Ahad, 31 Oktober 2010

Sedang berkursus

Sekarang pukul 12.52pm. Isnin, 1 November 2010
(01/11/10 - 011110)

Di hadapan saya ada penceramah sedang memberi ceramah. Manakala di hadapan saya juga "laptop". Maka saya sedang menulis dan tenggelam dalam tulisan. Marilah membaca rintihan kepeningan saya sekarang.

Saya sedang berkursus, sudah dua minggu saya dan rakan-rakan lain melalui kursus ini. Banyak kerja lain yang penting tergendala, memang meletihkan dan melesukan medula oblongata, juga serebrum dan sereblum. Manakala pankreas berdekatan dengan hati, sudah terasa kebosanan! Apendiks mulai memedih kerana banyak makan, kerana banyak juadah disediakan. Hohoho....

Baru sahaja selesai sesi "Public Speaking", tajuk saya berikan adalah "Blood Donation". :-)
...........................Alhamdulillah...................
Sekejap lagi saya akan selesai ceramahnya.


Fenomenologi Adisimetri

Seperti yang kita sedia maklum bahawa ASM dan CERN telaha menjalinkan kerjasama penyelidikan mengenai LHC (Large Hadron Collider) dan dikoordinat oleh Agensi Nuklear Malaysia (ANM). Seperti yang kita sedia maklum bahawa tujuan asas LHC adalah untuk mendapatkan "Fizik Baharu" terutamanya mengenai Fizik Tenaga Tinggi dan Fizi Zarah, juga tidak terkecuali Fizik Kosmologi. Secara khususnya, LHC cuba mendapatkan kesahan zarah Higgs secara ujikaji, dan kajian ini lebih dikenali sebagai kajian fenomenologi.

Manakala Universiti Malaya (UM), telah mengambil bahagian "Teori dan Simulasi - Adisimetri" dalam kajian tersebut, projek tersebut telah dianggotai oleh Prof Dr. Wan Ahmad Tajuddin dan Prof Madya Dr. Hassan (merupakan penyelia Cik Norliza Yusof, juga mendapat tempat dan perhatian di dalam majalah di UK, dalam kajian astrofizik). Sekarang kumpulan tersebut sedang merangka perancangan dalam kertas kerja mereka, sebeleum diajukan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum RMK-11 (Rancangan Malaysia ke-11) dibentangkan nanti. Apa yang sedia maklum, CERN hanya menawarkan dalam kajian CMS (Calorymetric Muon Selenoid).


RAJAH 1: CMS



RAJAH 2: ATLAS


RAJAH 3: Kumpulan Penyelidikan CERN di Agensi Nuklear Malaysia

Selasa, 26 Oktober 2010

Do'a yang shahih

Penulisan kali ini, adalah mengenai satu do'a daripada Rasulullah salallahu'alaihi wassalam, riwayat Anas Bin Malik didalam kitab Ibnu Hibban dan ditahqiq hadistnya sahih oleh kebanyakan jumhur ulama hadist, begitu juga disahih oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani. Maka marilah mengamalkannya sahih dari kekasih kita. :-)

Sebelum ini, saya selalu mengamalkan do'a yang kadang-kadang saya tidak tahu apakah ini sahih daripada Rasulullah salallahu'alaihi wassalam atau hanya sekadar doa dari ustaz-ustaz dahulu. Antaranya yang saya amalkan Bismillah Tujuh, makna do'a tersebut baik tapi saya tidak pasti adakah ia daripada kekasih kita, Rasulullah salallahu'alaihi wassalam.

Kemudian amalan do'a, yang juga salah satu ayat daripada ayat-ayat Yaasin, ketika mana Rasulullah salallahu'alaihi wassalam dikepung oleh kaum musyrikin. Baginda membaca ayat tersebut, kemudian kaum musyrikin yang mengepung itu semuanya dibutakan seketika. Tetapi riwayat kisah tersebut tidaklah sahih dan terkandung dalam riwayat Sirah Ibnu Ishak. Namun kita meloggarkan sedikit ketelitian riwayatnya dalam sirah, dengan kata lain hadist-hadistnya tidak sahih (namun tidak maudhu'), juga amalan dalam kisah sirah yang dha'if kedudukan riwayat hadistnya, kita dilarang untuk mengamalnya.

Mungkin ada yang akan bertanya, kenapa tidak boleh mengamalkan do'a selain daripada Rasulullah salallahu'alaihi wassalam. Jawapannya adalah:

1) Rasulullah salallahu'alaihi wassalam adalah sebaik-baik petunjuk. Persoalan, apakah layak untuk kita berkata bahawa terdapatnya doa' do'a lain yang lebih baik daripada do'a Rasulullah salallahu'alaihi wassalam?

