Rabu, 31 Ogos 2011

Hari Raya Aidilfitri

Ketika saya pulang ke halaman saya lihat banyak perubahan yang berlaku ke atas kampung halaman saya sama ada dari aspek pembangunan, budaya, sikap dan juga keriangan.

Apapun agak lewat juga untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf zahir dan batin, taqaballahu minna wa minkum.

Ucapan tahniah kepada sahabat saya Mohamad Hairie akan kelahiran putera sulung beliau, Raid Ahmad. Semoga menjadi penambah keceriaan dalam keluarga beliau.

Itu sahajalah memandangkan saya berada di kampung, tak dapatlah nak menulis lebih banyak. Tamat sahaja cuti, kami di UPSI akan mula mengajar, saya ditugaskan untuk mengajar Getaran, Gelombang dan Optik. Kursus itu merangkumi tiga displin iaitu, getaran (pergerakan mekanikal berkala), gelombang (ayunan sinusodial) dan optik (aplikasi 'wavefront'). Dan saya ditugaskan membimbing tiga sesi makmal (setiap satu sesi tiga jam).

Sekali lagi, saya agak lewat mengucapkan Selamat Hari Raya, bak kata orang tua-tua, "Rayakan sebulan!".

Sekian, terima kasih.
Barakallahu fiikum

(^_^)

Selasa, 23 Ogos 2011

Tersalah makan atau kurang makan....

Semalam saya sedikit sakit kepala mungkin tersalah makan atau saya sahur dengan kepingan roti sahaja. Namun berbuka puasa dengan KFC (pertama kali di bulan puasa, entah mimpi apa saya pergi beli KFC, walhal kepala masih memusing-musing), hehehe....


Rajah 1: Mungkin restoran ini membuatkan saya salah makan!

Ahad, 21 Ogos 2011

Mesyuarat

Pagi ini bermesyuarat di Bilik Mesyuarat Pendaftar.
Penyaman udaranya sangat menyejukkan.

Apapun mesyuarat berjalan dengan baik, masa yang diambil 3jam 24minit.

Sebelum Big Bang?

Wahh... Rupa-rupanya banyak juga model fizik untuk menjelaskan apakah yang berlaku sebelum big bang (deguman besar). Seperti yang kita telah ringkaskan dalam entri sebelum ini, iaitu idea daripada Neil Turok, Susskind, 't Hooft dan beberapa kosmologis yang lain. Apapun permodelan mereka berasaskan kepada fizik yang sedia ada iaitu Kuantum dan Kenisbian Am, apa yang saya boleh simpulkan di sini, rata-rata mereka berpendapat perlunya matematik yang baru untuk memerihalkan fenomena(fizik atau entiti tertentu) sebelum deguman besar. Itulah yang menjadi kesukaran kepada mereka (kosmologis). Saya lihat matematik terbina terlebih dahulu dan maju terkehadapan berbanding displin fizik.


Rajah 1: Deguman besar, pernahkah kita terfikir apakah yang terjadi pada sebelumnya?

Sebagai contoh, teori medan kuantum, ianya berasaskan matematik Teori Kumpulan Lie (yang mana telah lama dibina oleh Lie), teori kenisbian am pula berasaskan kepada geometri kelengkungan Riemann dan Tensor Ricci, begitu jugalah yang lain seperti Keelektrmagnetan Maxwell dibina dengan pembezaan separa dan analisis vektor (displin matematik yang boleh dikatakan tertua)

Kosmologi sering kali menggunakan pendekatan teori kenisbian am (Graviti Einstein), pada masa yang sama juga mereka memerihal dari aspek kuantum, dengan andaian bahawa ketika ketunggalan unggul (singulariti) yang terjadi ketika permulaan kejadian alam semesta ini fiziknya akan mematuhi kuantum (ketika berskala mikroskopik).

Baik, saya ringkaskan disini model-model tentang Sebelum Deguman Besar:

Andrei Linde, beliau mencadangkan nekamesta (multiverse) yang memberi kesan ke atas inflasi. Inflasi di sini bermaksud ketika kejadian alam semesta, berlakunya fenomena penggelembungan yang unik dan pengelembungan itu melampaui laju cahaya, (hal ini tidak boleh terjadi) namun yang diandaikan oleh Alan Guth (beliau pencadang inflasi bagi menyesuaikan fenomena Baryogenesik yang berlaku) itu adalah pengelembungan ke atas ruangmasa sahaja bukannya objek atau jirim semesta. Kiasannya begini, bayangkan terdapat sebiji guli dalam belon, kemudian belon itu ditiup, yang mengembang di sini adalah ruangmasa, tetapi jirim (guli) masih tetap.


Rajah 2: Gambaran Nekamesta?

