Selasa, 2 November 2010

Sedang belajar untuk menyelia pelajar dalam Fizik Teori

Alhamdulillah, Selasa (02 November 2010) selesai sudah pembentangan projek tahun akhir pelajar Ijazah Sarjanamuda Pendidikan (Sains). Pada semester ini, saya mempunyai tiga orang pelajar Projek Tahun Akhir untuk diselia. Seperti yang kita sedia maklum, Universiti Pendidikan Sultan Idris adalah sebuah universiti pendidikan yang satu-satunya di Malaysia dan ia juga universiti yang masih baharu.

Oleh itu, kami barisan pendidik di UPSI berusaha sedaya-upaya untuk menaikkan nama universiti pendidikan ini di persada tanah air, kami juga berusaha untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan di Malaysia amnya. Antara projek-projek tahun akhir kami berikan adalah bersesuaian dengan bidang pendidikan, disamping itu juga kami menjalankan projek untuk menghasilkan produk untuk dipertandingkan di pameran-pameran inovasi serata negeri dalam negara. Sehubungan dengan itu, kami mengambil inisiatif dalam memberikan tajuk projek kepada pelajar adalah bersesuaian dengan bidang mereka.

Antara projek yang saya berikan adalah membina Alat Bantuan Mengajar (ABM), membina produk yang boleh dipertandingkan dalam pertandingan dan pameran inovasi. Kedua, saya memberikan projek untuk membina alat Elektrokardiogram Buatan-Rumah (Homemade) yang berkemungkinan untuk dipertandingkan dan dikomersilkan (mungkin), tetapi alat tersebut perlu untuk ditambah baikkan memandangkan litar alatan tersebut agak ringkas, malahan banyak hingar (noise) yang dikenal pasti melalui ropong ayun (Oscilloscope). Ketiga, projek Fizik Teori: mengenai kesan Doppler pada halaju zarah melampaui cahaya.


Angan-angan Kecilku

Untuk sesi akan datang, berkemungkinan semua pelajar seliaan saya akan diberikan tajuk projek tahun akhir dalam bidangn fizik teori supaya ianya tampak kelainan dan menjadi nilai tambah kepada bakal guru UPSI yang akan dikeluarkan.

Mereka bukan setakat boleh mengajar fizik di sekolah (dalam lingkup silibus KPM sahaja) malahan mereka berupaya untuk memberikan pendedahan kepada fizik lanjutan atau fizik teori di sekolah, itulah usaha saya dalam memberikan pendedahan kepada generasi-generasi muda akan datang. Semoga warganegara Malaysia menjadi warganegara yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis, serta inovatif.


Warganegara yang mempunyai keterujaan dan cetusan minat yang mendalam


Selain itu, saya juga dapat belajar tatacara untuk menyelia pelajar dalam penyelidikan fizik teori. Mungkin ini, sebagai platform awal saya sebelum untuk menerima pelajar Sarjana dan Doktorat dalam bidang tersebut. Insyaallah. :-)


Projek Tahun Akhir

Kami membuat penyelidikan dalam bidang Fizik Moden iaitu, mengkaji "Kesan Doppler Dalam Kes Halaju Melampaui Cahaya".

Seperti yang kita sedia makluma bahawa tiada jasad di alam raya ini boleh bergerak melampaui laju cahaya kerana ia melanggari Teori Relativistik Einstein, namun Sudarhan dan Bilaniuk menyelesaikan masalah ini, dengan mengandaikan bahawa pembolehubah fizik wajar adalah bernombor khayalan.

Sehubungan daripada itu, kami (saya dan pelajar saya itu) menggunakan andaian itu, untuk menerbitkan persamaan bagi zarah yang berhalaju melampaui cahaya atau dikenali sebagai zarah Tachyon untuk fenomena "Kesan Doppler" melalui perngubahsuaian persamaan Kesan Doppler bagi kes relativistik, sama ada menghampiri sumber atau menjauhi sumber. Kes yang kami cuba selesaikan dikenali sebagai kes Superlumina.