2) Rasulullah salallahu'alaihi wassalam adalah utusan Allah, dengan kata lain kepada Muhammad salallahu'alaihi wassalam sajalah yang Allah sampaikan ajaran-Nya. Adakah layak untuk kita untuk mengadakan ibadat (do'a) yang baru?

Marilah mengamalkan Sunnah dan mencintai Rasulullah salallahu'alaihi wassalam. Saya teringatkan satu petikan hadist iaitu, ".....Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai kelak". Marilah kita semua bersama-sama mencintai Rasulullah salallahu'alaihi wassalam, kerana kita akan bersama dengan orang yang kita cintai (Rasulullah salallahu'alaihi wassalam) kelak, insyaallah ditemparkan di Syurga Fidaus.

Kita sudah maklum adab-adab dengan hadist shahih dan hadist dha'if, begitu juga hadist maudhu'. Seterusnya sedikit sedutan video daripada Ustaz Halim Hassan, antara ustaz yang saya sangat sayangi. Beliau orang utara, kekadang lawak beliau hanya dapat digelak oleh orang utara, sebab melibatkan budaya dan loghat utara.

Semoga bermanfaat. Wallahu walaiyyu taufiq


Ahad, 24 Oktober 2010

Albert Satu Batu

Ini adalah koleksi gambar-gambar Albert Satu Batu (Einstein) yang jarang dilihat, sengaja saya abadika di dalam blog saya untuk tatapan pembaca yang diRahmati Allah. Meskipun beliau seorang Yahudi tulen, saya bukan melihat pada latar belakangnya, tetapi pada sedikit pengetahuannya.

Juga terdapat beberapa keraguan pada beliau menurut Prof Dr Shahari Md Zain, Profesor Matematik Fizik UKM.

1) Einstein dikatakan plagiat hasil karya di pejabat paten
2) Einstein meniru hasil kerja isteri beliau yang pertama, Mileva Maric
3) Einstein meniru hasil karya Sarjan Islam dahulu, dikatakan beliau mentelaah manuskrip tersebut kemudian beliau bakar makalah tersebut. (Fakta ini melalui perbincangan dengan kawan saya)
4) Hasil kerja Einstein dalam bidang Teori Kenisbian Khas dan Am lebih dijulang dan diperagung berbanding hasil kerja Hendrik Lorentz dan Henri Poincare, walhal kedua-dua personaliti tersebutlah yang memulakan idea Kenisbian dan ruangmasa.

Imej-imej di bawah adalah mengenai hasil kerja tangan Einstein dalam pembinaan Teori Kenisbian Am.


RAJAH 1: Pelajar-pelajar universiti di Israel sedang menatap manuskrip Einstein



RAJAH 2: Manuskrip, hasil tangan Einstein


RAJAH 3: Manuskrip mengenai Teori Kenisbian Am


RAJAH 3: Rumah beliau ketika masih bersama dengan isteri beliau, Mileva Maric

Sabtu, 23 Oktober 2010

Geometri dan Simetri Mendominasi Aturan Alam Semesta

Dalam fizik, perkara pokok yang mesti tercitra bersamanya adalah matematik, disamping konsep fizikal. Bagi fizik tenaga tinggi dan fizik zarah, sememangnya matematik menjadi rutin pembinaan bagi disiplin tersebut, kerana sukar bagi fizikawan untuk menelaahnya melainkan dengan matematik dan teorinya. Namun jika ditenung-tenung dan dibelek-belek lagi, kita dapati bahawa Geometri dan Simetri lah yang menjadi perkara asas bagi disiplin fizik kosmologi dan fizik zarah. Kita semua sedia maklum bahawa disiplin fizik zarah dan fizik kosmologi tersebut merupakan disiplin asas bagi memahami aturan alam semesta ini bagaimana alam tabii ini bekerja dan bagaimana alam tabii ini terbina. Malahan ia juga mampu merungkai beberapa persoalan asas kosmologi dan metafizik.

Penulisan ini sekadar memberikan sedikit gambaran kasar mengenai tajuk utama yang akan dibincangkan itu. Mempamerkan contoh penggunaan geometri dan simetri dalam beberapa subdisplin fizik daripada fizik klasik kepada fizik moden, malahan membawa kepada perbincangan fizik pasca moden.