Apa yang menaik tentang nekamesta Anderi Linde, kita mempunyai hampir 10^10^10^7 alam semesta (10 berkuasa 10 berkuasa 10 dan berkuasa 7, sangat banyak bukan?) dalam ruang de-Sitter, tetapi jika dalam ruang anti de-Sitter (pemalar kelengkungannya yang bernilai negatif) mempunyai 10^500 alam semesta. Tetapi kita berada di ruang de-Sitter. Dan alhamdulillah, kita bersyukur berada dalam alam semesta yang terpilih, dengan pemalar fizik yang sesuai untuk kemandirian manusiawi. Tahukan tuan-puan pembaca yang diRahmati Allah, sekiranya pemalar fizik alam kita berubah walaupun sangat sedikit nilainya (contoh sekitar 10^-10 perubahan nilai), alam semesta kita akan runtuh-musnah,impkasinya tiada lagi hidupan dan juga alam semesta ini.
(Persoalannya adakah ini kebetulan dan kita berada di alam semesta yang sangar-sangat-sangat-sangat-sangat sesuai dengan kita ini)

Param Singh, bagi saya beliau seorang yang sangat berbeza dengan orang yang lain akan model beliau. Tahu tak apa kesimpulan awal model beliau mengenai permulaan alam semesta ini, iaitu,

TIADA BIG BANG!!!

Hahaha... lucu bukan? Tapi beliau memperketengahkan ide yang menarik melalui Kuantum Graviti (beliau seorang ahli Kuantum Graviti), dan fenomena yang beliau temui dalam model beliau ialah "Big Bounce". "Big Bounce Cycle", sebenarnya alam semesta ini mengalami pengembangan dan pengecutan, iaitu alam semesta tersebut mengalami Big Crunch (pengecutan) dan Big Bang. Ketika pengecutan alam semesta itu menghampiri isipadu alam yang sangat tinggi (singulariti), interaksi 'tarikan' akan mengalami perubahan kepada interaksi 'penolakan' yang sangat kuat, maka berlakulah pengembangan alam semesta. Model beliau juga mematuhi inflasi.


Rajah 3: "Big Bounce"

Formula yang didapati oleh beliau, adalah pengubahsuaian kepada formula pengembangan Hubble (dengan melalui idea Teori Kenisbian Am) dan juga tidak mengenepikan prinsip kuantum. Ketika proses pengecutan besar itu terjadi, ungkapan fizik "tarikan" itu agak dominan, tetapi setelah menghampiri nilai kritikal, ungkapan fizik "penolakan" kelihatan memainkan peranan, dan daripada itulah terjadi pengembangan alam semesta. Seolah-olah alam semesta ini mengalami pengecutan dan pengemmbangan secara berterusan, yang tiada berkesudahan.

Secara peribadi, saya katakan model beliau sangat lain daripada yang lain. Dengan kata lain, perghh... cool beb!

Michio Kaku, pula beliau sangat mempercayai kepada idea lama iaitu, kewujudan Nothingness, beliau mendefinisikan nothingness kepada dua: 1)tiada ruangmasa, tiada jirim, tiada persamaan, dengan kata lain tiada apa-apa yang mampu diperihal oleh akal kita, pelik bukan? Hehehe.... 2)tiada jirim dan tenaga, takrifan ini yang melanjutkan idea beliau dan ia dikenali sebagai vakum.

"Nothingness" atau "Ketiadaapa-apaan" (saya tak tahu nak mendefinisikannya) itu juga terjadi dalam kes Kuantum kromodinamik. Sekirannya kita vakum sesuatu ruang, kemudian kita rendahkan suhu beliau ke tahap Sifar Mutlak (0K). Kita mungkin akan menganggapkan bahawa tiada apa-apa yang berlaku, walhal kuantum tidak benarkan "tiada apa-apa yang berlaku" itu berlaku, tetapi terdapat satu fenomena ciptaan-musnahan berlaku secara tersendirinya, dan ia dikenali sebagi Fluktuasi Vakum (fluktuasi kuantum). Apatah lagi jika berlaku pada supervakum iaitu sebelum deguman besar, sudah tentu lebih ketara fenomenannya bukan? Begitu jugalah bagaimana Kaku memerihalkan fenomena yang terjadi sebelum deguman (dan pendapat saya sendiri, fluktuasi vakum itulah yang memulakan alam semesta dengan kewujudan tenaga vakum yang sangat tinggi)


Rajah 4: Tulisan kanji bermaksud "Nothingness"

Neil Turok, pula seorang ahli teori tetali (membran), maka teori kosmologinya pasti ada kena-mengena dengan Teori-M. Idea beliau juga lanjutan kepada model oleh Andrei. Dalam teori-M, mereka mempercayai, struktur yang membina alam semesta adalah (mem)bran. Bran adalah objek terlanjut daripada tetali, secara tidak langsung menyelesaikan anomali teori-teori tetali yang tidak tekal (Jenis I, Jenis IIA, Jenis IIB, E8xE8 dan SO(32)) dengan mengusulkan satu matra ruang tambahan.

Beliau membayangkan bahawa kita berada dalam bran gergasi yang tinggi dimensinya (matra), dan terdapat satu bran gergasi yang lain. Baik, begini alam semesta terjadi, iaitu perlanggaran bran asing dengan bran yang kita huni akan menghasilkan deguman besar dan daripada itu jugalah terjadinya alam semesta kita, dan sekali lagi ia memuas idea inflasi Guth. Persoalan: Adakah ianya hanya berlanggar sekali sahaja? Sudah tentu tidak, perlanggarannya berterusan, kerana kuantum tidak membenarkannya. Idea nekamesta (multiverse) diusulkan. Sekali lagi kita berada di alam semesta yang mana pemalar fiziknya memenuhi keperluan hidup kita untuk bernafas atau lain-lain untuk kemandirian manusiawi.


