Sabtu, 23 Julai 2011

Romantis Malam Bertaburan Jirim Misteri Penghuni Samawi

Ketika kita di samping isteri yang tercinta, kita ralit menghitung bintang-bintang di malam hari, kononnya untuk menghidupkan suasana romantik tatkala berduaan tidak bimbang ditangkap JAIS. Semakin banyak yang dihitung bintang dan objek samawi di langit, semakin rakus kita menghitungnya. Sehinggalah membawa ke fajar yang mulai menyinsing tanda subuh mulai melabuh untuk langsung bersolat. Kita dengan bangganya bersorak gempita tanda selesai sudah penghitungan bilangan objek samawi dan bintang di langit. Namun kegembiraan kita itu dilenyapkan dengan kehadiran ahli fizik kosmologi yang berambut kusut, janggut misai tak terurus dan bajunya berkedut tak berseterika, kelihatan sewajarnya ahli fizik kosmologi yang menekuni dan mentelaah ilmu dan displinnya (fizik kosmologi) yang tiada masa untuk hal itu (hal ehwal pengurusan diri). Beliau bernada, "Apa yang tuan-puan kira atau hitung itu, adalah sekelumit apa yang ada dilangit". "Terdapat jirim atau entiti yang menghuni di alam semesta yang tak dihidu atau terkesan oleh kita, meskipun peralatan fizik canggih semasa", kata beliau lagi tanpa rasa bersalah sudahlah mengganggu suasana romantik pasangan suami isteri itu.

Apa yang diperkirakan oleh suami-isteri sememangnya meleset sama sekali, jika mempertimbangkan dengan objek atau entiti yang tak kelihatan lain. Yang dimaksudkan oleh ahli fizik kosmologi itu ialah, KOMPONEN TAK BERCAHAYA, JIRIM GELAP dan TENAGA GELAP, namun apa yang mungkin akan diperbincangakan dalam makalah atau entri ini adalah hanya sekitar jirim gelap sahaja.

PENGENALAN DAN TAKRIFAN

Takrifan jirim gelap secara literalnya diberikan kepada objek berjisim (jirim) yang tidak dapat dikesan (sama ada secara langsung atau tidak langsung) oleh deria manusiawi dan peranti fizik semasa, ia hanyalah hipotesis yang dicadangkan semata-mata supaya sesuatu fenomena astrofizik yang dicerap itu tekal dengan teori semasa yang sekian lama terbina, sudah tentu teori yang dimaksudkan itu ialah Teori Kenisbian Am (teori yang terpatuh bagi jasad besar samawi, seperti bintang, planet dan galaksi). Ianya dirujuk sebagai jirim yang berkesimpulan daripada kesan graviti ke atas sinaran, atau dikenali sebagai kesan pembekokan gravitasi sinaran (gravitational lensing)

Daripada pentakrifan tersebut, secara tidak langsung hipotesisnya itu ada kena mengena dengan displin ilmu fizik zarah dan fizik tenaga tinggi bagi melengkapkan Model Lazim atau dikenali dengan Model Piawai (diInggeriskan, Standard Model), iaitu ketika diusulkan Adirakan bagi zarah Model Piawai sewajarnya dikesan melalui pemecut zarah atau pelanggar zarah bertenaga tinggi. Namun tak kelihatan, maka ahli fizik zarah mengambil pendekatan bahawa 1)adisimetri adalah tercabul sama ada secara spontan (dari N=2,4,5,8 kepada N=1) atau 2)adizarahnya misteri yang tidak dapat dikesan dan memerlukan mekanisme fizik lain untuk mengesannya, atau dengan kata lain ianya adalah zarah adirakan (biasalah ahli fizik zarah memang begitu, kalau tak betul dengan teori mereka akan melakukan "penalaan halus" atau dicadangkan hipotesis lain, supaya teori semasa yang dianuti sekian lama tidak diragui atau terbatal)


Rajah 1: Komponen dan peratusannya

KOMPOSISI

Seperti yang dimaklumi oleh ahli fizik kosmologi itu, bahawa jirim yang dihitung itu adalah sekelumit adalah benar, iaitu sekitar 0.4%, diikuti dengan komponen tidak bercahaya (tetapi boleh dikesan secara kimia dan fizik) sebanyak 3.54%, jirim gelap pula lebih kurang 23% dan selebihnya adalah tenaga gelap (hampir 73%) yang mendiami alam semesta kita. Hal ini boleh dilihat dalam rajah berikutnya. Kita yang marhaen dan kerdil ini, dengan lenggok bahasa rendah diri bolehlah berkesimpulan bahawa lebih kurang 4.0% yang terkenampakan dan daripada itu jugalah yang ianya membina alam sarwajagat ini yang kamil lagi 'ajib.

