu ketika dahulu. Ketika itu saya  menjalani kajian ke atas kimia koloid, yang mana saya mengkaji kesan fizikal (sifat reologi, mikrostruktur dan sifat optik). Hmmm... Terasa sentimental pula melihat gambar-gambar lama.

Oh, lupa projek tahun akhir saya diselia oleh Profesor Dr Shahidan Radiman, beliaulah yang menguja kami untuk meminati sains dan SUFI (Sufi?). Hasil projek tahun akhir saya telah diabadikan dalam Jurnal Sudan Medical Monitor untuk keluaran Januari-Mac 2012. Saudara seperguruan saya Mohd Hairie Rabir juga mengkaji kimia koloid, tetapi bezanya ialah beliau menghasilkan zarah bersaiz nano dengan menggunakan acuan mikroemulsi (surfaktan+air+minyak dalam Rajah Gibbs). Beliau melakukan pencirian melalui Mikroskop Elektron dan "hasil"nya hanya saya, Prof Shahidan dan beliau sahaja tahu. Hehehehe....


Sedikit Bingkisan Mengenai Kajian Tersebut

Saya cuba mencerap sifat fizikal ke atas hablur cecair (liquid crystal) jenis lyotropik berfasa lamellar jika ditambahkan dengan silika bersaiz nano. Kemudian saya melakukan pencirian melalui SAXS (Small Angle Xray Scattering - Serakan Sinar-X Bersudut Kecil), Mikroskop Polar dan Rheometer; sebagai tambahan juga saya menciri dengan menggunakan DSC (Differential Scanning Calorimeter - Kalorimeter Pengimbas Berbeza), namun hasil data ini agak kurang relevan dan tak konsisten, jadi saya abaikan.
Rajah 1: Radas penyediaan

Rajah 2: Bahan penyediaan
Dari kiri: Nanosilika (dari Degussa), surfaktan Aerosil-OT, Isooktana & air
Rajah 3: Penyediaan sampel
Dari kiri: 0, 0.5, 1.0, 1.5, 2.0, 3.5 & 5.0%
Sampel-sampel ini masih saya simpan sebagai kenangan menjalani Projek Tahun Akhir. Rajah di bawah pula adalah peralatan SAXS untuk mencerap mikrostruktur bahan mengaplikasi konsep serakan Bragg untuk menghitung pemalar kekisi dan pengecaman struktur. Harganya sekitar 1.8juta hengget, kalau tak silap saya dan kami menggunakan mesin ini sepenuhnya dan Encik Tazidi (Pembantu Makmal, mesin ini di bawah seliaan beliau) memberi kepercayaan kepada kami sepenuhnya meskipun kami masih pelajar Pra-siswazah.

Rajah 4: SAXS
Mikroskop Polar pula membenar hanya cahaya satah sahaja yang boleh dilihat, nanti saya akan lampirkan kecantikan imej-imej yang saya perolehi daripada kajian saya. Memang sangat cantik alam-alam seni yang Allah cipta.

Rajah 5: Mikroskop Polar
 Manakala ini pula adalah TGA, saya tidak menggunakan instrumen ini, memandangkan mesin ini berada dalam bilik sama dengan mesin SAXS, jadi saya ambil gambarnya. Sekadar kenangan.

Rajah 5: TGA (Thermal Gravimetric Analysis - Analisi Gravimetri Haba)

Kerja-kerja Mencerap Pun Bermula

Kami melakukan kajian di Blok C (kalau tak silap saya) yang dilengkapi peralatan canggih-manggih. Rajah dibawah menunjukkan rakan-rakan seperguruan, sebenarnya Mohd Hairie tidak menggunakan Mikroskop Polar, sekadar melawat rakan seperguruannya yang lain di bilik sebelah, hehehe... tetapi beliau menggunakan peralatan lebih canggih daripada kami, iaitu Mikroskop Elektron yang berada di belakang universiti jauh nun disana. Manakala Norhidayah pula melakukan perkara yang sama juga tetapi bahan yang berlainan dan metod pencirian juga berbeza.

Rajah 6: Rakan-rakan seperguruan (di bawah penyeliaan Prof Dr Shahidan Radiman)
Dari kiri: Mohd Hairie, Norhidayah & Individu tak dikenali (saya lupa namanya)

Rajah 7: Bergilir-gilir melihat fenomena alam seni

Hasil Dapatan Kajian (Sekadar Imej)
Hablur cecair mempuanyai dua fasa iaitu: 1) Termotropik (yang mana digunakan pada skrin komputer riba) dan 2)Lytropik (banyak digunakan dalam bahan-bahan kosmetik, dan antara tujuan saya adakah sesuai penambaha nanosilika ke atas bahan kosmetik boleh meningkatkan kecairan lyotropik tersebut, hehehe...)

Saya ambil fasa lyotropik  dan ia pula terdiri daripada tiga jenis iaitu: 1)Kubik 2)Heksagonal 3)Lamellar (kajian saya). Jenis-jenis ini bergantung kepada keperatusan jisim surfaktan, minyak dan air dalamSegitiga Rajah Gibbs. Saya rasa tak perlu diterangkan Segitiga Rajah Gibbs.

Mari kita lihat rajah-rajahnya.

Kubik
Kita tidak dapat melihat fasa kubik dibawah Mikroskop Polar kerana ia adalah jenis Birefringent bermaksud ia tidak membenarkan cahaya satah melaluinya, jika dilihat ia akan kelihatan legapa dibawah mikroskop tersebut

Lamelar
Lamelar pula ada beberapa jenis antaranya yang saya perolehi: 1)Jalur minyak 2)Palang Maltase

Rajah 8: Palang Malatese

Rajah 9: Jalur minyak
Heksagonal
Sebenarnya gambar heksagonal saya dapat secara tidak sengaja, seperti mana Niels Bohr menjumpai spektrum garis yang diskret dari gas hidrogen (chewaahhh..). Ketika menghasilkan sampel fasa lamelar, saya terlupa menutup kembali sampel saya tersebut dalam 30-40minit, kemudian saya kembali dan melihatnya melalui Mikroskop Polar maka rajah-rajah ini yang saya perolehi. Sampel saya meruap sedikit dan turun kepada jenis heksagonal. Kemudian saya semak daripada Segitiga Rajah Gibbs memang betul, peratusan air bagi jenis heksagonal kurang berbanding jenis lamelar.
 
Rajah 9: Heksagonal (1)

Rajah 10: Heksaginal (2)

Rajah 11: Heksagonal (3)
 Perbandingan dilakukan keatas peratusan nanosilika yang ditambah, hasilnya seperti dibawah.

Rajah 12: Lamelar selepas ditambah nanosilika (1)

Rajah 13: Lamelar selepas ditambah nanosilika
Kesimpulan
Hasik dapatan yang diperolehi:

Sifat Reologi
Penambahang nanosilika mngubah sifat reologinya tetapi tidak mengubah kepada bendalir tak-Newtoniannya.

Mikrostruktur
Penambahan nanosilika tidak mengubah mikrostruktur lamelar tersebut.


Sifat Optik
Perubahan kepada birefringent. Korelasi daripada data Mikrosktruktur dan optiknya, kami berpendapat bahawa penambahan nanosilika tidak mengubah kekisi hablur lamelar, tetapi menghasilkan keadaan yang dikenali sebagai multi hablur.


Epilog


Barisan Bakal Saintis Nuklear
Rajah 00: Program Sains Nuklear 2003-2006
Seingat saya

Berdiri Di atas Kerusi (dari kiri): Rafizi, Farid, Hafiz (1), Gia Rong, Farid, Prautama Ostavico, Lee, Ah Kenn, (Tuan Empunya Blog), Fauzan, Zaki.

Berdiri (dari kiri): Mohd Hairie, Ganessan, Ag Sufiyan, Patricia, Heah Whye Shuan, Mei Mei, Terlupa nama (1), Zarul Azwana, Terlupa nama (2), Terlupa nama (3), Faiezin, Hayati, Hafiz (2), Zaimie, Fakhrul Nizam.

Duduk (dari kiri): Yoh, Gunnasendran, Yogannessan, Habibie, Arvindran, Terlupa nama (4), Loo, Zamzuri, Hanis, Nik Bukhari

Ketika kami semester pertama kami pernah dibawa ke Pahang untuk melihat kecantikan alam. Dengan tujuan supaya kami menghargai alam sekitar mencintai ciptaan Allah, supaya lepas bergraduan kelak, kami akan menjaga alam sekitar daripada pencemaran sinaran beradioaktif, mengawal selia tahap keselamatan radiasi dan memberi maklumat kepada orang awam akan kesedaran keselamatan radiasi, kata pensyarah kami.

