Ahad, 21 Ogos 2011

Higgs dan Higgsino Beriftar

Entri kali ini, adalah mengenai perjalanan saya ke Lembah Pertengahan (atau diInggeriskan Mid Valley) untuk satu temujanji bersama rakan-rakan beraliran sama, iaitu sudah tentu mengenai "zarah" tak kisahlah sama ada penerokaan fundamentalnya (teori) atau mendatangkan bukti empiriknya (ujikaji) atau pertengahan di antara kedua-duanya, iaitu menemui bukti empiriknya atas khayalan yang mematuhi fundamental atau bahasa mudah "fenomenologi".


Rajah 1: Tingkap dan bas

Petang pertemuan itu (Sabtu, 20hb Ogos) hujan dan kelihatan langsung lebat, sedangkan saya Penanjung Malim (ringkasan kepada penduduk Tanjung Malim) menanti redanya sang hujan. Alhamdulillah tepat pukul 5.50pm, langit kawasan bersempadan itu menunjukkan tanda-tanda mahu gerimis, lantas saya mengambil kesempatan ini langsung mencapai Elsi saya bergerak ke perhentian bas utama sekitar pekan.

Parkir tunggangan saya dan menguncinya, membeli tiket dan bergerak ke destinasi pertama iaitu Kuala Lumpur dengan bahtera yang sekarang dikenali sebagai bas, berjenama SKS.


Rajah 2: Tak ramai penumpang

Tiba ke KL hampir pukul 7pm, saya ke Setesen Komuuter KL menaiki tren langsung ke Pertengahan Lembah itu tanpa sebarang pertukaran tren yang lain (transit). Tidak sempat, berbuka bersama, saya berbuka di stesen tersebut. Jadual mengatakan komuter akan tiba pukul 7.39pm, tapi ia tiba lebih sedikit, apapun saya bersyukur.

Di kompleks Lembah Pertengahan, saya menerima pesanan ringkas daripada ahli iftar, supaya bersolat terlebih dahulu di aras paling bawah berdekatan dengan Jusco. Umat Islam ramai berkerumun untuk menunaikan solat Maghrib, saya rasa seronok melihat umat Islam tidak lupa tanggungjawab masing-masing disamping bersosial dan membeli belah di kompleks tersebut.


Rajah 3: Kelihatan seperti Imran sedang berbicara sesuatu, ketika itu saya pergi mencari juadah berbuka.

Selesai solat, saya lantas ke perkarangan hadapan KFC, seperti yang dipersetujui pada awalnya, bertemu dan bersalaman dan ahli-ahlinya, Muin, Shaik dan Imran. Kami ke aras empat aras untuk Medan Selera (atau diInggeriskan Foodcourt), pada mulanya mahu ke Pizza Hut atau McDonald, memandangkan keadaannya agak sesak, jadi tukar perancangan.


Rajah 4:Umat Nabi Muhammad salallahu'alaihi salam sedang mengimarah surau Mid Valley

Mengambil makanan dan bersembang agak lama jugalah, mendengar cerita daripada Imran, telatah Shaik dengan istilah barunya "nerdity factor", Muin yang "cool" dan saya menjamah makanan sambil mendengar perbualannya. Jika difikirkan kami umpama bergosip, ada saja cerita kami bentangkan. Lampu di medan selera, sekejap menyala, sekejap padam seolah-olah memberi isyarat kepada kami, "Baliklah bang... Dah lewat ni, kami pun dah mengantuk ni...".


Rajah 5: Dari kiri UPM, dan MMU

Jam di tangan kanan menunjukkan lebih pukul 9.30pm, pekedai juga turut menyimpan peralatan masing-masing, maka kami pun mahu, tambahan pula saya risau terlepas bas atau tren, tetapi saya tiba ke KL Sentral pukul 10pm menandakan tren komuter dari Rawang ke Tanjung Malim sudah lewat (meskipun komuter KL Sentral-Rawang ada). Jadi saya mengambil alternatif lain, iaitu bas, saya mencapai tren LRT ke Pasar Seni, sekali lagi saya terlewat bas untuk pukul 10.30pm, berlari ke Puduraya juga hal yang sama turut berlaku.


Rajah 6: Muin dan simbol 'peace' beliau

Jadi, nak tak nak, saya terpaksa bermalam di situ juga, menanti fajar seterusnya menjelang dan bas akan beroperasi kembali. Saya menyewa di hotel tanpa nama, apa yang terpapar di situ ialah "For bagpackers", menyewa untuk satu malam RM30. Biliknya umpama bilik seperti polis buat serbuan ke premis pendatang asing yang selalu kita tonton dalam televisyen. Katilnya pula, memang serupa, memandangkan badan mulai letih, layan sajalah.

Meskipun bulan ini ramadhan, kedengaran dari tingkat bawah muzik dan bunyi bising seperti tidak bulan umat Islam, memanglah di bawah itu ada premis untuk warga asing berhibur dan mabuk-mabuk iaitu Reggae Bar. Semoga malam ini, tidak diturungkan bala ke atas hotel saya tidur itu nanti.

Pukul 12.04pm keesokan harinya saya bertolak ke Tanjung Malim dengan bas SKS sekali lagi, dan alhamdulillah saya selamat begitu juga dengan tunggangan saya meskipun ditinggal semalaman (memberi peluang kepada pencuri motorsikal, lagipula Elsi135 memang hangat dipasaran gelap permotoran), fuhh....


Apapun banyak pengalaman dan keakraban yang terjalin, selebihnya wallahu ta'ala a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan