Ahad, 9 Januari 2011

Kritikan Perubatan E=mc2=hf

video



Pendahuluan

Kita sering dipromosikan dengan barang atau instrumentasi perubatan yang dikaitkan dengan sains masa kini dan perubatan Islam. Barang atau instrumentasi itu ada juga dikaitkan dengan teori kerelatifan (relativity), kuantum dan termodinamik (aspek fizik), walhal jika diteliti kesahihan sainsnya tidak ada kena-mengena pun, malahan adalah sebaliknya. Begitu juga dengan omongan dengan mengaitkan barangan itu dengan perubatan Islam, padahal jika diteliti hadistnya dan nashnya, kita dapati hadistnya maudhu’ (palsu) dan tidak ada pun ada dalam hadist (mahupun dalam hadist maudhu’). Hal ini sangatlah kita tentang, kerana dalam hadist Shahih Muslim (kedudukannya hadist Mutawatir)

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.”
[Hadist ini diriwayatkan dengan banyak jalan (thuruk), oleh sebab itu kedudukannya Mutawatir] – Shahih Bukhari(no.109, kitab al-Ilm), Shahih Muslim (no.3 Muqaddimah), Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain.

Tulisan kali ini, ialah untuk mengkritik video You Tube bertajuk “PengenalanTeknologi ECPi” [1], secara ilmiah dan akademik. Kritikan-kritikan makalah ini akan lebih terarah kepada 1)plot-plot video, 2)maklumat sainsnya. Makalah ini juga melampirkan rujukan untuk tatapn ilmiah dan akademik pembaca. Semoga tulisan ini memperolehi kebaikan dan manfaat. Barakallahu fiikum.


Teori Kerelatifan Khas (Special Theory of Relativity)

Teori Kerelatifan Khas (atau TKK) adalah mengenai teori fizik yang berhubung dengan pengukuran pembolehubah fizik dalam rangka rujukan inersia. Rangka rujukan inersia atau dikenali sebagai rangka rujukan Galilean yang mematuhi Hukum Newtonian Pertama (mengenai inersia). Teori Kerelatifan Khas ini bermula dengan cubaan menyatukan Transformasi Galilean dengan Teori Kelektromagnetan Maxwell, tetapi pada mulanya ahli fizik mencadangkan Lumineferous Ether sesuatu medium yang membolehkan cahaya merambat melalui Lumineferous Ether itu yang memalarkan kelajuan cahaya (2.98x108m/s). Namun ujikaji Michelson-Morley telah mengesahkan bahawa Ether itu tidak wujud. Oleh itu pengubahsuaian Galilean transformasi dilakukan dengan dua postulat Einstein yang terkenal iaitu;

1) Kemalaran laju cahaya dalam vakum adalah sama pada semua rangka rujukan
2) Hukum fizik adalah invarian pada semua rangka rujukan

[Nota: rangka rujukan yang berhalaju malar dan static sahaja, manakala dalam kes gravity atau pecutan, ia dikenali sebagai Teori Kerelatifan Am]

Daripada dua postulat itu telah mencetuskan revolusi kepada dunia fizik moden terutamanya. Antara topic-topik yang diperbincangkan dalam TKK ini ialah; ketidak mutlak masa, keserentakan, pengecutan panjang, dilasi masa, Transformasi Lorentz (halaju, masa dan jarak), putaran kon ruang masa, keabadian momentum-energy, tenaga rehat, dan kerelatifan tenaga.

Tetapi antara topic yang selalu menjadi slogan orang-orang fizik dan ia juga terlakar di atas baju-baju persatuan fizik university, iaitu E=mc2. Daripada rumus inilah kita mampu untuk mencipta bom atom (dan meletupkan Hiroshima dan Nagasaki), yang mana ia menghubungkan jisim dan tenaga dalam satu persamaan melalui hasil darab pemalar laju cahaya kuasa dua. Rumus ini diterbitkan melalui Hukum Keabadian Momentum yang tekal dengan Teori Kerelatifan Khas. [2]


Teori Kuantum

Kuantum datang daripada perkata “quanta” (daripada perkataan Jerman) bermaksud diskrit. Teori Kuantum ini bermula melalui usaha untuk menyelesaikan masalah Jasad Hitam yang membingungkan, meskipun Sir Rayleigh dan Sir Jeans menyelesaikannya melalui pendekatan mekanik statistic, namun ia hanya penjelasan untuk panjang gelombang yang besar, tetapi tidak untuk panjang kecil (berlakunya Petaka Ultralembayung). Oleh itu Max Planck datang untuk menyelesaikan melalui konsep “diskrit” iaitu tenaga resonatornya yang dipancarkan itu berbentuk diskrit (dikenali sebagai foton) yang dihubungkan dengan satu pemalar, iaitu E=nhf, n=1,2,3,…. (yang mana “n” adalah nombor integer menunjukkan keadaaan yang diskrit).

Pendekatan diskrit itu menggemparkan komuniti fizik ketika itu kerana ianya mencabuli akidah fizik ketika itu, iaitu keselanjaran. Persamaan yang diterbitkan beliau dikenali sebagai Sinaran Jasadhitam Planck. Natijah daripada penemuan itu, timbullah konsep kedualan zarah-gelombang yang digunakan untuk menyelesaikan masalah fotoelektrik (hf = 1/2mv^2 + W), spectrum garisan atom hydrogen dan panjang gelombang de Broglie.


Minit-minit video

Minit 1.10
Video itu memaklumkan bahawa E=hf itu sememangngya bermula daripada Ibnu Sina, saya tak pasti mengenai itu, tetapi rumus dan konsep itu diterbitkan pada awal abad 19. Video memaklumkan perubatan elektronik itu dikaitkan dengan E=mc2=hf, adalah bertepatan jika video tersebut menyatakan teknologi perubatan tenaga. (Kita sedia maklum bahawa elektronik adalah mengenai litar yang mengaruskan arus, mengenai rintangan dan voltan)

Minit 2.27
Video itu membuat kronologi penemuan Samuel Hahnemann, kemudiannya Max Planck. Tahukah anda, Hahnemann adalah seorang ahli perubatan (physician) homeopathy [3] manakala Planck pula adalah ahli fizik (physicist) [4]. Ya, memang Hahnemann pemula Hukum Kesamaan (Law of Similarity) yang menjadi asas kepada perubatan Homepathy [5]. Agak sukar untuk menerima kronologi ini, kerana Planck membina teorinya tanpa melibatkan sebarang aspek perubatan dalam pembinaan teorinya (E=nhf)

Minit 2.36
Video ini memaklumkan bahawa pada tahun 1918 Max Planck telah menemui teori kuantum. Untuk makluman pembaca pada tahun itu, beliau menerima Hadiah Nobel [6]dan teorinya itu diterbitkan pada 1900.

Imej yang digunakan dalam video ini pada minit tersebut yang cuba menunjukkan karya Planck itu adalah Kesan Fotoelektrik (graf tenaga kinetik maksimum lawan frekuensi), padahal ia adalah penemuan Einstein pada tahun 1905 (penjajaran imej video tidak bertepatan dengan maklumat yang disampaikan).

Minit 2.55
Video ini menyebut,

“Pada tahun 1920, Albert Einstein membuktikan bahawa tenaga foton berkadar langsung dengan frekuensinya dan setiap benda mempunyai sifat zarahnya dan sifat gelombangnya atau E=mc2”

Kenyataan ini, “….tenaga foton berkadar langsung dengan frekuensinya…” sepatutnya E symbol berkadar langsung f, atau E=hf. Tetapi jika ianya disebut tenaga berkadar langsung dengan jisim, maka bolehlah disebut akan hubungan ini E=mc2.

Kenyataan ”….setiap benda mempunyai sifat zarahnya dan sifat gelombangnya ….”. Persamaan yang selayaknya bagi kenyataan itu adalah E=hf, atau 1/2mv^2+V=hf, atau p=h/λ.

Minit 4.30
Profesor Dr. Amir Hamzah menerangkan mengenai seolah ‘wave-particle duality’ sesuatu yang baru. Saya meragui perkataan beliau ini, “…hukum ‘wave’ dan ‘particle’ ini berada dalam keseimbangan, kesamaan ataupun wave-particle duality…” Apakah yang dimaksudkan dengan stability (keseimbangan) pada zarah dan gelombang, kerana kedualan zara-gelombang adalah satu postulat jirim memperlihatkan ciri-ciri zarah dan juga ciri-ciri gelombang, bukannya kestabilan ciri-ciri itu.

“…memisahkan manusia dan mencantumkan semula dari segi jasad-gelombang atau jasad-roh…” Saya belum menemukan lagi teknologi sedemikian (seolah-olah teknologi tersebut seperti dalam cerita mitos atau bunyinya macam cerita dongeng). Profesor tersebut cuba mentakrifkan bahawa “roh adalah bersifat gelombang”, ketahuilah bahawa roh itu adalah urusan Allah ‘Azawajalla, kecuali sedikit pengetahuan yang diberikan kepada kita. Ini bersesuaian dengan ayat al-Quran ini;

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit."
[al-Isra’ ayat 85]

Maka tiada dalil al-Quransecara qath’ie menyatakan bahawa roh adalah gelombang. Maka konsep yang cuba dinyatakan oleh beliau itu adalah salah.


Profesor Dr. Sir Amir Hamzah Bin Abdul Hamid

Saya tidak mengenali beliau dalam arena fizik dan matematik di Malaysia, kerana jika beliau berada di arena tersebut, pastilah artikel akademik beliau menjadi sebutan orang-orang fizik dan matematik di Malaysia. Seterusnya saya mencari nama beliau didalam www.sciencedirect.com untuk mendapatkan artikel beliau, tetapi tidak ditemui pun. Saya hanya menemui nama beliau dalam laman sesawang mengenai Teknologi ECPi dan Perubatan Elektronik sahaja (beliau mendapat gelaran Emeritus Profesor Dr. Sir Hj. dalam sesawang ini [7])

“Profesor” adalah jawatan akademik yang mengajar di university dan institute pengajian tinggi di Malaysia (kerana kita mengikut system UK). Oleh sebab itulah, seorang professor yang bersara, tidak lagi dikenali dengan panggilan professor kerana beliau tidak lagi menjawat jawatan Profesor di university. Manakala penyelidik dan ahli akademik di Institut Penyelidikan, tidak menerima gelaran “professor” meskipun mereka pakar dalam sesuatu bidang, Itulah kelebihan ahli akademik university. Saya tak pasti beliau seorang ahli akademik university atau tak.


Kritikan Teori E=mc2=hf

Dalam persamaan tersebut, beliau cuba untuk menghubungkan E=hf dan E=mc2. Untuk makluman pembaca sekalian, kedua-dua tenaga tersebut adalah sangat berbeza dari segi tarifan dan konsepnya, iaitu E=mc2 adalah mengenai tenaga rehat sesuatu jisim itu, manakala E=hf adalah tenaga foton.
Perkara kedua,

mc2=hf
mc=hf/c ; c/f= 1/λ

akan membentuk ini, mc=h/ λ

Kita tahu bahawa panjang gelombang de-Broglie adalah p=h/ λ atau mv=h/ λ. Persoalannya adalah apakah natijah fizikalnya akan persamaan ini, mc=h/ λ? Seolah-olah persamaan de Broglie itu dihubungkan dengan pemalar, walhal λ adalah pembolehubah! Tapi saya sedia maklum akan persamaan ini, h/mc= λ dan dikenali sebagai λ_Compton=h/mc

Seterusnya kita akan membincangkan bahawa E=mc2 dan E=hf adalah satu perkara yang sangat berbeza. Persamaannya bermula dengan persamaan keabadian-momentum seperti berikut;

E^2=p^2.c^2 + m^2.c^4

Daripada persamaan tersebut, kita akan membincangkan dua kes iaitu; kes tak berjisim (massless) dan kes pegun.

Kes Tak Berjisim, memberikan implikasi m=0, maka persamaan tersebut akan diturunkan kepada;

E^2=p^2.c^2 ; dipuncakuasaduakan maka; E=p.c

Kes tak berjisim hanya dipatuhi untuk zarah-zarah tak berjisim seperti foton. Maka kes ini adalah kes foton (tak berjisim) gantikan momentum, p tersebut dengan panjang gelombang de Broglie, p=h / λ, maka persamaan tersebut menjadi;

E=p.c = (h / λ).c = h.(c / λ) ; yang mana c/ λ = f
E = hf


Kes Pegun pula, mengimplikasikan bahawa p0 kerana zarah tersebut tidak mengalami pergerakan v=0. Maka persamaan tersebut akan menjadi;


E^2= 0 + m^2.c^4 ; dipuncakuasaduakan
E=mc^2

Tenaga yang diterbitkan itu dikenali sebagai tenaga rehat jasad itu yang dihubungkan dengan jisim jasad.

