Selasa, 1 Januari 2013

Panduan Menulis Tesis

Pengenalan

Tesis adalah dokumen yang menjadi prasyarat bagi pelajar untuk memenuhi syarat bergraduan disamping menghadiri dan lulus kursus-kursus yang dikehendaki. Tesis adalah keaslian tulisan pelajar yang mempamerkan keputusan dan olahan hasil kajian tersebut. Nama lain bagi tesis adalah disertasi, laporan kajian ilmiah atau esei/dokumen ilmiah. Di kebanyakan mereka berbeza menggunakan nama tesis dan disertasi, ada negara menggunakan tesis sebagai laporan ilmiah bagi Ijazah Sarjanamuda dan Ijazah Sarjana, dan disertasi pula digunakan untuk Ijazah Doktorat, manakala laporan/dokumen pula untuk memenuhi syarat geran penyelidikan yang telah dipohoni.

Perlu diketahui bahawa tesis adalah hasil kerja yang asli, penulis tesis harulah bertanggungjawab di atas perkataan/ayat/gambarajah yang diberikan dalam tesis, jika terdapat perkataan/ayat/gambarajah bukan hak milik penulis tesis, maka menjadi tanggungjawab penulis tesis untuk menyatakan dari mana ia diambil atau daripada siapa ia dirujuk dan ini merupakan integriti seorang ahli akademik. Seorang profesor di Jepun pernah dipecat kerana menipu hasil keputusan yang diperolehinya, seorang profesor di US pernah didakwa mahkamah oleh pelajarnya kerana beliau telah meniru hasil kerja pelajarnya dan seorang yang sudah doktorat lebih 10tahun dilucutkan gelaran doktoratnya kerana didapati dalam tesisnya terdapat plagiat.

Tulisan kali ini adalah bertujuan membincangkan panduan bagaiman untuk menulis tesis. Jadi penulisan kali ini adalah berdasarkan pengalaman penulis yang menyelia pelajar ijazah fizik untuk menyiapkan tesis mereka masing-masing dan penulisan ini hanya tertumpu kepada pelajar ijazah sahaja, memandangkan penulis hanya menyelia pelajar ijazah sahaja. Tulisan ini terbahagi kepada 3 topik iaitu dimulai dengan Susunan Bab Di Dalam Tesis, yang mana ia membincangkan bab-bab utama yang perlu ada dan bagaimana untuk mengendalinya, seterusnya kita akan membincangkan Panduan Penulisan terkandung di dalamnya panduan untuk memulai tesis, dikuti dengan pengurusan masa yang lebih baik dan disiplin dan diakhiri dengan aspek gaya/corak penulisan. Penhujung kepada penulisan ini adalah Kesimpulan dan Refleksi Diri. Bagi memudahkan pembaca untuk memahaminya, penulis akan mengariskan kata kunci yang penting (Underline).


Susunan Bab Di Dalam Tesis

Rata-ratanya tesis mengandungi perkara-perkara seperti berikut:

1) Abstrak
2) Pendahuluan
3) Kajian Literatur
4) Keputusan
5) Perbincangan
6) Kesimpulan
7) Rujukan

[Isi kandungan, singkatan perkataan dan senarai gambarajah adalah termasuk sebahagian. Penghargaan itu juga bergantung kepada pelajar itu sendiri]

Abstrak adalah singkatan daripada keseluruhan tesis itu tanpa meletakkan kajian yang dirujuk. Dengan kata lain, ia adalah singkatan mudah difahami bagi setiap topik yang terkandung dalam tesis. Abstrak itu mestilah mengandungi beberapa ayat tetapi syumul (menyeluruh). Bagi peringkat Ijazah Sarjanamuda adalah disyorkan lebih kurang 10 ayat sahaja; 2 ayat untuk tulisan Pendahuluan, Kajian Literatur (2-3 ayat), Keputusan dan Perbincangan boleh disekalikan memandangkang setiap hasil dapatan yang diperolehi itu haruslah disusuli dengan perbincangan ke atas data tersebut dan  yang utama dalam kajian sahaja dilampirkan, sewajarnya 4 ayat sudah memadai dan akhir sekali bahagian Kesimpulan adalah 1 ayat sahaja, untuk menjawab setiapa objektif kajian yang terkandung di dalam  bahagian Pendahuluan dengan ringkas mungkin