"Kenangan Terindah Buat Teman-Teman Seperguruan Di Program Sains Nuklear"


Selasa, 19 Jun 2012

Syarat Kepelengkapan

Pra-muka
Membaca makalah klasik"Adakah Penjelasan Realiti Fizik Mekanik Kuantum Boleh Dipertimbangkan Lengkap"

Makalah ini ditulis oleh, Einstein, Podolsky dan Rosen. Natijah daripada makalah ini, terbangun salah satu mazhab dalam mekanik kuantum iaitu, Tafsiran EPR. Makalah ini cuba menghujat kembali ke atas sifat kebarangkalian dan kebolehcerapan dalam Tafsiran Copenhagen. (Dalam makalah EPR ini juga cuba meragui peranan penurunan gelombang paket atau keruntuhan fungsi gelombang)

Tertarik
Tetapi apa yang saya tertarik dalam makalah ini falsafah sainsnya terkandung pada awal pengenalan makalah ini. Antaranya ialah:

1.  Untuk mengadili sesuatu teori itu berjaya dalam menerangkan, kita seharusnya menanyakan kepada diri kita dua soalan: 1)Adakah teori tersebut betul? dan 2)Adakah peneranganyang diberikan oleh teori tersebut lengkap?

2. Ketepatan sesuatu teori itu diadili oleh darjah keserasian di antara kesimpulan teori (ramalan) dan pengalaman manusia (melalui pengukuran dan ujikaji)

3. Makalah ini mentakrifkan Syarat Kepelengkapan

Setiap unsur realiti fizik mestilah mempunyai sebahagian dalam teori fizik.

Lagi Tentang Makalah EPR
Sedang memahami makalah ini, sebab makalah ini membincangkan sesuatu yang sangat asas dalam mekanik kuantum, meskipun matematiknya mudah untuk ditelaahi, tetapi falsafah dan konsep setiap formalism matematik yang diberikan masyaallah hanya Allah saja yang tahu akan kesukarannya.

Phewww....

Sabtu, 16 Jun 2012

Bunuh Diri?

Rajah 1: Dibunuh atau tak dibunuh?

Tadi saya terbaca mengenai idea  Max Tegmark dalam mekanik kuantum, iaitu mengenai "Bunuh Diri Kuantum".

?

Bunuh Diri Kuantum adalah merupakan Ujikaji Imajinasi berdasarkan idea-idea mekanik kuantum yang sedia ada, iaitu Mazhab Copenhagen dan Mazhab Alam Banyak Everett ke atas Ujikaji Kucing Schrodinger. Ujikaji Imajinasi menggunakan kedua-dua idea tersebut ke atas Pengujikaji itu sendiri (menggantikan kucing dalam Ujikaji Kucing Schrodinger). Saya lampirkan ujikaji seperti di bawah.


------------------------------------------------------------------------------------------------

Tajuk
Ujikaji Imajinasi ke atas Copenhagen dan Alam Banyak Everett.

Objektif Kajian
1) Menentu sahkan idea-idea mekanik kuantum
2) Mengkaji peranan pencerap ke atas superposisi keadaan

Radas/Bahan
1) Diri anda (sebagai pengujikaji)
2) Kotak
3) Pistol
4) Kebuk penjana zarah kuark

Kaedah Kajian
1) Pengujikaji (anda) dimasukkan ke dalam sebuah kotak
2) Pistol diisikan dengan peluru
3) Picu pistol tersebut dihubungkan dengan penjana zarah kuark
4) Setiap kali picu pistol itu ditekan penjana zarah kuark itu akan diaktifkan
5) Jika zarah kuark itu diukur berpusing arah jam, maka pistol itu diberikan isyarat untuk menembak
6) Jika zarah kuark itu diukur berpusing lawan arah jam, maka pistol itu diberikan isyarat untuk tidak menembak
7) Langkah 2,3 dan 4 dilakukan berulang kali.


Dapatan Kajian

1) Pada pertama kali picu itu di tekan, penjana zarah kuark mengukur zarah kuark itu berpusin arah jam dan pistol itu menembak. Pengujikaji itu mati ditembak.
2) Pada kali kedua picu itu ditekan........ ?

Sekejap.... Bukankah picu itu ditekan buat pertama kali itu menunjukkan zarah kuark berpusing arah jam dan pengujikaji itu mati. Bagaiman pula datangnya, picu itu ditekan kali kedua?

3) Dan picu itu ditekan diulang-ulang secara berterusan (terpermanai kalinya)

?

Huh, lagi serabut.

Perbincangan
 
Seperti yang kita sedia maklum bahawa setiap kali proses ini berlaku, pengujikaji itu berada dalam keadaan "superposisi", berkeadaan MATI dan HIDUP (atau 50% Hidup dan 50%Mati) dan kita sedia maklum bahawa dalam Mazhab Copenhagen yang dianuti oleh Niels Bohr dan Werner Heisenberg menyatakan bahawa "Pencerap" lah yang memberikan "hasil dapatan tertakrif". Oleh itu, pencerap juga meruntuhkan salah satu keadaan. Pengujikaji itu men"cerap" melalui rasa MATI atau HIDUP selepas picu itu ditekan, dalam hal ini Tafsiran Copenhagen dipatuhi.

Baik, bagaimana pula picu kali itu boleh ditekan? Dalam hal ini, jika kita kaitkan dengan Mazhab Alam Banyak Everett dan menyatakan bahawa Pengujikaji itu mencerap MATI kerana beliau berada di Alam yang dicerapnya MATI, manakala bagi Pengujikaji yang Hidup pula berada pada Alam yang dicerapnya HIDUP, dengan kata lain, Alam itu terpisah kepada dua alam, iaitu Alam Pengujikaji itu MATI dan Alam Pengujikaji itu HIDUP. Ini kerana Mazhab Alam Banyak Everett tidak mempertimbangkan "Keruntuhan Fungsi Gelombang" yang terkandung dalam rukun Mazhab Copenhagen.

Rajah 2: Lakaran mengenai idea Everett, alam terpisah kepada dua; MATI atau HIDUP


Nah, bagi menjawab persoalan "bagaimana pula picu kali itu boleh ditekan?", Max Tegmark menggabungkan kedua-dua idea tersebut, iaitu picu itu boleh ditekan kali kedua meskipun kali pertama ditekan dan pengujikaji itu mati. Kerana kuantum tidak membenarkan "keadaan" itu satu sahaja, selepas pengujikaji itu mati iaitu mati, tetapi perlu kepada situasi awalnya, iaitu HIDUP atau MATI (dengan kebarangkalian masing-masing, 50%). Dengan kata lain yang menjanggalkan, untuk picu itu ditekan buat kali kedua, si pengujikai itu perlu HIDUP semula (saya tak pasti keadaan yang bagaimana) dan menekan picu pistol itu sama ada menembak atau tak. Begitulah seterusnya, keadaan itu berulang dan terus berulang.


Kesimpulan
Biar Betik?

Refleksi Diri
Tak perlu melaku Ujikaji Bunuh Diri ini, kalau memperlajari mekanik kuantum lama-kelamaan boleh bunuh diri ni. Hahahaha...... Gurau saja tuan-puan.

Selanjutnya, wallahu ta'ala a'lam


Rajah 3: Bunuh Diri Kuantum yang dikarikaturkan

Isnin, 11 Jun 2012

Mimpi Berimpian

Beberapa minggu lepas saya dan Dr Shahrul Kadri ada berbincang sesuatu, iaitu mengenai impian masing-masing. Rupa-rupanya impian kami hampir-hampir sama iaitu, Memperibumikan Sains. Huh, apa itu Pemeribumian Sains? Istilah tersebut sudah lama digunakan, iaitu dari Prof Shaharir Md Zain. Tetapi yang menghairankan kenapa perjuangan Prof Shaharir tidak ditelusuri oleh anak muda, meskipun dari ASASI itu (Akademik Sains Islam Malaysia)? Hmmmm.....

 "Aku ada impian, walaupun sebelum ni tak pernah ada apa yang nak diimpikan" getus Dr Kadri dengan nada seloroh. Saya bertanya. Beliau membalas, "Aku nak menulis buku sains sekolah berasaskan nilai-nilai Malaysia" Saya mulai tertarik dan terus khusyuk menghayati setiap sisi perkataan beliau mengenai impian beliau. Hmmmm.....

Isi Perbualan Dijelmakan Dalam Bentuk Teks

Di Jerman dan Jepun, mereka memperkenalkan sains dan matematik kepada anak-anak mereka dengan diterapkan nilai-nilai kebangsaan dan kenegaraan, juga melalui medium bahasa pengantar mereka. Sebagai contoh dalam buku teks sains Hukum Gerakan Newton (yang kita kenali) tidak ada buku teks mereka. Rupa-rupanya diperkenalkan saintis mereka, iaitu Gottfried Wilheim Leibniz, bukannya Isaac Newton. Ada betulnya juga, dulu ada konflik siapa yang memulai Kalkulus dan Mekanik Newton sama ada Newton dan Leibniz.