Sejak akhir-akhir ini, geometri, terutamanya dimensi lebihan telah mulai mendominasi topik perbincangan fizik aras tinggi dan fizik lanjutan antaranya ialah, Ramai fizikawan berkecimpung dalam fizik lanjutan telah mula beralih arah kepada Model Randall-Sundrum dan Model ADD (Arkani-Dimopoulos-Dvali) dalam pencarian pengetahuan baru daripada LHC (Large Hadron Collider) disamping Adisimetri.


Dalam fizik klasik, ruang Euclidean dan ruang Cartesian atau ruang teritlak menjadi asas kepada pembinaan mekanik Lagrangian, Hamiltonian dan Newtonian, dan juga ia membina Teori Keelektromagnetan Klasik (tidak melibatkan penguantuman toloknya). Begitu juga dalam Mekanik Statistik, yang masih memmerihalkan ruang Cartesian sebagai asas tidak langsung dalam pembinaanya.

Geometri juga digunakan dalam Mekanik Kuantum, terutamanya dalam Tafsiran Conpenhagen, dengan penggunaan ruang Hilbert, supaya sifat fizik "pencerap" dan "ketaktentuan fizik" boleh dikekalkan. Manakala dalam Teori Kenisbian Khas pula, ruang dan masa adalah satu perkara yang saling berkait dan telah dihubungkan dengan pekali halaju cahaya, namun dalam unit tabii, "c" tidak disertakan bersama tetapi dirujukannya bernilai 1. Maka istilah "ruangmasa" pun diperkenalkan. Susulan daripada itu, Teori Kenisbian Am juga terhasil daripada "kelengkungan ruangmasa", yang merupakan lanjutan kepada Teori Kenisbian Khas dalam rangka rujukan yang dinamik melalui Prinsip Kesetaraan (Menghubungkan graviti dan dinamik zarah).

Teori Kenisbian Am lagi mengkekokkan malahan melanggari citra falsafah fizik klasik yang umum, bermaksud Teori Kenisbian Am secara teorinya telah menghubungkan kelengkungan ruangmasa (ciri-ciri geometri) dengan parameter zarah, iaitu tenaga, jisim dan momentum. Geometri ruangmasa melengkung bertanggungjawab ke atas kewujudannya graviti bagi sesuatu objek berjisim, dengan kata lain "graviti adalah hasilan daripada kelengkungan ruangmasa" yang disebabkan oleh jisim atau tenaga (keabadian jisim-tenaga).

Usaha untuk menggabungkan tolok elektromagnetan dengan Teori Kenisbian Am telah dilakukan oleh Theodore Kaluza, yang menambahbaikkan geometri tersebut dengan menambahkan empat dimensi ruangmasa tersebut kepada lima dimensi ruangmasa (dengan empat dimensi ruang dan satu dimensi masa). Namunpun begitu, persoalan "kemanakah hilangnya dimensinya yang kelima?" tidak dapat dijawab. Akan tetapi persoalan tersebut telah dijawab dengan idea bahawa dimensi lebihan tersebut telah digelungkan dengan radiusnya yang sangat kecil sehingga tidak disedari oleh sebarang pemecut zarah bertenaga tinggi apatah lagi panca indera manusiawi, tambahan idea tersebut telah dicadangkan oleh Olskar Klein. Hasil daripada dua makalah yang berbeza itu telah menisbahkan idea tersebut kepada nama mereka dengan panggilan Teori Kaluza-Klein.


RAJAH 1: Theodore Kaluza


RAJAH 2: Olskar Klein

Menggunakan idea yang sama (Teori Kaluza-Klein), kumpulan Lisa Randall berserta Raman Sundrum (Model Randall-Sundrum) dan kumpulan Nima Arkani-Hamed, Savas Dimapoulos dan Gia Dvali (Model ADD) cuba menyelesaikan masalah Hieraki yang berlaku dalam fizik zarah, ianya masalah yang sangat serius. Nisbah skala Elektrolemah dan Skala Planck sangat tinggi nisbahannya, sekitar 10 berkuasa -16. Hal ini agak sukar untuk diterima. Maka kedua kumpulan tersebut dengan idea Kaluza-Klein yang sama namun dari aspek penyelesaian yang berbeza, iaitu Model ADD memerihalkan bilangan dimensi dengan jarak yang luas, manakala Model Randall-Sundrum pula memerihalkan dari aspek geometri yang termelengkung dalam menyelesaikan masalah Hieraki.

RAJAH 3: Lisa Randall

Begitu juga dalam Teori Aditetali (Superstring theory), kita juga memerihalkan dalam aspek dimensi dengan 10 dan 11 dimensi ruangmasa telah dicadangkan supaya aditetali tersebut berkelakuan baik pada sifat fiziknya. Namun lebihan dimensi tersebut (enam atau lima dimensi) telah mengalami kemampatan atau kerenyukan dalam manifold Calabi-Yau.