Namun penyelidikan ini tidaklah melibatkan matematik yang merumitkan, tetapi sekadar aritmetik mudah sahaja, tapi penyelesaiannya sangat panjang dan memerlukan imaginasi, sebab kita perlu membayangkan fenomena relatif tersebut pada rangka rujukan yang berbeza. Kami menyelesaikan lapan situasi yang berbeza. Namun ia memberikan persamaan yang sama, tetapi dengan takrifan yang berlainan.

Persamaan yang diterbitkan:

f_superlumina = f_wajar.(Sqrt[(c+v)/(v-c)]),

yang mana f_wajar= +-i.f_relativistik
dan i=Sqrt[-1]

Hasil dapatan menunjukkan bahawa, v objek mendekati c akan menghasilkan anjakan asimptotik infiniti pada frekuensi. Tapi kami tak dapat menakrifkan "frekuensi wajar"nya secara fizikal, kerana belum ada penemuan zarah yang melampaui cahaya di alam semesta ini. Tetapi zarah Cherenkov pula dikatakan juga berhalaju melampaui cahaya namun dalam medium air sahaja, jika medium udara cahaya lebih laju lagi. Zarah Cherenkov adalah tak-berjisim, seperti foton (atau radiasi daripada tindakbalas nuklear)

[Nota: Untuk v sangat kecil daripada c, dikenali sebagai kes tak-relativistik, untuk v menghampiri c dikenail sebagai kes relativistik manakala v > c pula, dikenali sebagai kes superlumina

Wallahu a'lam

UPSI berada di hati, meskipun pelbagai kekangan dan kesulitan yang dihadapi, tetapi saya tahu bahawa UPSI masih baru lagi dipersada akademik dan penyelidikan. Lagi pula, kami barisan kakitangan akademik dan bukan-akademik berusaha sedaya-upaya untuk menaikkan nama UPSI pada tempat sewajarnya. DOAKAN KAMI.



RAJAH 1: Gambaran zarah Takyon

5 ulasan:

  1. Buat fizik teori yg bersekali dgn modelling pun elok jugak (matlab, or mathematica) . Boleh bakal pendidik visualizekan problem+solutionnya. Baru ade nilai tambah

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. tuan saya ingin tahu kalau ada ruang2 untuk eksperimentalis bagi projek ini, sebab saya masih tercari-cari (walaupun skrg sibuk) apa projek yang sesuai untuk sinar cerenkov di reaktor RTP tu..sudah tiga tahun sinar cerenkov 'bersinar-sinar membasahi wajah saya' terbazir begitu sahaja..sekadar menjadi hiburan yang akan saya tunjukkan kepada pelawat 'ok cahaya biru yang terhasil ini dinamakan sinar cerenkov yang terhasil apabila..bla bla' tiap hari ia dihasilkan tanpa kita tahu..apa yang kita boleh buat dengannya..???

    BalasPadam
  4. saya doakan en.fauzi berjaya membawa nama upsi di persada...sy bekas anak murid encik...

    BalasPadam
  5. Fawwaz dan Sofiah: Terima kasih atas saranan tersebut. Insyaallah saya masih dalam belajar.


    Hairi: Saya tak pastilah Hairi, mungkin nanti kita boleh bincangkan. Sebab ia mungkin melibatkan peruntukan yang banyak untuk mengkajinya (melibatkan alatan pengesanan zarah halaju tinggi). Tahniah Hairi. Insyaallah nanti saya hadir. Hehehe...


    Anak murid saya: Insyaallah doakan bersama ye. :-) Tahniah kamu sudah atau akan menjadi "cikgu" hasil didikan UPSI, iaitu Universiti Kecil tapi Berjiwa Besar dan Bercita-cita Tinggi.

    BalasPadam