Jumaat, 25 Mac 2011

Dunia ini tak bermakna jika...

Dunia ini tak bermakna jika anda tidak mencerapnya
Itulah intisari mazhab mekanik kuantum Copenhagen.

Saya lampirkan bersama prinsip-prinsip yang terselirat dalam Mazhab Copenhagen atau Tafsir Copenhagen (Copenhagen interpretation):

1. Sistem dinyatakan secara lengkap dengan fungsi gelombang (kita pun sudah membincangkannya dalam pos Postulat 1)
2. Penyataan tabii dalam mekanik kuantum dalam bentuk kebarangkalian, yang mana kebarangkalian dinyatakan dalam bentuk Fungsi gelombang berkuasa dua mutlak (Aturan Born)
3. Agak mustahil untuk mengetahui semua pengukuran sesuatu sistem pada masa yang sama, kesemua pengukuran tersebut tidak diketahui dengan kepersisan yang baik. Contoh: Posisi dan Momentum zarah, Tenaga dan penyukatan masa. Ini dikenali sebagai Prinsip Ketakpastian Heisenberg, Werner Heiseneberg juga salah seorang pendokong mazhab Copenhagen bersama dengan Niels Bohr [Jika ditanyakan kepada saya, "Kenapa?" Saya akan menjawab, "Wallahu ta'ala a'lam, sayapun tak tahu. Ini Sunnatullah yang berlaku dalam fizik berskala mikroskopik"]
4. Prinsip kedualan zarah-gelombang
5. Pengukuran mekanik kuantum sistem besar (atau pada number kuantum lebih tinggi), sistem tersebut secara tidak langsung menghampiri penjelasan klasik, dan ini kita kenali sebagai Prinsip Korespondasi Bohr atau "Correspondence Principle of Bohr"
6. Kebesandaran boleh cerap sesuatu sistem kuantum

Jika penulis blog ini wujud, adakah anda pernah melihatnya (atau mencerapnya)? Jika tak, penulis blog ini tak wujud! Namun masakan ada tulisan di dalam blog ini (hasil pencerapan), jadi bagaimana?

Wallahu a'lam

[Nota: Tapi masih terdapat satu lagi pendapat yang menafikan prinsip kebesandaran boleh cerap iaitu Mazhab Alam-Banyak Everett (Many-World Intepretation Everett)]


Perbahasan fenomena yang berlaku di antara kumpulan Einstein dan Bohr

Isnin, 21 Mac 2011

Pelajar-pelajar Sekolah Fizik Zarah KEK-UM-ANM 2011



Saya tiada senarai nama peserta, jadi tak dapatlah saya untuk menyenaraikan nama-nama semua peserta. Jika sesiapa ada. Sila ajukan kepada saya supaya saya boleh kemaskinikan pos ini, insyaallah.

Sabtu, 19 Mac 2011

Laporan Ringkas Sekolah Fizik Zarah Asia Tenggara KEK-UM-ANM 2011

Sekolah Fizik Zarah Asia Tenggara KEK-UM-ANM 2011, diadakan di UM selama lima hari bermula 14 Mac -18 Mac 2011. Setiap senggang waktu, kami diisi dengan slot-slot yang ilmiah dan teratur sekali. Saya akan melaporkan secara kronologi, bermaksud setiap gambar melambangkan urutannya dan sedikit penjelasan secara bersahaja, selamat menikmati. :-)

15 Mac 2011 (Isnin)

Saya tiba di UM pukul 8.50am dengan Komuter dan Bas Rapid-KL. Sepatutnya saya tiba awal, tetapi saya terlepas ETS (sejam sahaja ke KL). Tak apalah sekurang-kurangnya saya tiba sebelum waktu seminarnya.


Kaunter pendaftaran dikerumuni peserta yang pelbagai latar belakang, agama, bangsa dan negara. Kelihatan seperti peminat mengekerumuni selebriti untuk mendapatkan autograf.