RAJAH 4: Dimapoulos, Arkani-Hamed dan Divali

Selain geometri yang mendominasi pembinaan aturan alam semesta, simetri juga banyak memainkan peranan dalam bidang fizik umumnya. Takrifan dalam fizik, simetri boleh dianalogikan bahawa sistem fizik yang dikenakan prinsip transformasi fizik atau perubahan, tetapi ia tidak megubahkan sebarang sistem fizik, ianya terabadi terhadap transformasi tersebut atau perubahan yang dikenakan.


RAJAH 5: Teori-teori Aditetali yang tidak tekal

Simetri yang boleh kita kenal pasti dalam bidang fizik yang telah kita pelajari sebelum ini, iaitu simetri selanjar, simetri diskrit, simetri setempat, sejagat, dan adisimetri (mungkin belum belajar lagi). Manakala dalam kelas simetri selanjar, beberapa jenis dibawah kelas tersebut; translasi masa, translasi ruang, putaran ruang, transfomasi Lorentz dan Poincare. Begitu juga dengan kelas simetri diskrit, iaitu simetri Konjugasi, Pariti dan Masa atau lebih dikenali dengan nama Simetri-CPT. Tapi simetri diskrit selalunya mendominasi displin subdisplin fizik zarah, terutamanya elektrolemah dan kromodinamik kuantum.


RAJAH 6: Antara babak dalam animasi Futurama, mengenai Teori-M dan Rajah Feynmann

Dalam teori Keelektromagnetan klasik, simetri juga berlaku yang mana transformasi tolok memeliharakan sifat fizik keelektromagnetan tersebut. Mekanik klasik pula, senantiasa mengaitkan simetri Noether dalam fungsi mekanik Lagrangian yang mana ia adalah terabadi, begitu juga dalam hal simetri masa dan ruang dalam mekanik Newtonian juga berlaku. Dalam Mekanik Statistik, simetri selanjar yang mendominasi pembinaanya.

Dalam topik Teori Kenisbian Khas, simetri yang mendominasi adalah transformasi Lorentz, yang menghubungkan ruangmasa dalam rangka rujukan yang berbeza. Begitu juga transformasi Poincare, merupakan lanjutan kepada Transformasi Lorentz dengan memerihalkan juga translasi ruang dalam transformasi tersebut. Manakala dalam Teori Kenisbian Am, masih lagi mematuhi simetri-simetri dalam Teori Kenisbian Khas dan juga beberapa simetri ruang-ruang yang diperkenalkan seperti ruang sfera, Scwarzchild dan Kerr.

Simetri juga merupakan perwakilan kepada interaksi yang berlaku dalam fizik tenaga tinggi dan fizik zarah, seperti interaksi-interaksi dalam teori kesatuan gedang, iaitu interaksi keelektromagnetan, lemah dan kuat. Ianya diwakili dengan kumpulan simeteri masing-masing, yang mana ianya adalah kumpulan dan aljabar Lie, iaitu simetri berselanjaran. Kesatuan interaksi-interaksi tersebut diwakili oleh kumpulan simetri SU(3)xSU(2)xU(1). Sebagai tambahan, kumpulan simetri tersebut adalah mewakili tolok yang menjadi medium kepada interaksi tersebut dan ia dikenali sebagai Teori Kesatuan Gedang(atau Grand Unified Theory, GUT).

RAJAH 7: Imej lima dimensi?

Namun dalam Teori Kuantum Medan pada skala tenaga rendah (bawah 1TeV), simetri-CPT (simetri diskret) pula yang mendominasi subdisplin fizik tersebut, terutamanya elektrolemah dan kuantum kromodinamik. Ianya dapat dibuktikan dan dicerap secara eksperimen memandangkan aras tenaga tersebut dapat dicapai dengan pelanggar zarah yang kita sedia ada, seperti Fermilab di Dekalb, AS. Beberapa pencabulan simetri-CPT telah melayakkan Chen Ning Yang dan Tsung-Dao Lee dianugerahi Hadiah Nobel pada tahun 1957 (tahun Kemerdekaan Tanah Melayu) dengan usaha mereka mengenai pencabulan pariti pada interaksi lemah.

