Isnin, 24 Oktober 2011

Ahli Fizik Teori Tetali

Ahli fizik teori tetali tak ambil tahu pasal usaha pakatan CMS dan ALICE membabitkan pembuktian kerelevanan Adisimetri dan entiti unggul yang dikenali sebagai zarah Higgs, apatah lagi usaha pakatan OPERA ke atas pencabulan postulat asas Einstein ke atas kemalaran laju cahaya.

Mereka tenggelam dalam teori mereka, meskipun teori mereka itu indah, tapi ketahuilah ianya hanyalah teori semata-mata. Apapun ianya sangat indah lagi mengendahkan. Mengingatkan saya kalam seseorang dalam arena fizik, "Saya macam tak percaya fizik boleh dijelaskan dengan sesuatu yang dikenali sebagai tali?"

Hmmm... Dengar kata, Adisimetri bermasalah dan tiada isyarat ditemui dari projektil pereputan zarah di LHC. Apakah perlu beralih ke Fizik Tak-zarah (Unparticle Physics), perlulah ditelaahi mengenai invarian-skalav - persoalan asas mengenai kenapa foton tidak mempunyai zarah (calon kedua menjawab masalah konsep jisim disamping zarah Higgs)


Rajah 1: Lima teori yang tidak tekal, berbeza orientasiny dan juga jenisnya (tetali tertutup atau terbuka), berkeliaran dalam 10matra

Kedualan-S menyatukan Jenis-IIA dengan Heterotik E8xE8, Jenis-I pula dengan Heterotik SO(32), manakala kedualan-T pula menyatukan Jenis-IIA dengan Jenis-IIB, Heterotik SO(32) dengan Heterotik E8xE8. Baik bagaimana pula Jenis-I dengan Jenis-II(A atau B), dengan itu diusulkan matra ruang yang lain, 9matra ruang + 1matra masa + 1matra ruang tambahan = 11matra - dikenali sebagai Teori-M. Dalam Teori-M, Jenis-I dan Jenis-II(A atau B) dilihat dari matra yang lain, kelihatan mempamerkan perilaku yang sama dan Teori Tetali 10 matra adalah fizik tetali bertenaga aras rendah Teori-M.

Wallahu ta'ala a'alam

Khamis, 20 Oktober 2011

Berkata kepada pelajar

Baru selesai kelas
Dalam kelas tadi saya ada berkata, "Ada seorang kawan saya berkata bahawa setiap fenomena berayun mesti mematuhi persamaan gelombang, saya nak kamu semua ingat dalam kepala kamu"

Kawan saya maksudkan itu adalah Ahmad Hazazi. Tapi apa yang beliau katakan itu memang ada kebenarannya.

Ciri-ciri tersebut mesti memuas persamaan berikut, iaitu:

d2[y(x,t)]/dx2 = 1/v^2 d2[y(x,t)]/dt2

yang mana y(x,t) adalah fungsi gelombang dan v adalah ditafsirkan sebagai halaju gelombang (arah perjalanan gelombang). d2[y(x,t)]/dx2, bermaksud kebezaan kedua ke atas pembolehubah kedudukan, x. Manakala, d2[y(x,t)]/dt2 pula bermaksud kebezaan kedua ke atas pebolehubah masa, t]

Soalan
Manakah antara berikut bersifat gelombang?
[A, k dan b adalah pemalar, v adalah halaju]

a) y(x,t) = A cos[k(x-vt)]
b) y(x,t) = A Exp[-bx^2 -b(vt)^2]
c) y(x,t) = A Exp[-b(x-vt)^2].Sin[k(x+vt)]


Rajah 1: Ayunan terlembap juga memuas persamaan gelombang

Contoh Aplikasi Ayunan Terlembap
Penyerap kereta yang baik sewajar mempunyai pekali pelembap (b) mestilah mendekati nilai ayunan terlembap genting. Contoh mudah kereta mewah mempunyai penyerap yang baik, iaitu apabila kita melanggar lopak di jalan, dengan spontan ia langsung ke kedudukan equilibrium (terlembap genting). Manakala jika kereta sederhana adalah sebaliknya, malahan berayun turun-naik kereta kita kalau melanggar lopak (terlembap)

