Rabu, 15 Januari 2014

Tentang Fizik Tak Komutan

Ya, sekali lagi tentang tak komutan. Saya mulai tertarik dengan fenomena fizik tak komutan ini, apabila idea tak komutan ini juga berada sebaris dengan idea-idea yang lain, seperti adisimetri (supersimetri), matra lebihan (extra dimension) dan teori tetali, iaitu zarah tidak lag titik (0-dimensi) tetapi teori tangsi/string (1-dimensi, malah lanjut kepada bran, p-dimensi). Kemudian, idea adisimetri mulai ditinggalkan apabila PHG (Pelanggar Hadron Gergasi, LHC) tidak menemui sebarang isyarat tidak langsung (indirect signal) mengenai kesahan idea tersebut (kewujudan adizarah), malahan ahli fizik juga berkira-kira untuk meninggalkan idea tersebut. Begitu juga halnya dengan idea matra lebihan, ini kerana PHG mengesahkan tiada kewujudan mikro lohong hitam (micro-blackhole) berlaku dalam pelanggar TeV (daripada pelanggaran proton-anti proton dalam PHG) seperti yang dicadangkan oleh ahli fizik terutamanya, Nima-Arkani Hamed. Manakala teori tetali/tangsi, lagilah jauh ketinggalan untuk kita mengesahkannya, kerana ia fenomena skala Planck 10^-33m.

Hmmm.... Yang tinggal kepada kita ialah fizik tak-komutan. Tapi bagi saya idea tersebut hanya bermain dengan dua matra sahaja iaitu x dan y. Kita sedia maklum komutator [x,y] = xy - yx =0, TETAPI tidak pula berlaku apabila kita mempertimbangkan pada fizik tak komutan.

Untuk makluman pembaca, teori medan kuantum mengalami masalah, iaitu berlaku pengembangan (matematik) yang agak luar biasa. Oleh itu beberapa idea telah dicadangkan antaranya adisimetri dan berjaya menyelesaikan masalah tersebut. Disamping itu juga, idea  kordinat ruang masa tak komutan yang dilakukan oleh Synder pada tahung 1920 telah berjaya, malah memuaskan keinvarian Lorentz meskipun kordinatnya tidak lagi komut. Tetapi idea ini tidak berapa terkenal seperti idea yang lain.

Idea fizik tak komutan merupakan salah satu kaedah penguantuman disamping penguantuman geometrik atau kanonikal, idea ini kita panggil sebagai "Penguantuman Deformasi" (deformation quantization). Wallahu a'lam

---Tak sabar nak pi UPM, bertemu Prof Ali Twareque, PM Dr Hishamuddin, Puan Nurisya dan Hazazi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan