Khamis, 30 September 2010

Selepas Bersara

Saya senantiasa memikirkan masa depan, malahan saya juga sering memikirkan kehidupan selepas kematian. Apa persiapan kita nanti? Dan menjadi pengajar di UPSI juga persiapan untuk kehidupan selepas kematian saya dan ia juga salah satu daripadanya. Kerana anak Adam akan tinggal semuanya, kecuali 1)Do'a anak yang soleh, 2)Sedekah jariah dan 3)Ilmu yang bermanfaat, lebih menariknya di UPSI, kami mengajar pelajar-pelajar yang bakal mengajar di seolah nanti, maka manfaat ilmu yang diberikan akan dimanfaatkan ke sekolah dan ia akan berterusan. Itu yang menggembirakan saya apabila memikirkan hal tersebut.

Tulisan kali ini adalah mengenai sedutan Jamuan Hari Raya yang dipengerusikan oleh saya, juga dianjurkan oleh jawatankuasa saya bersama Tuan Haji Shaharudin Ali, iaitu Jawatankuasa Kelab Fizik dan Hal Ehwal Pelajar.

Jamuan ini juga bertujuan untuk meraikan:
1) Kebersaraan Dr Abdul Rahman Omar daripada Jabatan Fizik
2) Perpindahan Dr Nurulhuda Abdul Rahman dan Dr Razak Abdul Samad Yahya (mantan Ketua Jabatan Fizik) ke Fakulti Pendidikan dan Pembangunan, selepas UPSI mengalami penstrukturan semula, dengan kata lain bidang pendidikan bukan lagi perkhidmatan utama kami.
3) Meraikan kepulangan Encik Ahmad Kamal Ariffin dan Puan Mahizah dari pengajiannya PhD di Jerman, dan Cik Faridah Lisa Supian dari UK.
4) Selain itu, meraikan perkahwinan Siti Noor Syuhada Mat Hussein dan juga kedatangan ahli baru Jabatan Fizik, pembantu makmal untuk Makmal Penyelidikan, Encik Nor Mazlan.

Tertarik

Antara aktivitinya adalah ucapan daripada Dr Abdul Rahman Omar. Saya tertarik dalam ucapan beliau iaitu antaranya ialah, mengenai selepas kebersaraanya nanti.


Beliau berkata,

"Dulu saya selesa dengan gaji saya RM9,000. Selepas kebersaraan selama dua bulan gaji yang saya terima adalah sekitar RM3,000. Selepas tolak pinjaman rumah tinggalah RM2,000. Jadilah nasihat kepada rakan-rakan sekalian, buatlah persediaan sebelum bersara"

Komen saya: Beliau merupakan seorang genius dalam bidang Fizik suatu ketika dahulu, ini turut diakui oleh Profesor Dr Roslan Abdul Shukor, Profesor Superkonduktor (Profesor Kelas A) dari UKM dan Prof Madya Dr Ahmad Puaad Othman dari UKM juga.

Saya tertarik dengan kenyataan tersebut, apakah kehidupan kita selepas bersara nanti? Dengan kos hidup yang tidak menentu! Apakah perancangan kita nanti? Saya lihat banyak cendekiawan yang ikhlas kepada bidang masing-masing adalah terbengkalai. Saya juga takut dengan keperluan hidup sekarang, 1)Kereta 2)Rumah, 3)Keluarga 4)Insurang 5)Sara hidup. Mesti bersedia daripada sekarang. Itu penting. Tapi keluarga dan jiran tetangga melihat golongan penjawat sangat tinggi, saya tidak selesa dengan keadaan yang sebegitu. Pada tanggapan mereka, penjawat awam mestilah berpakaian berjenama, berkereta Toyota Vios atau Honda Accord dan berumah Semi-D barulah bersesuaian dengan kedudukan itu. Ini sering terjadi kepada saya secara peribadinya. Saya agak tidak selesa dengan persepsi yang sedemikian rupa.

Perkara kedua, adalah kesihatan beliau juga agak tidak baik. Beliau pernah menasihati saya, "Pada usia muda, kamu kena menjaga kesihatan kena selalu SENAM, jaga permakanan. Makan tu kena jaga-jaga mulai sekarang"

Saya berfikir banyak profesor, kesihatan mereka sangat teruk terutamanya mendapat Diabetes dan Masalah Jantung.

Sebelum ini, beliau ada juga berbicara mengenai seorang profesor yang mempunyai masalah kesihatan yang serius tapi mempunyai keinginan beristeri lebih dari seorang, yang membuat saya ketawa lagi, profesor yang kami bicara itu sekarang sudah mempunyai tiga isteri. Ketika itu, kami berbicara di dalam Surau. Tak tahan saya melihat gaya bercerita Dr Abdul Rahman mengenai perkara tersebut, dengan telatah yang melucukan.

Jadi kesimpulan ringkas saya "Fikir-fikirkanlah kehidupan kita selepas bersara, sama ada ekonomi kita stabil, atau kesihatan yang baik atau adakah anak-anak didikan kita itu menjadi atau tidak?"

