Isnin, 3 Mei 2010

Model-model Kosmologi

Teringinnya penulis cuba untuk mencoret coretan yang agak kerdil yakni mengenai model-model kosmologi yang kita cuba untuk menghambatnya, yang kita cuba untuk mengejarnya, juga yang kita cuba untuk menunjukkan keegoan bahawa kitalah tahu dan kitalah tak ragu.

Dan ketahuilah anda masih belum lagi tahu, kerana anda didatangi dalam keadaan kosong yang daif lagi naif.

Dilampirkan bersama, dua model kosmologi yang diendaptafsirkan secara KLASIK iaitu Teori Kenisbian Am dan seterusnya dilanjutkan perbincangannya mengenai model kosmologi yang moden yang berasaskan teori MODEN (Teori-M). Maka nikmatilah wahai pembaca diRahmati Allah 'Azawajalla.


Teori Kenisbian Am (TKA)


TKA memodelkan alam semesta kita yang mana alam semesta ini adalah bermula dari sesuatu titik yang sangat tumpat, yang dikenali sebagai singulariti (tafsiran matematiknya adalah had x->0 {1/x})

TKA menanggapi bahawa "masa" ada permulaannya (pelik bukan), iaitu ia bermula ketika berlakunya deguman besar. Bermaksud masa di katakan bermula pada deguman besar dan terus berkembang dan berjalan terhadap pengembangan alam semesta. Tetapi sebelum itu takrifan masanya agak pelik (tiada tafsiran fizikal), dipendekkan cerita mengenai hal ini jangan difikirkanlah kata sebahagian ahli fizik kosmologi, kerana kebimbangan model tersebut akan berbaur keTuhanan. Bagi sebahagian mereka, tiada campurtangan Tuhan dalam peciptaan Alam atau Hukumnya (menurut apa yang penulis fahami)

TKA tidak mampu menjawab persoalan "Apa yang berlaku sebelum Deguman Besar", meskipun terdapat beberapa andaian antaranya ialah fenomena sebelum deguman besar telah berlakunya "Fluktuasi Vakum" yang mematuhi prinsip Quantum Kromodinamik, namun ia bukannya daripada penjelasan TKA. QKD selalunya digunakan untuk memerihalkan hal-ehwal interaksi kuat, namun ia juga boleh memerihalkan secara fizikalnya berkenaan permasalahan Vakum.

TKA jugalah yang mengusulkan kewujudan permulaan alam semesta (deguman besar), kewujudan pengembangan alam semesta dan keruntuhan alam semesta.

Ramalan TKA mengenai pengembangan alam semesta yang tidak konsisten dengan pencerapan kadar pengembangan semasa alam semesta, maka ia perlu diperbaiki dengan cadangan bahawa alam semesta ini telah berlakunya INFLASI pada 10^-10 saat selepas deguman besar yang mana alam semesta ini mengembang melampaui laju cahaya, tetapi ia dibenarkan kerana ruangmasa dibenarkan untuk bergerak pada lampau laju cahaya. Implikasi daripada Inflasi, ramalan TKA telah diperbaiki dengan andaian fenomena Inflasi dalam teori tersebut. {INFLASI adalah kadar pengembangan dinamik secara mendadak yang melampaui laju cahaya, ia dicadangkan oleh ALAN GUTH Profesor MIT (Muka beliau sangat melucukan pada pandangan penulis) }


Teori-M

Teori-M pula meramalkan kewujudan objek terlanjut (extended object) iaitu yang dikenali sebagai "membrane" iaitu 3-brane.

Teori-M juga menjangkakan bahawa membran tersebut menghuni dalam ruang bermatra lebihan (dimensi lebih daripada 4), dalam Model Randall-Sundrum pula mendapati bahawa membrane tersebut menghuni dalam ruang lima matra.

Berbezanya dengan TKA, Model Kosmologi berasaskan Teori-M mendapati bahawa masa tiada permulaannya, kerana deguman besarnya tidak lagi permulaan masa menurut kiasan Teori-M. Ini bermaksud terdapatnya suatu jasad (yang sangat besar) yang sedia ada dan sudah tentu masa sememangnya sedia ada pada waktu itu. Masa tiada mutlaknya permulaan.