Oleh itu, kita telahpun membuktikan bahawa E=mc2 dan E=hf adalah dua tenaga yang berbeza dan tak boleh dihubungkan antara satu sama lain, kerana konsep dan takrifannya berbeza (kes berlainan). Maka E=hf=mc2 adalah SALAH.


Refleksi Diri

Tulisan makalah ini adalah untuk mengkritik teknologi ECPi yang diragui akan kesahan fiziknya sahaja tidak lebih daripada itu. Saya sekadar mengkritik apa yang terpamer dan pengetahuan fizik yang sedia ada, sebarang kritikan peribadi atau memburukkan syarikat, saya ketepikan dalam makalah ini, kerana itu pendirian saya iaitu melakukan takzir (membetulkan kesalahan) tetapi tidak melakukan ghibah (mengumpat yang memburukkan seseorang). Jika dibawakan artikel akademik yang boleh mengesahkan teknologi itu, dengan nama Allah saya akan menarik balik artikel ini.


Kesimpulan

Perbincangan menjurus kepada minit-minit video dan maklumat fizik yang diketengahakan telahpun dibincangkan dan dikritik. Dengan apa yang tertulis, saya serahkan penilaian itu kepada pembaca itu sendiri. Semoga artikel ini peroleh manfaat dan kebaikan. Wallahu ta'ala a'lam.


Penghargaan (Acknowledgement)
Terima kasih kepada Encik Shahrul Kadri kerana memotivasikan saya untuk menulis kritikan ini.


Rujukan
[1] pengenalan teknologi ecpi1.mpg. http://www.youtube.com/watch?v=RbdbQrHP2jM&feature=related klik di sini
[2] Buku Fizik Moden. Cadangan: Serway, R.A. 1996. Physics for Scientist & Engineers with Modern Physics, 4th Ed. Saunders College Publishing, Philadelphia
[3] Samuel Hahnemann. http://en.wikipedia.org/wiki/Samuel_Hahnemann klik di sini
[4] Max Planck. http://en.wikipedia.org/wiki/Max_Planck klik di sini
[5] Homeopathy's "Law of Similars". http://www.homeowatch.org/basic/similars.html klik di sini
[6] Nobelprize.org. http://nobelprize.org/nobel_prizes/physics/laureates/1918/ klik di sini
[7] Klinik Rawatan. http://nasiroh.blogspot.com/2009/01/ibupejabat-dan-klinik-perubatan.html klik di sini

3 ulasan:

  1. Tahniah Prof Abu,

    1) Mengembalikan kefahaman aku yg telah lama ditinggalkan :)

    2) Produk ECPI ini memang sudah tersangat popular. Kalau dengar Sinar FM, akan keudara iklan ECPI.. "ECPI! Keagungan Space-Time". Space time kemende.. mati akal aku dibuatnya.

    3) Ni satu lagu anti-ECPI -->http://aididmuaddib.blogspot.com/2010/12/ecpiaq-air-jamban-lagi-baek-bro.html
    menurut kajian pakcik ni, Prof. Dr. Sir Amir Hamzah ni dapat Degree dari Bogus University in Colombo atau dikenali sebagai Universiti Mickey Mouse :) Lepas tu sesuka hati bagi diri sendiri gelaran Prof.

    4) Sekarang, bukan sahaja pakar biologi dan kimia sahaja perlu membetulkan kefahaman masyarakat berkenaan teknologi perubatan, malah ahli fizik juga harus bersama. Penjual2 produk kesihatan kini menggunakan konsep2 fizik yang sukar difahami org kebanyakan untuk melariskan produk mereka, seperti ECPI, mesin terapi elektrostatik, gelang magnet dan lain2.

    5) quanta dari perkatan lain "quantus" bukan Jerman. http://en.wikipedia.org/wiki/Quantum

    BalasPadam
  2. prof boleh baca ni - http://aididmuaddib.blogspot.com/search/label/ECPI

    BalasPadam