Sebahagian daripada peserta telah mula menginap pada hari Ahadnya, terutamanya dari luar negara (Thailand, Indonesia dan Vietnam)



Prof Yosuhiro Okada membentangkan modul Teori Fizik Zarah

Seminar dimulai dengan sedikit pengenalan mengenai Seminar tersebut, KEK, dan aktiviti-akvtiviti di KEK. Seterusnya kuliah modul pertama di ajar oleh Prof Yosuhiro Okada untuk Modul Teori Fizik Zarah sebanyak lima sesi diberikan kepada beliau, manakala sesi beliau hanya pada awal pagi sahaja setiap hari (9.20-10.50am), mungkin modul tersebut sesuai untuk aktiviti otak awal pagi, kalau di tengaharinya bimbang terbakar RAM otak nanti.

Seterusnya boleh dilihat jadual sesi dalam rajah di bawah ini.


Jadual waktu - memang seperti persekolahan, hehehe....


Prof Junji Haba membentangkan modul Pengesan Zarah (tiga slot)


Peserta kelihatan khusyuk mendengar teori-teori, konsep-konsep dan teknikal yang baharu

Seterusnya Prof Forest.


Prof Forest membentangkan modul Pemecut Zarah di Makmal Komputer Baru, beliau diberikan 3 slot


Prof Takeo Higuchi membentangkan modul Fizik Zarah (Eksperimental), beliau diberikan lima slot sepanjang sesi persekolahan


Pada malamnya, kami berangkat ke Restoran Seri Melayu, untuk mempromosikan masakan Melayu kepada pelancong luar, pada masa yang sama juga mempamerkan budaya Melayu, Cina dan India kepada mereka melalui persembahan Malaysia.


Imej-imej di Restoran Seri Melayu


Prof Okada khusyuk menonton persembahan atau memikirkan permasalahan mekanisme Higgs dan rangka kerja Adisimetri yang masih belum didapati di LHC? Hehehehe.....

Sedang leka menikmati juadah, penari-penari turun ke bawah pentas untuk menarik pengunjung untuk menari bersama di atas. Prof Haba, Prof Uno dan Prof Okada dipujuk penari tersebut untuk menari bersama di pentas, tetapi ditolak. Namun begitu, salah seorang kami tiba-tiba turut serta untuk menari bersama-sama. Hehehe....


Salah seorang peserta sekolah fizik zarah langsung naik ke pentas dan menari bersama dengan penari-penari

Pada akhir malam itu, penceramah-penceramah dan peserta sekolah turut bersama sesi bergambar dengan penari-penari persembahan. Manakala saya tidak turut serta, menikmati satay dan melihat mereka semua dari jauh. Pada mulanya para penceramah tidak mahu bergambar, tetapi diajak oleh sekretariat (UM-ANM). Dan malam itu diakhiri dengan bergambar di Menara KLCC sebagai dedikasi untuk para penceramah dan peserta dari luar negara.


Bergambar bersama penari-penari


15 Mac 2011 (Selasa)

Hari berikutnya, kami menjalani aktiviti seperti biasa. Dimulakan dengan slot Prof Okada, kemudian Prof Forest, Prof Higuchi, Prof Haba dan pada malamnya sesi informal.


Seorang teoritis memang tak akan terlepas dengan "tulisan tangan" dengan simbol-simbol, persamaan-persamaan dan abjad-abjad Yunani. Itulah slaid Prof Okada, hahahahaha.....

Pada malamnya (malam kedua), adalah sesi perkenalan sesama peserta. Item-item yang perlu diberitahu dalam sesi tersebut adalah:1)Nama, 2)Negara, 3)Instuisi, 4)Latar belakang pendidikan, 5)Sama ada ingin menjadi teoris atau eksperimentalis, 6)Apa yang dilakukan sekarang (penyelidikan) dan 7)Perancangan masa depan.