BUKTI AWAL

Bukti awal jirim gelap ditemui pada era 1930an, oleh Fritz Zwicky yang menyedari bahawa pergerakan galaksi-galaksi atau dikenali sebagai Gugusan Galaksi Coma. Beliau mencerap peredaran galaksi-galaksi tersebut dan menghitung halaju peredarannya menggunakan pengukuran Anjakan Doppler


Rajah 2: Gugusan galaksi Coma

Baik, sebelum kita mendalami perbincangan ini, mari kita melihat fenomena yang dekat dengan kita, sistem solar. Planet Utarid adalah planet yang sangat dekat dengan matahari sewajarnya lebih magnitud laju peredarannya, manakala planet yang berjauhan pula kelihatan agak perlahan akan peredarannya untuk melengkap satu pusingan orbit, dan jika diajukan kepada remaja berusia 17tahun yang mengikuti aliran Sains Tulen beliau akan menjawab, "Wahh... Itu Hukum Graviti Newton"

Berikutan dari perenggan tersebut, ahli pencerap langit (merujuk kepada Fritz dan rakan-rakan penyelidiknya) cuba menghitung peredaran galaksi-galaksi tersebut dengan melihat perubahan kesan anjakan spektrum yang menganjak ke spektrum merah jika ia menjauhi dan biru sekiranya ia mendekati pencerap dan ia dikenali sebagai Kesan Doppler. Untuk lebih lanjut sila rujuk rajah dibawah,


Rajah 3: Anjakan spektrum kesan Doppler ke atas galaksi

Hal yang sewajar berlaku adalah semakin jauh galaksi tersebut dari pusat peredaran, maka semakin perlahan peredarannya untuk melengkap satu orbit, seperti hal yang yang diperbincangkan sebelum ini. Namun halnya adalah sebaliknya, iaitu laju peredarannya adalah malar terhadap jarak antara pusat peredaran. Nah, ini membingungkan pencerap-pencerap angkasa, masakan ini boleh berlaku. Tentu ada sesuatu yang meliputi ruang sekitar Gugusan Galaksi Coma tersebut, mereka namakan dengan Jirim Misteri (pada awal penamaan). Hal ini juga ketara ketika melihat peredaran objek-objek samawi dalam galaksi itu sendiri yang turut mengiyakan kepelikan yang terjadi pada gugusan galaksi itu. Jirim Misteri itu yang mengekang peredaran galaksi-galaksi tersebut dan bintang-bintang, dengan kata lain Jirim Misteri itu juga turut menyumbang kesan graviti ke atas objek-objek berjisim yang lain.


Rajah 4: Perbandingan di antara nilai jangkaan dengan hasil pencerapan

Rajah di atas adalah data yang diperolehi oleh Kent Ford dan Vera Cooper Rubin dari Institut Carnagie Washington, yang mana mereka meneliti pergerakan bintang-bintang dalam galaksi Andromeda (merupakan galaksi yang terdekat). Meskipun galaksi Andromeda kelihatan statik, walhal ia bergerak dengan kelajuan sekitar 200,000 m/s. Mereka menggunakan spektrometer bersama untuk mengukur anjakan frekuensi tersebut, dan ia memberikan nilai kelajuan bintang-bintang dalam galaksi tersebut yang memakan masa sehingga beberapa jam untuk mencerapnya. Mereka mengulangi pencerapan itu dengan ralat instrumen yang lebih kecil dan kejituan yang lebih tinggi, namun hasilnya tetap sama juga, iaitu kelajuanya hampir malar pada semua jarak

FENOMENA PEMBEKOKAN GRAVITI

Dalam Teori Kerelatifan Am (Teori Graviti Einstein) menyatakan bahawa jisim melengkung ruangmasa, hal ini turut memberi implikasi ke atas laluan cahaya, yang mana bagi mengekalkan kemalaran laju cahaya (2.9x10^8m/s). Jirim gelap juga tidak terkecuali, dengan kata lain ia juga memberikan bukti empirik yang mengesahkan kehadirannya melalui pembekokan cahaya.

Pembekokan cahaya itu boleh kita kiaskan dengan pembekokan cahaya apabila melalui kanta pembesar (kanta cembung) seperti dalam rajah berikut, yang mana taburan jirim tidak kelihatan (atau jirim gelap) itu menghalang cahaya bersumberkan daripada bintang itu dan membentuk seperti cincin tunang, semakin padu jisim jirim gelap itu, semakin tinggi aras pembekokan cahayanya itu yang juga menggambarkan nisbah keperatusan terhadap jirim kelihatan itu jauh ketara berbeza dengan komposisi yang telahpun dinyatakan sebelum ini. Gambaran kasar penerang tersebut boleh dilihat dalam rajah berikutnya.


Rajah 5: Kesan pembekokan graviti

Rajah seterusnya pula adalah imej cerapan angkasa, jika diamati dengan teliti atau "merenung dalam-dalam" rajah dibawah ini (Rajah 6), kelihatan seperti garisan melengkung atau membulat, setelah dianalisis itu adalah kesan daripada pembekokan graviti oleh jirim gelap ke atas cahaya-cahaya galaksi itu.


Rajah 6: Kesan pembekokan cahaya

Seterusnya dikenali sebagai Palang Einstein yang juga merupakan fenomena pembekokan graviti kesan daripadan kehadiran jirim gelap, begitu juga rajah seterusnya rajah Cincin Einstein. [Nota: Bilalah akan kedengarannya nama-nama umat Melayu dihujung setiap penemuan]


Rajah 7: Palang Einstein

Seperti yang diterangkan dalam rajah ini, imej kuasar itu terpapar membentuk palang (pada paksi melintang dan menegak), sekali hal ini juga boleh kita perhati fenomena persekitaran kita seperti melihat penyedut minuman (straw) kelihtan seperti bengkok ketika diletakkan dalam air atau melihat kedudukan ikan yang kelihatan seperti jauh daripada kita, padahal tidak, malahan kedudukannya sepatutnya kehadapan sedikit. Rajah 7 pula membengkokkan cahaya yang memperlihatkan objek samawi itu seakan-akan cincin.


Rajah 8: Cincin Einstein

Selanjutnya kita akan cuba mebincangkan hubungan jirim gelap dengan kejadian awal alam semesta dan apakah peranannya. "Ahhhh.... Lain kali sajalah pak cik, kami dah letih ni", sampuk si suami keletihan kerana mendengar kuliah kosmologi pula laksanan siri kuliah Profesor Leonard Susskinds dalam Youtube. Lagipula sudah masuk Dhuha tanda untuk bersolat Sunat Dhuha pula. Suami-isteri itu bingkas bangun dari bangku surau tatkala selesai solat Subuh berjemaah, akan kerana berjanji dengan si fizikawan itu untuk mendengar penerangan komposisi jirim di angkasa.

"Apakah akan ada siri kedua..." tanya si suami ala sindir, meskipun dalam hati berderau-derau berhela, "Janganlah ketemu lagi dengan dia ni...". Balas ahli fizik kosmologi itu bernada lembut lagi tersenyum, "Wallahu ta'ala a'lam"

Isnin, 4 Julai 2011

Keklasikan Sang Lohong Hitam Membawa Kepada Kuantum

Kita sering dicanangkan dengan fiksyen bahawa Lohong Hitam (atau Lubang Hitam) sebuah gerbang penghubung ke alam lain, itu mungkin boleh menjadi persoalan (yang boleh diperketengahkan), tetapi masih belum diketemui lagi bukti akan desas-desus itu sama ada melalui pencerapan astronomi atau teoritikal. Apapun kita nantikan hasilnya.

Baik, mengenai Lubang Hitam, seperti kebiasaannya kita sentiasa dimomokkan bahawa Lubang Hitam adalah satu lubang menyerap dan memusnahkan segala objek di langit yang berdekatannya.

Entri kali ini, sekadar cetusan idea sahaja yang tidak seberapa ini. Sebelum ini Profesor Hawking sendiri telah membuang hipotesis 'Lubang Hitam itu adalah Hitam' dan digantikan dengan teori terbarunya iaitu Sinaran Hawking, yang mendakwa bahawa Lubang Hitam itu sendiri mengeluarkan sinaran, tetapi dalam julat panjang gelombang yang sangat kecil iaitu sekitar julat spektrum sinaran-x.