RAJAH 8: Manifold Calabi-Yau? Wallahu'alam

Manakala pencabulan berspontan simetri sejagat pula telah meramalkan kewujudan zarah Goldstone (mekanisme Nambu-Goldstone)yang tidak melibatkan sebarang interaksi tolok. Tapi pencabulan berspontan simetri setempat pula dengan melibatkan interaksi tolok (mekanisme Higgs) telah meramal akan kewujudan zarah Higgs yang telah bertanggungjawab ke atas konsep "jisim" zarah-zarah dalam Model Piawai dan inilah antara perkara yang cuba disiasat di Pelanggar Hadron Gergasi atau diInggeriskan sebagai Large Hadron Collider (LHC). Jika penemuan zarah Higgs itu berperolehi kegagalan, ini memberikan implikasi yang buruk kepada ilmu fizik yang telah kita bina sekian lamanya.

Hasil olahan konsep zarah Higgs dalam rajah gelung Feynman (rajah bergelung), telah memberikan satu masalah yang sangat serius iaitu capahan Higgs dalam gelung interaksi. Pada masa yang sama juga, fizikawan menghadapi masalah penyatuan pekali-pekali interaksi (keelektromagnetan, lemah dan kuat) pada skala Planck. Sehubungan dengan itu fizikawan telah mencadangkan satu konsep fizik yang baru yang dikenali sebagai Prinsip Adisimetri, prinsip yang menghubungkan zarah Fermion dengan zarah Boson, begitu juga menghubungkan zarah Boson dengan zarah Fermion. Apa yang penulis sedia maklum, bahawa pembinaan awal Adisimetri itu telah dijalankan oleh dua kumpulan fizikawan yang terpisah. Salah satunya kumpulan daripada Rusia, yang mana mereka cuba menaik tarafkan transformasi Poincare (simetri Lorentz, translasi ruang) dengan simetri internal (spin, momentum sudut dan putaran). Manakala kumpulan fizikawan Amerika Syarikat pula, mereka melihat dari aspek pembaikan teori tetali yang pada awalnya teori tetali tersebut hanya berkisar pada zarah Boson sahaja.

Banyak juga fahaman fizik yang beraliran falsafah sering mengaitkan aturan alam tabii ini dengan matematik, sehinggakan ada yang meyakini dengan matematik dan nombor, malahan mereka juga melibatkan akidah dan agama. Apapun penulisan ini hanya melihat kepada geometri dan simetri dalam pembinaan teori-teori dan hukum-hukum fizik, meskipun banyak subdisplin matematik lain yang turut menyumbang kepada fizik, namun geometri dan simetri yang agak ketara mendominasi pembinaan aturan alam semesta.

Dalam hal akidah persoalan "kita mengetahui bagaimana Allah mencipta alam semesta ini" tidak akan timbul kerana beberapa lopong-lopong dalam konsep asas telah sengaja ditutupka mata. Malahan terdapat juga beberapa keraguan yang sangat jelas dalam fizik yang kekadang kita sengaja ubahsuai, yang mana dalam fizik kita kenali sebagai "fine-tune" dan kadang kala kita menggunakan pendekatan kaedah penghampiran, iaitu kaedah usikan (pertubation method) berbanding penggunaan kaedah analitik. Daripada itu, kita sedia maklum bahawa banyak perkara dalam fizik yang sememangnya kita tidak dapat menjawab dengan baik, jadi bagaimana mungkin untuk kita berkeupayaan mengetahui af'al Allah ke atas penciptaan alam semesta ini.

Maha Suci Allah yang setinggi-tinggi kedudukan-Nya dan terpelihara daripada cacat-cela dan keraguan.

Wallahu'alam


RAJAH 00: Tidak ada kena-mengena dengan akademik, sekadar nak memaklumkan bahawa gambar ini adalah anak sepupu saya yang sangat comel, hehehee.... (Nurul Kaisarah)

Jumaat, 22 Oktober 2010

Titik, Tali dan Bran

Dalam Teori Medan Kuantum, zarah fizik telah diwakilkan dengan perwakilan "titik" yang mana pergerakannya di atas ruangmasa cahaya kon (light-cone spacetime) di kenali sebagai Garisdunia (Worldline). Titik adalah satu objek matematik yang sifar dimensi objeknya, telah memberikan masalah kepada penyelesaian masalah dalam Kuantum Kromodinamik yang mana hasil kamirannya memberikan nilai yang tidak relevan dalam fizik iaitu, infiniti. Itu berlaku jika kita menerima konsep zarah sebagai titik!