Tambah beliau lagi, Jepun pula mereka membangunkan sains dan teknologi berdasarkan keperluan budaya mereka, seperti rekabentuk bangunan berasaskan anti-gempa bumi, tandas mengikut budaya mereka dan lain-lain (saya terlupa). Dalam fizik zarah, topik pemecahan simetri sejagat dalam medan skalar yang membawa kepada idea zarah boson Goldstone yang dikatakan bermula daripada idea Jeffrey Goldstone, tetapi idea asalnya dimulai oleh Yoichiro Nambu. Tak hairan lah ketika saya menghadiri seminar fizik zarah, pembentang dari Jepun menggunakan istilah Teori Nambu-Goldstone, selalunya pembacaan saya mereka menulis dengan nama Teori Goldstone. Ini menunjukkan rasa bangga negara itu ada pada diri mereka.

Rentetan Daripada Itu

Rentetan daripada itu, Dr Kadri mengimpikan sebuah penulisan buku sains bercirikan semangat kenegaraan, antara perkara yang beliau usulkan yang membuatkan saya tersenyum iaitu beliau memberi contoh bahawa Suriani Abu Bakar pelopor kepada pembangunan nanotiub karbon (CNT). Dr Suriani adalah salah seorang rakan sejabatan kami.

Terfikir sejenak akan hal itu, hmmmm.....

Kenapa ya kita kurang mempunyai semangat kenegaraan? Hal ini memberi kesan buruk kepada sahsiah. Seperti contoh, kenapa orang membuang sampah merata-rata, ini kerana merasa kurang rasa cinta kepada negara mereka. Kenapa tamadun Islam berkembang dahulunya, ini kerana rasa cinta kepada agama mereka, mereka melakukan kerana agama Islam.

Cuba bayangkan dalam buku kita menyelit budaya dan rasa bangga dengan negara kita. Cuba bayangkan buku teks sekolah kita memetik perkataan berikut, "Mohd Hairi Rabir menyatakan bahawa....", "Norhasliza Yusof menemui bintang adiberjisim", "Wan Zul Adli menemui galaksi baru sejauh 1juta tahun cahaya melalui teknik baru beliau dalam bidang radioastronomi, rentetan daripada itu, galaksi itu dinamakan sempena nama belia, WZAdli-83", "Nor Sofiah Ahmad fizikawan pertama yang mengaplikasikan teknik ayunan neutrino dalam mengukur umur alam semesta", "Shaharir Md Zain mengusulkan idea zarah resapion dalam persamaan resapan berasaskan Schrodinger", "Suriani Ab Bakar memulai idea nanotiub karbon dari minyak enjin", "Nurisya Mohd Shah mengusulkan idea operator tak-komut dalam mekanik kuantum" --- Indah bukan?

Semoga Allah permudahkan urusan

Sabtu, 24 Mac 2012

Masa lepas sesuatu yang sangat jauh

Benar, masa lepas sesuatu yang sangat jauh.
Jika anda terlewat satu saat anda dengan hal tersebut sejauh lebih kurang 3juta kilometer. Kenapa?

Alasan

1) Hubungan ruang-masa
Ruang dan masa adalah suatu parameter saling berhubungan, dari aspek relativiti, koordinat ruang dan masa disatukan sebagai koordinat ruangmasa. Ruang dihubungkan seperti berikut,

r=ict, diterbitkan dari Pitagoras mudah, r2=-(ct)2, geodesik ruangmasa, s2=r2+(ct)2, jika s=0, iatu ruang masa mendatar maka, 0=r2+(ct)2 --> r2=-(ct)2.

r=ruang, i=nombor khayalan, c=pemalar laju cahaya dan t=masa. Jika diperihal dalam bentuk unit tabii (natural unit), persamaan tersebut menjadi, r=it. Masa adalah menjadi khayalan parameter fizik kepada ruang.


Rajah 0: Masa

2) Arah masa
Belum ditemui lagi kewujudan vektor masa yang berbalik, sekadar di atas kertas. Secara klasik, andaian telah dibuat bahawa vektor masa boleh berpatah, iaitu: 1)vektor masa entropi, 2)vektor masa kosmologi. Jika secara psikologinya, ia dikenali sebagai vektor masa psikologi.

Dari aspek kuantum pula tercantum dalam simetri disrit kuantum iaitu, CPT, T=simetri masa.

Tak pernah kita lihat cawan yang pecah tercantum kembali!

Kesimpulan
Masa yang lepas adalah sesuatu yang sangat berharga jika ia dinilai dari aspek kuantitinya iaitu jarak. Oleh itu kenangilah orang disekeliling kita, ibu, bapa, adik-beradik dan keluarga. Lakukanlan sesuatu yang berharga dan terbaik untuk agama, diri kita dan maruah.

Wallahu a'lam

Ahad, 18 Mac 2012

Berapakah Isipadu Populasi Manusia Seluruh Dunia

FAKTA-FAKTA MENGENAI MANUSIA

Sebelum kita mengira berapakah isipadu manusia, saya terlebih dahulu lampirkan maklumat-maklumat atau fakta-fakta mengenai manusia.

Purata Jisim Manusia
79.5kg


Rajah 0: Jadual Berkala Kimia

Nombor Avogadro

Elemen-Elemen Dalam Badan Manusia

Oxygen (65%), 51.6kg, Kandungan atomnya: 1.94x10^27
Carbon (18%), 14.3kg, Kandungan atomnya: 7.17x10^26
Hydrogen (10%), 7.95kg, Kandungan atomnya: 4.78x10^27
Nitrogen (3%), 2.39kg, Kandungan atomnya: 1.03x10^26
Calcium (1.5%), 1.19kg, Kandungan atomnya: 1.79x10^25
Phosphorus (1.0%), 0.79kg, Kandungan atomnya: 1.53x10^25
Potassium (0.35%), 0.27kg,Kandungan atomnya: 4.17x10^24
Sulfur (0.25%), 0.19kg, Kandungan atomnya: 3.57x10^24
Sodium (0.15%), 0.12kg, Kandungan atomnya: 3.14x10^24
Magnesium (0.05%), 0.034kg, Kandungan atomnya: 8.53x10^23

Mengira Bilangan Elektron, Proton dan Neutron
Bilangan elektron (pada sesuatu atom) = Kandungan atom x Nombor Atom
Bilangan proton = Kandungan atom x Nombor Atom
Bilangan neutron = Kandungan atom x (Nombor Jisim - Nombor Atom)

Jadi pembaca boleh lakukan homework ini ya. Hehehe... Oleh itu, saya permudahkan kerja ini, sekadar menyatakan jawapannya sahaja.

Bilangan elektron keseluruhan badan = 2.57x10^28
Bilangan proton = 2.57x10^28
Bilangan neutron = 2.13x10^28


Rajah 1: Badan kita mengandungi air yang banyak Hidrogen dan Oksigen

Purata Jisim Manusia
79.5kg

Populasi Manusia
7 billion


Rajah 2: 7 bilion umat manusia (data 2011)

PENGENALAN RINGKAS ATOM
Atom diperkenalkan oleh John Dalton, yang bermakna tidak boleh dibelah lagi. Model ini telah ditambah baik selepas penemuan cas positif dan cas negatif terkandung dalam model atom tersebut oleh J. J. Thompson, yang dikenali sebagai Plum Pudding, namun model ini ada kegagalan kerana zarah bercas negatif dan positif akan saling memusnah. Ketika Ernest Rutherford melakukan ujikaji serakan zarah alfa ke atas kepingan emas, didapati serakan tersebut bergantung kepada projektil pecutan zarah alfa itu. Secara tidak langsung ia menunjukkan zarah bercas positif dan negatif saling berpisah (tidak seperti Model Plum Pudding tadi), oleh itu beliau mengandaikan penemuan beliau dengan peredaran planet-planet dalam Sistem Suria, yakn zarah bercas (elektron) mengorbit nukleus (proton). Meskipun begitu, ianya masih gagal, kerana pemesongan elektron tersebut akan menyebabkan ianya kehilangan tenaga dalam bentuk foton atau cahaya, lama-kelamaan ia beredar secara elips makin menghampiri nukleus dan musnah.


