Ahad, 16 Januari 2011

Tahukah Anda

Tahukah anda, suami kepada Ummi Kalthum binti Ali radhiallahu'anhu (anak kepada Fatimah az-Zahra radhiallahu'anha) adalah Umar ibn al-Khattab radhiallahu'anhu.

Tahukah anda, Rasulullah salallahu'alaihi wassalam telah mengahwinkan puteri baginda, Ruqaiyah radhiallahu'anha dengan Uthman ibn Affan radhiallahu'anhu. Kemudian setelah Ruqaiyah radhiallahu'anha meninggal dunia, baginda sekali lagi mengahwinkan puteri baginda iaitu Ummi Kalthum radhiallahu'anha dengan Uthman ibn Affan radhiallahu'anhu.

Tahukah anda, datuk kepada Hafsa isteri kepada Hasan ibn Ali adalah Abu Bakar radhiallahu'anhu.

Tahukah anda, Ali radhiallahu 'anhu telah menamakan anak lelaki beliau dengan nama Abu Bakar radhiallahu'anhu.

Tahukah anda, Ali radhiallahu 'anhu telah menamakan anak lelaki beliau dengan nama Umar.

Tahukah anda, Ali radhiallahu 'anhu telah menamakan anak lelaki beliau dengan nama Abu Bakar.

Tahukah anda, Ali radhiallahu 'anhu telah menamakan anak lelaki beliau dengan nama Uthman.

Tahukah anda, Imam Ja'afar as-Saddiq rahimahullah telah menamakan anak perempuan beliau dengan nama Aishah.

Tahukah anda, Imam Musa al-Kazhim rahimahullah telah menamakan anak perempuan beliau dengan nama Aishah.

Tahukah anda, Imam Ali Redha telah menamakan anak perempuan beliau dengan nama Aishah.

Tahukah anda, sahabat-sahabat yang mencadangkan supaya Ali radhiallahu'anhu meminang Fathimah az-Zahra radhiallahu'anha adalah Abu Bakar dan Umar radhiallahu'anhuma.

Tahukah anda, sahabat-sahabat yang menjadi saksi kepada perkahwinan Ali radhiallahu'anhu dan Fathimah az-Zahra radhiallahu'anha adalah Abu Bakar, Umar, Uthman, Talhah dan Zubair radhiallahu'anhum.

Tahukah anda, sahabat yang menghadiahkan 400dirham kepada Ali radhiallahu'nhu sebagai mahar nikah adalah Uthman ibn Affan.
[Ali telah menjualkan perisai kepada Uthman dengan harga 400 dirham, kemudian wang itu dikembalikan kepada Ali dengan menyatakan itu sebagai hadiah]

Tahukah anda, sahabat yang mengurus penyediaan peralatan dan kelengkapan asasi rumah Ali radhiallahu'anhu dan Fathimah az-Zahra radhiallahu'anha adalah Abu Bakar radhiallahu'anhu.
[Rasulullah salallahu'alaihi wassalam telah memberikan wang kepada Abu Bakar dan berkata, "Wahai Abu Bakar, belilah dengan wang ini, apa yang anak perempuanku perlukan dalam rumahnya"]

Tahukah anda, nama kunyah Imam Ali Redza rahimahullah adalah Abu Bakar.
[Nama kunyah adalah nama gelaran yang dinisbahkan dengan nama "Abu" bagi lelaki atau "Ummul" bagi perempuan]

Tahukan anda, sahabat yang mencadangkan Shahrbanu binti Yazdgerd (III) dikahwinkan dengan Hussein bin Ali radhiallahu'anhu adalah Umar ibn al-Khattab radhiallahu'anhu dan anak hasil perkahwinan mereka berdua bernama Imam Ali Zain Al-Abidin rahimahullah.