Rajah 5:Bran gergasi berlanggar, idea Neil Turok.

Saya rasa setakat itu sahaja, sebab saya menulis ini pada pukul 1.20am. Mata pun sudah mengantuk, insyaallah sekiranya saya tidak malas untuk menulis lagi, saya akan meneruskan perbincangan terhadap model-model yang lain pula. Kelihatan seperti perlu dibaiki ayatnya, nantilah kalau ada masanya kelak, biasalah dalam keadaan mengantuk sebegini. Wallahu ta'alam a'lam.


Rajah 6: Nekamesta bunyinya seperti perkara-perkara tahyul

Higgs dan Higgsino Beriftar

Entri kali ini, adalah mengenai perjalanan saya ke Lembah Pertengahan (atau diInggeriskan Mid Valley) untuk satu temujanji bersama rakan-rakan beraliran sama, iaitu sudah tentu mengenai "zarah" tak kisahlah sama ada penerokaan fundamentalnya (teori) atau mendatangkan bukti empiriknya (ujikaji) atau pertengahan di antara kedua-duanya, iaitu menemui bukti empiriknya atas khayalan yang mematuhi fundamental atau bahasa mudah "fenomenologi".


Rajah 1: Tingkap dan bas

Petang pertemuan itu (Sabtu, 20hb Ogos) hujan dan kelihatan langsung lebat, sedangkan saya Penanjung Malim (ringkasan kepada penduduk Tanjung Malim) menanti redanya sang hujan. Alhamdulillah tepat pukul 5.50pm, langit kawasan bersempadan itu menunjukkan tanda-tanda mahu gerimis, lantas saya mengambil kesempatan ini langsung mencapai Elsi saya bergerak ke perhentian bas utama sekitar pekan.

Parkir tunggangan saya dan menguncinya, membeli tiket dan bergerak ke destinasi pertama iaitu Kuala Lumpur dengan bahtera yang sekarang dikenali sebagai bas, berjenama SKS.


Rajah 2: Tak ramai penumpang

Tiba ke KL hampir pukul 7pm, saya ke Setesen Komuuter KL menaiki tren langsung ke Pertengahan Lembah itu tanpa sebarang pertukaran tren yang lain (transit). Tidak sempat, berbuka bersama, saya berbuka di stesen tersebut. Jadual mengatakan komuter akan tiba pukul 7.39pm, tapi ia tiba lebih sedikit, apapun saya bersyukur.

Di kompleks Lembah Pertengahan, saya menerima pesanan ringkas daripada ahli iftar, supaya bersolat terlebih dahulu di aras paling bawah berdekatan dengan Jusco. Umat Islam ramai berkerumun untuk menunaikan solat Maghrib, saya rasa seronok melihat umat Islam tidak lupa tanggungjawab masing-masing disamping bersosial dan membeli belah di kompleks tersebut.


Rajah 3: Kelihatan seperti Imran sedang berbicara sesuatu, ketika itu saya pergi mencari juadah berbuka.

Selesai solat, saya lantas ke perkarangan hadapan KFC, seperti yang dipersetujui pada awalnya, bertemu dan bersalaman dan ahli-ahlinya, Muin, Shaik dan Imran. Kami ke aras empat aras untuk Medan Selera (atau diInggeriskan Foodcourt), pada mulanya mahu ke Pizza Hut atau McDonald, memandangkan keadaannya agak sesak, jadi tukar perancangan.


Rajah 4:Umat Nabi Muhammad salallahu'alaihi salam sedang mengimarah surau Mid Valley

Mengambil makanan dan bersembang agak lama jugalah, mendengar cerita daripada Imran, telatah Shaik dengan istilah barunya "nerdity factor", Muin yang "cool" dan saya menjamah makanan sambil mendengar perbualannya. Jika difikirkan kami umpama bergosip, ada saja cerita kami bentangkan. Lampu di medan selera, sekejap menyala, sekejap padam seolah-olah memberi isyarat kepada kami, "Baliklah bang... Dah lewat ni, kami pun dah mengantuk ni...".


Rajah 5: Dari kiri UPM, dan MMU

Jam di tangan kanan menunjukkan lebih pukul 9.30pm, pekedai juga turut menyimpan peralatan masing-masing, maka kami pun mahu, tambahan pula saya risau terlepas bas atau tren, tetapi saya tiba ke KL Sentral pukul 10pm menandakan tren komuter dari Rawang ke Tanjung Malim sudah lewat (meskipun komuter KL Sentral-Rawang ada). Jadi saya mengambil alternatif lain, iaitu bas, saya mencapai tren LRT ke Pasar Seni, sekali lagi saya terlewat bas untuk pukul 10.30pm, berlari ke Puduraya juga hal yang sama turut berlaku.


Rajah 6: Muin dan simbol 'peace' beliau

Jadi, nak tak nak, saya terpaksa bermalam di situ juga, menanti fajar seterusnya menjelang dan bas akan beroperasi kembali. Saya menyewa di hotel tanpa nama, apa yang terpapar di situ ialah "For bagpackers", menyewa untuk satu malam RM30. Biliknya umpama bilik seperti polis buat serbuan ke premis pendatang asing yang selalu kita tonton dalam televisyen. Katilnya pula, memang serupa, memandangkan badan mulai letih, layan sajalah.