RAJAH 1: Ruangmasa cahaya kon

Namun penyelesaian tersebut tercapai apabila kita mengandaikan konsep zarah itu sebagai "tali". Sememangnya teori tetali bermula daripada penyelesaian masalah dalam Kuantum Kromodinamik, iaitu zarah boson yang menjadi zarah interaksi mediumnya agak berspinar, berlingkar dan bergelung seperti kelakuan "tali". Tali adalah objek berdimensi satu yang bergerak dalam Worldsheet (saya tak dapat nak menterjemahnya), yang pergerakannya seakan-akan seperti lembaran kertas yang panjang.


RAJAH 2: Cadangan teori-teori tidak tekal dalam Teori Tetali

Setelah teori tetali telah diperhalusi dengan drastik, terutamanya daripada Schwarz dan Green, dan lain-lain lagi. Maka timbul lah pula lima teori tetali tidak tekal. Biasalah sikap ingin tahu fizikawan mengenai apa pula kandungan dalam tetali tersebut juga ingin dikaji. Tapi ingin tahu itu telah dijawab menerusi ketidaktekalan teori-teori itu yang diselesaikan oleh Edward Witten dengan mencadangkan satu entiti baru, iaitu dikenali sebagai objek terlanjut (extended object) yang mempunyai dimensi objek yang lebih tinggi, iaitu ditulis sebagai p-brane. Maka timbul lah istilah "bran" ataupun "membran". Bran pula membentuk laluannya dalam Isipadunia (Worldvolume)


RAJAH 3: Latarbelakang entiti bran di cadangkan berada dalam manifold Calabi-Yau yang berdimensi 11, namun 6 dimensi lebihannya telah direnyukkan.

Daripada perbincangan objek terlanjut itu, maka kita akan menyatakan bahawa 0-bran adalah "titik" (perwakilan zarah dalam Teori Medan Kuantum yang klasik), 1-bran adalah "tali" dan 2-bran pula adalah "bran" atau "membran". Aplikasi bran ini telah menjawab beberapa persoalan kosmologi, antaranya ia meramal kewujudan dua satah bran gergasi yang masing-masingnya berlanggar diantara satu sama lain yang menghasilkan "Deguman Besar" (Big Bang), dan ramalan deguman besar itu masih lagi serasi dengan ramalan Teori Kenibian Am tanpa menafikan fenomena "inflasi"


RAJAH 4: Wordline, Worldsheet dan Worldvolume

Daripada "titik" kepada "tali", membawa kepada "bran". Secara tidak langsungnya, wujudnya entiti yang dikenali sebagai "Objek Terlanjut"

Wallahu ta'ala a'lam


RAJAH 5: Bangunan bercat salah satu pengesan di LHC

Degenerasi

Degenerasi adalah satu fenomena yang memberikan nilai tenaga yang sama pada dua fungsi yang berbeza daripada hasil operasi operator Hamiltonian.

Analogi

"Katakan saya adalah pencerap (ditakrifkan sebagai operator Hamiltonian), kemudian saya datang ke bilik TU4A (Tadahan Utara-4A). Saya dapati kamu semua berada di dalam bilik tersebut. Kemudian saya pergi ke bilik sebelah iaitu TU5, yang peliknya saya dapati kamu semua dengan orang yang sama, muka yang sama dan jasad yang sama juga berada di dalam bilik tersebut tanpa ada kekurangan daripada pencerapan dalam bilik TU4A tadi. Saya pun berasa hairan. Kenapa mesti ada orang yang sama dalam dua bilik yang berbeza, tanpa berkurang dan berubah pun orang-orang tersebut"

Mungkin itu pelik! Hanya pelik dalam falsafah Klasik sahaja.
Tapi dalam Mekanik Kuantum itu tidak pelik, malahan ia dibenarkan dan sememangnya ia sedang berlaku dan ia dikenali sebagai fenomena Degenerasi

Satu Pencerap, Dua Keadaan Namun Satu Hasil - Pada Masa Yang Sama???

Wallahu ta'ala a'lam

Saya dan Pelajar

Alhamdulillah

Sudah lebih dua tahun saya mengajar, lebih 400 pelajar telah saya didik dan bergraduan. Sesi 2008/2009, seramai lebih daripada 200 orang pelajar. Manakala sesi 2009/2010 pula seramai 196 orang pelajar dan mereka baru sahaja bergraduan pada minggu lepas. Itu belum mengambil kira, pelajar-pelajar amali Sains. Sedar tak sedar, lebih dua tahun sudah. :-)

Kekadang pelik juga saya memikirkan, Adakah layak saya memiliki pelajar? atau layakkah saya menjadi pengajar atau pendidik? Soalan ini pun turut diajukan oleh sahabat lama saya kepada saya. Namun saya berkeyakinan ini semua adalah ketentuan yang datang daripada Allah 'Azawajalla