Rajah 3: Model Plum Pudding

Nah, sekali lagi ianya gagal. Daripada penemuan, spektrum cahaya ke atas gas Hidrogen secara tidak sengaja, Niel Bohr pula membina modelnya sendiri ke atas model Rutherford tersebut, bagi mengatasi masalah kehilangan tenaga elektron tersebut, beliau mengkuantumkan momentum sudut elektron tersebut terhadap pemalar Planck dan integer diskret (melalui Penguantuman Ruang). Hehehe... Biasalah masih lagi, 1)Tidak sesuai untuk atom kompleks, 2)Tidak mampu menjawap persoalan kesan Zeeman. Seterusnya dibaiki oleh model Schrodinger memperkenalkan lagi nombor kuantum yang lain disamping nombor kuantum aras, n. Iaitu n, l, ml, ms.
Hmmmm.... Sekali lagi gagal, untuk atom-atom yang bersekutu (molekul) dan kompleks, lalu diperkenalkan Teori Ketumpatan Keadaan oleh Walter Kohn dan Hohenberg, dengan menggantikan fungsi gelombang untuk satu zarah, Psi(x1,x2,x3,....xn) dengan ketumpatan (gugusan zarah atau awan zarah kuantum), pendekatan ini sangat memberansangkan kerana ia menjadi permulaan kepada Fizik Komputasi Sains Bahan, dan akhirnya mereka berdua dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Hadiah Nobel dalam bidang Kimia.
Fuhhh.... Sebenarnya kita sekadar nak bincang apa itu atom sahaja dan hnnya untuk memberitahu bahawa saiz atom sebenarnya adalah lopong yang sangat besar. :-)


Rajah 4: Kegagalan Model Atom Rutherford

Saiz Elektron, Neutron dan Proton
Isipadu elektron: 2.23x10^-44 m3
Isipadu proton dan neutron: 3.61x10^-54 m3
Isipadu neutron: 3.59x10^-54 m3

Bagaimana saya mengira?
Saya gunakan pendekatan klasik sahaja, tanpa teori kuantum diperlukan. Pengiraannya seperti berikut:

E_rehat = m_e x c2
E_Coulomb = ke2/r ; k=1/4Pi.epsilon, e=cas elektrik, r=radius

m_e c2 = ke2/r --> r_e= ke2/(m_e x c2)]
Kita masukan nilai jisim elektron, pemalar k, halaju cahaya c dan cas elektrik e. Maka dapatlah kita akan radius elektron tersebut.

PENGIRAAN

Dapatkan semua isipadu manusia seluruh manusia, seperti berikut:

Isipadu Sebenar = (Bilangan Elektron x Isipadu Elektron + Bilangan Proton x Isipadu Proton + Bilangan Neutron x Isipadu Neutron) x Populasi Manusia Bumi (7 billion)

Isipadu Sebenar = ( 2.57x10^28 x 2.23x10^-44 m3 + 2.57x10^28 x 3.61x10^-54 m3 + 2.13x10^28 x 3.59x10^-54 m3 ) x 7.0x10^9

= 4.011 x 10^-6 m3

KESIMPULAN
Jika dibandingkan saiz atom dengan saiz zarah unsur di dalamnya sangat ketara perbezaannya. Umpama KLCC itu adalah nukleus (proton dan neutron) dan di luar Lembah Klang itu adalah laluan orbit elektron yang mengelilingi nuklei tersebut (KLCC). Ketara bukan! Rupanya atom-atom didalam badan kita terdapatnya lopong-lopong yang luas dan belum terisi. Jadi artikel ini adalah bertujuan untuk mengira berapakah isipadu manusia keseluruhan sejagatnya jika dimampat kuasa Yang Maha Berkuasa dan hasil yang diperolehi, 4.01x10^-6m3, sebesar butiran pasir di pantai.


Rajah 5: Umat manusia hanya tidak kurang dari sebutir pasir daripada segolokan pasir itu

Sedikit lampiran: 10^-6m = 10^-2m x 10^-2m x 10^-2m ; 10^-2m = 1cm. :-)

Ya, Allah betapa kerdilnya kami ya Allah

Khamis, 15 Mac 2012

Sebuah Dokumentari Buat Tanah Air

PENGENALAN
Sering kali saya melihat dokumentari di saluran sains luar negara, terutamanya dalam Youtube. Saya tertarik dengan motivasi dan kerakusan mereka ke atas sains. Dalam hal ini, saya lebih tertarik dengan dokumentari fizik zarah dan kosmologi (fizik aras tinggi), seperti yang dilakukan oleh Prof Green.

Tiba-tiba tercetus idea di dalam otak saya, apa kata kalau Malaysia mempunyai satu dookumetari untuk fizik aras tinggi bagi memotivasikan anak muda dan remaja meminati dan disiarkan dalam saluran Astro atau TV3 pada masa prima (9-10pm).

SINOPSIS
Apa yang menarik dalam dokumentari yang saya ingin lakukan ialah menghimpunkan semua ahli teori fizik Malaysia, membincangkan satu topik yang boleh ada kesinambungan semua displin yang kita ada (fizik kekalutan, fizik matematik, relativiti, fizik zarah, astrofizik, kosmologi, fizik keadaan pepejal, fizik statistik, teori ketumpatan keadaan), jadi dokumentari ini akan saling berkaitan dengan kata lain merangkumi semua topik - itulah cabaran yang saya lihat.

Dalam dokumentari tersebut, ahli fizik akan bersantai dalam menerangkan sesuatu ketika ditemuduga (secara tidak formala). Berpakaian biasa, bersantai atau dengan kata lain, SEMPOI. Tidak terikat dengan skrip, namun begitu kita akan berbincang terlebih dengan beliau sebelum sesi rakaman berjalan, supaya lebih bersiap sedia, lakukan sedikit kerja rumah terlebih dahulu dan pertuturannya lancar ketika sesi rakaman nanti. Saya merasakan mereka (ahli fizik teori) sudi menyumbangkan masa mereka, memandangkan ahli fizik teori rata-ratanya tidak memegang tampuk pengurusan dan tidak selesa dengan jawatan, saya merasakan masalah masa mereka tidak menjadi masalah.


PERUNTUKAN
Kita boleh memohon peruntukan daripada pihak MOSTI, KPM dan KPT. Memandangkan projek ini adalah antara usaha untuk memotivasikan pelajar mengambil subjek sains di sekolah, tambahan pula, ia merupakan hasrat kerajaan untuk meningkat peratusan pelajar sains di sekolah, turut diakui Timbalan Perdana Menteri. Saya merasakan hal ini tidak menjadi masalah.

KAEDAH
1. Saya pernah melihat dokumentari mekanik kuantum yang diacarakan oleh Morgan Freeman seorang selebriti yang dikenali akan lakonan, memenangi banyak anugerah. Jika di Malaysia, siapakah yang layak dan sewajarnya menjadi pengacara tersebut? Syarat-syarat yang perlu pada beliau: 1. Menjadi ikutan anak muda 2. Mempunyai minat atau kecenderungan ke atas sains.

2. Melibatkan animasi dan simulasi terangkum dalam dokumentari bagi menarik minat anak muda dan remaja untuk meminati sains. Mungkin kita perlu bantuan dari pakar animasi, di UPSI, kami mempunyai pakar dalam seni visual dan animasi tersebut, beliau juga merupakan bekas pensyarah kepada pembuat animasi Upin dan Ipin.

3. Kita memerlukan pengarah. Hal ini diluar bidang saintis, untuk menyusun plot-plot dan sketsa dalam dokumentari. Ini perlu dititikberatkan juga.

4. Yang lebih menarik dalam dokumentari ini ialah 100% berbahasa Melayu. Dan tidak lupa juga memperkenalkan budaya di Malaysia yang berbilang kaum. Dokumentari tersebut boleh dicorakkan dengan budaya masyarakat majmuk di Malaysia, berlatarkan tempat-tempat bersejarah atau simbol budaya sesuatu kaum. Menarik bukan....

KESIMPULAN
Tujuannya hanya satu sahaja, memperkenalkan kepada dunia bahawa kita juga mempunyai pakar yang perlu ditonjol. Sewajarnya ahli fizik perlu berada di dalam arus perdana dan dunia selebriti, bertujuan supaya anak muda dan remaja menjadikan mereka sebagai ikutan.