MEKANIK KLASIK

Mari kita melihat rajah gambaran klasik mengenai lubang hitam seperti berikut;


Rajah 1: Sebelum (Klasik)

Katakan zarah itu bergerak dengan tenaga E' menghala ke arah lubang hitam yang sangat tinggi keupayaannya ke atas zarah tersebut. Keupayaan lubang hitam yang sangat tinggi itu disebabkan oleh ketumpatan jisim lubang hitam yang tersangat padu, ini disebabkan oleh tenaga keupayaan termodinamik bintang (pada awalnya) yang sudah kehabisan sumber tenaga pembakarannya dan tidak mampu menahan daya tarikan graviti yang secara semulajadinya bertindak ke atas jisim di alam semesta ini.

Oleh kerana daya gravitinya semakin meningkat, lama-kelamaan bintang mati itu (yang kehabisan sumber tenaga pembakarannya) akan bertambah susut isipadunya. Ini memberi implikasi ke atas kekuatan gravitinya yang berkadaran terhadap ketumpatan jasad. Jasad berisipadu yang sangat kecil itu dikenali sebagai Bintang Kerdil. Namun Profesor Chandarasekhar, meramalkan bahawa ketumpatan Bintang Kerdil sepatutnya boleh melampaui daripada had itu, jika dipertimbangkan Prinsip Pengecualian Pauli dalam teori ini dan susulan daripada itu, mereka meramalkan bahawa batasan susutan itu hanya terhad kepada pembentukan Bintang Neutron sahaja tidak boleh daripada itu.

Sedikit sebanyak telah diperbincangkan mengenai pembentukan Lubang Hitam. Seterusnya Rajah 2, menunjukkan ketika zarah itu mendekati lubang hitam langsung dan langsung termusnah dalam rantau lubang hitam berkeupayaan terpermanai (infiniti) itu. Paksi-y dalam rajah itu adalah pembolehubah tenaga manakala paksi-x berperanan sebagai kedudukan.


Rajah 2: Selepas (Klasik)

Fenomena itu boleh dikatakan sebagai fenomena klasik.

MEKANIK KUANTUM

Baik, bagaimana pula kalau dipertimbangkan teori kuantum, memandangkan Bintang Neutron adalah objek mikroskopik yang mematuhi teori kuantum. Rajah seterusnya, zarah bertenaga E' bergerak menuju ke lubang hitam, kita wakilkan zarah tersebut dengan fungsi gelombang, dalam hal ini kita katakan ia adalah fungsi Gaussian. Pada awalnya zarah itu bergerak tanpa keupayaan mengekangnya sehinggalah mendekati lubang hitam, pada rantau itu kita dapati fungsi gelombangnya adalah tertakrif.


Rajah 3: Sebelum (Kuantum)

Tapi pada rantau lubang hitam itu, fungsi gelombangnya tidak tertakrif dengan kata lain, tiada 'kemungkinan' zarah tersebut boleh didapati dalam region lubang hitam (hal ini boleh kita analogi dengan Kes Keupayaan Kotak 3D).


Rajah 4: Selepas (Kuantum)

Itu ramalan mekanik kuantum yang saya terfikir sahaja, boleh disangkal lagi.


LAMPIRAN
Persamaan Schrodinger pada rantau tertakrif itu adalah;
-h_bar^2/2m d^2/dx^2Ψ(x)=EΨ(x) ; V(x)=0

Tapi pada rantau lubang hitam, fungsi gelombangnya tidak tertakrif kerana V(x)-->∞, memberi implikasi tidak mungkin zarah boleh berada disitu.

Keupayaan gravitinya, GMm/r=V(x)-->∞ ; kerana r sangat kecil (mampat), r-->0

Rabu, 29 Jun 2011

Lama sudah....

Setiap kali kita menyepak batu dengan kekuatan yang sama, mekanik kuantum menyatakan bahawa kita akan merasai kesakitan yang berbeza-beza (dan berkemungkinan kita juga tidak akan merasai kesakitan dari bilangan kali sepakan tersebut)

Kenapa kita tidak mampu menembusi dinding, sebab 1)mekanik kuantum membenarkan penerowongan berlaku, meskipun berbeza di antara keupayaan (tolakan) zarah-zarah pada 'dinding' dengan tenaga (kerja yang dilakukan) daripada molekul-molekul organik tubuh kita, 2) atom bukannya objek padu walhal berongga di dalamnya, elektron mengorbit yang jaraknya agak jauh daripada nukleus, umpama menara KLCC, itu nukleus dan luar KL itu adalah orbit elektronnya.

Semuanya adalah mengenai aturan mekanik kuantum, entanglement dan Prinsip ketakpastian Heisenberg. Wallahu a'lam.