Saya juga pernah mengajar pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Slim River. Demi Allah, saya tidak mengharapkan penghargaan, pemberian atau hadiah daripada mereka. Tapi penghargaan dan hadiah yang mereka berikan sangat meninggalkan kesan dalam hidup saya. Pada lima minggu sebelum saya berakhir dari sekolah tersebut, mereka asyik bertanyakan mengenai bila saya akan tamat latihan mengajar saya. Kemudian ada seorang pelajar lelaki bertanyakan kepada saya, "Sir, suka warna apa?". Saya menjawab, "Suka warna gelap, macam hitam atau biru hitam". Rupa-rupanya kelas tersebut berpakat nak belikan tali leher berwarna biru hitam kepada saya sewaktu hari tamatnya Latihan Mengajar saya, kemudian disertakan bersama kad ucapan.

Perghh...... Tergugat JIWA ROCKAPAK saya.

Begitu juga dengan pelajar-pelajar universiti yang saya didik. Baru-baru ini, pelbagai ucapan-ucapan yang menyentuh perasaan diberikan, sekali lagi JIWA ROCKAPAK saya tergugat dulunya ganas dengan muzik-muzi bawah tanah. Menerima hadiah, menerima kad dan menerima jemputan untuk majlis perpisahan memang.... (tak terkata-kata, dan tak ada perkataan yang sesuai untuk dinukilkan)


Maka.


Terima kasih kepada yang sudi untuk menjadi pelajar-pelajar didikan saya, meskipun saya sendiri pun meragui krebiliti saya untuk memandaikan anak bangsa, kerana ia sesuatu tugas yang berat.

JAZAKUMULLAH KHAIRAN KATSIRAH

Jumaat, 8 Oktober 2010

Sindiran Kuantum

Arakian

Beberapa minggu lalu (ketika bulan Ramadhan), saya ada kuliah pada pukul 8.30pagi di Bilik E-Learning 8. Saya hadir dalam keadaan tergesa-gesa kerana saya agak sedikit, tambahan pula saya agak bersemangat, kerana pada malamnya saya sudah mengulangkaji sedikit bahan untuk diberikan kuliah pada pagi tersebut.

Tibanya saya ke dewan kuliah tersebut, saya dapati hanya 14 orang yang hadir daripada 35 orang pelajar saya. Kemudian saya bertanya, "Ehh... Mana yang lain?". Kemudian mereka menjawab bahawa pelajar lain sedang buat persediaan untuk Ujian Pertengahan Semester untuk kursus lain pada pukul 10.00am. Tak apalah saya meneruskan juga kelas tersebut, selepas 30minit kelas bermula saya dapati ada dua pelajar baru datang dengan tergesa-gesa, kerana kebimbangan akan dimarahi oleh saya, padahal tidak. Meskipun saya agak sedih dan sedikit sakit hati.


Al-Kisahnya

Pada hari lainnya, saya sedang mengajar mengenai Boleh Cerap (Observable) iaitu Operator berHermitian, juga Fungsi Gelombang dan Fungsi Eigen dan Nilai Eigen.

iaitu,


X.Psi(x,t) = x.Psi(x,t)

Saya menjelaskan bahawa,
"Jika Pencerap dan Fungsi Gelombang tersebut mematuhi Fungsi Eigen dan Nilai Eigen, maka Pencerap tersebut memberikan nilai yang tunggal hasil daripada ukuran pencerap tersebut ke atas Fungsi Gelombang."

Tambah saya lagi,
"Bahawa Pencerap tersebut yang memberikan nilai tersebut dan Fungsi boleh kita andaikan sebagai semacam sistem lah. Ujar saya untuk memahamkan mereka lagi, "Jadi tanpa pencerap tiadalah sebarang ukuran yang terjadi ke atas Fungsi Gelombang atau sistem tersebut"

Pelajar masih termanggu dan terdiam sejenak


Melihat keadaan pelajar saya seperti itu, maka saya membuat analogi

"Baiklah, begini cuba kamu bayangkan operator tersebut adalah Diri Saya bermakna saya adalah Pencerap, kemudian Fungsi Gelombang adalah Bilik E-Learning 8. Kemudian saya datang ke bilik tersebut untuk mengajar saya dapati ada 14 orang pelajar sahaja, maka 14orang pelajar tersebut adalah Nilai Eigen atau nilai hasil pencerapan saya ke atas bilangan pelajar dalam bilik E-Learning 8 tersebut, meskipun fakulti menetapkan 35orang mesti berada dalam bilik tersebut (secara lasik)"

Kata saya dengan muka rasa tak bersalah


KEMUDIAN PELAJAR KELIHATAN BERASA TERSINDIR DAN SAYA KELIHATAN BERASA PUAS.