Pendahuluan pula merupakan gambaran kasar yang ringan untuk pembaca sebelum membaca keseluruhan tesis. Di dalam Pendahuluan, ia mestilah mengandungi pengenalan kepada kajian yang ingin dikaji yang boleh dibaca bagi pembaca yang tidak mempunyai kefahaman tentang apa yang dikaji juga ia mesti mengandungi kajian-kajian lepas yang relevan dengan apa yang dikaji. Pendahuluan juga mengandungi hipotesis kajian, ini penting bagi memahamkan pembaca ketika memasuki bahagian "Perbincangan" disamping itu juga ia menjadi penanda aras bagi penilai atau penyelia mengesahkan bahawa kajian tersebut memenuhi hipotesis awal yang dicadangkan dan hipotesis penting bagi pelajar itu sendiri untuk menulis bahagian "Kesimpulan". Selain itu pendahuluan mestilah mengandungi Objektif Kajian, supaya ia dapat dicapai oleh kajian tersebut dan merupakan jawaban dalam penulisan bahagian "Kesimpulan". Akhir sekali dalam bahagian Pendahuluan ialah penyusunan topik dalam tesis, yang mana pelajar memaklumkan kepada pembaca akan susunan topik yang dibuat dalam tesis tersebut.

Kajian Literatur merupakan bahagian yang mengumpulkan kesemua kajian-kajian yang relevan dibuat sebelum itu. Bezanya dengan bahagian Pendahuluan ialah Kajian Literatur mestilah mengandungi lebih banyak petikan kajian-kajian lepas dan mengolahnya dalam bentuk teks yang tersusun jika rujukan lepas-lepas dalam bentuk gambarajah atau graf, perlu di ketahui apa yang berkaitan dengan kajian pelajar itu mesti dibincangkan dan dahulukan topik tersebut dengan perkara yang umum dalam kajian sehinggalah perkara yang khusus dalam kajian pelajar itu sendiri.

Keputusan adalah hasil dapatan kajian yang diperolehi oleh pelajar. Di dalam penulisan bahagian Keputusan ini, pelajar mestilah bertanggungjawab ke atas hasil yang diperolehi yakni tidak menyembunyikan hasil dapatan kajian tersebut dan mengubahsuai data supaya sesuai dengan apa yang dikehendaki pelajar dan  ini merupakan salah satu integriti akademik. Jika pelajar mendapati bahawa keputusan itu tidak memenuhi kehendak pelajar itu sendiri, maka dengan profesionalnya pelajar itu haruslah bijak melaporkan dan mengolah keputusan yang diperolehi itu di dalam bahagian Perbincangan nanti. Keputusan itu mestilah dimulai dengan hasil dapatan yang umum sehinggalah kepada khusus atau daripada yang mudah kepada yang lebih sukar, pelajar juga boleh melampirkan keputusan tambahan pada akhiran bahagian Keputusan ini. Penggunaan perkataan dalam ayatnya untuk bagian ini haruslah digunakan Past (Perfect) Tense seperti, ...has been used..., ....measured by.... , ...derived..... Jika dalam Bahasa Melayu, kita mesti menggunakan ayat-ayat yang pasif dengan imbuhan "di......kan" atau imbuhan "di" contoh; ...sampel ini diukur dengan..., ....digunakan Kaedah Runge-Kutta untuk menyelesaikan..., pendek kata dahulukan predikat Subjek kemudian barulah Objek.

Bahagian Perbincangan pula membincangkan dapatan kajian yang diperolehi daripada bahagian Keputusan.  Perlu diingat bahawa pelajar haruslah menggunakan pengetahuan yang terkandung di dalam bahagian Kajian Literatur untuk mengolah dan menguatkan hujah ke atas hasil dapatan kajian yang diperolehi dengan memetik senarai rujukan yang berkaitan untuk menyokong keputusan kajian pelajar itu. Dengan kata lain, bahagian Kajian Literatur adalah pembantu kepada olahan didalam bahagian Perbincangan. Penggunaan ayat di dalam bahagian bertatabahasa Present dan Past Tense, kerana keputusan itu 'sedang' diperolehi dan terkadang pelajar akan menggunakan perkataan Past Tense untuk kajian lepas yang dirujuk atau perlakuan yang telah dilakukan.

Kesimpulan, secara ringkasnya kita boleh katakan bahawa bahagian Kesimpulan adalah jawaban kepada objektif dan hipotesis kajian yang kita lampirkan di dalam bahagian Pendahuluan. Penulisannya adalah secara bersantai dan pelajar tidak perlulah tergesa-gesa untuk menulisnya, kerana ia adalah penghujung kepada kesuluruhan. Selalunya, di dalam bahagian Kesimpulan ini mengandungi kesimpulan kajian, perkara-perkara yang diabaikan di dalam kajian dan cadangan kajian akan datang.

Rujukan, secara asasnya, pelajar hendaklah melampirkan kesemua rujukan yang pelajar bincangkan dari bab  Pendahuluan sehinggalah Kesimpulan. Susunannya bergantung kepada kehendak universiti yang pelajar duduki, sama ada secara urutan nama (Surname atau First name) atau urutan nombor yang diletakkan pada setiap bab di dalam tesis (yang mana setiap pernyataan yang pelajar rujuki). Manakala format penulisan rujukan juga bergantung kepada universiti, setiap universiti mempunyai formatnya tersendiri, rata-ratanya format yang digunakan adalah format APA (American Psycological Association). Jika di dalam teks untuk format nama kita akan gunakan seperti beriku sebagai contoh; (Ali, 2006), (Cheng & Anuar, 2008) atau (Randall et.al., 1999), manakalan bagi urutan nombor pula; [3] atau [5-10].

 Di sini dilampirkan contoh format APA:

Buku
Treviño, L. K., & Nelson, K. A. (2007). Managing business ethics: Straight talk about how to do it right. Hoboken, NJ: Wiley.[Jika lebih daripada seorang, Krause, Bochner, and Duchesne (2006)  atau lebih daripada tiga orang, Mezey et al., 2002  yang selebihnya adalah hampir sama]

Makalah
Sainaghi, R. (2008). Strategic position and performance of winter destinations.Tourism Review, 63(4), 40-57.

Tesis
Rose, S. L. (2006). Essays on almost common value auctions (Doctoral dissertation, Ohio State University). Retrieved from http://www.ohiolink.edu/etd

Surat khabar/Majalah
Cumming, G. (2003, April 5). Cough that shook the world. The New Zealand Herald, p. B4.

Laman sesawang
Hobbit Team. (2011, November 5). 3D concept sketch [Web log message]. Retrieved from http://www.thehobbitblog.com/

Untuk rujukan pembaca mengenai penulisan format APA boleh klik di sini. Untuk makluman pembaca bahawa yang asasnya dalam penulisan tesis adalah seperti yang dibincangkan, tetapi bergantung kepada pelajar untuk memecahkan bahagian Kajian Literatur kepada dua atau tiga, dengan menamakan setiap satunya bab dengan tajuk yang berlainan atau mencantumkan dua bahagian itu menjadi satu bab, seperti bahagian Keputusan dan Perbincangan. Jadi yang asasnya ia mengandungi bahagian Pendahuluan, Kajian Literatur, Keputusan, Perbincangan dan Kesimpulan hendaklah dipatuhi. Mengenai muka surat (atau bilangan perkataan) bergantung kepada kehendak universiti, haruslah dirujuk kepada bahagian Syarat Bergraduan setiap jabatan ataupun koordinator Penyeliaan Kajian Ilmiah


Panduan Penulisan

Dalam bahagian ini ia akan di bahagikan kepada 3 bahagian utama dan disusuli dengan sub-bahagian yang akan memperihalkannya.

Permulaan
Pelajar diingatkan supaya memulakan penulisan di hari pertama pandaftaran kursus Kajian Ilmiah dan perbincangan dengan penyelia. Ini bertujuan agar pelajar banyak menulis supaya nanti pelajar boleh memadam atau mengolah ayat yang beliau telah tulis itu dan pada masa yang sama juga, pelajar akan terilham banyak idea ketika menulis nanti, selain itu juga ia akan menjadi motivasi awal atau rutin untuk pelajar itu memulakan penulisan. Perlu diketahui bahawa syarat bergraduan bukanlah berapa banyak pelajar baca dan mentelaah, tetapi ia adalah mengenai bukti iaitu dalam bentuk tulisan yakni tesis.