Disini saya lampirkan ahli fizik teori yang kita miliki di Malaysia. Maklumat ini saya perolehi daripada Facebook PM Dr Hishamuddin Zainuddin. Semoga bermanfaat.
1) Hishamuddin Zainuddin (UPM) - quantization, quantum foundations
2) Md Mahmudur Rahman (UPM) - density functional, Heisenberg models
3) Nurisya Mohd Shah (UPM) - mathematical physics (non-commutative spaces)
4) Chan Kar Tim (UPM) - mathematical physics (cusp forms)
5) Zuriati Ahmad Zulkarnain (UPM) - quantum information
6) Umair Abdul Halim (UPM) - Bohmian mechanics
7) Hasan Abu Kassim (UM) - astrophysics
8) Raymond Ooi Chong Heng (UM) - quantum optics
9) Chia Swee Ping (UM) - particle physics
10) Norhasliza Yusof (UM) - nuclear astrophysics, neutrino physics
11) Sithi Vinayakam Muniandy (UM) - statistical physics
12) Kurunathan Ratnavelu (UM) - quantum scattering theory
13) Bernadine Renaldo Wong Cheng Kiat (UM) - nuclear reaction
14) Toh Sing Poh (Nottingham) - quantum foundation, quantum information
15) Teo Lee Peng (Nottingham) - mathematical physics, Casimir effect
16) Rosy Teh Chooi Gim (USM) - solutions to Yang-Mils theory
17) Wong Khai Ming (USM) - solutions to Yang-Mills theory
18) Ong Lye Hock (USM) - condensed matter
19) Yoon Tiem Leong (USM) - computational physics
20) Bahari Idrus (UKM) - quantum information
21) Jesni Shamsul Shaari (IIUM) - quantum information
22) Mohd Ridza Wahiddin (IIUM) - quantum optics
23) Farrukh Mukhamedov (IIUM) - mathematical physics
24) Nasir Ganikhodjaev (IIUM) - mathematical physics
25) Ahmad Nazrul Rosli (condensed matter),
26) Bijan Nikouravan (Theoretical Astrophysics, GR),
27) Abdurahim Okhunov (nuclear structure)
28) Ahmad Hazazi - quantum foundations
29) Nor Sofiah Ahmad - neutrino, astrophysics

Wallahu ta'ala a'lam

Sabtu, 3 Disember 2011

Bergelung lwn Bertetali

Teori tetali (TT) didominasi oleh fizikawan Amerika Syarikat dan Kerajaan Britain (dikenali sebaga ahli fizik kuantum), manakala Kuantum Graviti Bergelung (KGB) pula didominasi oleh negara-negara Eropah dan Rusia (kebanyakan daripada mereka adalah pemuka-pemuka teori relativiti). Teori-teori tersebut saling berlawanan untuk menyatakan haq (kebenaran) masing-masing. Bezanya adalah KGB menguantum kelengkungan ruang-masa dan TT tidak, KGB diperihal dengan 4matra sahaja, manakala TT diperihal dengan 10, 11 dan 23matra, KGB tidak memerihal sebarang zarah tolok untuk interaksi graviti seperti TT yang memerihal zarah tolok bagi graviti adalah graviton berspin-2.

Secara ringkasnya, KGB langsung menguantumkan ruang-masa bagi graviti. Manakala TT pula memerihal sesuatu objek ringkas (tetali atau 1-objek) untuk menyatukan kedua-dua teori (kuantum dan graviti), namun TT tersebut memerlukan sedikit rawatan iaitu, adisimetri dan matra lebihan. Apapun kedua-duanya mempunyai niat yang sama iaitu menyatukan teori kuantum dan teori graviti.

Tujuan pos ini adalah untuk berkongsi sedutan sitkom popular, The Big Bang Theory yang mana berlakunya pergaduhan di antara ahli fizik TT dan KGB. Memang menarik, saya ambil video ini daripada Youtube.
[Nota: Abaikan permulaan video tersebut]

--Selamat Menonton--

Rabu, 30 November 2011

Risau, Esok dan Gelombang Elektromagnetik

Esok, kelas saya akan memasuki topik Gelombang Elektromagnetik merupakan salah satu topik dalam kursus Getaran, Gelombang dan Optik. Berdebar pula rasanya, alasannya, topik ini sarat dengan matematik dan begitu abstrak, kadang-kadang saya juga tersesat, huhuhu....

Daripada persamaan Maxwell untuk dikaitkan dengan konsep ayunan dan gelombang(topik yang sebelum ini). Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimana untuk menyampaikan sesuatu kefahaman itu kepada pelajar - itu yang menyebabkan boleh berdarah hidung. Huhuhu... Tapi seorang tokoh fizikawan ada menyarankan, "Untuk memastikan anda faham sesuatu topik fizik itu ialah dengan memahamkan nenek anda mengenai topik fizik tersebut" (-_-)

Sekarang pukul 2.43pagi, tak tidur beb....

Isnin, 24 Oktober 2011

Ahli Fizik Teori Tetali

Ahli fizik teori tetali tak ambil tahu pasal usaha pakatan CMS dan ALICE membabitkan pembuktian kerelevanan Adisimetri dan entiti unggul yang dikenali sebagai zarah Higgs, apatah lagi usaha pakatan OPERA ke atas pencabulan postulat asas Einstein ke atas kemalaran laju cahaya.

Mereka tenggelam dalam teori mereka, meskipun teori mereka itu indah, tapi ketahuilah ianya hanyalah teori semata-mata. Apapun ianya sangat indah lagi mengendahkan. Mengingatkan saya kalam seseorang dalam arena fizik, "Saya macam tak percaya fizik boleh dijelaskan dengan sesuatu yang dikenali sebagai tali?"

Hmmm... Dengar kata, Adisimetri bermasalah dan tiada isyarat ditemui dari projektil pereputan zarah di LHC. Apakah perlu beralih ke Fizik Tak-zarah (Unparticle Physics), perlulah ditelaahi mengenai invarian-skalav - persoalan asas mengenai kenapa foton tidak mempunyai zarah (calon kedua menjawab masalah konsep jisim disamping zarah Higgs)


Rajah 1: Lima teori yang tidak tekal, berbeza orientasiny dan juga jenisnya (tetali tertutup atau terbuka), berkeliaran dalam 10matra

Kedualan-S menyatukan Jenis-IIA dengan Heterotik E8xE8, Jenis-I pula dengan Heterotik SO(32), manakala kedualan-T pula menyatukan Jenis-IIA dengan Jenis-IIB, Heterotik SO(32) dengan Heterotik E8xE8. Baik bagaimana pula Jenis-I dengan Jenis-II(A atau B), dengan itu diusulkan matra ruang yang lain, 9matra ruang + 1matra masa + 1matra ruang tambahan = 11matra - dikenali sebagai Teori-M. Dalam Teori-M, Jenis-I dan Jenis-II(A atau B) dilihat dari matra yang lain, kelihatan mempamerkan perilaku yang sama dan Teori Tetali 10 matra adalah fizik tetali bertenaga aras rendah Teori-M.

Wallahu ta'ala a'alam

Khamis, 20 Oktober 2011

Berkata kepada pelajar

Baru selesai kelas
Dalam kelas tadi saya ada berkata, "Ada seorang kawan saya berkata bahawa setiap fenomena berayun mesti mematuhi persamaan gelombang, saya nak kamu semua ingat dalam kepala kamu"

Kawan saya maksudkan itu adalah Ahmad Hazazi. Tapi apa yang beliau katakan itu memang ada kebenarannya.

Ciri-ciri tersebut mesti memuas persamaan berikut, iaitu:

d2[y(x,t)]/dx2 = 1/v^2 d2[y(x,t)]/dt2

yang mana y(x,t) adalah fungsi gelombang dan v adalah ditafsirkan sebagai halaju gelombang (arah perjalanan gelombang). d2[y(x,t)]/dx2, bermaksud kebezaan kedua ke atas pembolehubah kedudukan, x. Manakala, d2[y(x,t)]/dt2 pula bermaksud kebezaan kedua ke atas pebolehubah masa, t]

Soalan
Manakah antara berikut bersifat gelombang?
[A, k dan b adalah pemalar, v adalah halaju]

a) y(x,t) = A cos[k(x-vt)]
b) y(x,t) = A Exp[-bx^2 -b(vt)^2]
c) y(x,t) = A Exp[-b(x-vt)^2].Sin[k(x+vt)]


Rajah 1: Ayunan terlembap juga memuas persamaan gelombang

Contoh Aplikasi Ayunan Terlembap
Penyerap kereta yang baik sewajar mempunyai pekali pelembap (b) mestilah mendekati nilai ayunan terlembap genting. Contoh mudah kereta mewah mempunyai penyerap yang baik, iaitu apabila kita melanggar lopak di jalan, dengan spontan ia langsung ke kedudukan equilibrium (terlembap genting). Manakala jika kereta sederhana adalah sebaliknya, malahan berayun turun-naik kereta kita kalau melanggar lopak (terlembap)

Sedar atau tidak sedar, jika kita menaiki kereta mewah untuk perjalanan jauh kita berasa kurang letih berbanding dengan dengan kereta sederhana.
Wallahu ta'ala a'lam

Isnin, 10 Oktober 2011

Sekadar berkongsi dan memberi Tutorial 1

Hari ini saya baru memberi Tutorial sebagai latihan sebelum mereka bercuti sempena cuti Depavalee, meskipun sudahpun minggu ke-5 kuliah. 9 soalan telahpun diberikan, sekadar berkongsi, antara soalan yang ajukan, seingat saya,

Kamu dan pasangan kamu telah diculik makhluk asing UFO, ketika kamu tersedar kamu dan pasangan kamu dapati telah berada di dalam sebuah bilik yang kecil dan tidak bertingkap. Apa yang ada di samping kamu, selain pakaian adalah seutas jam tangan digital, manakala pasangan kamu pula mempunyai sebentuk cincin yang diketahui beratnya dan seutas rantai leher.