Kejadian Alam semestanya juga berbeza, iaitu ia tidak bermula dari singulariti (satu titik kecil). Tetapi bermula daripada perlanggaran diantara dua jasad gergasi, yang memberikan satu deguman besar dalam jasad gergasi yang kita diami. Sebelum itu, jasad gergasi yang dimaksudkan disini ialah "brane". Terdapatnya dua brane, yang mempunyai matra lebihan berbentuk layer terbentang luas (pada andaian fizikawan). Kemudian ia mengalami pelanggaran yang sangat dahsyat yang mana hasil perlanggaran tersebut yang memberikan tenaga kinetik dan haba yang dijelmakan melalui pematuhan keabadiaan jisim-tenaga, yang menghasilkan jasad berjisim dan sinaran dalam brane yang kita diami sekarang. Namun Model Kosmologi berasaskan TKA masih lagi dipatuhi untuk hal "deguman besar".

Tidak boleh lagi digunakan istilah alam semesta dalam permodelan kosmologi berasaskan teori-M, kerana model brane tersebut menjangkakan bahawa perlanggaran tidak hanya berlaku malahan berkali-kali dan sangat banyaknya (dikatakan sebanyak 10^500 alam semesta terjadi daripada pelanggaran tersebut, ia dikira dengan ruang de-Sitter). Maka mungkin perlu rasanya penulis memperkenalkan istilah baru ALAM NEKAMESTA (multiverse).

Alam semsta sememangnya wujud, dan ia mengalami kitaran berulang-ulangan perlanggaran seperti yang dimaklumkan.

Alam semesta yang berasaskan teori-M masih lagi mematuhi model kosmologi beracuan TKA iaitu dalam hal pengembangan alam semesta, dan penciptaan jirim dan radiasi selepas deguman besar. Juga ia boleh berlakunya keruntuhan besar. Inflasi juga masih lagi diterima dalam hal ini untuk menyelaras model kosmolgi dengan pencerapan yang diperolehi.


Komen penulis

Alam semesta sememangnya banyak. Tapi malangnya kebanyakan alam semesta yang diciptakan tersebut MUNGKIN mempunyai aturan fizik yang sangat BERBEZA dengan aturan fizik dalam alam semesta yang kita diami ini. Aturan fizik yang kita diami sekarang adalah bersesuaian dengan keabdian kehidupan manusiawi. Mungkin alam semesta yang lain mempunyai daya graviti yang menolak atau tiada takrifannya masa dan ruang, atau tiada jirim, jisim atau cahaya, agak janggal kedengarannya bukan, tetapi pendirian adalah tak mustahil. Tambahan lagi, jika konsep ini diterima maka kita dapati seolah-olah ia memenangkan Prinsip Anthropic dan juga umat berakidah Humanisme bertempik riang, kerana model ini mengandaikan bahawa ALAM SEMESTA YANG KITA DIAMI ADALAH BERSESUAIAN DENGAN KEHIDUPAN SEJAGAT MANUSIAWI. Petikan juga hampir sama dengan Prinsip Antropic dan fahaman Humanisme yang menafikan campurtangan Tuhan dalam hal-ehwal penciptaan Alam Semestan dan hukumnya.

Keduanya, alam semesta yang diciptakan berkemungkinan akan ada juga sebahagiannya mengalami keruntuhan sama ada dalam tempoh yang sangat lama atau secara tiba-tiba selepas kejadian. Wah, kita bercakap seakan-akan kita arif berkenaan alam.


Demi Allah, dengan rasa tersungkur sujud padaNya yakni al-Badi' (mencipta sesuatu tanpa ada sebarang rujukan atau model), memohon kepada-Nya dilindungi azab neraka.

Semakin hari, semakin menelaah tentang alam, semakin mendekati rasa kehambaanku kepada-Nya yakni al-Khaliqul Badi'

Wallahu'alam

3 ulasan:

  1. Artikel yang menarik. Coretan yang seterusnya, boleh lah letak gambar supaya lebih difahami oleh orang kebanyakan.

    "picture is worth a thousand words"

    BalasPadam
  2. Menarik...Ini mungkin boleh dijadikan kesinambungan untuk adisimetri (yang akan diterbitakn di MajalahSains.Com tak lama lagi).

    Artikel yang berat, tapi sedap!..teruskan menulis tuan

    BalasPadam
  3. Saya sudah mengolah ayat-ayatnya dari segi tatabahasanya.

    Jika tuan Faizal, saya mengolahnya dalam bentuk untuk tatapan umum, insyaallah. Sebab penulisan di atas mungkin agak "stylo" atau main-main.

    BalasPadam