Gred B

Ketika membaca Kosmo-Online mengenai Pemenang Hadiah Nobel Fizik dari Universiti Manchester berusian 36 tahun. Saya terpikat dengan tajuk berita tersebut, "Pakar fizik pemenang Nobel selalu dapat gred B". Ringkasan mengenai pemenang hadiah tersebut, sila klik di sini

"for groundbreaking experiments regarding the two-dimensional material graphene"

Mereka terlibat dalam kajian grafin yang mana susunan atom-atom karbon dalam kekisi berbentuk aromatik atau heksagon pada layer sekitar tebal beberapa nanometer (0.142nm) dan juga aplikasinya di dalam perubatan. Grafin datang daripada perkataan Grafit+ene.

Ini adalah takrifan grafin yang lebih sesuai.

Graphene is a flat monolayer of carbon atoms tightly packed into a two-dimensional (2D) honeycomb lattice, and is a basic building block for graphitic materials of all other dimensionalities. It can be wrapped up into 0D fullerenes, rolled into 1D nanotubes or stacked into 3D graphite. (Rujukan Nature)



Imej Grafin

Wallahu'alam

Khamis, 7 Oktober 2010

Ingin Memuji Kepada Yang Layak Dipuji

PROF DR ZAKARIA KASA

Ketika saya mengiring pelajar-pelajar saya ke Agensi Nuklear Malaysia (ANM) saya ada berbual dengan salah seorang pemandu yang membawa kami ke ANM. Kami berbual mengenai sikap mulia pegawai tertinggi di UPSI. Beliau menceritakan pengalaman beliau berkhidmat dengan pegawai tersebut, pegawai yang di maksudkan adalah Profesor Dr. Zakaria Kasa iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, atau lebih dikenali daripada rakan-rakan beliau dengan nama Pak Ya, manakala kami memanggil beliau dengan panggilan Prof Zek.

Saya tertarik dengan sikap rendah diri beliau.

Pemandu itu menceritakan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai pemandu peribadi Prof Zek selama sebulan untuk menghantar beliau ke mesyuarat dan seminar penting. Prof Zek jika menaiki kereta bersama beliau tidak akan duduk di belakang, sepertimana orang-orang besar akan lakukan, tetapi beliau akan duduk di sebelah pemandu.

Ada satu pengalaman pemandu itu ceritakan dan saya tertarik dan mengaguminya.

Pemandu itu berkata bahawa, beliau ada menghantar Prof Zek ke satu mesyuarat di KL. Kemudian mereka singgah di satu perhentian untuk makan, kemudian Prof Zek suruh beliau tunggu di satu meja makan dan Prof Zek pergi ambil makanan. Selepas beberapa ketika, Prof Zek kembali dan membawa makanan. Apa yang lebih mengejut, makanan tersebut adalah untuk pemandu tersebut, kerana Prof Zek sudah pun makan dirumah. "Tepuk dahi saya waktu tu" kata beliau bersungguh-sungguh untuk bercerita mengenai Prof Zek.

Kemudian beliau bercerita lagi, bahawa beliau perlu menghantar Prof Zek ke hotel untuk menghadiri mesyuarat bersama Menteri. Kemudian Prof Zek bertanyakan mengenai tempat tidur pemandu tersebut untuk bermalam. Kemudian jawab beliau, "Saya ada nak bermalam di rumah kawan saya". Balas Prof Zek, "Hang tidoq dengan saya lah malam ni". Sekali lagi pemandu tersebut tepuk dahi, cerita beliau dengan penuh bersemangat mengenai Prof Zek.


PROF EMERITUS DR MOHD YUSOF HASAN

Beliau seorang Profesor Emeritus dan juga Felo Penyelidikan di Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki. Berasal dari Kedah dan berkebolehan berbahasa Siam (Thailand)

Ini cerita beliau pula.
Ada seorang pemandu bercerita bahawa beliau pernah menghantar Prof Yusof ke jamuan bersama Tun Salim Abbas, mantan Hakim Negara. Ketika beliau dan Prof Yusof menghadiri jamuan bersama, Prof memperkenalkan beliau kepada Tun Salim Abbas dengan mengatakan, "Ini adalah kawan saya"

Kemudian pemandu tersebut berkata, "Saya sangat tersentuh ketika itu"


SANGAT MENGAGUMI