Tentukan sama ada kamu berdua berada di atas muka bumi atau tak, atau kamu berada di planet lain.


Saja nak bagi depa (pelajar-pelajar saya) jadi MacGyver, mana tahu nanti mereka diculik makhluk asing dapatlah mereka mengenalpasti kedudukan mereka itu. Oh, mengenai McGuyver, saya terbaca profil Prof Sithi Vinayakam dari UM, beliau meminati fizik kerana suka menonton rancangan tv MacGyver yang menggunakan pengetahuan fiziknya untuk menyelamatkan keadaan (seperti James Bond).

Sedikit terkilan, kerana rancangan tv di Malaysia kurang menayangkan perkara-perkara yang sedemikian, yang banyak adalah drama hantu dan merempit, yang akhirnya generasi kita sudah mulai mendekati nasi kangkang, susuk, santau dan lain-lain (wal-iyya'udzubillah min dzaliik), tidak lupa, di jalanan juga kedengaran bunyi bingit motor berpeleseran.


Rajah 1: Mac Guyver

Khamis, 6 Oktober 2011

Di kala hati nan berkasar

Di kala hati nan berkasar
Menempuh hari-hari yang melumpuhkan
Memujuk hati
Berduka lara
Sinis sang dunia
Mengejek dari jauh
Tidak berdepan dan tidak berbelakang
Getus suara hati menjunjung keinginan
Rakus, lupa pula daratan
Nyaris terhijab akal yang waras

"Sabarlah wahai hati," pujuk sekelumit iman

Kilasan Masa Depan

Saya ambil sedutan ini daripada Youtube, siri FlashForward. Mengenai Tafsiran Alam Banyak Everett, saya rasa seronok menontonnya, kalau si lelaki tu dapat bertemu dengan si perempuan sesuatu ketika dulu, bermakna mereka sudah berkahwin sekarang. Klik FlashForward untuk ke pautan Youtube.
Ringkasan mengenai siri FlashForward boleh klik di sini.

---Selamat menonton---



Dulu ada disiarkan di saluran tv tak berbayar (almaklumlah saya tak ada Astro), sekarang tidak lagi.

----------------------------------------
Secara ringkasnya, Hugh Everett cuba menengahkan idea beliau dalam mekanik kuantum, tanpa melibatkan sebarang keruntuhan fungsi gelombang, berkebarangkalian dan tanpa menafikan kebergantungan pencerap, kerana kita sedia maklum bahawa pengukuran yang dilakukan ke atas sistem kuantum akan meruntuhkan keadaan yang lain (fungsi gelombang), seperti halnya dalam kes eksperimen minda iaitu Kucing Schrodinger, sebelum kotak itu dibuka kucing itu mengalami dua keadaan yang berbeza atau dengan kata lain, dua keadaan Mati dan Hidup mengalami Superposisi. Oleh itu pengukuran yang dilakukan (membuka kotak) itu akan meruntuhkan salah satu fungsi gelombang lain.

Sedikit berbeza dengan Tafsiran Copenhagen itu, Everett mengusulkan bahawa fungsi gelombang tidak runtuh bermaksud keadaan Mati dan Hidup itu wujud secara serentak, cuma hasil pengukuran kita itu pada alam yang lain, dan ini dikenali sebagai Alam Selari. Gambaran kasar boleh dilihat pada rajah dibawah.


Rajah 1: Kemungkinan di dalam alam selari


Coretan peribadi: Meskipun begitu, saya tidak lagi mengajar kursus mekanik kuantum, kerana kursus tersebut telah dimansuhkan untuk bakal graduan pendidikan sains. Akibatnya saya sudah beransur meninggalkan pembacaan mengenai mekanik kuantum, tidak seperti sebelum ini, saya ligat membaca bahan-bahan untuk kursus tersebut.

Apapun mungkin saya berada di dunia selari yang mana saya tidak lagi mengajar kursus mekanik kuantum. Saya mencemburui diri saya yang berada di dunia yang mengajar kursus mekani kuantum itu.
--- Wallahu ta'ala a'lam

Ahad, 2 Oktober 2011

Selingan

Semester ini saya ditugaskan untuk mengajar 17 jam kredit pengajaran. Meskipun 17jam kredit, nampak kecil bukan. Itu belum termasuk "masa persediaan", kerana masa persediaan jauh lebih banyak daripada masa pengajaran. Tambah-tambah lagi, kalau seseorang itu dibebankan dengan mengajar kursus baru dan yang mempunyai amali. Rutin lain perlu juga untuk disiapkan juga, terutamanya urusan pentadbiran, huhuhu....

Sekadar perkongsian, jumlah jam kredit pensyarah sewajarnya 12-15jam kredit, bergantung kepada pangkat, semakin tinggi pangkat seseorang, semakin kurang beban pengajarannya, kerana mereka lebih terarah kepada penerbitan, penyelidikan dan perundingan atau membantu penggubalan polisi universiti, setempat atau negara. Dan saya hanya pensyarah biasa sahaja, maka beban pengajaran sudah tentulah tinggi. Peratusan untuk kerja-kerja di atas adalah kurang.

Baru-baru ini, dunia fizik dihebohkan dengan penemuan superluminal oleh pakatan OPERA di Itali, mereka mendapati zarah neutrino muon bergerak lebih laju daripada laju cahaya. Ideanya sama dengan zarah Cherenkov, bezanya muon neutrino bergerak dalam udara persekitaran, tetapi Cherenkov pula bergerak dalam medium tertentu yang mempunyai ideks biasan lebih tinggi daripada udara persekitaran.

Apapun teoritis Andrew G. Cohen dan Sheldon L. Glashow, cuba berhujah bahawa tafsiran data daripada OPERA itu ada sedikit masalah dengan membandingkan data dengan Super-Kamiokande di Jepun. Apapun saya tak berani nak komen lebih-lebih, sebab memerlukan masa yang lama dan bersendirian untuk mentelaah dan mengomentar makalah tersebut. Malangnya masa saya agak kurang praktikal, meskipun saya ada sedikit senggang masa bersendirian dan lapang, tapi otak sedang memikirkan hal kerja dan mengajar, memang tak boleh. Huhuhu.... Petang ni, saya ada amali 2-5pm. Fuhh...

Saya lampirkan bersama makalah tersebut untuk tatapan tuan, sekiranya ada maklumat silalah berkongsi bersama. Selamat mentelaah. :-)

Makalah data daripada pakatan OPERA, klik di sini

Makalah Teoritis Cohen dan Glashow, klik di sini

Wallahu ta'ala a'lam

Jumaat, 23 September 2011

Jika Entropi Tidak Wujud

Jika entropi tidak wujud, tak adalah enjin Carnot
Jika entropi tidak wujud, abadilah hayat kita
Jika entropi tidak wujud, mampulah kita menongkah arah masa
Jika entropi tidak wujud, tak adalah karya A Brief History of Time
Jika entropi tidak wujud, tiadalah perdebatan "kehilangan maklumat"
Jika entropi tidak wujud, tak wujudlah nama Rudolf Clausius dalam buku teks Termodinamik
Jika entropi tidak wujud, mampulah kita memperbaiki kesalahan kita yang telah lalu
Jika entropi tidak wujud, bolehlah kita melihat kita berjalan ke belakang, dewasa ke kanak-kanak, kanak-kanak ke bayi dan kematian ke kehidupan
Jika entropi tidak wujud, tak adalah persamaan S=k.logΩ
Jika entropi tidak wujud, telur yang terjatuh dan pecah, mampu kembali ke asal
Jika entropi tidak wujud, tiadalah hari kebejatan alam raya
Jika entropi tidak wujud, tak adalah penghidupan
Dengan kata lain, tak adalah perkara-perkara di atas.