Jadi itulah komen saya mengenai ucapan beliau.


Seterusnya
Tambah beliau lagi,

"Saya mempunyai impian, antaranya ialah untuk memenangi Hadiah Nobel. Saya ada memikirkan mengenai masalah Tindakbalas Perlakuran untuk menjanakan tenaga nuklear yang bersih"

Komen saya: Sebelum ini saya pernah menghadiri 2nd International Summer School UKM-KAIST di UKM, Bangi. Antara soalan yang kami tanyakan kepada saintis dari Korea itu, mengenai Reaktor Perlakuran. Beliau menjawab untuk aplikasi tindakbalas perlakuran untuk kegunaan awam adalah sangat mustahil, mungkin teknologi tersebut merupakan teknologi 1000 tahun akan datang.

Semoga bermanfaat, wallahu'alam

Sabtu, 18 September 2010

Mari Mengenal Istilah-istilah Hadist

Penulisan kali ini adalah mengenai istilah-istilah hadist yang senantiasa digunapakai dalam bidang Ilmu Hadist. Semoga bermanfaat, insyaallah.

1) Hadist: Ucapan, perbuatan, keadaan atau lain-lainnya yang daripada Rasulullah salallahu'alaihi wassalam.

2)Riwayat: Istilah dalam hadist, Riwayat kita kenali sebagai "Pengkhabaran", "Penceritaan", apa yang diceritakan. Jika pengkhabaran itu sah daripada Rasulullah salallahu'alhiwassalam, kita katakan "Riwayat Shahih".

3) Sanad: Ertinya sandaran.

4) Musnad: Ertinya yang disandarkan

5) Isnad: Ertinya Menyandarkan.

6) Rawie: Ertinya yang mengkhabarkan, yang menceritakan.

7) Musnid: Ertinya Yang menyandarkan

8) Mukharrij: YAng mengeluarkan, iaitu setiap orang yang mengeluarkan hadist atau mencatat hadist.

9) Matan: Secara bahasa ia bermaksud, kekerasan, kekuatan. Tetapi dalam ilmu hadist ia bermaksud Lafaz-lafaz yang disandarkan pada akhirannya.


Contoh dari Shahih Bukhari, dalam Bab Pertama.

Telah menceritakan kepada kami al-Humaidi 'Abdullah Bin Uzair, ia berkata: Telah meceritakan kepada kami, Sufyan, ia berkata telah menceritakan kepada kami, Yahya Bin Sa'id al-Anshari, ia berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku, Muhammad bin Ibrahim at-Tamimi, bahawa ia mendengar Alqamah Bin Waqqash al-Latsi berkata: Aku telah mendengar Umar Ibnu al-Khattab radhiallahu'anhu berkata atas mimbar. Aku telah mendengar Rasulullah salallahu'alaihi wassalam bersabda:
"Sesungguhnya amal-amal itu, tidak lain melainkan (bergantung) kepada niat-niat"


PENERANGAN:

Tulisan yang BOLD adalah sanadnya.

Tulian yang ITALIC pula adalah matannya, iaitu
"Sesungguhnya amal-amal itu, tidak lain melainkan (bergantung) kepada niat-niat"


Manakala Musnad pula, orang yang disandarkan, contoh seperti al-Humaidi disebut "Musnad" bagi Bukhari, kerana Bukhari menyandarkan kepadanya, (Bukhari menjadikan dia sebagai tempat sandaran cerita)

Telah menceritakan kepada kami(Bukhari) al-Humaidi 'Abdullah Bin Uzair, ia berkata
Ini dikatakan Bukhari "Isnad" kepada Humaidi

Tiap-tiap orang dalam sanad tersebut, dikenali sebagai "Rawi",atau orang Melayu panggil sebagai "Perawi". Namun Bukhari juga boleh dikenali sebagai Rawi juga.

Ketika ia menyandarkan khabaran itu kepada seseorang, ini dinamakan sebagai "Musnid"

Maka boleh kita katakan setiap pengeluar hadist dalam sanad tersebut adalah Mukharrij.

__________________________________________________________

Darjat-darjat Hadist

1) Shahih: Sah dan Asli
Memenuhi syarat-syarat Hadist (1. Sanad bersambung, 2. Rawinya 'adil, 3. Rawinya Dhabit, 4. Matannya tiada Syaz dan 5. Matannya tiada 'illat)

2) Hasan: Baik
Memenuhi syarat-syarat, kecuali syarat ke-3. iaitu Rawinya kurang Dhabit, bermaksud perawi tersebut agak sedikit pelupa, kurang kuat hafalannya.

3) Dha'if: Lemah
Hadist yang tidak memenuhi syarat 1., iaitu sanadnya terputus atau rawi-rawinya ada yang cacat (bermaksud ada masalah pada perawinya, dari segi kuat hafalan dan pembuat bidaah, atau fasik)

4) Maudhu': Palsu
Hadist yang sanadnya terdapat perawinya dikenali sebagai "Pembuat Hadist" atau dikenali sebagai "Pembohong"


Pembincangan ilmu hadist ini boleh dirujuk kebanyakan kitab-kitab Mustalahul Hadist.
Saya menggunakan rujukan "Ilmu Mushtalah Hadist" karangan A. Qadir Hassan, Penerbit: Diponegoro, Bandung tahun 2002, cetakan VIII.


