Isnin, 2 Ogos 2010

Fizik Teori di Malaysia

...........


Fizik Teori ialah salah satu cabang bidang fizik yang menggunakan matematik model dan keabstrakan konsep fizik dalam memerihalkan fenomena tabii. Ini bermaksud ia menggunakan matematik fizik seperti aljabar dan kalkulus sebagai peralatan untuk mengkaji fenomena asas alam tabii tanpa mencabul sebarang konsep dan hukum fizik yang telah dipatuhi. Penyelidikan fizik teori hanya menjurus kepada konsep asas pembinaan fizik tersebut melalui pen dan kertas, mungkin juga papan putih untuk melihat dari gambaran besar, ianya tidaklah seperti kajian fizik eksperimen yang memerlukan peralatan dan instrumentasi yang sangat tinggi kosnya untuk membelinya. Antara bidang penyelidikan dalam fizik teori secara amnya adalah seperti fizik kuantum, kuantum informatif, fizik zarah, fizik tenaga tinggi, teori medan kuantum, mekanik kuantum, masalah jasad banyak (kimia kuantum), kekalutan dan pencacai, teori kenisbian am, kosmologi dan fizik kondensasi.

Instrumen atau metod kajian yang diperlukan oleh fizik teori, adalah imaginasi atau kalau di Jerman ia biasa dikenali sebagai “Gendaken thought”, yang mana ia boleh dilakukan melalui gaya berminaginasi sesuatu fenomena fizik dan memperihalkannya tanpa mengetepikan konsep fizik asas yang lain. Sebagai contoh, Albert Einstein telah cuba merealisasikan Teori Kenisbian Khasnya pada rangka gerakan pecutan, dengan membayangkan pencerap didalam sebuah lif yang tertutup berada dibumi secara statik dengan pencerap yang bergerak dengan pecutan 9.81m/s2 secara menegak dan fenomena ini adalah setara meskipun berbeza rangka dinamiknya, ini dikenali sebagai Prinsip Kesetaraan dan juga telah merintis kepada pembinaan Teori Kenisbian Am melalui Prinsip Kesetaraan tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum pada perenggan sebelum ini, iaitu penyelidikan fizik teori adalah sekadar memerlukan buku rujukan asas, pen, kertas dan kemahiran berfikir yang baik iaitu kemahiran berimaginasi salah satunya dan cukup murah pembiayaan akan penyelidikannya. Makalah ini adalah bertujuan untuk member sedikit gambaran mengenai halatuju penyelidikan fizik teori di Malaysia, berserta isu dan cabarannya berdasarkan pengalaman, pencerapan dan pembacaan penulis mengenainya. Sebelum kita membincangkan dengan lebih terperinci, adalah wajar untuk penulis memetik sedikit kandungan daripada ucaptama Prof Chia Swee Ping (Presiden Institut Fizik Malaysia) ketika Expoxitory Quantum Lecture Series 4 di UPM, beliau berucap bahawa di negara barat, bidang fizik teorilah yang mendahului dan menjadi peneraju kepada penyelidikan fizik kemudian disusuli dengan pengesahan melalui ujikaji, tetapi fenomena itu adalah sebaliknya di Malaysia, iaitu fizik eksperimen terkehadapan mendahului berbanding kajian fizik teori, kata beliau dengan penuh sinis. Nah, itulah fenomena penyelidikan fizik di Malaysia hari ini.

Jika dilihat budaya penyelidikan di universiti, iaitu peringkat Projek Tahun Akhir Sarjanamuda, pelajar-pelajar didedahkan dengan penyelidikan-penyelidikan bidang fizik gunaan, yang hanya sekadar memenuhi syarat-syarat untuk bergraduan. Tambahan pula, penyelidikan-penyelidikannya adalah seperti kajian yang sekadar naiktaraf daripada silibus amali dalam kursus, tiada budaya menyelesaikan masalah, hanya memperolehi produk dan tiada sikap ingin tahu diterapkan dalam penyelidikan, apa yang perlu adalah “dapatkan data” dan “bentang”. Jika ditanya; Kenapa digunakan kaedah tersebut? atau Apakah yang menyebabkan keputusan kamu jadi begitu?, pelajar tersebut tidak dapat menjawabnya. Ini kerana berkemungkinan pelajar tersebut lemah dalam pengetahuan asas fizik, atau pelajar tersebut tidak dapat menghubungkaitkan hasil dapatan kajiannya dengan konsep asas fizik atau pelajar tersebut melakukan apa yang disuruh oleh pensyarahnya sahaja (ini pernah berlaku).


Manakala di peringkat sarjana dan doktorat pula, jarang kedengaran pentelaahan dalam bidang fizik teori dilakukan, malahan jika diperhatikan dalam Jurnal Fizik Malaysia pun agak sedikit bilangannya makalah-makalah dalam bidang fizik teori diutarakan, jika adapun penyelidik yang sama juga. Agak kasar penulis untuk katakan bahawa kebanyakan pelajar PhD adalah dipergunakan untuk merebut peluang kenaikan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi dan inilah situasi atau realiti yang sebenarnya berlaku di kalangan ahli akademik di Malaysia, kerana memiliki pelajar PhD adalah syarat-syarat untuk kenaikan pangkat (terutamanya jawatan Profesor Madya dan Profesor) dan juga menjadi salah satu perkara yang memenuhi keperluan KPI akademik. Situasi seterusnya sering juga berlaku, iaitu pensyarah memohon geran penyelidikan dan kemudiannya menawarkan gaji GRA kepada pelajar-pelajar PhD atau Sarjana di bawah seliaan beliau, kemudian membiarkan pelajar tersebut menjalankan kajian dan eksperimen tanpa penyeliaan yang professional bermaksud member layanan seperti “buruh” kerana pada pandangan penyelia, pelajar tersebut telah pun digajikan. Maka tak berlakulah hubungan pelajar-penyelia, tetapi “buruh-majikan”, apa yang dikejar adalah “paper”.

Jika disemak semula kursus-kursus fizik di IPT, ia kelihatan agak kurang memberi penekanan kepada kursus-kursus fizik tulen dalam silibus ijazah sarjanamuda fizik, seperti mekanik kuantum lanjutan, fizik matematik, mekanik klasik, mekanik statistik, teori medan kuantum dan teori kerelatifan dan dari perspektif pelajar, kursus tersebut adalah boleh diklasifikasikan sebagai kursus menjatuh gred akademik mereka atau dengan nama popularnya “killer subject”. Ditambahkan lagi dengan pensyarah yang mengajar kursus tersebut bukanlah pakar dalam bidang tersebut, tapi sekadar “bidan terjun” inilah yang dialami oleh penulis ketika belajar dahulu. Kenyataan tersebut, tidaklah menjadi kesimpulan secara keseluruhan kepada university-universiti di Malaysia, Cuma sekadar pencerapan terhad dan pengalaman cetek penulis sahaja.

Bidang penyelidikan di Malaysia juga dipengaruhi oleh udara politik negara. Ia bergantung kepada hasrat kerajaan untuk meneraju negara, sudah tentulah hasrat Menteri. Jika sebelum ini hasrat kerajaan adalah untuk memenuhi permintaan makanan penduduk Malaysia yang terpaksa diimpot makanan daripada luar negara dengan jumlah yang mencecah billion ringgit, maka dasar kerajaan telah memperuntukan dana-dana untuk penyelidikan mengenai agrikultur dan bioteknologi bagi mengurangkan jumlah kewangan impot makanan tersebut, oleh itu bagi penyelidik yang menyediakan proposal atau kertas cadangan untuk memperuntukkan jumlah dana penyelidikan dalam bidang tersebut, akan diluluskan. Hal ini juga berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir, yang mana kerajaan mensasarkan industri perkilangan sebagai sektor utama kepada pertumbuhan dana ekonomi negara, maka nanoteknologi yang menjadi subjek utama dalam penyelidikan, oleh itu banyak dana IRPA diluluskan atas nama penyelidikan nanoteknologi dengan jumlah dana yang sangat banyak, malahan melebihi 10juta ringgit Malaysia.