[Shahrbanu binti Yazdgerd (III) adalah anak perempuan pemerintah terakhir kerajaan Parsi Majusi (sekarang ini dikenali sebagai Iran), selepas ditawan dan ditakluk oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab radhiallahu'anhu]

Tahukah anda, Imam Jaafar as-Saddiq rahimahullah berketurunan Abu Bakar radhiallahu'anhu melalui dua susur galur, iaitu daripada ibunya (Ummu Farwa binti Qassim ibn Muhammad ibn Abu Bakar) dan juga daripada ibu kepada ibunya (Asma' binti Abdurrahman ibn Abu Bakar)

Persoalan
Persoalan saya di sini ialah kenapa kita mesti meragui para sahabat ridhwanillahi 'alaihum ajma'in. Rasulullah salallahu'alaihi wassalam pernah bersabda bahawa segunung emas derma daripada kita sekalipun tidak akan sama dengan secupak infak dari mereka yakni para sahabat.

Wallahu ta'ala a'lam

Selasa, 11 Januari 2011

Emel Ridzira

Menerima emel daripada seorang bekas pelajar saya dan menegur saya melalui emel tersebut. Memberikan nasihat yang positif kepada saya. Saya gembira dengan teguran dan nasihat ikhlas beliau.

Tetapi ada beberapa perkara dalam emel tersebut saya cuba untuk memberikan sedikit komentar, tapi tak apa lah. Itu sudah baik bagi saya. Saya akan jadikan ia sebuah motivasi bagi saya.

Terima kasih dan insyaallah saya akan memperbaikinya. Barakallahu fiikum

Ahad, 9 Januari 2011

Kritikan Perubatan E=mc2=hf





Pendahuluan

Kita sering dipromosikan dengan barang atau instrumentasi perubatan yang dikaitkan dengan sains masa kini dan perubatan Islam. Barang atau instrumentasi itu ada juga dikaitkan dengan teori kerelatifan (relativity), kuantum dan termodinamik (aspek fizik), walhal jika diteliti kesahihan sainsnya tidak ada kena-mengena pun, malahan adalah sebaliknya. Begitu juga dengan omongan dengan mengaitkan barangan itu dengan perubatan Islam, padahal jika diteliti hadistnya dan nashnya, kita dapati hadistnya maudhu’ (palsu) dan tidak ada pun ada dalam hadist (mahupun dalam hadist maudhu’). Hal ini sangatlah kita tentang, kerana dalam hadist Shahih Muslim (kedudukannya hadist Mutawatir)

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.”
[Hadist ini diriwayatkan dengan banyak jalan (thuruk), oleh sebab itu kedudukannya Mutawatir] – Shahih Bukhari(no.109, kitab al-Ilm), Shahih Muslim (no.3 Muqaddimah), Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain.

Tulisan kali ini, ialah untuk mengkritik video You Tube bertajuk “PengenalanTeknologi ECPi” [1], secara ilmiah dan akademik. Kritikan-kritikan makalah ini akan lebih terarah kepada 1)plot-plot video, 2)maklumat sainsnya. Makalah ini juga melampirkan rujukan untuk tatapn ilmiah dan akademik pembaca. Semoga tulisan ini memperolehi kebaikan dan manfaat. Barakallahu fiikum.


Teori Kerelatifan Khas (Special Theory of Relativity)

Teori Kerelatifan Khas (atau TKK) adalah mengenai teori fizik yang berhubung dengan pengukuran pembolehubah fizik dalam rangka rujukan inersia. Rangka rujukan inersia atau dikenali sebagai rangka rujukan Galilean yang mematuhi Hukum Newtonian Pertama (mengenai inersia). Teori Kerelatifan Khas ini bermula dengan cubaan menyatukan Transformasi Galilean dengan Teori Kelektromagnetan Maxwell, tetapi pada mulanya ahli fizik mencadangkan Lumineferous Ether sesuatu medium yang membolehkan cahaya merambat melalui Lumineferous Ether itu yang memalarkan kelajuan cahaya (2.98x108m/s). Namun ujikaji Michelson-Morley telah mengesahkan bahawa Ether itu tidak wujud. Oleh itu pengubahsuaian Galilean transformasi dilakukan dengan dua postulat Einstein yang terkenal iaitu;

1) Kemalaran laju cahaya dalam vakum adalah sama pada semua rangka rujukan
2) Hukum fizik adalah invarian pada semua rangka rujukan