Meskipun bulan ini ramadhan, kedengaran dari tingkat bawah muzik dan bunyi bising seperti tidak bulan umat Islam, memanglah di bawah itu ada premis untuk warga asing berhibur dan mabuk-mabuk iaitu Reggae Bar. Semoga malam ini, tidak diturungkan bala ke atas hotel saya tidur itu nanti.

Pukul 12.04pm keesokan harinya saya bertolak ke Tanjung Malim dengan bas SKS sekali lagi, dan alhamdulillah saya selamat begitu juga dengan tunggangan saya meskipun ditinggal semalaman (memberi peluang kepada pencuri motorsikal, lagipula Elsi135 memang hangat dipasaran gelap permotoran), fuhh....


Apapun banyak pengalaman dan keakraban yang terjalin, selebihnya wallahu ta'ala a'lam.

Khamis, 18 Ogos 2011

Sekali lagi tentang kebarangkalian kuantum: Rasanya mungkin akan berkali-kali lagi

Ketika kita melemparkan syiling untuk menentukan Ekor atau Kepala, secara fitrahnya kita menganggapi ianya satu senario kebarangkalian atau dengan kata lain fenomena ketaktentuan. Kita akan mewakilkan permatematiknya dengan angka menunjukkan kebarangkaliannya, seperti kebarangkalian untuk kita mendapat Ekor adalah 1/2 (atau 0.5, atau 50%), jika ditafsirkan dengan matematik, ianya ditulis seperti berikut, Kb(Ekor)=1/2.

Sedikit ulasan mengenai ketentuan
Hukum Newton adalah berasaskan kepada prinsip ketentuan (deterministik) dan hal ini juga turut diakui oleh Laplace (melalui bukti-bukti matematiknya). Deterministik dalam konteks fizik ini bermaksud, jika kita mempunyai maklumat mengenai masa sekarang yang relevan kita juga mampu untuk mencerap hasil dapatan masa depan.

Contoh: Dalam satu gerakan projektil sesuatu objek itu dilakukan, (ketika itu) kita telah memiliki maklumat fiziknya seperti kedudukan (x) dan halaju projektil (v) objek tersebut, kita dengan mudah dapat meramalkan kedudukan objek tersebut selepas beberapa selang masa kemudian. Keputusan kedudukan dan halaju objek tersebut bertepatan dengan hipotesis (dan data yang diramalkan).

Perbincangan
1) Kita mencerap beberapa parameter fizik pada awalnya, kita dapat menentukan hasilnya kemudian.
2) Hasil dapatan (penentuan) tidak merdeka pencerapan (awal)
3) Jika diulang ujikaji tersebut (dengan pencerapan yang sama), hasil dapatannya tetap sama (bernilai tunggal)

Persoalan
Apakah lontaran syiling itu, merupakan fenomena kebarangkalian atau hal-hal yang tidak boleh ditentukan? Fikir sekali lagi!

Alasan cukup mudah, 1) Melontar syiling itu merupakan fenomena makroskopik (kita dan syiling adalah berzarah besar atau makroskopik), dan zarah maksrokopik pula mematuhi falsafah klasik iaitu prinsip ketentuan.
2) Apakah kita memandang enteng kepada parameter fizik awal yang lain, seperti,
- ketumpatan udara yang mempengaruhi ketentuan muka syiling tersebut,
- lekukan tangan kita yang turut juga salah satu faktor,
- momen putaran syling itu diudara,
- jarak ketinggian maksimum syiling terhadap permukaan jatuhannya,
- tenaga lemparan syiling itu,
- rintangan udara persekitaran terhadap syiling itu,
- dan lain-lain lagi.

Jika perkara 2) itu diambil kira, dan diperhitungkan dalam pengiraan kita, nah, kita dapat menentukan muka syiling tersebut (sama ada Ekor atau Kepala). Dengan kata lain, teori kebarangkalian itu termansuh sama sekali dalam hal ini. Mungkin kerana kita memandang enteng kepada parameter-parameter fizik itu dan malas untuk mengambil tahu, maka kita menanggapi itu adalah fenomena ketaktentuan, walhal tidak sama sekali. Kelihatan lucu juga untuk mengkritik ungkapan Einstein yang terkenal itu, "Tuhan tidak bermain dadu".

------------------------------------------------------------------------------------------
Bagaimana pula dengan kuantum
Secara keseluruhannya, situasi yang berlaku dalam zarah mikroskopik (hanya mematuhi hukum kuantum) adalah berbeza sama sekali. Dan ianya sememang fenomena taktentu (tak boleh tentu). Jika diambil takrif falsafah klasik itu, kita boleh menakrif falsafah moden (moden di sini bermaksud kuantum) berlawanan dengannya, iaitu, "meskipun kita dapat mencerap beberapa parameter fizik pada awalnya, mustahil kita dapat menentukan hasil dapatanya dengan tepat, dan ramalan kita juga agak meleset"

Dulu saya menyangka hal itu berlaku kerana ralat sistematik (eksperimen) atau ralat paralaks (yang berlaku kepada pencerap), tetapi ianya aturan tabii alam, atau (dengan kata-kata sedikit keagamaan) sememangnya termaktub dalam suratan takdir. Pelik bukan? Apa yang saya boleh katakan, terima sajalah. Kerana belum ada lagi fizikawan yang membincangkan darimana datangnya hukum ini atau bagaimana ianya berlaku, banyak di antara mereka mungkin akan berkata, "Nak buat macamana bro, memang dia punya hukum memang macam tu"