Jika dilihat kepada aspek dana penyelidikan di universiti, ia mensasarkan setiap penyelidikan harus menghasilkan produk apa akhiran kajian, lebih baik produk tersebut adalah produk yang boleh dipegang dan boleh digunapakai, kerana universiti akan mendapat nama jika produk tersebut memenangi pingat-pingat di pameran inovasi nanti. Pada pandangan penulis tidak mengapalah, sekurang-kurangnya berlaku jugalah proses-proses penyelidikan di university, tetapi penulis ingin membawa pembaca kepada pengalaman pertama penulis untuk memohon geran penyelidikan. Ketika penulis memohon geran, penulis mensasarkan jumlah RM100 untuk pembiayaan penyelidikan dalam bidang fizik teori penulis. Apabila dimajukan permohonan tersebut, borang tersebut ditertawakan oleh pembantu tadbir di pejabat tersebut, kerana pada pandangan penulis cukuplah bahawa peralatan penulis sememangnya dibekal oleh pihak fakulti, manakala makalah-makalah fizik pula boleh didapatkan daripada Sciencedirect dan Arxiv dan pembelanjaan ke persidangan diperuntukkan oleh pihak universiti sebanyak RM10,000 setiap seorang per tahun. Itulah pengalaman penulis dan itu jugalah yang berlaku iaitu penyelidikan bidang fizik teori dipandang sipi sama ada di peringkat universiti ataupun kebangsaan. Penulis pernah melihat maklumat pernyelidik-penyelidik Malaysia melalui laman portal Science Fund (MOSTI), kebanyakan daripada mereka adalah daripada kalangan penyelidik eksperimen dan geran-geran penyelidikan yang telah diluluskan adalah penyelidikan eksperimen dan berinstrumen.

Realiti tempat kerja di IPTA juga menjadi salah satu dilema kepada penyelidik atau pensyarah yang memerlukan masa terluang untuk berfikir dan menyemak makalah-makalah fizik, itu telah pun dicuri oleh rutin-rutin yang tiada nilai-nilai akademik, antaranya ialah menghadiri mesyuarat fakulti, melakukan urusan-urusan pentadbiran dan membuat fail meja atau fail pengajaran dan pembelajaran kualiti ISO. Kerja-kerja tersebutlah yang menodai kemahiran berfikir penyelidik dan juga masa terluang mereka. Kajian fizik teori adalah salah satu kajian sepanjang masa tidak terhad kepada masa atau ruang, kerana proses berfikirnya adalah berterusan, iaitu masa untuk mengenalpasti masalah yang difikirkan dan cuba untuk menyelesaikannya. Kekadang penyelesaian masalahnya tidak berlaku ketika masa pejabat atau masa bekerja formal, tetapi ia juga sering berlaku pada masa tidak formal seperti ketika menunggang basikal untuk bersiar-siar, ketika mengenaikan tali leher di baju atau ketika sebelum masuk tidur dan keadaan ini juga telah terjadi kepada Einstein. Berbeza dengan fizik ujikaji, mereka memiliki sedikit idea dan menggajikan pembantu penyelidiknya untuk menjalankan ujikajinya sama ada menyediakan sampelnya atau mengukur sifat fizik sampel tersebut, maka tak hairanlah mereka mempunyai banyak masa untuk menghadiri mesyuarat eksekutif dan kebanyakan daripada mereka mendominasi jawatan profesor dan jawatan tertinggi universiti.