Sedar atau tidak sedar, jika kita menaiki kereta mewah untuk perjalanan jauh kita berasa kurang letih berbanding dengan dengan kereta sederhana.
Wallahu ta'ala a'lam

Isnin, 10 Oktober 2011

Sekadar berkongsi dan memberi Tutorial 1

Hari ini saya baru memberi Tutorial sebagai latihan sebelum mereka bercuti sempena cuti Depavalee, meskipun sudahpun minggu ke-5 kuliah. 9 soalan telahpun diberikan, sekadar berkongsi, antara soalan yang ajukan, seingat saya,

Kamu dan pasangan kamu telah diculik makhluk asing UFO, ketika kamu tersedar kamu dan pasangan kamu dapati telah berada di dalam sebuah bilik yang kecil dan tidak bertingkap. Apa yang ada di samping kamu, selain pakaian adalah seutas jam tangan digital, manakala pasangan kamu pula mempunyai sebentuk cincin yang diketahui beratnya dan seutas rantai leher.

Tentukan sama ada kamu berdua berada di atas muka bumi atau tak, atau kamu berada di planet lain.


Saja nak bagi depa (pelajar-pelajar saya) jadi MacGyver, mana tahu nanti mereka diculik makhluk asing dapatlah mereka mengenalpasti kedudukan mereka itu. Oh, mengenai McGuyver, saya terbaca profil Prof Sithi Vinayakam dari UM, beliau meminati fizik kerana suka menonton rancangan tv MacGyver yang menggunakan pengetahuan fiziknya untuk menyelamatkan keadaan (seperti James Bond).

Sedikit terkilan, kerana rancangan tv di Malaysia kurang menayangkan perkara-perkara yang sedemikian, yang banyak adalah drama hantu dan merempit, yang akhirnya generasi kita sudah mulai mendekati nasi kangkang, susuk, santau dan lain-lain (wal-iyya'udzubillah min dzaliik), tidak lupa, di jalanan juga kedengaran bunyi bingit motor berpeleseran.


Rajah 1: Mac Guyver

Khamis, 6 Oktober 2011

Di kala hati nan berkasar

Di kala hati nan berkasar
Menempuh hari-hari yang melumpuhkan
Memujuk hati
Berduka lara
Sinis sang dunia
Mengejek dari jauh
Tidak berdepan dan tidak berbelakang
Getus suara hati menjunjung keinginan
Rakus, lupa pula daratan
Nyaris terhijab akal yang waras

"Sabarlah wahai hati," pujuk sekelumit iman

Kilasan Masa Depan

Saya ambil sedutan ini daripada Youtube, siri FlashForward. Mengenai Tafsiran Alam Banyak Everett, saya rasa seronok menontonnya, kalau si lelaki tu dapat bertemu dengan si perempuan sesuatu ketika dulu, bermakna mereka sudah berkahwin sekarang. Klik FlashForward untuk ke pautan Youtube.
Ringkasan mengenai siri FlashForward boleh klik di sini.

---Selamat menonton---



Dulu ada disiarkan di saluran tv tak berbayar (almaklumlah saya tak ada Astro), sekarang tidak lagi.

----------------------------------------
Secara ringkasnya, Hugh Everett cuba menengahkan idea beliau dalam mekanik kuantum, tanpa melibatkan sebarang keruntuhan fungsi gelombang, berkebarangkalian dan tanpa menafikan kebergantungan pencerap, kerana kita sedia maklum bahawa pengukuran yang dilakukan ke atas sistem kuantum akan meruntuhkan keadaan yang lain (fungsi gelombang), seperti halnya dalam kes eksperimen minda iaitu Kucing Schrodinger, sebelum kotak itu dibuka kucing itu mengalami dua keadaan yang berbeza atau dengan kata lain, dua keadaan Mati dan Hidup mengalami Superposisi. Oleh itu pengukuran yang dilakukan (membuka kotak) itu akan meruntuhkan salah satu fungsi gelombang lain.