Wallahu ta'ala a'lam

Jumaat, 17 September 2010

Seputar Mengenai Cincin

Ringkasan:

1) Memakai cincin adalah sunnah jibliyah, seperti mana memakai qamis atau jubah.
2) Haram memakai cincin daripada emas
3) Dimakruhkan logam cincin terbuat daripada besi dan tembaga, kerana besi dan tembaga adalah logam seksaan dalam neraka.
(Jika pembaca mendesak saya untuk mendapatkan hadistnya, insyaallah saya akan carikannya)
4) Sunnah dipakaikan pada jari manis dan jari anak.
5) Haram dipakaikan pada jari telunjuk dan jari ibu
6) Makruh memakai berlebih-lebihan, bermaksud memakai lebih banyak cincin dijari-jari dalam erti kata menunjuk-nunjuk.
7) Sebaik-baiknya sekadar satu cincin sahaja di jari, sekadar pemanis jari dan pada satu tangan sahaja.
8) Diperbolehkan meletak batu dicincin atau kosong
9) Sunnah memakai cincin adalah sunnah tidak dituntut. Jika berminat untuk memakai, silakan. Jika tak mahu pakai, silakan.
10) Sebaik-baik logam cincin dan menepati Sunnah adalah Perak.
11) Syarat-syarat dan makluman-makluman di atas adalah umum kepada lelaki dan perempuan,
manakala syarat 2), iaitu larangan cincin emas, gugur syaratnya hanya bagi perempuan sahaja.

Wallahu'alam

Rabu, 1 September 2010

Tersedar dan baru tersedar

Rupanya templat blog lama saya adalah sangat menyakitkan, mata dan hati, mungkin juga menyakitkan akal yang waras.

Templat kali ini, mungkin memenuhi citarasa pembaca untuk membaca, insyaallah. Hehehe...

Pertama, saya dapati templat kali ini, entri-entrinya diasingkan dalam rangka yang jelas dan menarik.

Kedua, penulisannya kali ini insyaallah jelas dan mudah dibaca.

Ketiga, terdapat burung-burung berlegaran di atas-kanan blog. Mungkin sebagai nilai tambah kepada tarikan pembacaan. Insyaallah

Keempat, pautan laman sesawang jelas dan terpamer dengan baik.

Kelima, perkataannya "Arial" dan saiznya besar, jelas dan terpamer

Keenam, rekaletaknya sangat baik.


Insyaallah, inilah yang terbaik daripada saya, Marhain Tersungkur Sujud kepada Pencipta Alam Sarwajagat.

Tanya

-Tanya-
Nama yang mengingatkan saya kepada rakan sekelas 3 Nilam berjantina perempuan di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis pada tahun 1993 dan beliau juga merupakan Penolong Ketua Kelas. Manakala Ketua Kelas juga adalah perempuan, bernama "Maznah". Pengurusan dan pentadbiran kelas kami didominasi oleh kaum Hawa. Siapa kata, kaum Adam tidak tertindas?

Sebenarnya itu bukanlah hal yang sebenarnya dalam penulisan kali ini, tetapi ia adalah mengenai sebuah pertanyaan dan bukannya mengenai rakan sekelas yang bernama "Tanya"

Per"Tanya"an saya adalah:

Bagaimana nak menulis persamaan?

Jika dalam perisian MSWord, ianya ada fungsi "Equator"

Adakah blog mempunyai seperti fungsi tersebut?


Barakallahu fiikum

K

Hanya semata-mata "K"

Obses dan Ghuluw

Obses dan Ghuluw

Obses pada kebenaran, adakah itu ghuluw?
Obses dalam bentuk pengabdian, adakah itu ekstrim?

Yakni kepada agama,
kepada falsafah tabii.
Seni.
Juga kemanusiaan sejagat

Obses pada agama, hendaklah muttabi'
Bukannya muqallid
Obses pada falsafah tabii, hendaklah berilmu
Bukannya berpendapat
Obses pada kesenian, hendaklah berestetika
Bukannya tenggelam
Obses pada kemanusiaan, hendaklah menasihat
Bukannya membantah

Dimulakan dengan al-Quran dan Sunnah, diikuti dengan iman
Barulah diikuti dengan akal.
Dimulakan dengan hukum tertakrif, barulah fakta mulai terdetik dan keinginan mula menjelang.
Dimulakan dengan menghayati, lazat dan tatap
Dimulakan dengan toleran, keakraban tertimbul dan ketamakan tersisih.

Maka lenyaplah obses
Maka lenyaplah ghuluw

Yang tinggal adalah,
Muttabi', Ilmuwan, Penilai estetika dan Pewasi.