Sebelum ini, penulis pernah menghadiri satu lawatan rasmi ke sebuah universiti, penulis bertemu dengan seorang professor dan beliau bertanyakan mengenai sama ada university penulis mempunyai ketuhar suhu tinggi atau tidak, kerana beliau memaklumkan bahawa fizik eksperimen umpama seperti “Chef”, kita masukkan perencah dan kandungannya dan kemudian kita rasai makanan tersebut, seterusnya kita tukarkan pula perencah dan kandungannya. Begitulah analoginya yang diberikan, kita sekadar mengubah parameter atau mengubah peratusan kandungan dalam sampel tersebut dan kemudiannya sampel itu kita cerap atau ukur sifat fiziknya, makalah dapatlah satu makalah akademik. Sebagai contoh, kita menyediakan sampel semikonduktor aloi InGaAs (indium-galium-arsenida) melalui Metalorganic vapour phase epitaxy (MOVPE) dengan nisbah seperti berikut In0.25Ga0.75As, kemudian kita cerap sifat elektroniknya dengan X-ray photoelektrik spectroscopy (XPS), maka daripada prosedur itu dapatlah ditulis satu makalah untuk nilai nisbah atom-atom tersebut. Setelah selesai itu, kita tukarkan pula nisbah atom tersebut kepada In0.75Ga0.25As dan kita lakukan rutin yang sama dan urusan tersebut dijalankan oleh GRA (graduted research assistant) atau RA (research assistant) ketua penyelidikan atau pemilik geran penyelidikan tersebut.


Jika dibandingkan dengan kajian fizik teori, ianya adalah sebaliknya, yang mana ia lebih memberikan penekanan kepada konsep asas fizik tersebut dan selidiki melalui pengiraan bermatematik dengan pemahaman konsep yang mendalam, malahan menilai konsep asas fizik tersebut (aras tertinggi taksonomi bloom, iaitu “Penilaian”). Model demi model matematik diperketengahkan untuk menyelesaikan masalah fizik yang difikirkan tanpa menafikan konsep fizik lain yang diterima (kekadang konsep fizik tersebut boleh juga ditambahbaik atau diperbaiki). Lembaran demi lembaran kertas dicontengnya, papan putih dilakari dengan symbol-simbol Yunani yang tidak difahami. Jika dilihat secara amnya, penyelidikannya adalah sangat sukar, tak hairanlah jika dihimbau sejarah peribadi ahli fizik teori, mereka memiliki perwatakan yang sangat pelik dan yang paling ketaranya, ialah mereka adalah seorang yang tidak formal dan sukar bergaul atau bersosial mesra dengan orang awam. Tetapi yang perlu dikagumi pada mereka adalah mereka bersungguh-sungguh dan ikhlas pada ilmu dan kebenaran, kedudukan, pangkat dan harta tidaklah menjadi sandaran bagi mereka untuk terus menyelidik.

Aspek penghasilan makalah tidaklah semudah kajian fizik eksperimen, kebanyakan makalah fizik teori banyak yang ditolak dalam jurnal-jurnal fizik berimpak tinggi, jika dilihat dalam laman sesawang arxiv.org (menghimpun makalah sains), didapati terdapat sebilangan besar makalah-makalah fizik teorinya tiada nama rujukan jurnalnya, ini menunjukkan bahawa makalah tersebut telah ditolak daripada jurnal fizik teori, oleh hal yang demikian penyelidik tersebut mengambil inisiatif untuk menerbitkannya juga dalam laman web tersebut. Makalah fizik Peter Higgs juga pernah ditolak, makalah tersebut adalah mengenai penemuan secara teori iaitu zarah yang bertanggungjawab ke atas konsep jisim bagi zarah asas melalui pencabulan simetri U(1) setempat berspontan dengan gandingan tolok electromagnet, makalah mengenai zarah tersebut ditolak daripada jurnal fizik, walhal penemuan zarah tersebut yang telah menjadi inspirasi kepada masyarakat fizik sekarang dalam menyertai program Large Hadron Collider (LHC), terutamanya dikalangan ahli fizik eksperimen.