Peserta dari Thailand, beliau memperkenalkan diri dengan nama "Pat" sedang melanjutkan pelajarannya PhD dalam Adisimetri Fizik Zarah (Eksperimental - Pengesanan Zarah) di CERN, berkoloborasi dengan Pelanggar Hadron Gergasi (LHC). Beliau memberitahu kami, "Sekarang kami (CERN) sedang mengalami kesukaran kerana Adisimetri tidak ditemui dan LHC akan dihentikan buat sementara waktu"

Seorang lagi peserta dari Thailand memperkenalkan diri dengan nama "Mon" (mereka pernah memperkenalkan nama penuh mereka, tapi kita berlidah Melayu susah betul mengeja nama mereka, sukar untuk dingati dan diikuti dan namanya panjang pula tu. Oleh itu mereka memperkenalkan dengan nama yang pendek, mudah disebut dan mudah diingati), beliau memberitahu PhDnya hampir 8tahun - mod terkejut dan takut.


Pat

Pada masa santai (setelah tamat sesi pada malam hari) kami yang berada di aras dua akan berkumpul di bilik saya. Soalan: Kenapa?
Jawapannya: Di bilik saya, liputan wifi internetnya sangat baik.


Rakan-rakan dari UIAM, UGM-Indonesia, UTM dan UI-Indonesia

16 Mac 2011 (Rabu)

Mengira projektil zarah menggunaka kaedah penghampiran (Runge-Kutta) yang dilakukan secara pengaturcaraan itulah kelas Prof Forest.


Slot berkomputer bersama Prof Forest

Perbincangan Prof Haba juga tertumpu kepada Sinaran Cherenkov yang berlaku dalam medium. [Halaju zarah melampaui laju cahaya dalam sesuatu medium akan menghasilkan kesan sinaran yang dikenali sebagai Sinaran Cherenkov]


Slot Prof Haba: Aerosil Silika - digunakan dalam pengesanan scintillator


Slot Prof Haba: Salah satu komponen pengesanan zarah


Pelajar dari Thailand memang tak melepaskan peluang. Dari kiri: Mon, Pat, Chunkit

Persekolahan adalah seperti biasa. Kelihatan masa yang diberikan, mereka (peserta) menggunakan sepenuhnya berbincang dan bertanyakan soalan. Tak hairan Prof Okada dan Prof Haba menyebut kami sangat agresif (mereka menggunakan perkataan "agresif", mungkin perkataan tersebut lebih rakus daripada perkataan "aktif") berbanding orang pelajar - kata mereka.


Mei Hui dari USM (berbaju hitam dan berjaket merah di kanan rajah) memang seorang yang kritis sikap akademiknya dan kreatif soalannya diajukan


Faizal (dari UTM) bakal menghadiri Summer School Particle Physics di CERN selama tiga bulan - saya mencemburuinya kerana beliau berstatus "Pelajar". Kalau tak, saya akan pergi juga - Sedih


Coffee Break

Pada malamnya, kami adakan sesi perbincangan tidak formal bersama dengan para penceramah.


Ini bukan verteks atau projektil zarah bertenaga tinggi, hehehe.... Sedang bereksperimenkan kamera saya


Sesi berbincang tidak formal - boleh ajukan sebarang soalan



Prof Haba memperkatakan sesuatu tentang rancangan untuk menggabung semua institusi fizik di Asia Tenggara - berkoloborasi, juga kedengaran seperti mahu membina pelanggar zarah (particle collider) bersama


Prof Okada menjelaskan sesuatu mengenai Teori Segala-gala dan Prof Forest khusyk mengamatinya


17 Mac 2011 (Khamis)


9.20am-10.50am - Keadaan vakum - Medan Nambu-Goldstone

Slot-slot untuk Prof Haba dan Prof Forest sudah selesai. Oleh itu digantikan dengan dua slot Prof Shoji Uno mengenai Chamber Wayar, antara chamber yang digunakan di KEK untuk mengesan zarah bertenaga tinggi. Beliau memulakan slot dengan berkata, "Saya mampu melihat zarah, kamu mampukah? (katanya kepada kami)" Hehehehe....


Prof Uno dan instrumennya


Chamber wayar yang paling atas adalah hasil kerja kumpulan kami, hehehe....