Rabu, 7 September 2011

Perak Expo For Young Scientist 2011

Assalamu'alaikum, Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris akan mengadakan Perak Expo for Young Scientists 2011 di Ipoh, dengan kerjasama K-Perak, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Maklumat ringkas mengenai ekspo ini:
Aktiviti:
- Bijak Matematik
- Bengkel kalkulator Casio
- Pameran
- Tayangan video sains
- Bersama dengan saintis (tiga orang saintis yang terlibat)
- Demonstrasi

Tempat: Perak Techno Trade Centre (PTTC) Ipoh
Tarikh: 9-11 September 2011

Hadiah Utama:
- Piala Pusingan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin
- Piala Menteri Besar Negeri Perak

Peserta: Lebih 100orang (Sekolah sekitar perak)


Kedatangan tuan-puan dialu-alukan.

Disertakan imej-imej keratan suratkhabar Kosmo dan Berita Harian untuk tatapan tuan-puan. Silalah membawa anak-anak dan keluarga bagi memeriahkan expo ini meskipun tak seheboh atau sehendonisme Jom Heboh, tapi saya harap ekspo ini berjaya mencapai objektif iaitu mendedahkan pelajar kepada sains dan teknologi.

Untuk keterangan lanjut boleh melayar ke laman sesawang ini, insyaallah.


Rajah 1


Rajah 2


Rajah 3


Rajah 4


Jazakumullah khairan katsirah

Isnin, 5 September 2011

Ralat

Pada perbincangan yang lalu kita ada membincangkan Sebelum Big Bang?, merujuk kepada model Param Singh, saya ada menyebut TIADA BIG BANG!!! , yang sebetulnya ialah TIADA PERMULAAN!!!. Sebab model kitaran big bang dan big crunch yang diusul oleh Param Singh menyatakan bahawa alam semesta kita akan memusnah melalui pengecutan dan mengembang setelah berlaku letupan besar secara kitaran, dengan kata lain alam semesta yang kita diami sekarang entah sudah berapa kali telah mengalami kitaran, mana tahu sebelum alam semesta ini sudah ada alam semesta lain yang mempunyai hidupan seperti kita atau tak.

Dalam Model Param Singh sememangnya berlaku Big Bang cuma tiada wujud takrifan permulaan dalam model beliau, itu sahaja dan pada pemikiran konservatif saya, yang dimaksudkan permulaan alam semesta itu adalah Big Bang, sebab itu saya berperihttp://www.blogger.com/img/blank.gifhal sedemikian.

Pengusul-pengusul model kosmologi kebanyakan daripada institut-institut kajian, dan kebanyakan daripada Institut Fizik Teori Perimeter (atau diInggeriskan Perimeter Institute for Theoretical Physics atau ringkasannya Perimeter Institute (PI)) di Waterloo, Ontario, Canada. Saya juga menyimpan angan-angan untuk bekerja di sana (hehehehe....). Mungkin Puan Nurisya (pemilik blog http://sabdu.blogspot.com/) boleh berkesempatan pergi ke sana.

--------------------------------------------------------

Pada Pandangan Islam


Saya tidak pasti, kedudukan sumber Islam mengenai kejadian alam semesta kita ini, apa yang jelas al-Quran dan Sunnah hanya memperihal alam semesta ini dijadikan untuk difikir kejadian bahawa adanya Pencipta, bukannya untuk dipersoal akan kejadian, kebimbangan akan tergelincir dari akidah yang sahih atau pemahaman fitrah manusiawi (bahawa adanya pencipta).

Perkara kedua, pandangan ahli tafsir berpendirian bahawa alam semesta ini dijadikan daripada tiada kepada ada dan tiada fenomena pengembangan, dengan kata lain ianya model statik. Apapun saya serahkan penafsiran kepada ahli tafsir dan fuqaha. Saya berpandangan bahawa pengembangan alam semesta ini telah pengaruh sedikit-sebanyak idea evolusi Darwin, iaitu pilihan tabii, penciptaan spontan dan mengalami pengembangan (organisma atau struktur alam) yang sesuai dengan persekitaran.

Baru-baru ini saya ada terbaca bahawa ilmuwan Islam dengan bersumberkan al-Quran dan Sunnah menyatakan bahawa matahari mengelilingi bumi (bumi menjadi pusat) sebenarnya, dan ini diakui sendiri juga oleh ahli falak yang mencerap pasang-surut air laut. Nampaknya Copernicus, Galilei, Keppler, Newton dan Einstein perlu diragui pembinaan hukum dan teori mereka, lagipuna graviti dikenali sebagai "daya misteri", kerana ianya sukar untuk di pernormalan semula kuantum (renormalization) berbanding dengan tiga daya yang lain (kuat, lemah dan EM).


Rajah 1: Prof Hawking

Pada hemat saya, ilmu fizik kita dicemari dengan sifat kemulhidan (atheism), jika tak masakan mungkin Stephen Hawking menulis dalam buku beliau yang terkenal The Grand Design seperti berikut;

Because there is a law such as gravity, the universe can and will create itself from nothing. Spontaneous creation is the reason there is something rather than nothing, why the universe exists, why we exist. It is not necessary to invoke God to light the blue touch paper and set the universe going.

Beliau berkata demikian, kerana fenomena spontan sememangnya ada dalam fizik terutamanya dalan fizik zarah. Jika prinsip spontan ini diterima, dengan kata lain kita menafikan penciptaan. Apa yang dikatakan oleh beliau (Hawking) berlaku dalam perlanggaran bran gergasi, kerana perlanggaran spontan berlaku. Kedua, kewujudan daripada tiada kepada ada secara spontan juga berlaku dalam fizik.

Maka adalah perlu bagi ahli kosmologi Islam untuk turut bersama membina fizik yang bersesuaian dengan al-Quran dan Sunnah, dan ini menjadi Fardhu Kifayah kepada ilmu Sains Islam.

-------------------------------------------------------------------

Ketika urusan luar stesen sekitar Banting dan Morib
[Penilaian pelajar-pelajar praktikum - Latihan Mengajar]



Rajah 2: Keletah ketam menandakan adanya Perekanya


Rajah 3: Ketam di tangan


Rajah 4: Pantai yang dicorakkan


Rajah 5: Suria letih bersinar di hening petang

Alam ini dijadikan untuk berfikir tentang kejadiannya, memikir adanya pencipta. Bukannya untuk membukti atau menafi adanya pencipta. Ketam kecil ini belum pernah saya lihat di kampung saya, melihat gelagat sang ketam,

Wallahu a'lam

Rabu, 31 Ogos 2011

Hari Raya Aidilfitri

Ketika saya pulang ke halaman saya lihat banyak perubahan yang berlaku ke atas kampung halaman saya sama ada dari aspek pembangunan, budaya, sikap dan juga keriangan.

Apapun agak lewat juga untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf zahir dan batin, taqaballahu minna wa minkum.

Ucapan tahniah kepada sahabat saya Mohamad Hairie akan kelahiran putera sulung beliau, Raid Ahmad. Semoga menjadi penambah keceriaan dalam keluarga beliau.

Itu sahajalah memandangkan saya berada di kampung, tak dapatlah nak menulis lebih banyak. Tamat sahaja cuti, kami di UPSI akan mula mengajar, saya ditugaskan untuk mengajar Getaran, Gelombang dan Optik. Kursus itu merangkumi tiga displin iaitu, getaran (pergerakan mekanikal berkala), gelombang (ayunan sinusodial) dan optik (aplikasi 'wavefront'). Dan saya ditugaskan membimbing tiga sesi makmal (setiap satu sesi tiga jam).

Sekali lagi, saya agak lewat mengucapkan Selamat Hari Raya, bak kata orang tua-tua, "Rayakan sebulan!".

Sekian, terima kasih.
Barakallahu fiikum

(^_^)

Selasa, 23 Ogos 2011

Tersalah makan atau kurang makan....

Semalam saya sedikit sakit kepala mungkin tersalah makan atau saya sahur dengan kepingan roti sahaja. Namun berbuka puasa dengan KFC (pertama kali di bulan puasa, entah mimpi apa saya pergi beli KFC, walhal kepala masih memusing-musing), hehehe....


Rajah 1: Mungkin restoran ini membuatkan saya salah makan!

Ahad, 21 Ogos 2011

Mesyuarat

Pagi ini bermesyuarat di Bilik Mesyuarat Pendaftar.
Penyaman udaranya sangat menyejukkan.

Apapun mesyuarat berjalan dengan baik, masa yang diambil 3jam 24minit.

Sebelum Big Bang?