Perbincangan tajuk kajian dengan penyelia kajian perlulah jelas, kemudian penyusunan topik secara gambaran kasar hendaklah diperakui oleh penyelia kajian. Oleh itu peranan berjumpa dengan penyelia kajian/tesis sangatlah penting dan perlu diingat bahawa kedudukan penyelia sangatlah penting kerana merekalah akan mempertahankan dan membantu anda ketika sesi viva/soal-jawab itu berlangsung, hubungan pelajar-penyelia haruslah baik secara akademik dan profesional. Sebelum itu pelajar hendaklah menetapkan Objektif kajian dan Hipitesis kajian, supaya ia menjadi kiblat pelajar ketika menulis tesis nanti.


Pengurusan Masa
Aspek ini sangatlah penting supaya pelajar tidak tercicir  atau tergesa-gesa di dalam penulisan akhir nanti. Pelajar hendaklah merancang masa kajian dengan baik sekali dahulukan yang mana lebih utama dan yang mana perlukan masa lebih untuk siapkannya, dan lagi pelajar perlu sangat disiplin dengan apa yang pelajar itu telah rancangkan. Di sini penulis lampirkan saranan untuk pengurusan masa bagi 14 minggu yang diperuntukan untuk menyiapkan tesis kajian ilmiah pelajar.

Untuk 4 minggu pertama, pelajar hendaklah menyiapkan pentelaahan ke atas kajian yang ingin dilakukan dan pada masa yang sama juga pelajar hendaklah menulis untuk bab Kajian Literatur. Pelajar hendaklah memahami pengetahuan yang terkandung di dalam bahagian Kajian Literatur ia pentiang kerana akan membantu pelajar untuk memahami dalam fasa mendapatkan data dan keputusan, secara tidak langsung memudahkan pelajar untuk menulis dalam bahagian Perbincangan dengan mengaitkan rujukan dan pengetahuan dari bahagian Kajian Literatur. Jika ada kesempatan, pelajar hendaklah mencuba-cuba (try and error) untuk meraih data dan keputusan kerana pada masa itu otak pelajar masih dalam segar (fresh) akan pengetahuan tentang kajian melalui pembacaan daripada Kajian Literatur itu.

4 minggu seterusnya, iaitu bahagian Keputusan. Dalam tempoh ini, pelajar hendaklah mendapatkan data kajian dan rentetan daripada itu, pelajar hendaklah melaporkan terus (langsung atau serta-merta, supaya  tidak terlupa akan ayat-ayat yang pelajar teringat ketika mendapat data) keputusan yang diperolehi. Sememangnya pada tempoh ini, pelajar akan sedikit tertekan/stres untuk mendapatkan keputusan kajian. Nasihat penulis adalah dapatkan keputusan sahaja, tidak kisah sama ada betul atau tidak, kerana untuk fasa seterusnya barulah kita melihat kerelevanan data yang diperolehi itu.

Untuk bahagian Perbincangan, pelajar disyorkan memperuntukan 2 minggu sahaja untuk menulis bahagian tersebut. Memandangkan pelajar mempunyai pengetahuan yang utuh daripada tempoh penulisan bahagian Pendahuluan dan kemudiannya, ketika penulisan bahagian Keputusan pelajar sudah merangka corak penulisan dan mendapatkan gambaran kasar akan ayat-ayat yang  sesuai untuk ditulis. Ini sudah cukup membantu pelajar untuk menulis bahagian ini.