Prof Uno menjelaskan prosedur untuk membuat chamber wayar, agak lucu juga apabila beliau bersungguh-sungguh memberikan penjelasan kepada kami


Peralatan elektronik untuk pengesanan zarah



Bermulanya sesi membina chamber wayar oleh peserta

Masa makan


Slot makan salah satu aktiviti wajib, hahaha....

Pada malamnya kami mendengar ceramah daripada seorang Profesor dari Universiti Osaka, saya minta maaf saya terlupa namanya. Beliau membentangkan mengenai Pengenalan secara ringkas dari fenomena skala zarah kepada fenomena skala kosmologi. Pembentangan bersantai, tetapi beliau sering memuji Prof Okada yang berada pada sebelah mejanya itu. Prof Okada memang bersikap merendah diri dan tak menghiraukan pujian, perkara beliau paling suka adalah orang bertanya soalan kepada beliau (pada pemantauan saya).


Saya terlupa nama beliau Profesor dari Universiti Osaka, Jepun. Beliau membentangkan slot tambahan


18 Mac 2011 (Jumaat)


Hari tersebut hanya ada dua slot kuliah dari Prof Okada dan Prof Higuchi.
Setelah itu slot penyampaian hadiah dari pihak KEK dan sesi berfotografi bersama penceramah. Saya kaget melihat situasi itu, kerana seperti bergambar dengan selebriti hiburan saya lihat; bergambar dan mengambil autograf.

Buku yang kami terima adalah Quarks & Leptons disampaikan oleh Prof Higuchi, saya mengambil kesempatan mengambil autograf dari Prof Higuchi dan Prof Okada, manakala Prof Haba dan Prof Uno tiada dan Prof Forest tidak sempat. Pada mulanya saya sangkakan buku ini diberikan kepada kami secara peribadi, tetapi ia adalah hadiah kepada intituisi yang diwakili (universiti), oleh itu buku tersebut adalah harus diberikan kepada perpustakaan universiti sepatutnya. Tak apalah, insyaallah saya akan dedikasikan buku ini kepada Perpustakaan Tunku Bainun, semoga bermanfaat kepada warganya nanti.


Prof Higuchi dengan tulisan Kanji nya, manakala Prof Okada pula menulis rumi. Huhuhu....


Meninggalkan zaman persekolahan, walaupun kami sudah berusia - mod sedih

Sesinya tamat hampir pukul satu. Saya tiba di rumah pukul 7.18pm. Sekian, semoga bermanfaat. Wallahu a'lam.

Rabu, 16 Mac 2011

Eksperimentalis tidak menjalankan tugas?

Salah seorang daripada kami dari USM bernama Mei Hui bertanyakan soalan, "Kenapakah kita masih belum mendapati Adisimetri dan Higgs, adakah eksperimentalis (ahli ujikaji) tidak menjalankan tugas mereka dengan baik?"

Soalan itu disahut dengan gelak-ketawa seketika.

Kemudian Prof Shoji Uno, salah seorang eksperimentalis pakar dalam Pengesanan zarah fizik menjawab, "Actually, we want to know the nature....."

Tiba-tiba Prof Okada mencelah secara bergurau, "But you dont know the nature"

Gamat seketika dengan ketawa daripada Prof Forest, Prof Higuchi, Prof Haba dan lain-lain.....

Hehehehe..... [Minta maaf menggunakan bahasa Inggeris, bertujuan untuk menggambarkan suasana dan maksud sebenar mereka]


Prof Uno berada di kiri sekali

Disatukan Dengan Zarah-Zarah

Pada malamnya, kami mengadakan sesi tidak formal untuk mengajukan soalan kepada penceramah-penceramah dari KEK. Banyak soalan diajukan dan penceramah paling banyak menerima soalan daripada peserta sekolah fizik zarah, adalah Prof Yosuhiro Okada (seorang ahli fizik teori bidang fizik zarah). Saya juga tidak ketinggalan mengambil peluang ini untuk mengajukan soalan.