[Nota: rangka rujukan yang berhalaju malar dan static sahaja, manakala dalam kes gravity atau pecutan, ia dikenali sebagai Teori Kerelatifan Am]

Daripada dua postulat itu telah mencetuskan revolusi kepada dunia fizik moden terutamanya. Antara topic-topik yang diperbincangkan dalam TKK ini ialah; ketidak mutlak masa, keserentakan, pengecutan panjang, dilasi masa, Transformasi Lorentz (halaju, masa dan jarak), putaran kon ruang masa, keabadian momentum-energy, tenaga rehat, dan kerelatifan tenaga.

Tetapi antara topic yang selalu menjadi slogan orang-orang fizik dan ia juga terlakar di atas baju-baju persatuan fizik university, iaitu E=mc2. Daripada rumus inilah kita mampu untuk mencipta bom atom (dan meletupkan Hiroshima dan Nagasaki), yang mana ia menghubungkan jisim dan tenaga dalam satu persamaan melalui hasil darab pemalar laju cahaya kuasa dua. Rumus ini diterbitkan melalui Hukum Keabadian Momentum yang tekal dengan Teori Kerelatifan Khas. [2]


Teori Kuantum

Kuantum datang daripada perkata “quanta” (daripada perkataan Jerman) bermaksud diskrit. Teori Kuantum ini bermula melalui usaha untuk menyelesaikan masalah Jasad Hitam yang membingungkan, meskipun Sir Rayleigh dan Sir Jeans menyelesaikannya melalui pendekatan mekanik statistic, namun ia hanya penjelasan untuk panjang gelombang yang besar, tetapi tidak untuk panjang kecil (berlakunya Petaka Ultralembayung). Oleh itu Max Planck datang untuk menyelesaikan melalui konsep “diskrit” iaitu tenaga resonatornya yang dipancarkan itu berbentuk diskrit (dikenali sebagai foton) yang dihubungkan dengan satu pemalar, iaitu E=nhf, n=1,2,3,…. (yang mana “n” adalah nombor integer menunjukkan keadaaan yang diskrit).

Pendekatan diskrit itu menggemparkan komuniti fizik ketika itu kerana ianya mencabuli akidah fizik ketika itu, iaitu keselanjaran. Persamaan yang diterbitkan beliau dikenali sebagai Sinaran Jasadhitam Planck. Natijah daripada penemuan itu, timbullah konsep kedualan zarah-gelombang yang digunakan untuk menyelesaikan masalah fotoelektrik (hf = 1/2mv^2 + W), spectrum garisan atom hydrogen dan panjang gelombang de Broglie.


Minit-minit video

Minit 1.10
Video itu memaklumkan bahawa E=hf itu sememangngya bermula daripada Ibnu Sina, saya tak pasti mengenai itu, tetapi rumus dan konsep itu diterbitkan pada awal abad 19. Video memaklumkan perubatan elektronik itu dikaitkan dengan E=mc2=hf, adalah bertepatan jika video tersebut menyatakan teknologi perubatan tenaga. (Kita sedia maklum bahawa elektronik adalah mengenai litar yang mengaruskan arus, mengenai rintangan dan voltan)

Minit 2.27
Video itu membuat kronologi penemuan Samuel Hahnemann, kemudiannya Max Planck. Tahukah anda, Hahnemann adalah seorang ahli perubatan (physician) homeopathy [3] manakala Planck pula adalah ahli fizik (physicist) [4]. Ya, memang Hahnemann pemula Hukum Kesamaan (Law of Similarity) yang menjadi asas kepada perubatan Homepathy [5]. Agak sukar untuk menerima kronologi ini, kerana Planck membina teorinya tanpa melibatkan sebarang aspek perubatan dalam pembinaan teorinya (E=nhf)

Minit 2.36
Video ini memaklumkan bahawa pada tahun 1918 Max Planck telah menemui teori kuantum. Untuk makluman pembaca pada tahun itu, beliau menerima Hadiah Nobel [6]dan teorinya itu diterbitkan pada 1900.