Wahh... Rupa-rupanya banyak juga model fizik untuk menjelaskan apakah yang berlaku sebelum big bang (deguman besar). Seperti yang kita telah ringkaskan dalam entri sebelum ini, iaitu idea daripada Neil Turok, Susskind, 't Hooft dan beberapa kosmologis yang lain. Apapun permodelan mereka berasaskan kepada fizik yang sedia ada iaitu Kuantum dan Kenisbian Am, apa yang saya boleh simpulkan di sini, rata-rata mereka berpendapat perlunya matematik yang baru untuk memerihalkan fenomena(fizik atau entiti tertentu) sebelum deguman besar. Itulah yang menjadi kesukaran kepada mereka (kosmologis). Saya lihat matematik terbina terlebih dahulu dan maju terkehadapan berbanding displin fizik.


Rajah 1: Deguman besar, pernahkah kita terfikir apakah yang terjadi pada sebelumnya?

Sebagai contoh, teori medan kuantum, ianya berasaskan matematik Teori Kumpulan Lie (yang mana telah lama dibina oleh Lie), teori kenisbian am pula berasaskan kepada geometri kelengkungan Riemann dan Tensor Ricci, begitu jugalah yang lain seperti Keelektrmagnetan Maxwell dibina dengan pembezaan separa dan analisis vektor (displin matematik yang boleh dikatakan tertua)

Kosmologi sering kali menggunakan pendekatan teori kenisbian am (Graviti Einstein), pada masa yang sama juga mereka memerihal dari aspek kuantum, dengan andaian bahawa ketika ketunggalan unggul (singulariti) yang terjadi ketika permulaan kejadian alam semesta ini fiziknya akan mematuhi kuantum (ketika berskala mikroskopik).

Baik, saya ringkaskan disini model-model tentang Sebelum Deguman Besar:

Andrei Linde, beliau mencadangkan nekamesta (multiverse) yang memberi kesan ke atas inflasi. Inflasi di sini bermaksud ketika kejadian alam semesta, berlakunya fenomena penggelembungan yang unik dan pengelembungan itu melampaui laju cahaya, (hal ini tidak boleh terjadi) namun yang diandaikan oleh Alan Guth (beliau pencadang inflasi bagi menyesuaikan fenomena Baryogenesik yang berlaku) itu adalah pengelembungan ke atas ruangmasa sahaja bukannya objek atau jirim semesta. Kiasannya begini, bayangkan terdapat sebiji guli dalam belon, kemudian belon itu ditiup, yang mengembang di sini adalah ruangmasa, tetapi jirim (guli) masih tetap.


Rajah 2: Gambaran Nekamesta?

Apa yang menaik tentang nekamesta Anderi Linde, kita mempunyai hampir 10^10^10^7 alam semesta (10 berkuasa 10 berkuasa 10 dan berkuasa 7, sangat banyak bukan?) dalam ruang de-Sitter, tetapi jika dalam ruang anti de-Sitter (pemalar kelengkungannya yang bernilai negatif) mempunyai 10^500 alam semesta. Tetapi kita berada di ruang de-Sitter. Dan alhamdulillah, kita bersyukur berada dalam alam semesta yang terpilih, dengan pemalar fizik yang sesuai untuk kemandirian manusiawi. Tahukan tuan-puan pembaca yang diRahmati Allah, sekiranya pemalar fizik alam kita berubah walaupun sangat sedikit nilainya (contoh sekitar 10^-10 perubahan nilai), alam semesta kita akan runtuh-musnah,impkasinya tiada lagi hidupan dan juga alam semesta ini.
(Persoalannya adakah ini kebetulan dan kita berada di alam semesta yang sangar-sangat-sangat-sangat-sangat sesuai dengan kita ini)

Param Singh, bagi saya beliau seorang yang sangat berbeza dengan orang yang lain akan model beliau. Tahu tak apa kesimpulan awal model beliau mengenai permulaan alam semesta ini, iaitu,

TIADA BIG BANG!!!

Hahaha... lucu bukan? Tapi beliau memperketengahkan ide yang menarik melalui Kuantum Graviti (beliau seorang ahli Kuantum Graviti), dan fenomena yang beliau temui dalam model beliau ialah "Big Bounce". "Big Bounce Cycle", sebenarnya alam semesta ini mengalami pengembangan dan pengecutan, iaitu alam semesta tersebut mengalami Big Crunch (pengecutan) dan Big Bang. Ketika pengecutan alam semesta itu menghampiri isipadu alam yang sangat tinggi (singulariti), interaksi 'tarikan' akan mengalami perubahan kepada interaksi 'penolakan' yang sangat kuat, maka berlakulah pengembangan alam semesta. Model beliau juga mematuhi inflasi.


Rajah 3: "Big Bounce"

Formula yang didapati oleh beliau, adalah pengubahsuaian kepada formula pengembangan Hubble (dengan melalui idea Teori Kenisbian Am) dan juga tidak mengenepikan prinsip kuantum. Ketika proses pengecutan besar itu terjadi, ungkapan fizik "tarikan" itu agak dominan, tetapi setelah menghampiri nilai kritikal, ungkapan fizik "penolakan" kelihatan memainkan peranan, dan daripada itulah terjadi pengembangan alam semesta. Seolah-olah alam semesta ini mengalami pengecutan dan pengemmbangan secara berterusan, yang tiada berkesudahan.

Secara peribadi, saya katakan model beliau sangat lain daripada yang lain. Dengan kata lain, perghh... cool beb!

Michio Kaku, pula beliau sangat mempercayai kepada idea lama iaitu, kewujudan Nothingness, beliau mendefinisikan nothingness kepada dua: 1)tiada ruangmasa, tiada jirim, tiada persamaan, dengan kata lain tiada apa-apa yang mampu diperihal oleh akal kita, pelik bukan? Hehehe.... 2)tiada jirim dan tenaga, takrifan ini yang melanjutkan idea beliau dan ia dikenali sebagai vakum.

"Nothingness" atau "Ketiadaapa-apaan" (saya tak tahu nak mendefinisikannya) itu juga terjadi dalam kes Kuantum kromodinamik. Sekirannya kita vakum sesuatu ruang, kemudian kita rendahkan suhu beliau ke tahap Sifar Mutlak (0K). Kita mungkin akan menganggapkan bahawa tiada apa-apa yang berlaku, walhal kuantum tidak benarkan "tiada apa-apa yang berlaku" itu berlaku, tetapi terdapat satu fenomena ciptaan-musnahan berlaku secara tersendirinya, dan ia dikenali sebagi Fluktuasi Vakum (fluktuasi kuantum). Apatah lagi jika berlaku pada supervakum iaitu sebelum deguman besar, sudah tentu lebih ketara fenomenannya bukan? Begitu jugalah bagaimana Kaku memerihalkan fenomena yang terjadi sebelum deguman (dan pendapat saya sendiri, fluktuasi vakum itulah yang memulakan alam semesta dengan kewujudan tenaga vakum yang sangat tinggi)


Rajah 4: Tulisan kanji bermaksud "Nothingness"

Neil Turok, pula seorang ahli teori tetali (membran), maka teori kosmologinya pasti ada kena-mengena dengan Teori-M. Idea beliau juga lanjutan kepada model oleh Andrei. Dalam teori-M, mereka mempercayai, struktur yang membina alam semesta adalah (mem)bran. Bran adalah objek terlanjut daripada tetali, secara tidak langsung menyelesaikan anomali teori-teori tetali yang tidak tekal (Jenis I, Jenis IIA, Jenis IIB, E8xE8 dan SO(32)) dengan mengusulkan satu matra ruang tambahan.

Beliau membayangkan bahawa kita berada dalam bran gergasi yang tinggi dimensinya (matra), dan terdapat satu bran gergasi yang lain. Baik, begini alam semesta terjadi, iaitu perlanggaran bran asing dengan bran yang kita huni akan menghasilkan deguman besar dan daripada itu jugalah terjadinya alam semesta kita, dan sekali lagi ia memuas idea inflasi Guth. Persoalan: Adakah ianya hanya berlanggar sekali sahaja? Sudah tentu tidak, perlanggarannya berterusan, kerana kuantum tidak membenarkannya. Idea nekamesta (multiverse) diusulkan. Sekali lagi kita berada di alam semesta yang mana pemalar fiziknya memenuhi keperluan hidup kita untuk bernafas atau lain-lain untuk kemandirian manusiawi.


Rajah 5:Bran gergasi berlanggar, idea Neil Turok.

Saya rasa setakat itu sahaja, sebab saya menulis ini pada pukul 1.20am. Mata pun sudah mengantuk, insyaallah sekiranya saya tidak malas untuk menulis lagi, saya akan meneruskan perbincangan terhadap model-model yang lain pula. Kelihatan seperti perlu dibaiki ayatnya, nantilah kalau ada masanya kelak, biasalah dalam keadaan mengantuk sebegini. Wallahu ta'alam a'lam.


Rajah 6: Nekamesta bunyinya seperti perkara-perkara tahyul