Situasinya di sini kita boleh perihalkan iaitu menggantikan sinaran cahaya dengan aluran zarah berjisim yang mengalami interferens melalui dua celahan. Pada awalnya, kita mendapati projektil satu zarah itu bergerak lurus langsung ke salah satu celahan, tetapi selang masa kemudian, zarah yang dikesan itu tidak melewati projektil awalnya (yang dicerap) mengenai kedudukan yang sepatutnya seperti diramalkan (dengan memakai falsafah klasik). Seterusnya kita mengulanginya lagi, dengan keadaan yang sama (parameter fizik yang sama), kali ini hasil dapatannya meleset lagi malahan sangat berbeza kedudukannya dengan ujikaji pertama tadi yang mengenai skrin itu. Ulang lagi dan lagi, keadaannya juga turut berbeza.

Perbincangan
1) Hasil dapatan bebas (merdeka) pencerap
2) Meskipun kita mempunyai parameter fizik (atau maklumat) pada awalnya, mustahil kita dapat meramalkan hasil dapatannya kelak.
3) Tapi pengulang ujikaji untuk banyak kali, kita dapati ianya mengikuti satu pola atau paten tertentu.
4) Tiada nilai tunggal

Rumusan yang kita boleh katakan, fenomena itu adalah Ketaktentuan atau bahasa mudahnya, Kebarangkalian. Dan itulah maksud sebenarnya Kebarangkalian yang ditakrifkan oleh ahli fizik moden untuk kes-kes mikroskopik. Mengenai hal interferens itu, tuan-puan boleh layari video dalam Youtube, dan menikmatinya sendiri akan ketaktentuan itu, diharap tuan-puan janganlah turut menjadi ketaktentuan atau dengan bahasa utaranya "ketaktahuan" sudalah.

Wallahu a'lam

Isnin, 15 Ogos 2011

Sedikit Bingkisan Kenisbian Di Lewat Malam

Newton
Seperti yang kita sedia maklum bahawa Hukum Newton Pertama, Prinsip Inersia menyatakan bahawa:

"Tanpa kehadiran daya, setiap objek kekal dalam keadaan gerakan seragam"


Kita sedia maklum bahawa gerakan seragam, halajunya malar. Ini memberi erti sistem itu tiada sebarang daya dikenakan, dan pecutannya (kadar perubahan halajunya) adalah sifar. Dan ia juga dikenali sebagai Hukum Gerakan Seragam.

Berbeza dengan Hukum Newton Kedua, ia dikenali sebagai Hukum Gerakan Tak-Seragam Takrifannya adalah seperti berikut:

"Pecutan sesuatu objek itu adalah daya yang dikenakan ke atas objek itu dibahagikan dengan jisimnya" (secara matematiknya, a=F/m)

Untuk hal Hukum Graviti Newton lanjutan daripada hukum gerakan di atas menyakatan bahawa:

"Daya graviti ke atas sebarang objek berkadaran terhadap jisimnya"

Minkowski
Minkowski telah mempermudahkan takrifan Newton ke atas hukum gerakannya dengan takrifan yang lebih umum dan memuaskan idea beliau yang memperkenalkan koordinat ruangmasa (yang mana koordinat Ruang dan Masa tidak merdeka), dan takrifan tersebut berbunyi:

"Tanpa kehadiran daya, setiap objek akan bergerak menerusi ruangmasa sepanjang garisdunia yang lurus"



Rajah 1: Rajah Ruangmasa Minkowski; paksi-y adalah koordinat masa (bernilai khayalan),paksi-x pula koordinat ruang 3D (x,y,z)
Penerangan: Titik dalam rajah tersebut dikenali sebagai peristiwa, literalnya kita faham maksud peristiwa mesti mengandungi maklumat ruang (tempat) dan masa, contoh: Kemerdekaan (peristiwa) disambut di Stadium Merdeka (ruang) pada 31 Ogos (masa).
Garisandunia itu pula pergerakan setiap objek di atas dunia ini (objek berhalaju seragam). Manakala kawasan terlarang pula bermaksud bahawa tiada objek yang melampaui kelajuan cahaya (ini merupakan postulat utama dalam Teori Kenisbian)


Einstein
Einstein mengambil pendekatan Minkowski untuk idea yang lebih lanjut iaitu, beliau mengaplikasikan untuk Rajah Minkowski Tidak Seragam, atau lebih dikenali dengan istilah Kelengkungan Ruangmasa. Bagi penakrifan Hukum Gerakan Seragam, beliau menyatakan:

"Tanpa kehadiran daya, setiap objek akan bergerak menerusi ruangmasa sepanjang garisdunia yang termudah dilalui" (Ruangmasa yang rata)

Tetapi jika melibatkan Ruangmasa yang melengkung,

"Objek akan bergerak sepanjang ruang bergeodesik"


Geodesik adalah laluan termudah dalam ruangmasa. Kiasan mudah, jika kita mahu membuat rombongan pinangan ke Kuala Terengganu dari Perlis, kita akan melalui Alor Setar, kemudian Gerik, tiba ke Kelantan terlebih dahulu, kemudian barulah ke Kuala Terengganu. Baik, jika kita mahu mudahkan lagi, kita pergi ke Langkawi, kemudian ambil pengakutan kapal terbang dan tiba langsung ke lapangan terbang Kuala Terengganu, dan inilah yang dimaksudkan dengan Geodesik.

Ruangmasa melengkung adalah mengenai Gerakan Tak-Seragam, secara tidak langsung juga memerihalkan fizik graviti dengan pendekatan yang lebih moden melalui Prinsip Kesetaraan (pecutan inersia setara dengan pecutan graviti)

Wallahua'lam

Ahad, 14 Ogos 2011

Tahniah diucapkan...

Tahniah diucapkan kepada 33 pelajar saya yang telah bergraduan pada konvokesyen baru-baru ini. Bertungkus-lumus selama 4 tahun untuk mengecapi segulung Ijazah Pendidikan Sains.


Rajah 1: Melompat keriangan tanda tamat sudah salah satu sketsa dalam fasa kehidupan

Mengingatkan saya kepada hari saya bergraduan di UKM dulu, ketika itu saya tak mahu hadiri konvokesyen, tetapi atas desakan ibu saya untuk melihat saya menaiki pentas untuk menerima segelung ijazah memandangkan tanpa ayahanda saya, terpaksalah saya akur. Kemudian ketika konvokesyen Sarjana, adik perempuan saya pula nak menghadiri dalam dewan konvokesyen, akhirnya sekali lagi saya terpaksa akur.

Tanjung Malim di Senggang Petang Ramadhan

Petang berhujan amat menyamankan
Asmosfera berkarbida pun di telapi bumi
Kesah keringat kantung ini kehausan
Nyaris genap nisfu purnama kesembilan
Isyarat awal yang kesepuluh nan menjelma
Tanda sahur-iftar, hampir tamat
Tanda tarawikh-itikaf akan meninggalkan
Penat lelah yang rukun ketiga
Tanda beriman, tanda bertaqwa

Petang berhujan mulai lebat
Pandangan jauhariku mulai terhalang
Terhenti untuk mengamati
Terhenti juga untuk menghayati
Tanda-tanda kebesaran ciptaan Ilahi
Yakni ciptaan yang badi', ciptaan yang 'ajib
Untukku mentelaah setiap susuk alam
Dengan aturan-aturannya yang ditetapkan
Setiap sisi fenomena yang ada hisabnya

Petang berhujan sedang bergema
Guruh bergementar, diselangi kekilat
Takut-takut itu mungkin azab-Nya
Untuk hamba-hamba Tanjung Malim
Mana tahu ada yang bertasyabuh
Pada kaum-kaum yang dimansuhkan
Umpama kaum kota Sadum yang songsang keinginannya
Atau kaum Aad, penipu timbangannya
Dan kaum Tsamud yang bongkak kemewahannya
Manakala kaum Nabi Nuh yang ingkar ajakan tauhid Nabi-Nya
Tanda-tanda insan yang annas
Tanda-tanda insan tergoda akan sil khannas
Dalam dada-dadanya bersangkar rusuk, berdenyut bergumpal darah

Petang berhujan kelihatan mulai gerimis
Menandakan pelangi datang mencorakkan biru langit
Diberikan kesuburan, diberikan juga kecantikan
Untuk warga Bumi rasa rendah diri
Akur dengan kejadian Pemilik Alam Ini
Mana tahu ada yang menginsafkan
Bagi Tanjung Malim sempadan negeri
Pada petang berhujan penuh ketakwilan
Stanza in berisi kemajazan, juga rasa keMaliman

-----------------------------
Karya oleh: Pemunya blog
Tarikh: 14 Ramadhan 1432
Masa: 3jam sebelum berbuka

Khamis, 11 Ogos 2011

Bosan dan Terpandang Persamaan Maxwell

Saya sedang memerhatikan empat persamaan Maxwell, patutlah persamaan itu termasuk dalam 10 persamaan yang unik, disamping hubungan Euler, mekanik Newton dan hubungan jisim-tenaga Einstein. Hmmm.... (mengeluh)

Idea pra-moden penyatuan semua hukum fizik dalam satu hukum (atau teori) yang unik dan mampu menjelaskan segala-galanya bermula daripada idea James Clerk Maxwell yang menyatukan teori tentang keelektrikan dengan teori kemagnetan, melalui persamaan agung beliau yang kini dikenali sebagai Persamaan Maxwell. Namun begitu, persamaan tersebut tidaklah dibina secara langsung oleh beliau bersendirian, beliau memerihal konsep-konsep dan persamaan-persamaan keelektromagnetan yang sebelumnya juga, seperti Hukum Gauss(Carl Friedrich Gauss), Hukum Lenz-Faraday (Michael Faraday dan Heinrich Lenz)dan Hukum Ampere(André-Marie Ampère).