1 minggu, adalah untuk bahagian Pendahuluan. Untuk bahagian ini, pelajar perlulah menambahkan lagi pembacaan dan pentelaahan ke atas kajiannya, tetapi pembacaannya lebih terarah kepada maklumat am kerana dalam bahagian Pendahuluan ini ianya lebih bersifat umum. Sebagai contoh pelajar mengkaji superkonduktor dan yang menemuinya adalah Heike Kamerlingh Onnes jadi pelajar perlulah membaca dan mencari maklumat umum tentang kajian Prof Onnes itu atau perbincangan umum mengenainya daripada majalah atau laman sesawang yang diyakini kesahan kandungannya. Manakala Objektif dan Hipotesis kajian pelajar sudah maklum dan boleh menulis dengan baik sekali. Bahagian Pendahuluan ditulis agak lewat, kerana ia memerlukan gambaran keseluruhan utama tesis daripada apa yang pelajar telah tulis itu.

1 minggu lagi ialah penulisan bahagian Kesimpulan dan Abstrak. Bahagian Kesimpulan boleh ditulis kerana bahagian Pendahuluan sudah ditulis dan difahami, tambahan pula bahagian Kesimpulan ialah menjawab kembali apa yang tertulis di dalam bahagian Pendahuluan, jadi mudahlah pelajar untuk menulis dalam bahagian ini. Manakala Abstrak pula adalah bahagian yang terakhir dalam teks tulisan tesis, kesukarannya ialah memendekan dan meringkaskan apa yang ditulis di dalam tesis itu yang panjang berjela.

1 minggu lagi digunakan untuk penyusunan dan mencari kembali rujukan yang dipetik dalam petikan teks tesis pelajar. Ini memerlukan kerja lapangan seperti pergi ke perpustakaan untuk mencari rujukan itu atau mencari dalam internet. Jika pelajar tidak menjumpai rujukan, adalah dinasihati supaya pelajar membuang pernyataan yang terujuk itu daripada teks tesis pelajar.

1 minggu terakhir, gunakanlah tempoh tersebut untuk kemaskinikan tesis, kemudian fikirkan tajuk akan tesis tersebut yang bersesuaian dan catchy supaya mampu menambat orang awam untuk membacanya. Tempoh ini adalah merupakan tempoh paling kritikal untuk menamatkan pengajian, jadilah gunakanlah sebaiknya.


Corak Penulisan
Setiap kali pelajar menulis akan pernyataan yang mempunyai rujukan dalam tesis adalah disarankan supaya pelajar langsung menulis rujukan, ini kerana ia memudahkan pelajar mencari kembali akan rujukan tersebut dan ini memudahkan pelajar untuk mengingatinya (baik untuk hujah balik ketika sesi viva/soal-jawab nanti). Mungkin cara ini agak comot, tetapi ia sangat baik sekali, tambahan pula ia akan dikemaskini kembali ketika tempoh minggu terakhir penulisan tesis nanti.

Seterusnya bagi mengkoreksi bahasa adalah menjadi tugas penyelia atau pembetul tatabahasa (bagi peringkat Sarjanamuda, mungkin ia tiada) untuk membetulkan penulisan pelajar itu. Atau lebih baik diberikan kepada kawan-kawan sendiri untuk membacanya sama ada sesuai atau tak ayat yang digunakan dalam tesis tersebut.

Jika ada kesempatan, baca kembali tesis itu dan lihat ayat-ayatnya adakah ia betul-betul menggambarkan apa yang ingin dikaji, jika tak, fikirkan ayat yang sesuai untuknya. Ini mungkin mengambil masa.


Kesimpulan

Setiap topik yang dikehendaki telahpun diulas dan sekali lagi penulisan ini hanyalah merujuk kepada pelajar ijazah sarjanamuda fizik ujikaji dan fizik pendidikan sahaja.


Refleksi Diri

Jika berlaku kesalahan ejaan atau maklumat silalah maklumkan denga segera. Sebarang pertambahan maklumat adalah sangat dialu-alukan.


Sekian, wallahua ta'ala a'lam

3 ulasan:

  1. Salam Tuan/Puan,

    Saya berminat untuk berkongsi artikel ini. Oleh yang demikian, Tuan/Puan saya ingin minta izinkan untuk share artikel ini.

    BalasPadam
  2. Salam Tuan/Puan,

    Saya berminat untuk berkongsi artikel ini. Oleh yang demikian, Tuan/Puan saya ingin minta izinkan untuk share artikel ini.

    BalasPadam
  3. malaysian thesis online terdapat banyak contoh thesis yg baik untuk dijadikan rujukan

    BalasPadam