Perkembangan semasa fizik teori tidaklah dibincangkan atau disiarkan secara umum di Malaysia melalui persidangan-persidangan atau seminar-seminar atau makalah arus perdana, apatah lagi perbincanga secara teknikal. Jika dilihat daripada penyelidikan di negara Barat terutamanya, mereka telah lama membincangkan masalah zarah Higgs, manakala di Malaysia baru sedang menghantar pelajar-pelajarnya ke Summer School CERN. Jika dinegara Barat, ahli fizik teori yang disegani, manakala di Malaysia adalah sangat berbeza, bukan setakat ahli fizik teori, malahan ahli fizik eksperimen pun dipandang sipi oleh golongan profesional. Komuniti yang disegani pada mereka adalah ahli politik, tidak kiralah apa pun partinya atau apapun latarbelakangnya.

Melalui pengalaman penulis, kesusutan bilangan dan kekangan ahli fizik teori turut dipengaruhi dengan system pendidikan negara, ini dapat dilihat dengan penilaiannya berdasarkan kepada peperiksaan, yang menyekatkan kebebasan pelajar untuk berfikir diluar kotak fikiran dan menimbulkan minat atau kesungguhan kepada sesuatu ilmu, kerana semua pelajarannya yang disuapkan kepada pelajar-pelajar mestilah merangkumi silibus-silibus Kementerian Pelajaran Malaysia. Budaya galakan dirumah juga mempengaruhi tumbesaran pemikiran kanak-kanak, yang mana anak-anak kecil tidak didedahkan dengan sikap ingin tahu, atau kemahiran berimaginasi, atau menjalankan penyelidikan sains yang ringkas, atau mendedahkan mereka tentang objek-objek samawi di angkasa, atau diceritakan kepada mereka cerita-cerita yang boleh menarik minat mereka mengenai dunia sains dan penyelidikan. Albert Einstein pernah dihadiahkan Kompas ketika umur tiga tahun dan mencetuskan sikap ingin tahu “kenapa jarum kompas selalu menunjuk arah ke utara?”, Richard Feynmann pula dihadihkan radio dan daripada itu, beliau berupaya memperbaiki radioya sendiri dan kedua-duanya adalah berbangsa Yahudi, penulis tinggalkan pembaca dengan latarbelakang kedua-dua orang personaliti tersebut. Apa yang jelas dalam masyarakat kita, ialah setiap kali anak-anak balik sekolah perkara pertama yang ditanya adalah “Cikgu ada beri kerja sekolah tak? Kalau ada, buat sekarang!”, kemahiran anak-anak berada di dalam ruang lingkup kerja sekolah tersebut, tidak pernah didedahkan kepada anak-anak dengan pertanyaan “Kenapa dan Mengapa”. Cita-cita pertama yang diterapkan juga oleh ibu-bapa dan guru di sekolah adalah doktor, jurutera, guru atau akauntan, tak pernah kedengaran cita-cita mereka adalah ahli fizik atau ahli matematik atau ahli pemikir. Mungkin budaya kita berbeza dengan budaya ketika zaman kanak-kanak Gerard ‘t Hooft, iaitu seorang ahli fizik yang memenangi Hadiah Nobel dalam Fizik pada tahun 1999 yang mana ketika itu beliau telah ditanyakan mengenai cita-cita beliau apabila dewasa kelak, beliau menjawab, beliau mahu menjadi seorang yang “Tahu segala perkara”.

Ahli fizik teori di Malaysia semakin hari semakin menyusut, hal ini turut diakui oleh Prof Shaharir Md Zain, melalui perbualan ringkas dengan beliau di UMT. Beliau mengeluh dengan kesusutan ahli fizik teori jika dibanding pada awal 70an, itupun ketika itu bilangan ahli fizik teori boleh dikira dengan jari, sekarang ini tak pastilah pula bilangannya, katanya sambil ketawa terbahak-bahak. Menjadi ahli fizik teori tidaklah mendamba kekayaan, cukuplah sekadar memenuhi kepuasan untuk mengetahui sesuatu yang sedikit tentang aturan alam. Bak kata Prof Freddy Permana Zen, (seorang ahli fizik teori Institut Teknologi Bandung, Indonesia dalam bidang Adisimetri dan Graviti Newtonian Terubahsuai) iaitu “Menjadikan bidang ini, bukanlah untuk kaya”. Penulis agak tertarik dengan kenyataan Prof Madya Ithnin dari UM iaitu “Orang yang mengkaji Teori Aditetali (merujuk kepada beliau dan saudara Anuar Alias) telah memenuhi fardhu kifayah untuk negara Islam, kerana teori tersebut telah didominasi oleh orang bukan Islam”