Sedikit berbeza dengan Tafsiran Copenhagen itu, Everett mengusulkan bahawa fungsi gelombang tidak runtuh bermaksud keadaan Mati dan Hidup itu wujud secara serentak, cuma hasil pengukuran kita itu pada alam yang lain, dan ini dikenali sebagai Alam Selari. Gambaran kasar boleh dilihat pada rajah dibawah.


Rajah 1: Kemungkinan di dalam alam selari


Coretan peribadi: Meskipun begitu, saya tidak lagi mengajar kursus mekanik kuantum, kerana kursus tersebut telah dimansuhkan untuk bakal graduan pendidikan sains. Akibatnya saya sudah beransur meninggalkan pembacaan mengenai mekanik kuantum, tidak seperti sebelum ini, saya ligat membaca bahan-bahan untuk kursus tersebut.

Apapun mungkin saya berada di dunia selari yang mana saya tidak lagi mengajar kursus mekanik kuantum. Saya mencemburui diri saya yang berada di dunia yang mengajar kursus mekani kuantum itu.
--- Wallahu ta'ala a'lam

Ahad, 2 Oktober 2011

Selingan

Semester ini saya ditugaskan untuk mengajar 17 jam kredit pengajaran. Meskipun 17jam kredit, nampak kecil bukan. Itu belum termasuk "masa persediaan", kerana masa persediaan jauh lebih banyak daripada masa pengajaran. Tambah-tambah lagi, kalau seseorang itu dibebankan dengan mengajar kursus baru dan yang mempunyai amali. Rutin lain perlu juga untuk disiapkan juga, terutamanya urusan pentadbiran, huhuhu....

Sekadar perkongsian, jumlah jam kredit pensyarah sewajarnya 12-15jam kredit, bergantung kepada pangkat, semakin tinggi pangkat seseorang, semakin kurang beban pengajarannya, kerana mereka lebih terarah kepada penerbitan, penyelidikan dan perundingan atau membantu penggubalan polisi universiti, setempat atau negara. Dan saya hanya pensyarah biasa sahaja, maka beban pengajaran sudah tentulah tinggi. Peratusan untuk kerja-kerja di atas adalah kurang.

Baru-baru ini, dunia fizik dihebohkan dengan penemuan superluminal oleh pakatan OPERA di Itali, mereka mendapati zarah neutrino muon bergerak lebih laju daripada laju cahaya. Ideanya sama dengan zarah Cherenkov, bezanya muon neutrino bergerak dalam udara persekitaran, tetapi Cherenkov pula bergerak dalam medium tertentu yang mempunyai ideks biasan lebih tinggi daripada udara persekitaran.

Apapun teoritis Andrew G. Cohen dan Sheldon L. Glashow, cuba berhujah bahawa tafsiran data daripada OPERA itu ada sedikit masalah dengan membandingkan data dengan Super-Kamiokande di Jepun. Apapun saya tak berani nak komen lebih-lebih, sebab memerlukan masa yang lama dan bersendirian untuk mentelaah dan mengomentar makalah tersebut. Malangnya masa saya agak kurang praktikal, meskipun saya ada sedikit senggang masa bersendirian dan lapang, tapi otak sedang memikirkan hal kerja dan mengajar, memang tak boleh. Huhuhu.... Petang ni, saya ada amali 2-5pm. Fuhh...

Saya lampirkan bersama makalah tersebut untuk tatapan tuan, sekiranya ada maklumat silalah berkongsi bersama. Selamat mentelaah. :-)

Makalah data daripada pakatan OPERA, klik di sini

Makalah Teoritis Cohen dan Glashow, klik di sini

Wallahu ta'ala a'lam