Sabtu, 2 April 2011

Malam Ini

Malam ini ada pencerapan langit oleh Kelab Astronomi UPSI tepat pukul 10.00pm, mencerap jasad-jasad besar. Aturan fizik yang layak bagi fenomena jasad besar adalah Teori Kenisbian Am.

Soalan: Adakah Mekanik kuantum mampu memerihal fenomena jasad besar?

Menjawab dengan lawak, "Mahukah kamu melihat pergerakan bumi kita taktentuisme (kebarangkalian), kadang-kadang ia bergerak tidak mengikut orbitnya dan kadang-kadang ia mahu berlanggar dengan sang suria? Mahukah kamu akan fenomena "Planet Seiras" (Indistinguishable particle) untuk planet bumi, habis di manakah buminya?

Soalan saya: Adakah gelombang gravitasi (gravitational wave) yang disebabkan oleh lohong hitam atau bintang neutron itu gelombang disebabkan kedualan zarah-gelombang, kerana lohong hitam itu mengalami putaran yang tinggi halajunya, begitu juga halnya untuk bintang neutron?

Jumaat, 1 April 2011

Tak ada idea nak tulis apa huhuhuhu....

Entri kali ini, saya tak nak tulis apa-apa tapi saya sekadar nak melampirkan artikel-artikel saya yang berada di dalam laman sesawang yang lain.

Artikel ini tidak berwasit, iaitu mengenai matra lebihan dan artikel ini pernah dibentang di Kolokium Siswazah Sains dan Teknologi 2009
Kaluza-Klein Theory and The Massive Scalar Spin-0 Field

Seterusnya artikel daripada geran penyelidikan saya, mengenai pencabulan adisimetri berspontan
Supersymmetry and Its Spontaneous Breaking: An Introduction

Dua artikel di atas termuat dalam The General Science Journal


Manakala pautan di bawah ini pula adalah artikel berwasit (refereed article) saya bersama Dr Ahmad Puaad Othman dari UKM, artikel ini termuat dalam KMITL Science and Technology Journal.
Density of States Calculation for Indium-Arsenide Zincblende Based on Density Functional Theory

Slaid pembentangan di Seminar Intelek Muda ASASI 2009
Matra-matra yang hilang

Matra-matranya (Duniawi) Yang Hilang Makalah asal, baru sahaja dimuatnaik ke Scribd.com.

Semoga bermanfaat, insyaallah. Tak ada idea nak tulis apa huhuhuhu....
Sebarang komen dan ulasan adalah sangat dialu-alukan

Wallahu a'lam

Jumaat, 25 Mac 2011

Dunia ini tak bermakna jika...

Dunia ini tak bermakna jika anda tidak mencerapnya
Itulah intisari mazhab mekanik kuantum Copenhagen.

Saya lampirkan bersama prinsip-prinsip yang terselirat dalam Mazhab Copenhagen atau Tafsir Copenhagen (Copenhagen interpretation):

1. Sistem dinyatakan secara lengkap dengan fungsi gelombang (kita pun sudah membincangkannya dalam pos Postulat 1)
2. Penyataan tabii dalam mekanik kuantum dalam bentuk kebarangkalian, yang mana kebarangkalian dinyatakan dalam bentuk Fungsi gelombang berkuasa dua mutlak (Aturan Born)
3. Agak mustahil untuk mengetahui semua pengukuran sesuatu sistem pada masa yang sama, kesemua pengukuran tersebut tidak diketahui dengan kepersisan yang baik. Contoh: Posisi dan Momentum zarah, Tenaga dan penyukatan masa. Ini dikenali sebagai Prinsip Ketakpastian Heisenberg, Werner Heiseneberg juga salah seorang pendokong mazhab Copenhagen bersama dengan Niels Bohr [Jika ditanyakan kepada saya, "Kenapa?" Saya akan menjawab, "Wallahu ta'ala a'lam, sayapun tak tahu. Ini Sunnatullah yang berlaku dalam fizik berskala mikroskopik"]
4. Prinsip kedualan zarah-gelombang
5. Pengukuran mekanik kuantum sistem besar (atau pada number kuantum lebih tinggi), sistem tersebut secara tidak langsung menghampiri penjelasan klasik, dan ini kita kenali sebagai Prinsip Korespondasi Bohr atau "Correspondence Principle of Bohr"
6. Kebesandaran boleh cerap sesuatu sistem kuantum

Jika penulis blog ini wujud, adakah anda pernah melihatnya (atau mencerapnya)? Jika tak, penulis blog ini tak wujud! Namun masakan ada tulisan di dalam blog ini (hasil pencerapan), jadi bagaimana?

Wallahu a'lam

[Nota: Tapi masih terdapat satu lagi pendapat yang menafikan prinsip kebesandaran boleh cerap iaitu Mazhab Alam-Banyak Everett (Many-World Intepretation Everett)]


Perbahasan fenomena yang berlaku di antara kumpulan Einstein dan Bohr

Isnin, 21 Mac 2011

Pelajar-pelajar Sekolah Fizik Zarah KEK-UM-ANM 2011



Saya tiada senarai nama peserta, jadi tak dapatlah saya untuk menyenaraikan nama-nama semua peserta. Jika sesiapa ada. Sila ajukan kepada saya supaya saya boleh kemaskinikan pos ini, insyaallah.

Sabtu, 19 Mac 2011

Laporan Ringkas Sekolah Fizik Zarah Asia Tenggara KEK-UM-ANM 2011

Sekolah Fizik Zarah Asia Tenggara KEK-UM-ANM 2011, diadakan di UM selama lima hari bermula 14 Mac -18 Mac 2011. Setiap senggang waktu, kami diisi dengan slot-slot yang ilmiah dan teratur sekali. Saya akan melaporkan secara kronologi, bermaksud setiap gambar melambangkan urutannya dan sedikit penjelasan secara bersahaja, selamat menikmati. :-)

15 Mac 2011 (Isnin)

Saya tiba di UM pukul 8.50am dengan Komuter dan Bas Rapid-KL. Sepatutnya saya tiba awal, tetapi saya terlepas ETS (sejam sahaja ke KL). Tak apalah sekurang-kurangnya saya tiba sebelum waktu seminarnya.


Kaunter pendaftaran dikerumuni peserta yang pelbagai latar belakang, agama, bangsa dan negara. Kelihatan seperti peminat mengekerumuni selebriti untuk mendapatkan autograf.

Sebahagian daripada peserta telah mula menginap pada hari Ahadnya, terutamanya dari luar negara (Thailand, Indonesia dan Vietnam)



Prof Yosuhiro Okada membentangkan modul Teori Fizik Zarah

Seminar dimulai dengan sedikit pengenalan mengenai Seminar tersebut, KEK, dan aktiviti-akvtiviti di KEK. Seterusnya kuliah modul pertama di ajar oleh Prof Yosuhiro Okada untuk Modul Teori Fizik Zarah sebanyak lima sesi diberikan kepada beliau, manakala sesi beliau hanya pada awal pagi sahaja setiap hari (9.20-10.50am), mungkin modul tersebut sesuai untuk aktiviti otak awal pagi, kalau di tengaharinya bimbang terbakar RAM otak nanti.

Seterusnya boleh dilihat jadual sesi dalam rajah di bawah ini.


Jadual waktu - memang seperti persekolahan, hehehe....


Prof Junji Haba membentangkan modul Pengesan Zarah (tiga slot)


Peserta kelihatan khusyuk mendengar teori-teori, konsep-konsep dan teknikal yang baharu

Seterusnya Prof Forest.


Prof Forest membentangkan modul Pemecut Zarah di Makmal Komputer Baru, beliau diberikan 3 slot


Prof Takeo Higuchi membentangkan modul Fizik Zarah (Eksperimental), beliau diberikan lima slot sepanjang sesi persekolahan


Pada malamnya, kami berangkat ke Restoran Seri Melayu, untuk mempromosikan masakan Melayu kepada pelancong luar, pada masa yang sama juga mempamerkan budaya Melayu, Cina dan India kepada mereka melalui persembahan Malaysia.


Imej-imej di Restoran Seri Melayu


Prof Okada khusyuk menonton persembahan atau memikirkan permasalahan mekanisme Higgs dan rangka kerja Adisimetri yang masih belum didapati di LHC? Hehehehe.....

Sedang leka menikmati juadah, penari-penari turun ke bawah pentas untuk menarik pengunjung untuk menari bersama di atas. Prof Haba, Prof Uno dan Prof Okada dipujuk penari tersebut untuk menari bersama di pentas, tetapi ditolak. Namun begitu, salah seorang kami tiba-tiba turut serta untuk menari bersama-sama. Hehehe....