Jika diteliti persamaan beliau, iaitu sekiranya kita mengubah medan magnet, kesan medan elektrik akan terhasil, begitu jugalah sebaliknya jika kita mengubah medan elektrik, kita mendapati kesan sampingan yang terhasil medan magnet. Tapi lebih menarik lagi, cahaya terhasil (nilai laju cahaya juga diterbit) terhasil implikasi ayunan medan magnet dan elektrik secara sinusodial, dan gelombang terhasil dalam ruang vakum. Pun begitu, 'cahaya' tersebut masih lagi dalam konteks interpretasi klasik (berselanjar) sebelum konsep foton bersifat diskrit dikemukakan (idea moden).

Persamaan Maxwell memang berat dengan matematik, boleh berdarah hidung jugalah untuk menelaahnya. Matematik yang terlibat, 1)Analisis Vektor (kecapahan dan lingkaran), 2)Persamaan Pembezaan (terutamanya Kamiran Tertutup), 3)Aljabar (sebelum menelaah vektor adalah wajar untuk dijamah terlebih dahulu aljabar mudah), 4)Tensor (metod matematik ini diperlukan bagi topik-topik lanjutan) 5)Teori Kumpulan (ia digunakan untuk topik-topik elit dalam kursus Elektromagnetan ini, rasanya peringkat pasca sarjana)

Rasanya tak perlulah dibincangkan persamaannya, sekadar menatap persamaannya sahaja, lagipun sudah banyak buku-buku membincangkan mengenai ini, terutamnya karangan Griffith. Tambahan pula, entri ini bertajuk "... Terpandang Persamaan Maxwell", jadi pandang sajalah atau sedikit taddabur.

Agak lucu apabila persamaan tersebut dijadikan slogan untuk dikomersil, seperti cawan (mug), kemeja T dan lebih menarik lagi dijadikan tatu.


Rajah 1: Persamaan-persamaan tersebut adalah seperti berikut, 1) Hukum Gauss untuk Medan Elektrik, diikuti 2)Hukum Gauss untuk Medan Magnet, 3)persamaan yang diterbitkan daripada Hukum Lenz-Faraday, dan terakhir sekali pula 4)persamaan yang diteribitkan daripada Hukum Ampere

Nota:
Laju cahaya, c = 1 / Sqrt[εμ]
Ketelusan dielektrik, ε=1/4πk

Jadi daripada persamaan terbitan Hukum Ampere 4) itu,
1/c^2 = εμ
dan 4πk/c^2 = μ

Dengan itu juga persamaan dalam rajah tersebut juga memuas ungkapan dalam rajah-rajah yang lain, pembaca yang diRahmati Allah boleh mengunakan hubungan-hubungang dalam Lampiran yang telah saya sediakan pada akhiran entri ini untuk membuktinya.


Rajah 2: Dan Tuhan berfirman, .... dan kemudiannya telah dijadikan cahaya

Bezanya persamaan ini, ia menggunakan ungkapan yang berbeza, hal itu juga memuaskan persamaan jika sekali lagi pembaca yang diRahmati Allah menggunakan hubungan yang telah saya sediakan dalam Lampiran tersebut, insyaallah.


Rajah 3: Sebagai seorang Muslim, HARAM tatah tatu di setiap juzuk jasad meskipun ianya mengenai Keelektromagnetan


Rajah 4: Persamaan-persamaan ini dipersembahkan dengan pendekatan kamiran terutup berganda, berbanding dengan rajah-rajah sebelum ini yang merupakan analisis vektor, kecapahan dan lingkaran

Lampiran
ρ, jumlah ketumpatan cas keseluruhan
E, medan elektrik
B, aruhan magnet
segitiga terbalik, dikenali sebagai 'del', merupakan entiti kebezaan terhadap tuang (x,y,z) dan berunit vektor (i,j,k). Minta maaf saya tak dapat nak cari simbol del tersebut.
ϕ, fluks elektrik
J, arus pengalir
D, sesaran elektrik
H, medan magnet
M, pempolaran magnet
dA, pengamir permukaan
ds, pengamir lintasan

Hubungan-hubungan persamaan yang lain,
J=σE
D=εE
B=μH
M=χH

σ, pemalar konduktiviti elektrik
μ, pemalar kebolehtelapan magnet
ε, pemalar ketelusan dielektrik
χ, pemalar kebolehpengaruhan magnet


Wallahu a'lam, semoga bermanfaat.

Pagi Yang Berpeluh

Tepat 5.15am, saya bangun untuk bersahur, menjamah kuey teow goreng kerang (tapi saya mendapati tidak kelihatan kerang, apa yang sempat dipandang hanyalah 'fishcake') berserta minuman kopi Mocha (class gitu!) dan menjamah sehingga azan Subuh berkumandang kerana ingin mengikut Sunnah (Sifat Puasa Nabi, adalah melewatkan sahur, mempercepatkan berbuka. Sememangnya ada dalil dan nash, sedangkan Imam Syafie pun menyarankan kita seperti demikian, tapi tak tahu kenapa masih ada lagi yang berhenti bersahur 10minit sebelum azan).