Imej yang digunakan dalam video ini pada minit tersebut yang cuba menunjukkan karya Planck itu adalah Kesan Fotoelektrik (graf tenaga kinetik maksimum lawan frekuensi), padahal ia adalah penemuan Einstein pada tahun 1905 (penjajaran imej video tidak bertepatan dengan maklumat yang disampaikan).

Minit 2.55
Video ini menyebut,

“Pada tahun 1920, Albert Einstein membuktikan bahawa tenaga foton berkadar langsung dengan frekuensinya dan setiap benda mempunyai sifat zarahnya dan sifat gelombangnya atau E=mc2”

Kenyataan ini, “….tenaga foton berkadar langsung dengan frekuensinya…” sepatutnya E symbol berkadar langsung f, atau E=hf. Tetapi jika ianya disebut tenaga berkadar langsung dengan jisim, maka bolehlah disebut akan hubungan ini E=mc2.

Kenyataan ”….setiap benda mempunyai sifat zarahnya dan sifat gelombangnya ….”. Persamaan yang selayaknya bagi kenyataan itu adalah E=hf, atau 1/2mv^2+V=hf, atau p=h/λ.

Minit 4.30
Profesor Dr. Amir Hamzah menerangkan mengenai seolah ‘wave-particle duality’ sesuatu yang baru. Saya meragui perkataan beliau ini, “…hukum ‘wave’ dan ‘particle’ ini berada dalam keseimbangan, kesamaan ataupun wave-particle duality…” Apakah yang dimaksudkan dengan stability (keseimbangan) pada zarah dan gelombang, kerana kedualan zara-gelombang adalah satu postulat jirim memperlihatkan ciri-ciri zarah dan juga ciri-ciri gelombang, bukannya kestabilan ciri-ciri itu.

“…memisahkan manusia dan mencantumkan semula dari segi jasad-gelombang atau jasad-roh…” Saya belum menemukan lagi teknologi sedemikian (seolah-olah teknologi tersebut seperti dalam cerita mitos atau bunyinya macam cerita dongeng). Profesor tersebut cuba mentakrifkan bahawa “roh adalah bersifat gelombang”, ketahuilah bahawa roh itu adalah urusan Allah ‘Azawajalla, kecuali sedikit pengetahuan yang diberikan kepada kita. Ini bersesuaian dengan ayat al-Quran ini;

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit."
[al-Isra’ ayat 85]

Maka tiada dalil al-Quransecara qath’ie menyatakan bahawa roh adalah gelombang. Maka konsep yang cuba dinyatakan oleh beliau itu adalah salah.


Profesor Dr. Sir Amir Hamzah Bin Abdul Hamid

Saya tidak mengenali beliau dalam arena fizik dan matematik di Malaysia, kerana jika beliau berada di arena tersebut, pastilah artikel akademik beliau menjadi sebutan orang-orang fizik dan matematik di Malaysia. Seterusnya saya mencari nama beliau didalam www.sciencedirect.com untuk mendapatkan artikel beliau, tetapi tidak ditemui pun. Saya hanya menemui nama beliau dalam laman sesawang mengenai Teknologi ECPi dan Perubatan Elektronik sahaja (beliau mendapat gelaran Emeritus Profesor Dr. Sir Hj. dalam sesawang ini [7])

“Profesor” adalah jawatan akademik yang mengajar di university dan institute pengajian tinggi di Malaysia (kerana kita mengikut system UK). Oleh sebab itulah, seorang professor yang bersara, tidak lagi dikenali dengan panggilan professor kerana beliau tidak lagi menjawat jawatan Profesor di university. Manakala penyelidik dan ahli akademik di Institut Penyelidikan, tidak menerima gelaran “professor” meskipun mereka pakar dalam sesuatu bidang, Itulah kelebihan ahli akademik university. Saya tak pasti beliau seorang ahli akademik university atau tak.


