Selasa, 11 Mac 2014

Peggantian Yang Terindah dan Teragung Lagi Tersusun


Mungkin tertanya-tanya, kemanakah menghilangnya coretan sang pembloga UPSI (Utuh Perjuangan Satu Ilham) ini. Saya ditimpa kesedihan, kemudian tika bersilih pula kesedihan yang tidak berganti. Yakni, bapa mertua (Jaafar) saya menemui Rabbul 'Alamin, selang 12 jam kemudian ibu saya terchenta (Halimah) pula diikuti.

Bapa mertua disemadikan selepas Zohor, manakala ibu pula disemadikan selepas Asar pada hari Ahad. Agak sedikit kedapatan setitis air mata pada kaca mata saya tatkala menatap ibu saya disemadikan.

Selang 40 minggu kemudian, anak perempuan (putri sulung bagi kedua-dua keluarga) saya dilahirkan. Kelahirannya menguntumkan senyuman kepada kedua-dua keluarga, melupakan kehibaan yang nyenyak dengan bergenangan air mata.

Apapun bak kata prinsip fizik tak komutan, operator X beroperasi ke atas operator Y tidakkan sama dengan operasi operator Y ke atas X, X≠Y, meskipun kedua-duanya sama pada pandangan mekanik kuantum lazim - tidak mampu berbalik kepada masa lalu untuk membetul keadaan, meskipun masa lampau dan sekarang adalah simetri. HIDUP TETAP DITERUSKAN.

Menatap wajah anak dan berkata hati kecil, "Inilah penggantian yang terindah dan teragung lagi tersusun yang pernah kumiliki, Allahu ma'a shobiriin (Allah bersama orang-orang yang bersabar)"


Rabu, 15 Januari 2014

Tentang Fizik Tak Komutan

Ya, sekali lagi tentang tak komutan. Saya mulai tertarik dengan fenomena fizik tak komutan ini, apabila idea tak komutan ini juga berada sebaris dengan idea-idea yang lain, seperti adisimetri (supersimetri), matra lebihan (extra dimension) dan teori tetali, iaitu zarah tidak lag titik (0-dimensi) tetapi teori tangsi/string (1-dimensi, malah lanjut kepada bran, p-dimensi). Kemudian, idea adisimetri mulai ditinggalkan apabila PHG (Pelanggar Hadron Gergasi, LHC) tidak menemui sebarang isyarat tidak langsung (indirect signal) mengenai kesahan idea tersebut (kewujudan adizarah), malahan ahli fizik juga berkira-kira untuk meninggalkan idea tersebut. Begitu juga halnya dengan idea matra lebihan, ini kerana PHG mengesahkan tiada kewujudan mikro lohong hitam (micro-blackhole) berlaku dalam pelanggar TeV (daripada pelanggaran proton-anti proton dalam PHG) seperti yang dicadangkan oleh ahli fizik terutamanya, Nima-Arkani Hamed. Manakala teori tetali/tangsi, lagilah jauh ketinggalan untuk kita mengesahkannya, kerana ia fenomena skala Planck 10^-33m.

Hmmm.... Yang tinggal kepada kita ialah fizik tak-komutan. Tapi bagi saya idea tersebut hanya bermain dengan dua matra sahaja iaitu x dan y. Kita sedia maklum komutator [x,y] = xy - yx =0, TETAPI tidak pula berlaku apabila kita mempertimbangkan pada fizik tak komutan.

Untuk makluman pembaca, teori medan kuantum mengalami masalah, iaitu berlaku pengembangan (matematik) yang agak luar biasa. Oleh itu beberapa idea telah dicadangkan antaranya adisimetri dan berjaya menyelesaikan masalah tersebut. Disamping itu juga, idea  kordinat ruang masa tak komutan yang dilakukan oleh Synder pada tahung 1920 telah berjaya, malah memuaskan keinvarian Lorentz meskipun kordinatnya tidak lagi komut. Tetapi idea ini tidak berapa terkenal seperti idea yang lain.

Idea fizik tak komutan merupakan salah satu kaedah penguantuman disamping penguantuman geometrik atau kanonikal, idea ini kita panggil sebagai "Penguantuman Deformasi" (deformation quantization). Wallahu a'lam

---Tak sabar nak pi UPM, bertemu Prof Ali Twareque, PM Dr Hishamuddin, Puan Nurisya dan Hazazi.