Hari ini tiba-tiba saya menjadi pekerja berdedikasi ke pejabat pukul 7.30am, dengan muka yang 'cool' menekap kad pekerja (punch-card) tanda kehadiran ke pejabat. Setelah itu, lantas ke lif untuk ke aras dua ke pejabat di Bangunan Canselori (namun dalam masa terdekat ini, kami semua akan berpindah ke kampus baru di Proton City). Ketika saya menekan butang 'tutup', tiba-tiba "Big Boss" Universiti, Naib Canselor Universiti datang serta bersama untuk ke aras dua juga, tapi sayap pejabat yang berlainan. Kami (saya dan dua staf yang lain) terdiam seribu bahasa tak tahu nak mula percakapan, almaklumlah kami ini orang kebanyakan, apa yang kami mampu lakukan adalah senyum :-) dan menjawab salam, "Wa'alaikum salam warahmatullah, Dato' "


Rajah 1 Satu sudut dalam rumah

Tiba sahaja di depan pintu bilik, saya memeriksa kunci di kocek seluar saya, barulah saya tersedar saya terlupa membawa kunci bilik (tertinggal di rumah), apa lagi resah pun mula menjelma dalam bentuk titisan bersaiz mikro di dahi dan leher saya, manakala di belakang dan bahu, saya menggalas beban komputer riba dan beberapa buku yang lain. Sekitar bilik saya, pensyarah lain belum datang lagi, biasalah hari ini kan saya ingin pekerja berdedikasi, lagi bertambah peluh saya. Fuhh...

Melilau saya dibuatnya. Tampak kelihatan dari jauh ada orang baru tiba ke Pejabat Fakulti Sains dan Matematik, bersyukurlah ada orang sudah datang bolehlah saya menumpangkan beg galas saya. Lantas saya memecut pulang ke rumah, tiba sahaja di rumah saya memanjat pintu untuk mengambil 'kunci simpanan' (sebagai langkah berjaga-jaga). Kunci simpanan itu juga tak kelihatan, perghh... bertambah peluh dibuatnya, sudahlah diri ini disembur dengan wangian 'deodorant' baru dibeli dua minggu lepas.


Rajah 2 Bercahaya

Nak kopak pintu pula, pintu rumah saya laksana peti kebal di bank, memang jangan haraplah boleh dibukanya. Kemudian jiran yang sedang leka mengurus tanamannya di depan rumah datang bertanya, juga memberi beberapa saranan yang bagus. Saya juga ada menelefon tuan rumah sewa, beliau pun tak tahu mana satu kuncinya. "Terbaik..." (Seperti dalam iklan animasi BoboiBoy). Saya pergi ke pintu belakang rumah, seperti yang disarankan, kelihatan agak mudah untuk dikopak, tiba-tiba (ketika itu) saya menukar profesyen saya kepada 'pemecah rumah', cuba mengopak pintu belakang dengan gunting rumput yang diambil dari rumah jiran. "Krakkkk..." Alhamdulillah, terbuka juga akhir. Membuka pintu depan dan cepat-cepat berterima kasih kepada jiran kerana menjadi rakan kerjaya saya itu. Dan selama tiga tahun, empat bulan, 12 hari saya tinggal di rumah itu, saya belum lagi tertinggal kunci, jika ada pun saya ada kunci simpanan di atas para pintu rumah saya itu.

Ke tempat kerja dan berpeluh berserta udara pagi yang nyaman.

Apapun ujian Allah di pagi 12 Ramadhan, "Innallahu ma'a shobirin..."

Rabu, 3 Ogos 2011

Selamat berpuasa

Tak terlewat untuk mengucap "Selamat Berpuasa"

:-)

Elhidayah

Elhidayah
Bersyariat siyasahnya
Sunni perjalanan hidupnya
Ittiba' prinsipnya
Indah tutur-katanya
Beradab susila bahasanya
Bertata adab kepada Walidnya
Bersulam kata kepada Umminya

Mencemburui Elhidayah, tatkala El-iman memburuinya

Elhidayah
Bermanhaj Salaf
Aqidah dan Tauhid anutannya
Dan Muwahidin digelarnya
Berfirqah Firqatunnajiyyah
Thaiefah Mansurah barisan jihadnya

Allah 'Azawajalla, yakni Rabbnya
Ditauhid secara Rububiyyah
Allah Subhana Wa Ta'ala, yakni Ilahnya
Ditauhid secara Uluhiyyah
Tidak ketinggalan mengimani Asma Wa Sifat-Nya
Tanpa ta'wil, tanpa takyif, tanpa tahrif
Tanpa tamtsil, tidak juga ta'thil
Apatah lagi untuk tafwidh
Hmmmm... tidak juga untuk tashbih

Mencemburui Elhidayah, tatkala El-iman memdambainya

Elhidayah
Bemu'amalat pergaulannya
Melabuh jilbabnya
Pudar warna qamisnya
Sederhana wangiannya
Dan berniqab pada wajahnya
Berpurdah pada tubuhnya
Bertawaduk pandangan matanya

Ditanyanya Elhidayah,
"Siapakah yang kamu dahulu cintainya, aku dirimu atau Rasul-Nya (salallahu'alaihi wassalam)?"

Jawabnya Elhidayah,
"Rasul-Nya"

Kemudian,
"Kamu"

Kemudian,
"Diriku"

Mencemburui Elhidayah, tatkala El-iman mendahagainya

Elhidayah
Berqiraat hiburannya
Berwasatiah pendiriannya
Ra'yu (mutlak) ditolaknya
al-Quran Sunnah pilar-pilarnya
Ditanyakan lembut padanya siapakah nya
Dinadainya, "Wallahu a'lam"

Elhidayah, Elhidayah, Elhidayah