Kritikan Teori E=mc2=hf

Dalam persamaan tersebut, beliau cuba untuk menghubungkan E=hf dan E=mc2. Untuk makluman pembaca sekalian, kedua-dua tenaga tersebut adalah sangat berbeza dari segi tarifan dan konsepnya, iaitu E=mc2 adalah mengenai tenaga rehat sesuatu jisim itu, manakala E=hf adalah tenaga foton.
Perkara kedua,

mc2=hf
mc=hf/c ; c/f= 1/λ

akan membentuk ini, mc=h/ λ

Kita tahu bahawa panjang gelombang de-Broglie adalah p=h/ λ atau mv=h/ λ. Persoalannya adalah apakah natijah fizikalnya akan persamaan ini, mc=h/ λ? Seolah-olah persamaan de Broglie itu dihubungkan dengan pemalar, walhal λ adalah pembolehubah! Tapi saya sedia maklum akan persamaan ini, h/mc= λ dan dikenali sebagai λ_Compton=h/mc

Seterusnya kita akan membincangkan bahawa E=mc2 dan E=hf adalah satu perkara yang sangat berbeza. Persamaannya bermula dengan persamaan keabadian-momentum seperti berikut;

E^2=p^2.c^2 + m^2.c^4

Daripada persamaan tersebut, kita akan membincangkan dua kes iaitu; kes tak berjisim (massless) dan kes pegun.

Kes Tak Berjisim, memberikan implikasi m=0, maka persamaan tersebut akan diturunkan kepada;

E^2=p^2.c^2 ; dipuncakuasaduakan maka; E=p.c

Kes tak berjisim hanya dipatuhi untuk zarah-zarah tak berjisim seperti foton. Maka kes ini adalah kes foton (tak berjisim) gantikan momentum, p tersebut dengan panjang gelombang de Broglie, p=h / λ, maka persamaan tersebut menjadi;

E=p.c = (h / λ).c = h.(c / λ) ; yang mana c/ λ = f
E = hf


Kes Pegun pula, mengimplikasikan bahawa p0 kerana zarah tersebut tidak mengalami pergerakan v=0. Maka persamaan tersebut akan menjadi;


E^2= 0 + m^2.c^4 ; dipuncakuasaduakan
E=mc^2

Tenaga yang diterbitkan itu dikenali sebagai tenaga rehat jasad itu yang dihubungkan dengan jisim jasad.

Oleh itu, kita telahpun membuktikan bahawa E=mc2 dan E=hf adalah dua tenaga yang berbeza dan tak boleh dihubungkan antara satu sama lain, kerana konsep dan takrifannya berbeza (kes berlainan). Maka E=hf=mc2 adalah SALAH.


Refleksi Diri

Tulisan makalah ini adalah untuk mengkritik teknologi ECPi yang diragui akan kesahan fiziknya sahaja tidak lebih daripada itu. Saya sekadar mengkritik apa yang terpamer dan pengetahuan fizik yang sedia ada, sebarang kritikan peribadi atau memburukkan syarikat, saya ketepikan dalam makalah ini, kerana itu pendirian saya iaitu melakukan takzir (membetulkan kesalahan) tetapi tidak melakukan ghibah (mengumpat yang memburukkan seseorang). Jika dibawakan artikel akademik yang boleh mengesahkan teknologi itu, dengan nama Allah saya akan menarik balik artikel ini.


Kesimpulan

Perbincangan menjurus kepada minit-minit video dan maklumat fizik yang diketengahakan telahpun dibincangkan dan dikritik. Dengan apa yang tertulis, saya serahkan penilaian itu kepada pembaca itu sendiri. Semoga artikel ini peroleh manfaat dan kebaikan. Wallahu ta'ala a'lam.


Penghargaan (Acknowledgement)
Terima kasih kepada Encik Shahrul Kadri kerana memotivasikan saya untuk menulis kritikan ini.


Rujukan
[1] pengenalan teknologi ecpi1.mpg. http://www.youtube.com/watch?v=RbdbQrHP2jM&feature=related klik di sini
[2] Buku Fizik Moden. Cadangan: Serway, R.A. 1996. Physics for Scientist & Engineers with Modern Physics, 4th Ed. Saunders College Publishing, Philadelphia
[3] Samuel Hahnemann. http://en.wikipedia.org/wiki/Samuel_Hahnemann klik di sini
[4] Max Planck. http://en.wikipedia.org/wiki/Max_Planck klik di sini
[5] Homeopathy's "Law of Similars". http://www.homeowatch.org/basic/similars.html klik di sini
[6] Nobelprize.org. http://nobelprize.org/nobel_prizes/physics/laureates/1918/ klik di sini
[7] Klinik Rawatan. http://nasiroh.blogspot.com/2009/01/ibupejabat-dan-klinik-perubatan.html klik di sini

Sabtu, 1 Januari 2011

Fizik vs Metafizik

Ketika saya terlibat dengan satu pameran penyelidikan anjuran universiti untuk mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi setiap pnyelidik. Pada masa yang sama terdapat juga peniaga (atau jurujual) yang memperagakan barangan niaga mereka. Antara barang-barang niaga mereka (yang saya masih ingat); minyak biodisel, enjin yang jimat petrol, dan yang saya tak boleh terima ialah, batu gunung berapi.

Ketika....
Ketika jurujual itu sibuk mempromosikan barang-barang seperti itu (pada pendapat saya, itu sebagai kurafat), saya dan Dr. Abdul Rahman Omar (atau dikenali sebagai Prof ARO dikalangan peljar-pelajar) pergi bertandang di "booth" itu untuk melihat apa yang dipamerkan itu, tatkala jurujual itu sibuk bercakap dan mempromosi batu jed itu, tiba-tiba beliau bercerita mengenai aura jed yang mana beliau cuba menghubungkan dengan konsep penerowongan (salah satu konsep dalam mekanik kuantum) dan beliau juga ada menyebut tentang "Mekanik Kuantum" ke atas barang-barangnya itu. [Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang Mekanik Kuantum, tak ada kena-mengenapun dengan barang jed itupun]

Kemudian Prof ARO (yang juga pengajar Mekanik Kuantum) melihat saya (saya juga dikenali sebagai ARO Junior dikalangan pelajar-pelajar saya) dan saya melihat beliau sambil saya tersenyum, kata Prof Aro dengan sinis kepada saya (seingat saya), "Betul ka tidak..." Kemudian berkata dalam hati saya, jurujual itu tak sedarkah bahawa beliau sedang mempromosi barangan itu di kalangan golongan profesional dan akademik.

Jurujual itu juga mempromosikan batu gunung berapi itu mempunyai magnet yang sangat tinggi, tatkala daripada itu kawan saya (pensyarah fizik elektromagnetik dan elektronik) mengambil batu itu dan menghitung dengan alat pengukur magnet, dan didapati (hahaha.... minta maaf saya tergelak) bahawa nilai Tesla (unit untuk magnet) sangat kecil dan beloh dipertimbangkan bahawa nilai itu adalah hingar (noise) daripada persekitaran, dengan kata lain batu itu tiadapun magnet.

Jurujual itu juga menunjukkan bukti akan kekuatan batu itu, dengan mengambil salah seorang pengnjung disekitar itu untuk berdiri sebelah kaki, didepakan tangan dan jurujual itu menekan tangan supaya ia jatuh. Untuk membuat perbandingan itu, jurujual itu menyuruh melakukan perkara sama dengan memegang batu itu, dan jurujual itu menekan tangan pengunjung itu dengan niat untuk menunjukkan batu itu menyebabkan badan pengunjung itu seimbang. Sebenarnya yang berlaku disitu adalah kekuatan psikologi pengunjung itu, bukannya kekuatan batu itu. Saya juga pernah bereksperimentasi akan situasi itu, saya dapati tidak berlaku perubahan pun dengan batu kawan saya(hahahah....)