Wahai generasi baru, mulakanlah langkah kita semua untuk mendominasi bidang fizik teori meskipun kita telah ketinggalan daripada negara sedang membangun, malulah kita kepada negara Thailand dan Indonesia, apatah lagi jika dibandingkan dengan negara Singapura, negara yang sudah membangun dalam bidang tersebut. Sebagai permulaan untuk mengorak langkahnya, maka adalah perlu kita semaikan kehidupan harian kita dengan perbincangan-perbincangan ilmiah di setiap masa meskipun dikala waktu makan tengahari. Kedua, jadilah seorang yang relevan, setiap perkara yang dibawakan atau yang didengar adalah fakta dan bukti begitu juga dalam berhujah. Ketiga, pupuklah sikap ingin tahu dan keghairahan untuk meneroka pengetahuan tentang alam tabii. Keempat, perkemaskanlah kemahiran dan pengetahuan matematik. Kelima, mendominasi setiap sektor professional dan penyelidikan. Keenam, ciptakan suasana ilmiah dirumah bersama keluarga, mungkin anak-anak itu berkemungkinan menjadi generasi penggerak kepada dunia penyelidikan, terutamanya bidang fizik teori.

Kesimpulannya disini bahawa halatuju fizik teori di Malaysia adalah negatif, memandangkan data dan pencerapan tak rasmi penulis adalah kabur untuk menyatakan bilangannya, ini menunjukkan bidang fizik teori adalah tenat. Manakala cabaran bagi perkembangan bidang fizik teori sudahpun bermula daripada pendidikan awal dirumah, seterusnya ke persekolahan, membawa kepada pendidikan di peringkat universiti dan kebangsaan, malahan ke peringkat dasar kerajaan dan menbantutkan usaha-usaha dan kesungguhan pentelahaan bidang fizik teori dilakukan, begitu jugalah isu-isunya yang telah dibincangkan.

Wallahu'alam

24 ulasan:

  1. saya fikir trend sekarang ni berdasarkan 'market' 'taraf' 'ekonomi' ..kita semakin jauh dari aspek'keilmuan' semata, salah satu mangsanya adalah fizik teori.

    BalasPadam
  2. Sedikit pembetulan: Yang berucap di EQuaLS4 adalah Prof. Chia Swee Ping (Presiden Institut Fizik Malaysia) dan bukan Prof. Lim Swee Cheng.

    BalasPadam
  3. Pemilik blog berkata:

    Saya sebenar tertukar nama diorang sebab kedua-duanya adalah fizikawan.

    Terima kasih atas pembetulan.

    BalasPadam
  4. bidang penyelidikan dalam fizik teori:

    yang teori saya rasa fizik zarah keunsuran...fizik tenaga tinggi lebih menjurus kepada fizik eksperimental ;-)

    BalasPadam
  5. masa terluang untuk berfikir dan menyemak makalah-makalah fizik, telah pun dicuri oleh rutin-rutin yang tiada nilai-nilai akademik :

    Barangkali kita boleh mencontohi dedekasi Abdus Salam di awal2 ICTP....

    Kalau tak silap...siang admin, petang buat fizik...

    BalasPadam
  6. Terima kasih Fawwaz atas kesudian bertandang ke blog saya.