Saya bertanya, "Apakah matlamat terakhir ahli fizik teori?"
"Adakah Teori Segala-gala itu matlamat terakhirnya?", tambah saya lagi.

Prof Okada menjawab, "Tiada matlamat terakhir"
Beliau menambah lagi, "Teori Segala-gala, kerana orang sebut begitu (yang dimaksudkan oleh Prof, Teori Segala-gala adalah sebutan orang sahaja yang dipopularkan)"

Jawapan ini membuatkan saya tersenyum kaget melihat telatahnya menjawab soalan saya diiringi rasa hormat dan kagum dengan beliau. :-)


Rajah: Yasuhiro Okada

[Penceramah-penceramah berasa selesa dengan sikap kami yang aktif bertanyakan soalan sepanjang sesi ceramah, tidak seperti orang Jepun yang masih malu untuk bertanyakan soalan, kata mereka bersungguh-sungguh. Hal ini membuat kami rasa hairan, "Adakah orang Jepunnya pemalu untuk berbicara mengenai ilmiah, walhal mereka sangat maju?"]

DARIPADA PELBAGAI BANGSA DAN NEGARA
TELAH DISATUKAN DENGAN ZARAH-ZARAH

Isnin, 14 Mac 2011

Hari pertama di persekolahan

Hari pertama di persekolahan. Ya! Itulah tajuk entri kali ini.

Persekolahan yang dimaksudkan ialah Sekolah Fizik Zarah KEK-UM-ANM yang diadakan di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM). Seminar bermula hari ini dan akan berakhir pada Jumaat nanti. Persekolahan ini terbuka kepada warga Asia Tenggara.

Rakan sebilik saya dari Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia. Terdapat juga beberapa rakan daripada Vietnam terlibat dalam persekolahan. Saya berasa seronok mengikuti persekolahan ini kerana bersama dengan fizikawan daripada bidang teori fizik zarah dan fizik tenaga tinggi. Banyak perkara juga yang dibincangkan. Aktiviti-aktiviti di hari pertama; sesi bergambar, makan di Restoran Seri Melayu, dan bergambar di sekitar KLCC (dedikasi untuk pelajar pelancong).

Hari ini bertemu Muhammad Mu'inuddin, Nor Sofiah dan Imran. Berkenalan dengan Mei Hui(dari USM), Qidir Maulana (UGM), Huei Tuan (Vietnam) dan ramai lagi.

Selama lima hari kami akan diperhidangkan dengan lima modul. Modul-modul yang akan diajar dalam sekolah ini:
1) Fizik Zarah (Teori), Prof Okada.
2) Fizik Zarah (Ujikaji), Prof Higuchi.
3) Pemecut zarah, Prof Forest.
4) Pengesanan zarah, Prof Haba.
5) Chamber wayar (modul tambahan), Prof Uno.

Modul Pemecut Zarah yang banyak melibatkan pengaturcaraan (bahasa C++ dan Fotran) adalah antara modul yang saya tak beberapa nak minat, kerana tiada asas bahasa pengaturcaraan. Mungkin Amir Fawwaz kebih berminat modul ini.


PENGHARGAAN

Jutaan terima kasih kepada,

1) KEK (Kō Enerugī Kasokuki Kenkyū Kikō 高エネルギー加速器研究機構), membiayai Sekolah Fizik Zarah (kewangan)
2) Universiti Malaya (UM), menyumbangkan tenaga kerja (sekretariat) dan khidmat profesional.
3) Agensi Nuklear Malaysia (ANM), menyediakan khidmat profesional
4) Prof Dr Wan Ahmad Tajuddin, bersusah-payah untuk menjayakan sekolah Fizik Zarah ini.

Tahniah!
Satu usaha yang bagus.

[Saya terlupa membawa Pembaca Kad Memori, oleh itu tak dapatlah saya memuat naikkan gambar-gambar seminar tersebut. Insyaallah, jika saya memperolehi slaid kuliahnya nanti. Saya akan memuatnaikkannya nanti]

.................................................................................