Salah seorang peserta sekolah fizik zarah langsung naik ke pentas dan menari bersama dengan penari-penari

Pada akhir malam itu, penceramah-penceramah dan peserta sekolah turut bersama sesi bergambar dengan penari-penari persembahan. Manakala saya tidak turut serta, menikmati satay dan melihat mereka semua dari jauh. Pada mulanya para penceramah tidak mahu bergambar, tetapi diajak oleh sekretariat (UM-ANM). Dan malam itu diakhiri dengan bergambar di Menara KLCC sebagai dedikasi untuk para penceramah dan peserta dari luar negara.


Bergambar bersama penari-penari


15 Mac 2011 (Selasa)

Hari berikutnya, kami menjalani aktiviti seperti biasa. Dimulakan dengan slot Prof Okada, kemudian Prof Forest, Prof Higuchi, Prof Haba dan pada malamnya sesi informal.


Seorang teoritis memang tak akan terlepas dengan "tulisan tangan" dengan simbol-simbol, persamaan-persamaan dan abjad-abjad Yunani. Itulah slaid Prof Okada, hahahahaha.....

Pada malamnya (malam kedua), adalah sesi perkenalan sesama peserta. Item-item yang perlu diberitahu dalam sesi tersebut adalah:1)Nama, 2)Negara, 3)Instuisi, 4)Latar belakang pendidikan, 5)Sama ada ingin menjadi teoris atau eksperimentalis, 6)Apa yang dilakukan sekarang (penyelidikan) dan 7)Perancangan masa depan.

Peserta dari Thailand, beliau memperkenalkan diri dengan nama "Pat" sedang melanjutkan pelajarannya PhD dalam Adisimetri Fizik Zarah (Eksperimental - Pengesanan Zarah) di CERN, berkoloborasi dengan Pelanggar Hadron Gergasi (LHC). Beliau memberitahu kami, "Sekarang kami (CERN) sedang mengalami kesukaran kerana Adisimetri tidak ditemui dan LHC akan dihentikan buat sementara waktu"

Seorang lagi peserta dari Thailand memperkenalkan diri dengan nama "Mon" (mereka pernah memperkenalkan nama penuh mereka, tapi kita berlidah Melayu susah betul mengeja nama mereka, sukar untuk dingati dan diikuti dan namanya panjang pula tu. Oleh itu mereka memperkenalkan dengan nama yang pendek, mudah disebut dan mudah diingati), beliau memberitahu PhDnya hampir 8tahun - mod terkejut dan takut.


Pat

Pada masa santai (setelah tamat sesi pada malam hari) kami yang berada di aras dua akan berkumpul di bilik saya. Soalan: Kenapa?
Jawapannya: Di bilik saya, liputan wifi internetnya sangat baik.


Rakan-rakan dari UIAM, UGM-Indonesia, UTM dan UI-Indonesia

16 Mac 2011 (Rabu)

Mengira projektil zarah menggunaka kaedah penghampiran (Runge-Kutta) yang dilakukan secara pengaturcaraan itulah kelas Prof Forest.


Slot berkomputer bersama Prof Forest

Perbincangan Prof Haba juga tertumpu kepada Sinaran Cherenkov yang berlaku dalam medium. [Halaju zarah melampaui laju cahaya dalam sesuatu medium akan menghasilkan kesan sinaran yang dikenali sebagai Sinaran Cherenkov]


Slot Prof Haba: Aerosil Silika - digunakan dalam pengesanan scintillator


Slot Prof Haba: Salah satu komponen pengesanan zarah


Pelajar dari Thailand memang tak melepaskan peluang. Dari kiri: Mon, Pat, Chunkit

Persekolahan adalah seperti biasa. Kelihatan masa yang diberikan, mereka (peserta) menggunakan sepenuhnya berbincang dan bertanyakan soalan. Tak hairan Prof Okada dan Prof Haba menyebut kami sangat agresif (mereka menggunakan perkataan "agresif", mungkin perkataan tersebut lebih rakus daripada perkataan "aktif") berbanding orang pelajar - kata mereka.


Mei Hui dari USM (berbaju hitam dan berjaket merah di kanan rajah) memang seorang yang kritis sikap akademiknya dan kreatif soalannya diajukan


Faizal (dari UTM) bakal menghadiri Summer School Particle Physics di CERN selama tiga bulan - saya mencemburuinya kerana beliau berstatus "Pelajar". Kalau tak, saya akan pergi juga - Sedih


Coffee Break

Pada malamnya, kami adakan sesi perbincangan tidak formal bersama dengan para penceramah.