    Fizik zarah menjurus kepada zarah tersebut iaitu entiti yang membina zarah tersebut (sama ada kuark, tetali atau bran) dan teori-teori yang tertakrif baik untuk zarah tersebut (well-defined). Ia adalh kajian teori

    Manakala Fizik Tenaga Tinggi pula adalah kajian kepada fenomena-fenomena fizik pada aras tenaga yang tinggi iaitu sekitar Giga dan Tera. Oleh itu teori-teori telah dibina untuk memuaskan fenomena-fenomena fizik tersebut, antara teori yang dibina mematuhi fenomena tenaga tersebut adalah Elektrolemah, Adisimetri dan Teori Kesatuan Gedang. Ia adalah teori

    Manakala dalam aspek eksperimen pula adalah, setiap fenomena fizik tenaga tinggi yang dikaji untuk membina teori tertentu adalah melalui pencerapan terwujudnya zarah-zarah yang berhayat pendek daripada tindakbalas sesuatu teori tersebut

    Sebagai contoh Elektrolemah adalah teori dalam fizik tenaga tinggi, manakala untuk mengsahkan teori tersebut kita akan mencerap zarah W+ W- dan Z0 yang berhayat pendek melelaui pemecut zarah.

    Jika dilihat Kumpulan Pengkaji di universiti-universiti di US, kumpulan pengkaji fizik tenaga tinggi akan terbahagi kepada dua iaitu

    Research Group High Energy Physics (Experimental)
    Research Group High Energy Physics (Theoretical)

    BalasPadam
  7. Yeah....that's the spirit ;-)

    BalasPadam
  8. Dengan segala kekurangan, cabaran, sedaya upaya, sedikit demi sedikit, cuba memahami, menghatam buku Zweibach dan Becker et.al perihal ilmu tetali dan membrana...percaya suatu masa akan membuahkan hasil juga...yang penting semangat , keazaman,..kecintaan pada ilmu untuk meneruskan ..mengutuhkan perjuangan dan ilham...dengan jihad ilmu menentang hawa nafsu malas:-

    esok seperti biasa dengan Prof Ithnin yang tidak pernah mengenal erti keletihan...meneruskan sesi bernukilan persamaan-persamaan kerelatifan tetali terbuka kuantum di sudut terpencil blok cerun bilik seminar B department fizik University Malaya:)

    BalasPadam
  9. saya benar-benar telah diinspirasikan!

    BalasPadam
  10. Barakallahu fiikum atas apa yang tuan telah inspiarasikan.
    :-)

    BalasPadam
  11. menarik. artikel ini memang hebat!
    jadi, bagaimanakah cara untuk orang lepasan spm seperti saya yang sedang menunggu keputusan menjadi seorang ahli fizik teori. ke manakah harus saya melanjutkan pelajaran? dan apakah kursus yang harus saya ambil?

    BalasPadam
  12. Terima kasih saudara. Barakallahu fiikum.

    Laluan terbaik adalah melalui Matrikulasi Sains KPM, kerana masa yang diambil hanya setahun. Lagipula kebanyakan ahli fizik teori selalunya menamatkan ijazah pada usia muda.

    Ambil fizik dan matematik, fahamkan konsep asas fizik seperti pengukuran dan instrumentasi, mekanik, graviti, elektrik dan magnetik, gelombang, getaran, optik geometri, nuklear, radioaktif, termodinamik dan haba, dan topik-topik penting fizik.

    Laluan A-level pun bagus juga. Sebab tuan boleh belajar dengan "otai-otai fizik" di universiti terkemuka seperti di US, UK, Jepun dan Jerman.


    Kursus di universiti yang perlu tuan ambil ialah kursus dengan nama Fizik atau Fizik Tulen, kerana jika tuan mengambil Fizik Gunaan (Applied Physics) atau dengan nama lain seperti Fizik Industri, Fizik Perubatan, atau Fizik Sinaran, Fizik Kesihatan, kursus-kursus tersebut tuan akan lebih 20% kepada teknologi dan instrumentasi (ini standard MQA), kemudian ia akan dikurang subjek-subjek yang lebih kepada Fizik Asas (seperti EM, Mekanik, Dinamik dan Fizik Kuantum).