Kedudukan kita?
Saya juga mencari artikel-artikel atau laman-laman sesawang mengenai penemuan atau bukti mengesahkan batu itu. :-)
Jika tiada, saya akan menakrifkan bahawa batu gunung berapi itu adalah azimat, tangkal atau tamimah. Maka hukumnya Syirik, wajib bertaubat. Berdasarkan hadist ini;

"Sesungguhnya Ruqyah, Tamimah dan Tiwalah adalah syirik."
(HR. Ahmad dan Abu Dawud)

TAMIMAH adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak untuk menangkal dan menolak penyakit 'ain. Jika yang dikalungkan itu berasal dari ayat-ayat Al Qur'an, sebahagian ulama salaf memberikan keringanan dalam hal ini; dan sebahagian yang lain tidak memperbolehkan dan melarangnya, diantaranya Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu.

RUQYAH yang disebut juga dengan istilah Ajimat. Ini diperbolehkan apabila penggunaannya bersih dari hal hal syirik, kerana Rasulullah s.a.w. telah memberikan keringanan dalam hal ruqyah ini untuk mengubati 'ain atau sengatan kalajengking.

TIWALAH adalah sesuatu yang dibuat dengan anggapan bahawa hal tersebut dapat menjadikan seorang isteri mencintai suaminya, atau seorang suami mencintai isterinya.

Begitu juga dengan hadist ini;
"Sesiapa yang menggantung tamimah (tangkal dari permata) , maka Allah tidak akan menyempurnakannya (akan hajatnya), sesiapa yang menggantung wad'ah (tangkal berupa kulit-kulit kerang dari laut), maka Allah tidak memberi keamanan baginya"
[HR Imam Ahmad dalam al Musnad]


Konsepnya mudah!
Jika ada penemuan fizik dan perubatannya, maka ia adalah harus.
Jika tiada penemuan fizik dan perubatannya (malahan berdusta di atasnya, seperti dalam kisah di atas), maka ia adalah SYIRIK.
Wajib bertaubat!



Kesimpulan

1) Agak menghampakan kerana penganjur membenarkan "pameran penyelidikan dan inovasi" itu dicemari dengan perniagaan seperti itu. :-)
2) Banyak lagi pengunjungnya daripada pengunjung ke pameran (atau booth) penyelidikan dan iniovasi (tujuan utama pengnjuran), ini menunjukkan minda dan budaya masyarakat kita yang masih percaya kepada perkara sebegini. [Ada juga ahli akademik berstatus Profesor Kimia yang disegani memiliki dan memakai batu gunung berapi, hairan saya....]
3) Bersyukurlah kerana Allah subhana wata'ala memberikan bashirah dengan ilmu agama dan ilmu sains dan berjalan di atasnya. Alhamdulillah.

Gambar-gambarnya


Besar telapak tangan


Pelbagai bentuk dan corak untuk dipakai

Gen-Q

Gen-Q atau Generasi al-Quran, merupakan satu program cuti sekolah untuk pelajar-pelajar berumur 10-15tahun terlibat. Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai Sains dan al-Quran, manakala saya ditugaskan untuk memberikan pendedahan mengenai ayat al-Quran berkaitan dengan ayat fizik. Saya ditugaskan pada 20-21 Disember 2010 (Isnin / Selasa).

Ayat diperbincangkan adalah mengenai peredaran objek-objek samawi (astronomi) dan ayat-ayat prinsip Bernoulli. Aktiviti-aktiviti yang saya sediakan sudah tentulah agak-agak kebudak-budakan (hahaha....) sebab pelajar-pelajarnya adalah budak-budak pra-mumaiyiz. Antaranya ialah; Membuat payung terjun (hehehe....), menonton video Starry Night, mencerap matahari, menonton fasa-fasa bulan dan saya juga menyediakan selingan tafsir, tajwid dan istinbat dalil-dali dari al-Quran.



Pengalaman: Saya rasa agak penat kerana mengawal karenah kanak-kanak, adakalanya juga bimbang sebab mereka asyik berlari-lari takut terjatuh nanti. Memang mencabar mengajar kanak-kanak terutamanya kandungan penyampaian (fizik) agak berat untuk mereka hadam dan terima.

Saya berharap mereka akan menjadi al-Khawarizmi dan Ibnu Sina kelak, tanpa mengetepikan kaedah-kaedah penerbitan dalil-dalil yang haq dari al-Quran dan Sunnah.

Jazakumullah khairan katisrah