Ini bukan verteks atau projektil zarah bertenaga tinggi, hehehe.... Sedang bereksperimenkan kamera saya


Sesi berbincang tidak formal - boleh ajukan sebarang soalan



Prof Haba memperkatakan sesuatu tentang rancangan untuk menggabung semua institusi fizik di Asia Tenggara - berkoloborasi, juga kedengaran seperti mahu membina pelanggar zarah (particle collider) bersama


Prof Okada menjelaskan sesuatu mengenai Teori Segala-gala dan Prof Forest khusyk mengamatinya


17 Mac 2011 (Khamis)


9.20am-10.50am - Keadaan vakum - Medan Nambu-Goldstone

Slot-slot untuk Prof Haba dan Prof Forest sudah selesai. Oleh itu digantikan dengan dua slot Prof Shoji Uno mengenai Chamber Wayar, antara chamber yang digunakan di KEK untuk mengesan zarah bertenaga tinggi. Beliau memulakan slot dengan berkata, "Saya mampu melihat zarah, kamu mampukah? (katanya kepada kami)" Hehehehe....


Prof Uno dan instrumennya


Chamber wayar yang paling atas adalah hasil kerja kumpulan kami, hehehe....


Prof Uno menjelaskan prosedur untuk membuat chamber wayar, agak lucu juga apabila beliau bersungguh-sungguh memberikan penjelasan kepada kami


Peralatan elektronik untuk pengesanan zarah



Bermulanya sesi membina chamber wayar oleh peserta

Masa makan


Slot makan salah satu aktiviti wajib, hahaha....

Pada malamnya kami mendengar ceramah daripada seorang Profesor dari Universiti Osaka, saya minta maaf saya terlupa namanya. Beliau membentangkan mengenai Pengenalan secara ringkas dari fenomena skala zarah kepada fenomena skala kosmologi. Pembentangan bersantai, tetapi beliau sering memuji Prof Okada yang berada pada sebelah mejanya itu. Prof Okada memang bersikap merendah diri dan tak menghiraukan pujian, perkara beliau paling suka adalah orang bertanya soalan kepada beliau (pada pemantauan saya).


Saya terlupa nama beliau Profesor dari Universiti Osaka, Jepun. Beliau membentangkan slot tambahan


18 Mac 2011 (Jumaat)


Hari tersebut hanya ada dua slot kuliah dari Prof Okada dan Prof Higuchi.
Setelah itu slot penyampaian hadiah dari pihak KEK dan sesi berfotografi bersama penceramah. Saya kaget melihat situasi itu, kerana seperti bergambar dengan selebriti hiburan saya lihat; bergambar dan mengambil autograf.

Buku yang kami terima adalah Quarks & Leptons disampaikan oleh Prof Higuchi, saya mengambil kesempatan mengambil autograf dari Prof Higuchi dan Prof Okada, manakala Prof Haba dan Prof Uno tiada dan Prof Forest tidak sempat. Pada mulanya saya sangkakan buku ini diberikan kepada kami secara peribadi, tetapi ia adalah hadiah kepada intituisi yang diwakili (universiti), oleh itu buku tersebut adalah harus diberikan kepada perpustakaan universiti sepatutnya. Tak apalah, insyaallah saya akan dedikasikan buku ini kepada Perpustakaan Tunku Bainun, semoga bermanfaat kepada warganya nanti.


Prof Higuchi dengan tulisan Kanji nya, manakala Prof Okada pula menulis rumi. Huhuhu....


Meninggalkan zaman persekolahan, walaupun kami sudah berusia - mod sedih

Sesinya tamat hampir pukul satu. Saya tiba di rumah pukul 7.18pm. Sekian, semoga bermanfaat. Wallahu a'lam.

Rabu, 16 Mac 2011

Eksperimentalis tidak menjalankan tugas?

Salah seorang daripada kami dari USM bernama Mei Hui bertanyakan soalan, "Kenapakah kita masih belum mendapati Adisimetri dan Higgs, adakah eksperimentalis (ahli ujikaji) tidak menjalankan tugas mereka dengan baik?"

Soalan itu disahut dengan gelak-ketawa seketika.

Kemudian Prof Shoji Uno, salah seorang eksperimentalis pakar dalam Pengesanan zarah fizik menjawab, "Actually, we want to know the nature....."

Tiba-tiba Prof Okada mencelah secara bergurau, "But you dont know the nature"

Gamat seketika dengan ketawa daripada Prof Forest, Prof Higuchi, Prof Haba dan lain-lain.....

Hehehehe..... [Minta maaf menggunakan bahasa Inggeris, bertujuan untuk menggambarkan suasana dan maksud sebenar mereka]


Prof Uno berada di kiri sekali