    Jadi "ambil kursus" yang bernama kursus Fizik atau Fizik Tulen, kerana hampir 80% subjek yang diajar adalah lebih terarah kepada fizik tulen (konsep-konsep asas fizik klasik dan moden).

    Pilihan universiti, saya sarankan di Malaysia, nombor satu saya letak UM (Universiti Malaya), nombor dua USM (Uni. Sains Malaysia), nombor tiga UTM (Universiti Teknologi Malaysia), nombor empat UPM, (Universiti Putra Malaysia) dan nombor lima UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia).

    Untuk menjadi ahli Fizik Teori, matematik adalah permaisuri. Nasihat saya, ambil subjek-subjek matematik penting untuk fizik seperti Persamaan Pembezaan Biasa (ODE) dan Separa (PDE), Aljabar Linear, Calculus, Pembolehubah Kompleks, dan Statistik. Jika boleh, ambil secara sukarela atau kerana minat.

    Nanti pada akhir tahun tuan akan menjalani Projek Tahun Akhir, nasihat pilih pensyarah (atau penyelia) dalam bidang fizik teori (seperti sistem kompleks, kuantum, fizik zarah, kondensasi Bose-Einstein dan lain-lain)

    Selalu bersembang tentang Fizik dengan pensyarah, dengan membudayakan diskusi ilmu fizik dengan mereka.

    Wallahu ta'ala a'lam

    BalasPadam
  13. Seterusnya tuan langsung menyambung Sarjana Sains (Master of Science) dalam bidang Fizik Tulen tertentu selepas tamat Sarjanamuda (Degree), seperti bidang fizik sistem kompleks, quantum dots, teori ketumpatan keadaan, mekanik kuantum, teori medan kuantum, teori kerelatifan am Einstein.

    BalasPadam
  14. wow! terimakasih!
    saya sedang dilema.
    boleh saya berhubung dgn meta-F di ym? asap.

    BalasPadam
  15. 'Menjadi ahli fizik teori tidaklah mendamba kekayaan, cukuplah sekadar memenuhi kepuasan untuk mengetahui sesuatu yang sedikit tentang aturan alam.'

    sgt indah penyataan ni.

    BalasPadam
  16. malaysia tu negara bodoh,,,, mana ada orang maaysia yg fakar fizik,,,semua orang tahu fakar fizik malaysia tak ada kualiti ,,,bodoh,,,,,

    BalasPadam
  17. pelajar malaysia suka kawin sejenis,,,fakar fizik malaysia tak ada kualiti lah,,,semua orang malaysia bodoh terhadap math pa lagi solan calculus...fakar fizik malaysia tu bodoh math,,,, semua tulisan di atas tak ada kuliti sebagai fizik teori,,,, malaysia negara bodoh,,,karena sistem pendidikan malaysia masih bodoh,,,,

    BalasPadam
  18. assalamualaikum, nk tnye, klu sye amik asasi sains pertanian kt upm, boleh sambung course fizik x lpas tu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'alaikum salam

      Dari pengetahuan saya, BOLEH. Edward Witten pelopor Teori-M dalam teori tetali terlanjut (extended string theory), beliau adalah Degree Sains Politik. PhD dalam bidang fizik.

      Tentang soalan tuan, saya rasa bahawa tuan yang berijazah sarjanamuda untuk menyembung pelajaran dalam bidang fizik, bimbang tak akan diluluskan (kalau dilihat daripada aspek polisi universiti).

      Padam
  19. Assalammualaikum, saya akan duduki spm tahun ni. Jadi, berapakah A yang perlu saya dapatkan ataupun credit dalam spm supaya saya layak ambil course fizik tulen di mana mana universiti seperti UM & sebagainya?

    BalasPadam
  20. Untuk langsung terus ke universiti, rasanya tak ada. Saya sendiri melalui matrikulasi. Oleh itu tuan perlu menduduki dan memenuhi syarat matrikulasi.

    BalasPadam
  21. Salam...kalau ambil pure physics boleh jadi jurutera tak?

    BalasPadam
  22. Fizik penting penulisan pun penting jugak...

    BalasPadam