Sabtu, 12 Mac 2011

Gempita di Negara Matahari Terbit

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:

“Datang kepada kami Rasulullah sallahu'alaihi wassalam. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang- bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.
Lalu Nabi sallahu'alaihi wassalam. bersabda:

“Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya Sepuluh (10) macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau sallahu'alaihi wassalam menyebutkannya:
1) Asap (ad-Dukhan),
2) Dajjal,
3) Dabaah (binatang ynag keluar dari perut bumi),
4) Terbit matahari dari tempat tenggelamnya,
5) Turunnya Isa bin Maryam a.s,
6) Ya’juj dan Ma’juj,
tiga kali gempa bumi, 7) sekali di timur,
8) sekali di barat
9)dan yang ketiga di Semenanjung Arab
10) yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada tempat mereka berkumpul.
[Riwayat Muslim]

Sengaja diletakkan hadist ini untuk peringatan kita semua. Kerana hadist ini ada menyebut gempa bumi sekali berlaku di Timur (matahari terbit, dan Jepun dikenali sebagai negara matahari terbit, Nippon)

Seterusnya video-video gempa bumi di Jepun dan implikasinya (tsunami):


video

video

video

video

video

Wallahu waliyyu taufiq

Khamis, 10 Mac 2011

SUSY bukannya Susilo Bambang

Sejak akhir-akhir ini banyak artikel menceritakan mengenai kegagalan LHC mendapat isyarat secara langsung atau tidak langsung (melalui interaksi dan pelanggaran proton dan anti proton). Secara tidak langsung ia memberikan gambaran bahawa pembinaan fizik kita ada masalah.

Manakala Fermilab akan berhenti daripada beroperasi untuk mencari Higgs memandangkan masalah kewangan, LHC pula akan ditangguhkan buat sementara waktu. Huhuhuhu......

Perkara ini mengingatkan saya kepada pembinaan Teori Fizik Moden pada awal abad-19, yang mengubah segala-galanya mengenai fizik. Ia bermula dengan beberapa masalah yang berkisar pada awal abad tersebut, antaranya:

1) Kewujudan Ether
2) Masalah Sinaran Jasadhitam
3) Fenomena fotoelektron
4) Spektrum garis gas hidrogen
5) Juzuk asas
6) Takrifan masa dan ruang
7) Peredaran bintang perihelion

Ketika pencarian kewujudan Ether, ahli fizik ujikaji telah mengesahkan bahawa tiada sebarang petanda bahawa Ether itu wujud. Daripada hasil itu mereka mendapati bahawa fizik kita ada masalah. Tetapi Einstein telah mengenepikan kewujudan Ether itu dengan postulatnya yang terkenal iaitu, Kemalaran Laju Cahaya. Implikasinya, terbinalah Teori Kenisbian Khas (Special Relativity).

Begitu juga dalam hal Sinaran Jasadhitam, Sir Rayleigh dan Sir Jeans menyelesaikan dengan pendekatan klasik (keselanjaran), tetapi tidak menepati hasil ujikaji dan hal itu diselesaikan oleh Max Planck.

Beberapa data-data dianalisis didapati tiada isyarat menunjukkan sebarang kewujudan SUSY (tetapi mungkin melalui saluran interaksi). Oleh itu ada dua kemungkinan: 1) Sama ada SUSY Tidak Cukup Cantik, "SUSY Not Beauty Enough" ataupun 2) Dapatkan Fizik Baharu.


Dilampirkan rtikel-artikel tersebut:

Supersymmetry Still In Hiding

Will the LHC find supersymmetry?

What if the LHC doesn't see SUSY?

CMS: Higgs not between 144 and 207 GeV if...

Possible Discovery of Supersymmetric Particles or Premature Hype?

Implications of Initial LHC Searches for Supersymmetry

String Theory Fails Another Test, the “Supertest”

In SUSY We Trust

Fermilab's CDF Result Sparks Rumors of New Physics

Beautiful theory collides with smashing particle data